Mahasiswa Bangun!


Oleh Aktivis Pelajar

Mahasiswa adalah tenaga aktif kaum muda. Kemampuan berfikir dan kesedaran pendidikan yang dipelajari di universiti seharusnya dapat menjadi sumber penggerak yang dapat memajukan masyarakat. Tetapi malangnya bagi mahasiswa hari ini tidak banyak yang telah dilakukan. Mahasiswa terperangkap dengan apa yang dikatakan sebagai "aktivisme kampus". Hal ini memang ada baiknya tetapi sudah tiba saat dan ketikanya untuk mahasiswa melepaskan diri daripada belenggu perangkap "aktivisme". Tidak salah beraktiviti tetapi kita perlu membuat penilaian semula sebesar manakah ianya dapat memberi sumbangan buat berlakunya suatu perubahan? Apakah sambutan hari terbuka kolej yang dirayakan saban tahun itu dapat memberi sumbangan besar terhadap ketamadunan masyarakat?


Sebagai seorang anak muda yang mendapat kesempatan belajar di institusi pengajian tinggi (atau bahasa sombongnya menara gading)-kita perlu peka terhadap keadaan sekeliling. Bukalah mata dan celikkanlah dada. Sedarkah kita dengan permasalahan sistem pendidikan yang kita hadapi? Sedarkah kita bahawa masyarakat diluar kampus hari ini amat memerlukan sumbangan tenaga dan fikiran kita? Kita tidak perlu menyerahkan nasib kita kepada orang luar untuk menentukan arah dan halatuju yang hendak dicapai. Masalah dalam kampus-aspek kebajikan sosial mahasiswa yang terbiar; skim biaya pelajaran yang menindas; sistem akademik yang tidak menyebelahi para pelajar; HEP dan AUKU yang menyekat kebebasan bersuara dan berpersatuan untuk mahasiswa. Ini adalah antara perkara-perkara yang kerap kali dilaungkan dan diperjuangkan oleh parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di luar sana. Adalah menjadi suatu perkara yang memalukan apabila kita tidak mampu menyuarakan hak kita sendiri! Kita kelihatan begitu lemah tidak berdaya dalam bertindak untuk menyelesaikan permasalahan kita sendiri! Mahasiswa adalah jambatan penghubung kepada isu-isu dan permasalahan rakyat. Ini kerana tenaga muda mahasiswa dapat dilihat sebagai neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak atau golongan.

Kita berada dalam usia kemudaan yang dipandang masyarakat sebagai jujur dan naif daripada permainan kotor politik. Cubalah kita imbau kembali kekuatan mahasiswa pada suatu masa dahulu. Pada awal 1970-an, mahasiswa telah turun membela nasib kaum tani yang dirampas tanahnya di Teluk Gong. Kemuncaknya pada tahun 1974 apabila mahasiswa menjadi pembela kepada tindakan zalim terhadap rakyat miskin kota yang dirobohkan rumahnya di Tasik Utara. Dan yang paling tidak dilupakan adalah tindakan pembelaan mahasiswa yang turun berdemonstrasi untuk kaum tani Baling yang dilanda masalah kemiskinan. Tetapi ini adalah nostalgia lampau yang tinggal menjadi sejarah betapa kekuatan mahasiswa yang digalang dapat memberi sumbangan besar terhadap nasib rakyat tertindas.

Hari ini bukan tidak wujud kemiskinan. Hari ini bukan tidak wujud kebobrokan sistem sosial. Malahan hari ini rakyat telah turun berjuang menuntut reformasi terhadap sistem bernegara yang semakin lama menjadi semakin menindas dan bersifat kuku besi. Memang kelihatannya negara hari ini makmur dan aman. Tetapi pergilah ke desa-desa, ladang-ladang ataupun rakyat setinggan di pinggir kota. Pasti jelas terlihat jurang besar antara si kaya dan si miskin. Dengan sistem kroni kapitalisme (pengumpulan modal dan kekayaan hanya kepada golongan politik tertentu) rakyat biasa tidak mendapat pengagihan ekonomi yang adil. Projek penswastaan hanya menambahkan lagi beban rakyat. Daripada sistem pendidikan, pengangkutan, air dan elektrik hinggalah kepada sistem kesihatan semuanya diswastakan untuk keuntungan pihak politik berkepentingan sahaja. Apakah kita sedar terhadap apa yang berlaku dalam sistem pemerintahan kita.

Tidakkah kita nampak bagaimana sistem kehakiman di cabul, kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun disekat; instrumen kerajaan disalahgunakan; rasuah berleluasa? Pada saat rakyat berdemonstrasi di jalan raya menuntut reformasi sistem bernegara adakah kita sedar dan terbit rasa insaf apabila melihat rakyat dipukul aparatus keamanan-polis yang bertindak ganas dan kejam? Tidak timbulkah perasaan simpati apabila melihat harga kebebasan yang perlu dibayar oleh rakyat adalah dengan darah! Ini adalah masanya untuk kita kaum mahasiswa membuat pilihan. Kita tidak lagi boleh mementingkan diri kita sendiri. Kita perlu membuat reformasi dalam diri kita sendiri.

Memang benar pendidikan adalah salah satu cara untuk membuat perubahan. Tetapi ia hanya dalam jarak dan ruang lingkup diri kita dan mungkin keluarga kita sendiri. Contohnya jika kita datang dari latar belakang keluarga yang susah, dengan mempunyai pendidikan nasib kita dan status keluarga kita sahaja akan berubah. Tetapi bagaimana dengan nasib ribuan keluarga susah yang lain; yang tidak mendapat peluang dan kemudahan yang sama. Proses pendidikan yang sebenarnya ialah apabila nasib keseluruhan masyarakat dapat di rubah. Bagi mereka yang latar belakang keluarganya dari kalangan berada; kita tidak boleh duduk lalai dan hanya mementingkan keseronokan semata-mata. Tidak salah untuk berseronok dan bersenang-lenang tetapi tunjukanlah rasa tanggungjawab kita terhadap masyarakat, negara dan sesama kawan mahasiswa. Kita perlu memikirkan nasib adik-adik dan generasi mendatang. Apakah kita mahu mereka mengalami dan melalui pengalaman yang sama? Memang benar dalam hal ini sebenarnya kita memerlukan pengorbanan. Tetapi percayalah bahawa pengorbanan ini akan dihargai.

Kita janganlah terlalu asyik menuding jari menyalahkan AUKU. Hanya kerana AUKU kita tidak dapat bergerak. Jika kita sudah jelas dan terang terhadap agenda yang hendak diperjuangkan, AUKU bukanlah suatu yang penting lagi. AUKU bukanlah seekor raksasa yang boleh membunuh. Ia tidak akan mampu melawan tenaga dan kekuatan perlawanan mahasiswa. AUKU hanyalah berhala yang diciptakan pemerintah untuk menakut-nakutkan kita. Ini adalah saatnya untuk kaum mahasiswa mencabar AUKU! Ini adalah ketikanya untuk mahasiswa mengenepikan kepentingan peribadi! Ini adalah masanya untuk mahasiswa melakukan REFORMASI.

1
Hosted by www.Geocities.ws

1