Tanggapan
Diri Positif
www.laman-map.com
by
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Kita tidak boleh
mengubah sesuatu yang telah berlaku tetapi kita boleh mengubah tanggapan
dan cara fikir kita terhadap sesuatu itu. Perubahan tanggapan perlu
dibuat bagi meletakkan diri kita pada situasi yang menguntungkan diri
kita sendiri.
Kejayaan adalah
satu pilihan hidup. Ia bukan sekadar takdir dan jauh sekali berdasarkan
nasib semata-mata. Kebolehan seseorang mengharungi cabaran hidup, menyelesaikan
masalah, dan mengawal emosinya banyak bergantung kepada tanggapan yang
wujud dalam pemikirannya.
Sekiranya tanggapan
itu positif maka baiklah natijahnya. Kalau tanggapan itu negatif maka
buruklah pula hasilnya.
Bagaimana tanggapan
ini terbentuk? Bolehkah ia diubah? Persoalan ini sering memeningkan
kepala mereka yang bukan ahlinya.Tanggapan terbentuk hasil daripada
acuan ibu bapa sendiri. Pengalaman lampau, peristiwa penting, pergaulan,
bahan-bahan bacaan, media serta idola juga membentuk tanggapan dalam
diri kita. Apa yang kita percaya dan yakin sebagai benar akan membentuk
pegangan hidup kita dan seterusnya menjadi sumber rujukan kita apabila
berlakunya sesuatu peristiwa.
Kerap kali kita
berkata, "orang itu tak boleh dipercayai", semata-mata kerana
kita mengenali seseorang sebelumnya, yang mirip atau seiras dengan orang
itu, yang pernah membohongi kita.
Tanggapan sebegini
hanya merugikan kita dan memerangkap diri sendiri.Tanggapan kita terhadap
kebolehan diri kita seringkali tersasar. Kita menilai diri kita berdasarkan
hanya tanggapan dan bukannya kebolehan diri sebenar yang ada.
Tanggapan ini
pula merujuk kepada peristiwa lampau dalam sejarah hidup kita. Misalnya,
kalau kita diminta memberikan pidato umum, kita mungkin menolaknya dan
memberikan seribu alasan semata-mata kerana dulunya kita pernah ditertawakan
kerana pidato yang tidak menjadi.
Sebaliknya, kalau
kita tidak pernah langsung berpidato, kita merujuk kepada pengalaman
rakan yang ditertawakan dan menggambarkannya sebagai diri kita sendiri.
Kenapa tidak
pelajari pengalaman mereka yang berjaya? Dapatkan idola dalam setiap
bidang yang mahu diceburi. Misalnya, berani macam Anwar Ibrahim, bijak
dan berwawasan macam Dr. Mahathir Mohamad, baik pekerti dan takwa macam
Nik Aziz.
Dengan gabungan
beberapa individu di atas pastinya kita bakal menjadi orang yang jauh
lebih baik. Dan sebaik-baik idola itu ialah junjungan besar kita iaitu
Nabi Muhammad s.a.w.Minda manusia ibarat sebidang tanah. Apa yang disemai
itulah yang dituai. Kalau kita sentiasa terdedah dengan unsur-unsur
yang baik, bergaul dengan mereka yang berjaya, hidup dalam persekitaran
yang membina. Pastinya tanggapan kita terhadap kebolehan diri kita mirip
kepada kecemerlangan.
Jadi
semailah padi agar yang dituai nanti padi. Jangan semai lalang nanti
yang tumbuh nanti juga lalang..
[
Back ] [ Page 1 ]