Bagaimana
Melakukan Percambahan Minda (Brainstorming)?
www.laman-map.com
by
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Tidak ada masalah
tanpa penyelesaian. Lagi cepat anda selesaikan sesuatu masalah lagi
produktiflah diri anda. Ada ketikanya sesuatu masalah itu terlalu mencabar
fikiran dan menggugat perasaan. Ada ketikanya pula fikiran anda buntu
mencari penyelesaian. Walau apa pun hasil yang anda perolehi dari proses
percambahan minda, ia tetap sesuatu yang berfaedah. Meskipun ide yang
dilaksanakan itu gagal, anda sekurang-kurangnya memperolehi pengalaman
baru.
Anda tahu apa
yang tidak sepatutnya dilakukan. Thomas Alva Edison sendiri mencipta
lampu setelah mencuba lebih 12,000 kali. Beliau tidak pernah menganggap
dirinya gagal, tetapi beliau mengatakan yang beliau mempelajari 12,000
jalan yang tidak boleh menyalakan lampu sebelum menemui satu jalan yang
membuahkan hasil.
Anda perlu bijak
membuat keputusan agar kegagalan tidak membabitkan harga yang terlalu
tinggi. Anda juga perlu berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan melakukan
perubahan. Pastikan keberanian anda berdasarkan risiko yang telah diambil
kira atau "calculated risk".
Sekiranya proses
percambahan minda dijalankan dengan baik, ia akan membantu anda dengan
pelbagai ide baru. Ia juga akan membantu anda membuat satu keputusan
yang bijak dalam menangani sesuatu masalah. Meskipun percambahan minda
boleh dilakukan seorang diri, namun ia akan lebih berkesan sekiranya
dapat dijalankan dalam satu kumpulan, dan dalam persekitaran yang tenang.
Langkah Percambahan
Minda
Kenalpasti masalah.
Masalah tidak semestinya negatif. Ada ketikanya masalah anda ialah bagaimana
untuk meningkatkan produktiviti syarikat anda. Ada ketikanya pula masalah
anda ialah bagaimana untuk mencipta sesuatu yang baru, atau memperbaiki
sesuatu yang sedia ada. Tuliskan masalah yang mahu diatasi itu dengan
jelas, difahami, dan dipersetujui oleh semua individu.
Sediakan soalan-soalan.
Dapatkan sekurang-kurangnya satu soalan dari setiap individu tetapi
dorong mereka untuk menghasilkan lebih banyak soalan-soalan. Jangan
menilai kualiti soalan tersebut dan tidak mengkritik mereka yang mengeluarkan
soalan. Setkan satu peraturan misalnya, 'SEMUA IDE ADALAH BETUL' pada
peringkat awal proses percambahan minda ini. Lagi banyak soalan yang
boleh diwujudkan maka lebih banyak juga ide yang akan dikeluarkan kelak.
Gunakan tujuh perkataan asas untuk membina soalan iaitu Apa? Siapa?
Bila? Kenapa? Berapa? Dimana? Bagaimana?
Tetapkan had
masa. Proses mendapat soalan ini mungkin akan berpanjangan, oleh itu
tetapkan had masa untuk tujuan tersebut. Misalnya 20 - 25 minit. Ada
ketikanya mengambil rehat yang pendek 10-15 minit selepas semua soalan
dilontarkan membolehkan setiap individu menjadi lebih produktif. Sekurang-kurangnya
ia memberi peluang kepada otak kanan mencernakan setiap soalan dan mengilhamkan
sesuatu penyelesaian yang bernas.
Dapatkan ide-ide.
Tanyakan setiap individu ide yang mereka ada untuk masalah yang sedang
dibincangkan. Mereka boleh, sama ada mahu atau tidak, berpandukan kepada
soalan-soalan yang telah ada bagi mencari ide. Setiap ide mestilah diterima
tanpa dinilai. Tidak wujud sama ada betul atau salah. Tanyakan setiap
individu hanya satu ide sahaja dalam setiap pusingan. Kalau seseorang
tidak punya ide, terus tanyakan orang lain. Jangan tunggu mereka yang
masih buntu, jangan buang masa. Tinggalkan mereka yang masih tidak punya
ide untuk membolehkan mereka terus berfikir. Kembali semula kepada mereka
kemudiannya. Tidak kira walau bagaimana dungu sekalipun ide yang diberi,
ia mesti dicatatkan. Ada ketikanya ide yang bernas keluar hanya setelah
anda mengeluarkan ide yang bukan-bukan. Manusia akan berhenti mengeluarkan
ide sekiranya mereka dikritik, dimalukan atau apabila ide mereka tidak
dihargai. Pastikan semua individu faham bahawa melakukan kesilapan itu
bukan bererti lemah. Mengeluarkan ide yang tidak munasabah itu bukan
beerti bodoh.
Tetapkan masa.
Proses mencari ide ini juga perlu dihadkan masanya. Misalnya 30 minit.
Penetapan had masa bergantung kepada sejauh mana pentingnya sesuatu
perkara yang sedang dibincangkan. Anda mungkin perlukan masa yang lebih
lama sekiranya masalah yang timbul adalah sesuatu yang kritikal dan
anda tidak mahu menanggung risiko yang tinggi.
Pemilihan. Anda
perlu memilih setiap ide yang telah diberikan. Bahagikan setiap ide
kepada tiga kumpulan iaitu ide yang bernas, ide yang boleh diterima
tetapi bukanlah bernas sangat dan ide yang tidak memenuhi kriteria.
Kriteria yang digunakan mungkin berdasarkan soalan seperti, "Adakah
ia kos efektif?", "Adakah ia memenuhi undang-undang dan permit?",
Adakah ia boleh disiapkan sebelum tarikh 30 Oktober 1999?". Rekodkan
semua ide ini dalam ketiga-tiga kategori tersebut.
Penilaian. Berikan
setiap ide yang bernas itu markah 0 - 5. 5 adalah merupakan ide yang
mendapat markah yang terbaik bergantung kepada kesesuaiannya memenuhi
setiap kriteria yang diperlukan. Kumpulkan markah yang diberikan oleh
setiap individu. Tambahkan kesemua markah-markah ini. Mana-mana ide
yang mendapat markah yang tinggi maka itulah penyelesaian terbaik kepada
masalah yang sedang dihadapi. Namun begitu, ada ketikanya ide yang bernas
ini tidak mampu memberikan hasil yang diharapkan. Oleh itu anda perlu
fleksibel dalam perancangan dan tindakan. Anda boleh cuba ide-ide yang
lain yang terdapat dala sdenarai ide bernas, atau ide yang boleh diterima.
Ingat! tiada kegagalan dalam tindakan. Yang ada hanyalah HASIL. Sekiranya
hasil yang diperolehi tidak menepati matlamat maka lakukanlah perubahan
dalam perancangan dan tindakan anda.
Sekian.
[
Back ] [ Page 1 ]