ATLET terjun negara, Nur Dhabitah Sabri membakar obor ketika majlis pembukaan Sukan SEA 2017 ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

KONTINJEN Malaysia memasuki stadium dengan 3 atlet negara selaku pembawa bendera , Azizulhasni Awang, Cheong Jun Hoong dan AlJufri Jamari pada Majlis perasmian Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukti Jalil.

PERCIKAN bunga api di Stadium National Bukit Jalil pada majlis pembukaan Sukan SEA 2017.

KUALA LUMPUR: Temasya Sukan SEA ke-29 dibuka secara rasminya dalam satu majlis pembukaan penuh gemilang di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Perasmian temasya dwi tahunan yang bertemakan 'Bangkit Bersama' itu berlangsung dengan penuh pertunjukan warna-warni yang menonjolkan kepelbagaian budaya dan kesenian tempatan.

Elemen itu diangkat sebagai unsur utama sepanjang pertunjukan untuk melengkapkan kemeriahan di venue serba moden yang baharu dinaik taraf.

Upacara bermula dengan persembahan muzik tujuh buah sekolah - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katolik, SMK Seafield, SMK Kepong, St John's Institution, Chong Hua Independent, SMK Seri Kembangan dan Chong Hua Jalan Gombak.

Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneruskan upacara pembukaan dengan nyanyian Lagu Negaraku serta upacara menaikkan bendera Malaysia di dalam stadium yang dibanjiri lebih 80,000 penonton.

Upacara berwarna-warni itu menerapkan kebudayaan dan keunikan yang ada di negara ini yang menjadi lambang kebanggaan kepada 32 juta penduduk di negara ini.

Seterusnya, maskot rasmi 'Rimau' diperkenalkan sebelum diikuti perarakan masuk 11 kontinjen negara bertanding yang membabitkan kira-kira 6,000 peserta terdiri daripada atlet dan pegawai serta agensi yang terbabit dalam persembahan.

Bermula dengan perarakan masuk kontinjen Brunei Darussalam, diikuti Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste, Myanmar, Vietnam dan diakhiri dengan perbarisan masuk barisan kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Marina Chin.

Barisan atlet negara yang diketuai tiga pembawa Jalur Gemilang - Azizulhasni Awang (berbasikal), Cheong Jun Hoong (terjun) dan Al Jufferi Jamari (silat) kelihatan segak dan cantik mengenakan persalinan baju kurung pesak serta baju Melayu moden yang direka khas.

Penyanyi Dayang Nurfaizah kemudian tampil untuk menyuntik semangat atlet yang bertanding pada edisi ke-29 temasya dwitahunan ini dengan nyanyian lagu tema KL2017, Bangkit Bersama.

Upacara perasmian kemudian meniti kemasyhuran silam apabila bekas-bekas jaguh dan legenda sukan negara tampil di tengah-tengah stadium, diikuti upacara menaikkan bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF).

Selepas ucapan Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara, Tunku Imran Tuanku Ja'afar, majlis dilengkapkan dengan pengumuman rasmi pembukaan temasya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.