
Pada akhir tahun 1958, Kementerian
Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai
Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga berkenaan ialah bunga raya, bunga
kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan
bunga tanjung.
Untuk memilih bunga mana yang diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, satu
kajian telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan
reaksi orang ramai. Kajian ini dijalankan oleh unit-unit bergerak
Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia.
Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih
bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.
Walau bagaimanapun akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk memilih
bunga raya berdasarkan kriteria bunga raya yang sudah terkenal di
seluruh negara, warna dan bentuk yang menarik, nama panggilan yang sama
di seluruh negara, mudah didapati di seluruh negara, dan yang paling
penting ia bukan menjadi Bunga Kebangsaan mana-mana negara lain di
dunia ketika itu.
Berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, pada 28 Julai 1960, Perdana
Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga
raya sebagai Bunga Kebangsaan. Hari ini, pemilihan bunga raya sebagai
Bunga Kebangsaan kelihatan begitu tepat kerana lima kelopak yang ada
padanya melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara dan bunga ini
juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan.