Prinsip-prinsip
Kejayaan. (Bahagian 1)
www.laman-map.com
by
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Kejayaan
bukanlah suatu misteri yang tidak terungkap. Ia perlu bermula dalam
fikiran sebelum ia menjadi kenyataan. Terdapat tiga perkara penting
yang perlu diketahui sebelum sesuatu kejayaan itu mampu direalisasikan.
Bertanggung
jawab sepenuhnya. Yang pertama, anda perlu bertanggungjawab sepenuhnya
terhadap siapa anda, apa yang anda capai dan dimana anda berada hari
ini. Anda perlu menerimanya, walaupun pahit, tanpa menyalahkan orang
lain dan persekitaran. Sekiranya anda tidak mencapai apa yang anda inginkan
maka andalah yang bersalah, kalau bukan anda maka siapa lagi?
Maknanya
kalau anda tidak mengawal haluan hidup anda maka orang lain akan menggunakan
segala kebolehan dan potensi yang ada pada diri anda. Hanya dengan anda
mengakui hakikat yang penting ini, maka barulah anda boleh menjelajah
kehidupan ini dengan lebih berkeyakinan.
Anda
tahu yang anda punya pilihan lain, selain dari apa yang anda lakukan
setiap hari. Ingat, "Hanya anda sahaja yang boleh mengubah hidup
anda, bukan orang lain".Mari kita tinjau bagaimana Kolonel Sanders,
orang yang mencipta resepi ayam goreng Kentucky Fried Chicken mencipta
nama dan kejayaan. Kol. Sanders bersara pada usia 65 tahun. Ketika menerima
duit pencen pertamanya, Kol. Sanders merasa cukup kecewa.
Beliau tidak menyalahkan orang lain kecuali dirinya terhadap jumlah
kecil yang diperolehinya. Beliau seterusnya memutuskan untuk memajukan
resepi ayam goreng milik keluarganya kepada sebuah restoran. Malangnya,
hasrat beliau ditolak.
Adakah
beliau berputus asa?? Tidakkk... beliau terus mengubah resepinya dan
berjumpa dengan lebih ramai orang... orang ke-10 kata tidakk.... orang
ke-100 kata tidakkkk... orang ke-1000 juga kata tidakkk... Tetapi orang
ke-1008 kata ... "YA..RESEPI ANDA BAGUS". Sembilan tahun kemudian,
setelah bisnesnya maju, Kol. Sanders telah menjual bisnesnya dengan
harga US$2,000,000.
Itulah ganjarannya bagi orang yang gigih dan sabar. Ganjaran bagi mereka
yang mula mengubah haluan hidup setelah menyedari bahawa dialah yang
bertanggung jawab atas siapa dirinya hari ini; dan dialah juga yang
bertanggung jawab untuk memperbaiki pencapaiannya. Tanpa ciri-ciri ini
Kol. Sanders mungkin merasa cukup sekadar menerima habuan pencen bulanan
semata-mata.
Anda
juga pasti mahukan kejayaan. Adakah anda telah berusaha ribuan kali
seperti cerita Kolonel Sanders di atas??? Jauh panggang dari api. Ramai
pelajar sekolah yang apabila menyelesaikan masalah matematik, sains
dan lain-lain yang agak susah, hanya mencubanya setakat beberapa kali
sahaja. Tidak sampai pun 10 kali.
Inikah
cara usaha anda yang impikan kejayaan? Ingatlah setiap masalah itu datang
dengannya penyelesaian. Setiap cabaran itu datang dengannya habuan dan
pulangannya. Teruslah berusaha... bukan setakat sekali, sepuluh kali..malah
ratusan dan ribuan kali...
Sedikit
perbezaan membawa hasil besar. Yang kedua, untuk mendapat sepuluh kali
ganda kejayaan daripada orang lain bukanlah bermakna anda perlu sepuluh
kali lebih gigih, lebih kuat atau lebih bijak dari mereka. Anda hanya
perlu berbeza sedikit daripada mereka sekeliling anda.
Berbeza
cara fikir, berbeza cara bertindak dan berbeza dalam menerima kenyataan
hidup. Fokuskan minda anda untuk lebih baik sedikit daripada manusia
biasa. Ini membolehkan anda memperolehi pencapaian yang luarbiasa, yang
tidak terfikir oleh manusia biasa.
Cuba perhatikan peristiwa dibawah ini. Dalam satu perlumbaan kuda, kuda
yang memenangi tempat pertama akan mendapat wang tunai RM100,000 ringgit.
Kuda ditempat kedua pula mendapat RM20,000 ringgit. Kuda ditempat pertama
mendapat ganjaran lima kali ganda lebih besar dari kuda yang kedua.
Adakah ini juga bermakna kuda pertama 5 kali ganda lebih laju dari kuda
yang kedua? Atau kuda pertama berlatih 5 kali ganda lebih bersungguh-sungguh
dari kuda kedua?
Atau
kuda yang pertama ditunggangi oleh orang yang 5 kali lebih mahir dari
kuda yang kedua? Jawapannya pasti sahaja TIDAK. Kuda pertama mungkin
mendahului kuda kedua sekadar satu langkah sahaja ke garisan penamat.
Ada ketikanya rakaman video perlu dilihat untuk menentukan pemenang.
Mungkin kuda pertama mendahului seinci sahaja dari kuda kedua. tetapi
seinci ini memberikan pulangan 5 kali ganda lebih besar!
Begitulah
juga dalam hidup ini. Anda perlu berusaha lebih sedikit dari orang sekeliling
anda untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Persepsi membentuk diri. Yang
ketiga ialah persepsi anda. Iaitu bagaimana anda melihat sesuatu yang
berlaku terhadap anda dan disekeliling anda. Kehidupan bukanlah nasib
tetapi lebih kepada pilihan.
Anda
boleh memilih untuk senang atau susah. Apabila anda memilih untuk hidup
senang, dan sanggup berkorban untuk kesenangan maka tiada sesiapa pun
yang boleh menghalang kehendak anda. Persepsi anda terhadap sesuatu
natijah pastinya mempengaruhi emosi anda.
Seterusnya
ia akan mempengaruhi tindakan anda dan seterusnya pula menentukan hasil
iaitu natijah dari tindakan tersebut. Turutan ini boleh dilihat dalam
carta alir dibawah. Dalam rajah ini, emosi anda terhadap apa sahaja
yang berlaku terhadap anda bergantung kepada cara fikir yang terbentuk
secara spontan. Apa perasaan anda apabila rakan anda tidak menunaikan
janjinya untuk hadir dalam satu mesyuarat yang cukup penting? Saya yakin
anda akan marah dan kecewa. Ini disebabkan anda fikir bahawa rakan anda
tidak boleh diharap.
Tidak
berpegang pada janji. Suka menyusahkan orang lain dan sebagainya. Tetapi
cuba ubah cara fikir anda sekarang. Cuba fikirkan, jangan-jangan ada
kemalangan. Jangan-jangan ada yang jatuh sakit atau kematian. Bagaimana
emosi anda sekarang? Adakah anda masih marah dan kecewa? Pasti tidak.
Emosi anda kini berubah menjadi risau dan bimbang. Tindakan yang anda
ambil bergantung kepada emosi anda. Emosi yang terbentuk pula dipengaruhi
oleh cara fikir anda. Akhirnya hasil yang anda perolehi sebenarnya tidak
lain dan tidak bukan, bergantung kepada cara fikir atau persepsi anda.
Oleh
itu, mulai saat ini mulalah pilih cara fikir yang menguntungkan anda.
Yang membuatkan anda kelihatan hebat. Islam sendiri melarang kira berburuk
sangka dan banyak bersabar. Ingat setiap apa yang berlaku mengandungi
hikmah Allah yang tersembunyi. Janganlah lagi menjadi orang yang bertindakbalas
secara spontan kepada keadaan dan persekitaran. Sebab tindakbalas spontan
ini kebiasaannya merugikan kehidupan anda.
Ingatlah,
kehidupan yang tergambar dalam kotak fikiran anda adalah kehidupan yang
akan anda tempuhi. Ada orang tetap bersemangat walaupun berpuluh kali
gagal sebab mereka tahu setiap kegagalan itu datang bersamanya pengajaran
yang cukup bermakna. Ubah cara fikir anda. Ubah perancangan dan tindakan
anda. Setiap kali gagal, cuba SEKALI LAGI menggunakan pendekatan baru.
Ingat,
Kolonel Sanders gagal lebih seribu kali. Apa yang anda perlu lakukan
ialah berusaha lebih sedikit daripada manusia biasa untuk menjadi manusia
luar biasa. Seterusnya mencapai kejayaan berlipat kali ganda seperti
kisah lumba kuda tadinya.