|
Mengapa Mahasiswa Lesu?
Oleh Black
Kelompok mahasiswa adalah salah satu daripada sektor yang paling penting dalam menentukan hala tuju sesuatu masyarakat. Ini adalah kerana kelompok inilah yang benar-benar boleh meyakinkan rakyat tentang sesuatu permasalahan umum. Ini juga disebabkan kelompok mahasiswa merupakan golongan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik yang boleh dieksplotasi daripada masyarakat.
Pada tahun 1960-an sehingga 1970-an
menyaksikan kebangkitan para mahasiswa di seluruh dunia. Ketika itu
perjuangan menegakkan ideologi berlaku di mana-mana dan gerakan mahasiswa
telah memainkan peranan yang besar dalam membantu rakyat di medan
pertempuran melawan tirani. Sejarah telah membuktikan bahawa hanya apabila
kelompok mahasiswa dan kelompok buruh mula bekerjasama maka pembaharuan
yang dicita-citakan oleh semua masyarakat akan berjaya tercapai.
Di
Malaysia, sejarah kebangkitan kelompok mahasiswa bermula apabila gerakan
mahasiswa daripada Universiti Malaya pada tahun 1960-an sehingga 1970-an
telah berjaya menjadi "suara hati" kepada "rakyat marhaen"
pada ketika itu. Daripada isu "Hamid Tuah" sehinggalah "kebangkitan
rakyat Baling" yang kebuluran semuanya disokong penuh oleh gerakan
mahasiswa pada ketika itu. Pada masa itu nama-nama pemimpin mahasiswa
seperti Syed Hamid Ali, Nordin Selat, Sanusi Osman, Anwar Ibrahim,
Hishamuddin Rais dan Ibrahim Ali begitu lantang menyuarakan bantahan
terhadap penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah kepada
rakyat bawahan.
Selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
pindaan 1975 dipinda semula, gerakan mahasiswa Malaysia sudah mula
memperlihatkan kemerosotan dalam kepekaan mereka terhadap permasalahan
yang menyelubungi rakyat dan sehinggalah ke hari ini. Ketika ini gerakan
mahasiswa di Malaysia kelihatan sudah pun berkubur. Mahasiswa di Malaysia
pada hari ini sudah tidak lagi mempunyai idealisme yang tinggi disebabkan
AUKU telah membantutkan idealisme dan ideologi mereka untuk berkembang.
Mahasiswa di Malaysia pada hari ini tidak lagi seperti abang-abang dan
kakak-kakak mereka pada masa sebelum 1980. Walaupun pada hakikatnya ramai
mahasiswa di Malaysia memperoleh kecemerlangan yang tinggi dalam bidang
akademik, namun kecemerlangan akademik tidak boleh menjamin sepenuhnya
mereka menjadi pemimpin yang berwibawa dan berkaliber tanpa idealisme
serta ideologi yang bernas.
Mengapa mahasiswa lesu? Walaupun isu ini sudah diperdebatkan
secara hangat sejak tahun 1980-an lagi, namun masalah ini masih lagi tidak
dapat diatasi. Ini membuktikan bahawa isu ini masih lagi relevan untuk
dibincangkan dan dibahaskan pada ketika ini. Terdapat banyak faktor yang
telah menyebabkan gerakan mahasiswa menjadi begitu lemah sehinggakan ia
sudah macam tidak berfungsi lagi untuk menjadi "pressure group"
dalam masyarakat pada ketika ini. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)
dikatakan menjadi penyumbang utama kepada masalah ini.
Peranan Universiti sebagai pusat untuk mencari ilmu dan kebenaran
telah bertukar menjadi kilang yang mengeluarkan produk untuk dijual kepada
pasaran. Mahasiswa telah menjadi produk yang dikeluarkan oleh pihak HEP
(Hal Ehwal Pelajar) kerana semua kegiatan mahasiswa di dalam dan di luar
kampus semuanya perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu oleh pihak HEP
sebelum dijalankan. Mahasiswa sudah tidak dibenarkan lagi untuk mengambil
tahu atau terlibat dengan politik luar kampus. Mahasiswa juga sudah tidak
bebas lagi untuk berpersatuan. Mahasiswa tidak lagi dibenarkan untuk
mempunyai dana sendiri dan semua kegiatan perlu diteliti terlebih dahulu
sebelum dibenarkan untuk dijalankan. Sekiranya undang-undang ini tidak
dipatuhi, maka mahasiswa yang terlibat boleh digantung pengajiannya atau
dibuang daripada kampus. Maknanya di sini ialah "Autonomi Kampus"
sudah tidak ada lagi.
Kebebasan akademik sudah dicabut oleh pihak
"establishment" yang sememangnya akan tergugat jikalau kelompok
ini dibiarkan bebas menyatakan pandangan mereka secara terbuka kepada
masyarakat umum. Hishamuddin Rais bekas aktivis mahasiswa 1974 apabila
ditanya oleh wartawan media cetak tentang mengapa mahasiswa pada ketika
ini begitu lemah dan lesu, berkata "mahasiswa pada ketika ini menjadi
lemah dan lesu kerana pimpinan-pimpinan mahasiswa kebanyakkannya telah
menjadi alat dan catur kepada parti-parti politik luar kampus tidak kira
parti politik pemerintah mahupun parti politik pembangkang" Mahasiswa
pada hari ini sudah tidak lagi bersifat independen. Mahasiswa di dalam
kampus bermula pada sekitar tahun 1980an hanyalah menjadi catur kepada
UMNO dan PAS. Pertembungan di antara kedua parti politik Melayu yang
terbesar ini telah menjadi penyumbang terbesar kepada kelemahan gerakan
mahasiswa ketika ini.
Walaupun negara Malaysia ini mempunyai
pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan, namun pada
hakikatnya perpaduan di antara kaum masih lagi berada dalam keadaan yang
parah. Pemerhatian dan pemantauan yang dilakukan oleh pelbagai pihak telah
menunjukkan bahawa di dalam mana-mana kampus pada ketika ini perpaduan d
iantara kaum memang sudah berada dalam keadaan bahaya. Mereka (Mahasiswa)
pada ketika ini sudah tidak lagi bercampur-gaul di antara satu sama lain.
Sebab itulah kalau ada pun kelompok mahasiswa yang menyokong rakyat untuk
menuntut pembaharuan masih lagi gagal untuk melaksanakan tugas mereka.
Jikalau ada sebuah gerakan pelajar yang melibatkan semua mahasiswa
berbilang kaum sudah tentu ia akan memberikan impak yang lebih besar
kepada masyarakat. Masalah ini timbul kesan daripada strategi pecah
perintah di dalam Dasar Pendidikan Negara yang telah lama diamalkan oleh
kerajaan Barisan Nasional.
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)
yang diharamkan pada tahun 1970-an telah membuktikan bahawa persatuan
mahasiswa yang mempunyai ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum lebih
gagah dan kuat berbanding dengan persatuan mahasiswa yang hanya terdiri
daripada satu kaum sahaja. Sebab itu pihak pemerintah yang sudah sedar
tentang perkara ini telah mengambil langkah-langkah yang patut dilakukan
bagi memastikan mahasiswa di dalam kampus pada ketika ini tidak lagi
bersatu supaya mereka tidak menjadi sebuah "pressure force" yang
kuat. Beban akademik juga memainkan peranan yang besar dalam lemahnya
gerakan mahasiswa pada ketika ini. Tugasan dan peperiksaan sering
menyebabkan mahasiswa tidak mampu untuk memberikan komitmen terhadap
perkara-perkara lain. Langkah kerajaan untuk menyingkatkan tempoh
pembelajaran mahasiswa yang mengambil kursus ijazah daripada 4 tahun
kepada 3 tahun juga telah menyebabkan bebanan akademik kepada mahasiswa
semakin meningkat. Majoriti mahasiswa pada ketika ini semuanya berhempas
pulas untuk menamatkan pengajian mereka dengan segera. Tidak dinafikan
juga kalau ada pihak yang mengatakan bahawa budaya hedonisme yang hanya
mementingkan hiburan semata-mata telah berjaya mempengaruhi mejoriti besar
mahasiswa pada hari ini. Selepas selesai menghadapi tekanan daripada beban
akademik yang memang melelahkan dan memenatkan, mereka lebih gemar
menghabiskan masa untuk berhibur daripada memikirkan atau membahaskan
permasalahan yang timbul dalam masyarakat. Mahasiswa progressif yang sedar tentang
bahayanya keadaan pada ketika ini harus mengambil tindakan radikal bagi
menyelesaikan masalah ini. Diskusi kelompok seharusnya sudah boleh
dimulakan dari sekarang supaya idea-idea yang bernas dan progresif dapat
diperdebatkan oleh para mahasiswa supaya ia boleh terus dipraktikkan bagi
menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada rakyat yang telah mengorbankan
kederat mereka untuk memastikan universiti dapat dibina untuk melahirkan
generasi pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa akan
datang.
|