|
Mendobrak Sistem Yang Anti Anak Muda
Oleh Black
Anak muda merupakan tulang belakang kepada kekuatan sesuatu bangsa atau negara. Kemudaan usia memungkinkan
untuk mereka ( baca : anak muda ) untuk berpartisipasi
secara aktif dalam program-program
kemasyarakatan.Namun kita sering dicanangkan tentang
permasalahan sosial di dalam masyarakat yang
melibatkan anak-anak muda. Di antara masalah-masalah
yang sering di war-war kan adalah seperti masalah seks
diluar nikah, masalah pembuangan bayi, masalah lumba
haram, kongsi gelap, gejala dadah dan yang terbaru
adalah gengsterism.
Apabila berbicara tentang permasalahan ini ramai
tokoh-tokoh akademik yang menciptakan tentang punca
dan bagaimana untuk mengatasinya. Mereka ( baca :
tokoh akademik ) sering menuding jari menyalahkan ibu
bapa kerana gagal untuk mendidik anak-anak mereka.
Guru-guru juga sering menjadi kambing hitam untuk
disalahkan jika berlaku masalah yang melibatkan anak
muda. Masalah-masalah kemiskinan jarang sekali di
sentuh sebagai punca berlakunya masalah ini. Sedangkan
jika kita kaji tentang kaum miskin kota, kita akan
melihat bahawa kemiskinan inilah adalah satu factor
penting yang menyebabkan berlakunya masalah social
dalam masyarakat.
Kerajaan juga tidak ketinggalan untuk terheret sama
untuk menyelesaikan permasalan ini. Pelbagai
program-program dilakukan untuk menarik pengelibatan
anak-anak muda contohnya seperti Program Rakan Muda.
Kerajaan sering mengatakan bahawa peruntukkan yang
disediakan untuk melaksanakan program untuk anak-anak
muda amat besar, namun permasalahan sosial yang
melibatkan anak-anak muda masih lagi tidak dapat
dikurangkan malahan peratusannya dikatakan semakin
meningkat. Kerajaan tidak dilihat serius dalam
menangani masalah ini seperti melepaskan batuk
ditangga. Selebihnya ibu bapa dan anak muda sendiri
disalahkan. Media-media elektronik, media-media cetak
dan internet juga tidak terlepas untuk dijadikan
kambing hitam sebagai punca permasalahan social di
kalangan anak-anak muda.
Pernahkah kita bertanya mengapa ini berlaku?
Terdapat banyak faktor yang telah menyebabkan
permasalahan ini tidak dapat di atasi. Pada pandangan
saya akar kepada permasalahan ini ialah Sistem Yang
Sedia Ada Anti Kepada Anak Muda . Sistem ini juga
telah menjadi satu hegemoni yang telah membentuk
masyarakat yang anti anak muda.
Mengapa saya berkata begini?
Pertama cuba kita kaji kembali masyarakat umum di
negara kita tidak kira bangsa Melayu, Cina dan India.
Kita akan dapat lihat anak-anak muda tidak begitu
berpartisipasi di dalam kehidupan sosial masyarakat.
Di rumah pula apabila anak-anak muda cuba memberi
pandangan, ibu bapa sering akan mengatakan ayat-ayat
yang anti anak muda seperti kau belajar lagi,
habiskan belajar dulu , aku lebih dulu makan garam
pada kau , kau budak-budak lagi apa yang kau tahu
dan banyak lagi. Apabila ibu bapa memarahi kita dan
kita cuba menjelaskan apa yang berlaku kita akan
dimarahi dengan kau dah pandai menjawab ye ! .
Perkara akan dilalui hampir sama bagi setiap anak-anak
muda di dalam masyarakat tidak kira golongan miskin
atau kaya. Persekitaran sebeginilah yang menyumbang
kepada anak-anak muda yang lebih berminat untuk
menyertai kegiatan-kegiatan social di luar yang
negative daripada hidup bermasyarakat.
Kedua cuba kita kaji kembali sistem di dalam
masyarakat yang tidak berpihak kepada anak muda. Di
dalam masyarakat kita memang terdapat banyak
persatuan-persatuan untuk anak muda baik di dalam
kerajaan mahupun yang bukan kerajaan. Organisasi anak
muda seperti Majlis Belia Malaysia ( MBM ) , Belia 4B,
Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) dan banyak lagi
juga masih gagal untuk menerapkan nilai-nilai yang
baik dikalangan anak muda. Di peringkat universiti
pula kita sering terdengar nama-nama seperti Persatuan
Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ), Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung ( GPMS ),Gabungan Mahasiswa
Islam SeMalaysia ( GAMIS ), KARISMA ( Kelab Rakan
Siswa Islah Malaysia ), Barisan Bertindak Mahasiswa
Negara ( BBMN ), DEMA juga tidak berjaya untuk
mempengaruhi majoriti mahasiswa di kampus.
Pada pandangan saya persatuan-persatuan anak muda yang
sedia ada gagal untuk menjadi main stream
dikalangan majoriti anak muda dan mahasiswa di atas
beberapa sebab yang relevan jika kita fikirkan.
Pertama cuba kita ambil contoh GPMS, Presidennya ialah
Dato Suhaimi Ibrahim seorang yang tidak lagi muda
tetapi memimpin organisasi orang muda. Ini tidak
memungkinkan untuk beliau memahami trend-trend terbaru
dikalangan anak muda. Jadi bagaimana kita nak harapkan
anak muda akan berpartisipasi dengan organisasi
seperti ini? Pemimpin-pemimpin ABIM, MBM dan Belia 4B
juga terdiri dikalangan orang-orang tua yang tidak
memahami jiwa anak-anak muda.
Kedua jika kita lihat persatuan-persatuan ini
seringkali ingin menerapkan budaya-budaya yang
membosankan dan berimej Mat Belia . Ini adalah
kerana majoriti pemimpin-pemimpin persatuan ini
terdiri daripada Mat Belia dan Mat Skema . Mat
Belia dan Mat Skema sudah tentu tidak akan memahami
permasalahan sebenar dan minat anak-anak muda. Ini
kerana mereka hidup dalam satu dunia yang lain
daripada mainstream masyarakat ramai.
Undang-undang dan akta-akta yang sedia ada tidak
memungkinkan untuk anak muda di kampus untuk
berpartisipasi secara aktif didalam masyarakat. Di
peringkat universiti Akta Universiti dan Kolej
Universiti ( AUKU ) tidak memungkinkan mahasiswa untuk
membentuk cara hidup dan trade mark mereka
sendiri. Akta anti anak muda ini juga tidak
memungkinkan mahasiswa untuk berpersatuan secara
bebas. Jadi luahan sebenar dan apa yang mereka
inginkan tidak dapat dilakukan di dalam kampus.
Universiti yang seharusnya menjadi gelanggang untuk
perdebatan ilmu dan tempat untuk menzahirkan
kreativiti telah berubah menjadi kilang yang
melahirkan graduan-graduan seperti robot yang hanya
akan berfungsi untuk memenuhi peluang pekerjaan. Jadi
jika peluang pekerjaan tidak ada maka ramailah yang
terpaksa membuka kebun anggur dan menjadi
penganggur terhormat.
Jadi, apa yang boleh dilakukan ?
Beberapa perkara harus dilakukan dengan segera untuk
memastikan system yang anti anak muda ini dapat
didobrak oleh kita ( baca : anak muda ). Perdana
Menteri kita yang baru iaitu Dato Seri Abdullah Ahmad
Badawi tidak dilihat akan melakukan sesuatu perubahan
ke atas masyarakat anak-anak muda. Beliau itu sendiri
merupakan bekas presiden Belia 4 B dan GPMS, sudah
tentu beliau akan memaksakan Hegemoni Mat Belia dan
Mat Skema dikalangan anak muda. Anak-anak muda
seharusnya ada inisiatif sendiri untuk menciptakan
dunia yang mereka idamkan. Contohilah anak muda yang
membangunkan underground scene untuk memenuhi
minat mereka terhadap muzik yang selain daripada
mainstream . Mereka ( baca: budak-budak underground )
berjaya membangunkan dunia yang di inginkan tanpa
campur tangan dan bantuan daripada mana-mana pihak.
Konsep DIY ( Do It Yourself ) adalah satu konsep yang
harus di contohi oleh kumpulan-kumpulan anak muda yang
lain.
Pelajar-pelajar universiti yang tidak berminat dengan
mainstream yang dikuasai oleh Mat Belia dan Mat Skema
bolehlah membangunkan dunia mereka sendiri. Tidak
perlu mengharapkan bantuan daripada kerajaan dan pihak
universiti. Jika berminat untuk bermotosikal bolehlah
menubuhkan kelab mereka sendiri contohnya seperti di
UPM terdapat kelab motorsikal yang ditubuhkan di atas
inisiatif mahasiswa sendiri yang dinamakan SETARA (
Kelab Motor Pelajar-Pelajar Selatan dan Utara ). Kelab
ini tidak di sponsor oleh mana-mana pihak. Mereka
mengumpulkan dana sendiri dan bergerak secara
independent dan tersusun. Kumpulan-kumpulan yang minat
dengan kesenian, kebudayaan, politik, filem,
kewartawanan dan lain-lain juga bolehlah mencontohi
seperti apa yang dilakukan oleh kelab SETARA di UPM.
Kita tidak seharusnya menjadikan tabu-tabu yang
diciptakan oleh system ini sebagai penghalang kepada
kreativiti dan minat. Kita harus mendobrak tabu-tabu
yang menjadi penghalang untuk kita berkembang maju.
Jangan sia-siakan bakat dan kreativiti yang ada.
Kitalah yang akan mewarisi dunia ini. Orang-orang tua
sememangnya tidak memahami kehendak dan cita rasa
kita. Merekalah yang menciptakan tabu-tabu yang anti
kepada anak muda. Belajar dari pengalaman mereka tidak
salah tetapi tak bermakna harus menjadi robot yang
diprogramkan oleh mereka. Lawan segala bentuk
cengkaman ini dengan membangunkan masyarakat anak muda
yang independent. Anak muda sememangnya mempunyai hak
untuk melakukan kesilapan kerana ianya merupakan
proses untuk pendewasaan fikiran. END.
( Amin Iskandar merupakan bekas mahasiswa UPM yang
terlibat aktif dengan Universiti Bangsar Utama dan
Bekas Presiden Kelab Motosikal Mahasiswa UPM. Beliau
sekarang ini adalah penulis bebas dan aktif di dalam
KUBU ( Kumpulan Kebudayaan UBU ).
|