Prinsip-prinsip
Kejayaan. (Bahagian 2)
www.laman-map.com
by
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Persistensi
(persistency) adalah suatu sikap tidak mudah mengalah terhadap sebarang
halangan, dugaan, cabaran dan masalah dalam merealisasikan sesuatu matlamat.
Kejayaan sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai. Kalau ia
sesuatu yang mudah maka pastilah tiada manusia gagal. Sedangkan kajian
menunjukkan 95% daripada manusia, selepas usia 55 tahun hanya hidup
bergantung kepada duit pencen. Itu bagi yang bekerja kerajaan. Jauh
sekali mereka ketika itu mencapai tahap yang boleh dikatakan "financially
independent".
Begitu juga dengan pelajar, kajian menunjukkan setiap tahun hanya 13%
- 14% pelajar yang mampu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian
tinggi. Bagi yang kini berada di institusi pengajian tinggi pula, 80%
daripada mereka menamatkan pengajian setakat ijazah kelas kedua atau
ketiga. Fenomena di atas jelas menunjukkan ramai manusia gagal mencapai
yang terbaik kerana cepat berpuashati dengan pencapaian mereka. Ada
sesetengahnya cuba melakukan lebih jauh tetapi akhirnya merasa kecewa
hanya setelah beberapa kali sahaja mencuba. Saya teringat baris kata-kata
yang pernah saya terbaca dahulu, "When the going gets tough, the
tough get going", dan satu lagi, "Quitters never win and winners
never quit". Kata-kata ini telah sekian lama saya sematkan dalam
hati saya dan dijadikan azimat bagi meraih kekuatan setiap kali berhadapan
dengan cabaran atau ketika berada diambang kegagalan.
Dengan
sikap persistensi yang tinggi sesiapa sahaja boleh berjaya. Hanya faktor
masa sahaja menjadi penentu kejayaan itu. Cuba kita lihat bagaimana
persistennya Nabi Muhammad s.a.w dalam mengembangkan agama Allah dizaman
jahiliyah dahulu hingga terbentuknya sebuah negara Islam yang digeruni
lawan dan dihormati. Tidak seperti rasul-rasul sebelumnya, Nabi Muhammad
s.a.w mengembangkan Islam tanpa bergantung kepada mukjizat yang mencarik
adat selain daripada Al-Quran. Baginda memulakan syiarnya ketika berusia
40 tahun setelah menerima wahyu pertama. Hanya kerana mahu membawa masyarakatnya
beriman kepada Allah, baginda telah diejek, dicemuh, dilontar dengan
batu. Pengikut-pengikutnya diseksa. Keluarga mereka didera dan dihina.
Semuanya
ini sedikitpun tidak menjejaskan kemahuan baginda untuk melihat Islam
tegak dibumi Allah ini. 13 tahun dimekah dan 10 tahun di Madinah adalah
satu masa yang bukan pendek. Sikap persistensi sebeginilah yang perlu
ada sekiranya seseorang itu mahukan kejayaan. Nabi Muhammad s.a.w dan
para sahabatnya membuktikan bahawa kebolehan seorang manusia cukup luar
biasa dan mampu menggoncang dunia selagi tidak lari dari matlamat perjuangan,
rela berkorban dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya. Kenapa
mesti berjuang 23 tahun sedangkan Allah boleh sahaja memberikan kemenangan
mudah kepada rasulnya? Sebabnya untuk manusia selepas itu menjadikan
kehidupan dan perjuangan itu suatu tauladan.
Salah satu darinya ialah sikap gigih dan tidak putus asa dari mengharap
kemenangan dari Allah.Seorang jurujual berjaya cukup faham dengan teori
persistensi ini. Fikiran mereka telah diprogramkan bahawa untuk melakukan
satu jualan yang berjaya mereka perlu menemui 10 orang pelanggan berpotensi.
Dengan fahaman matematik yang cukup mudah ini mereka berusaha tanpa
kenal erti jemu. Setelah satu kegagalan mereka merasa lebih gembira
kerana mereka cuma tinggal 9 orang lagi sebelum mendapat kejayaan. Mereka
terus berusaha dan kejayaan jualan pertama itu mungkin terletak pada
cubaan yang ke-5, ke-7 atau ke-10. Meski pun mereka gagal membuat jualan
dalam 10 cubaaan pertama, mereka tetap tidak putus asa.
Sebab
kemungkinan pula dalam cubaan ke-11 atau ke-12 kejayaan mula menjelma.
Sejarah memang membuktikan bahawa hampir semua nama-nama besar dan terkenal
adalah mereka yang mencipta sejarah setelah mencuba ribuan kali. Edison
mencipta lampu setelah berusaha lebih 10,000 kali. Kolonel Sanders cipta
kejayaan dengan resepi ayam gorengnya setelah mencuba 1009 kali. Nelson
Mandela menjadi presiden Afrika Selatan setelah dipenjarakan hampir
sesuku abad. Goodyear mencuba hampir 10 tahun sebelum menemui kaedah
untuk mengkomersilkan getah. Boon Siew, walau pun tidak tahu membaca
dan menulis mampu menjadi jutawan dan memberikan peluang pekerjaan kepada
ribuan pekerja hanya kerana persistensinya.
Kalau telah jelas, dari kisah-kisah di atas, bahawa persistensi adalah
senjata utama menuju kemenangan maka kenapa pula anda perlu cepat putus
asa? Dalam kehidupan ini kegagalan adalah pengalaman bagi mereka yang
persisten tetapi sebaliknya adalah kematian bagi mereka yang putus asa.
Kalau anda seorang pelajar, kini soallah diri anda sendiri, adakah anda
telah mencuba ribuan kali untuk menyelesaikan satu soalan matematik
atau sains yang mencabar?
Ratusan
kali? Puluhan kali? Jawapannya pastinya tidakk... anda cuma mencuba
beberapa kali dan akhirnya putus asa. Kalau inilah cara anda bagaimana
mampu anda letakkan nama anda sebaris dengan mereka yang telah berjaya?
Air yang menitik secara berterusan itu mampu menghakis batu. Parang
yang diasah secara berterusan itu akan tajam. Begitulah juga dengan
diri manusia. Oleh itu jangan putus asa dalam usaha. Anda tidak boleh
gagal walau atas alasan apa sekalipun. Jadikan setiap kegagalan itu
satu pengajaran untuk memperbaiki diri, untuk mengubah perancangan,
untuk lebih fleksibel dan lambat laun kejayaan itu milik anda kerana
kuasa persistensi yang ada dalam diri.
Sekian.
[
Back ] [ Page 1 ]