KL2017: Penutup sempurna Sukan SEA
KUALA LUMPUR: Upacara penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur Ke-29 (KL2017) dengan tema 'Bangkit Bersama' berlangsung penuh warna-warni dan gilang gemilang, yang digabungkan dengan sambutan Ambang Kemerdekaan negara ke-60.

Kemeriahan itu seiring dengan kejayaan Malaysia muncul juara keseluruhan temasya Sukan SEA edisi ke-29 kali ini apabila meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa untuk jumlah keseluruhan 323 pingat.

Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku serta pengumuman kontinjen dari 11 negara yang mengambil bahagian serta sukarelawan yang terbabit dengan KL2017.

Majlis berlangsung menerusi beberapa segmen, antaranya segmen bertemakan Terima Kasih Daun Keladi yang menampilkan persembahan nyanyian serta tarian.

Saat paling dinantikan adalah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan KL2017 ditutup dengan rasminya serta pengumuman Filipina sebagai tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2019.

Tumpuan penonton kemudian terarah kepada obor temasya yang dipadamkan selepas 12 hari dinyalakan sejak majlis perasmian, 19 Ogos lalu.

Majlis diteruskan dengan menurunkan bendera rasmi Sukan SEA yang kemudian diserahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.

Tunku Imran kemudian menyerahkannya kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Filipina, Jose Cojuango yang menyerahkan pula kepada Setiausaha Hal Ehwal Luar Negara yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA ke-30, Alan Peter Cayetano.

ATLET Malaysia masuk stadium dari dua arah pada penutupan Sukan SEA KL2017 ke-29 di Stadium National, Bukit Jalil. - Foto Muhaizan Yahya

Selepas itu penonton dihidangkan persembahan dari Filipina sebagai pentas memperkenalkan tuan rumah temasya akan datang, sebelum majlis diteruskan dengan segmen Soundtrack Negaraku yang menampilkan beberapa lagu berunsur patriotik dari lewat era 1950an sehingga sekarang.

Perdana Menteri kemudian tampil membuat ucapan dengan memberi penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk atlet, pegawai sukan, sukarelawan terhadap kejayaan penganjuran KL2017 ini

Berita gembira menyusul apabila Najib turut mengumumkan 4 September ini (Isnin) sebagai cuti umum di negara ini, yang disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh oleh kira-kira 90,000 penonton yang hadir di upacara penutup itu, diakhiri dengan laungan 'Merdeka' dan percikan bunga api di sekitar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar rantau Asia Tenggara itu, selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.

Kontinjen negara berjumlah 844 atlet yang menyertai 398 acara membabitkan 38 jenis sukan mengumpul 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa, mengatasi sasaran 111 pingat emas.

Ini adalah pencapaian terbaik selaku tuan rumah Sukan SEA kerana selain mengatasi jumlah sasaran, sebanyak 18 rekod Sukan SEA juga berjaya diperbaharui.

Thailand yang muncul juara di Singapura 2015, menduduki tempat kedua dengan meraih 72 emas, 86 perak dan 88 gangsa.