Sikap
Penentu Kejayaan
www.laman-map.com
by
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Lebih
kurang 25 tahun yang lalu, iaitu 1974, masyarakat melayu telah gempar
dengan lahirnya seorang anak melayu yang telah mampu membaca akhbar
pada usia tiga tahun.
Hampir
kesemua media membuat liputan. Hari ini, perkara sebegini bukanlah sesuatu
yang mengkagumkan. Dengan adanya pelbagai kemudahan dan teknologi multimedia,
ramai anak-anak yang boleh membaca pada usia sebegini.
Tetapi
pada 25 tahun yang lalu, diawal 70an pastilah kebolehan seperti ini
dikira sebagai menakjubkan. Hinggakan Prof. Diraja Ungku Aziz membawa
anak ini balik ke kampungnya untuk diberikan ujian IQ. Pengarah Jins
Shamsudin pula menjadikannya pelakun kecil.
Begitulah
hebatnya anak yang bernama Mohd. Sohkeri Hadapi Aziz ini. Melihat kepada
kebolehan dan kehebatan anak maka tidak hairanlah kalau hari ini beliau
menjadi doktor atau pensyarah muda. Tanggal 22 November 1997 masyarakat
melayu sekali lagi digemparkan.
Kali
ini oleh peristiwa seorang anak muda yang bekerja sebagai pembuat roti
canai telah didakwa kerana memiliki enam paket kecil ganja. Beliau telah
didakwa dibawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983). Inilah
orangnya yang menjadi tajuk perbualan 25 tahun yang silam.
Inilah dia Mohd. Sohkeri yang pernah dibanggakan dulunya. Beliau jauh
sekali dari dikatakaan berjaya. Malah apa yang beliau lakukan hari ini
langsung tidak menggambarkan kebolehan sewaktu kecil beliau. Rendahkah
IQ lelaki ini?
Tidak sama sekali. Tidak berkebolehankah lelaki ini? Jauh sama sekali.
Yang silapnya kerana ia tidak pernah terdedah kepada ilmu kecemerlangan
diri dan pembentukan sikap.
Pastinya
lebih ramai lagi. Saya yakin, kalau perkara seperti ini boleh berlaku
kepada seorang individu, ia juga telah berlaku, sedang berlaku dan akan
terus berlaku kepada ramai lagi manusia lain. Berapa ramai lagi agaknya
yang senasib beliau. Kita hanya mendengar cerita Mohd. Sohkeri.
Bagaimana pula dengan begitu ramai yang mungkin waktu kecilnya cemerlang
kini tidak mampu meneruskan kecemerlangan ini. Saya sendiri telah menemui
begitu ramai pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR, atau 8A dalam PMR,
akhirnya kecundang salam SPM. Mereka sekadar berpuashati dengan Gred
2 atau Gred 3 sahaja. Ada yang lebih teruk sehingga mendapat SAP.
Persoalannya
adakah mereka yang gagal dalam kehidupan hari ini selayaknya gagal?
Atau mereka tidak tahu yang sebenarnya dalam diri mereka ada sebutir
permata yang tinggi nilainya dan belum digilap. Inilah yang dikatakan
sikap. Tidak ada ertinya IQ yang tinggi serta kebolehan yang luarbiasa
tetapi malas berusaha.
Sentiasa
tangguh kerja, main-main dan ambil mudah. Mereka ini berpenyakit tetapi
tidak menyedarinya. Kalau AIDS dan JE boleh membunuh diri, penyakit
sikap ini pula boleh membunuh harapan dan masa depan.
Bagaimana
sikap terbentuk? Sikap adalah sesuatu yang dipelajari melalui pengamatan,
pendengaran dan pengalaman. Dengan kata lain, sikap adalah tindakan
dan tingkahlaku diri berlandaskan cara fikir seseorang individu.
Dua
orang yang mempunyai cara fikir yang berbeza akan bertindakbalas secara
berbeza juga terhadap sesuatu peristiwa atau persekitaran. Cara fikir
merubah tingkah laku seseorang dan mempengaruhi sikap seseorang. Cara
fikir sebenarnya sesuatu yang dipelajari dan ditiru. Antara sumber-sumbernya
ialah:
Orang
sekeliling - Ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan, idola
Pengaruh
media - TV, radio, internetBahan bacaan - novel, majalah, akhbar, buku-buku.
Persekitaran
- Agama, bangsa, kebudayaan
Peristiwa
silam - besar atau kecil
Pengalaman
Sebab
itulah ada pepatah yang mengatakan bapa borek anak rintek. Kalau bapa
jenis panas baran maka anaknya berkemungkinan juga demikian. Tetapi
tidak pula semua anak berkelakuan serupa seperti bapa. Mungkin anak
yang lain pula cukup mengkagumi gurunya dan kebetulan pula guru seorang
yang penyabar.
Maka
sikap panas baran bapa tidak ditiru oleh anak ini kerana dia dapat menilai
bahawa sikap itu tidak menguntungkan sesiapa. Dalam keadaan ini, pengaruh
guru lebih besar atas diri anak ini dalam konteks tersebut. Jadi seorang
anak membesar dengan meniru tingkah laku orang lain.
Sikap-sikap negatifnya mungkin diperolehi daripada gabungan pelbagai
sumber. Pemarah macam ayah, boros macam emak, malas macam abang, pakaian
macam artis, buang masa macam rakan-rakan dan sebagainya. Begitu juga
dengan sikap positifnya juga ditiru dari orang lain. Berani macam ayah,
bercakap benar macam emak, suka mencuba macam abang, gigih macam artis
pujaan dan hormat ibu bapa macam rakan.
Satu
kelemahan otak ialah ia menerima segala maklumat yang dilihat dan didengar
ini, sama ada positif atau negatif, tanpa sekatan. Apabila maklumat
yang sama diterima berulang-ulangkali maka sedikit sebanyak mula terbentuk
kepercayaan dalam diri bahawa tidak salah untuk menerima pakai atau
meniru cara orang lain ini.
Keadaan
ini berlaku di bawah kesedaran seseorang. Ia berlaku dalam tempoh masa
yang panjang sebelum menjadi lazim dalam pemikiran. Setelah ia menjadi
kebiasaan segala tindak balas kita menjadi spontan dan kerap kali tindakan
kita diluar kawalan diri.
Bolehkah
sikap diubah? Sikap yang negatif boleh diubah kepada positif hampir
serta merta. Misalnya anda membonceng motisikal rakan. Rakan anda membawa
motisikal dengan laju dan gopoh-gapah. Anda tumpang seronok. Akibatnya
berlaku kemalangan dan rakan anda mati ditempat kejadian.
Ketika itu juga anda berkemungkinan besar mula mengubah sikap anda apabila
membawa motosikal. Walau pun ia berlaku hanya sekali dalam kehidupan,
tetapi pengalam tersebut cukup menyakitkan dan menyedihkan. Ia mengubah
cara fikir anda serta merta. Sikap anda juga berubah serta merta.
Sebenarnya
untuk berubah anda tidak memerlukan masa yang panjang. Masa yang panjang
sebenarnya untuk kita mengumpul maklumat dan membina keyakinan serta
kepercayaan sememangnya perubahan diri itu sesuatu yang mesti dilakukan.
Setelah
anda membuat keputusan, perubahan berlaku serta merta. Masa yang panjang
ini sebenarnya boleh disingkatkan dengan syarat anda mendapatkan maklumat
yang diperlukan untuk menyokong kepercayaan anda untuk berubah itu sekarang.
Anda perlu mendapatkan maklumat dari orang yang boleh memberikannya
kepada anda.
Sekiranya
anda seorang pelajar, kursus Motivasi Alihan Pelajar salah satu tempat
yang terbaik untuk anda mendapatkan maklumat ini.
Ramai
yang tidak menyedari bahawa sikap ibarat pakaian yang boleh dipilih
untuk disarungkan kebadan. Bagaimana mudahnya menukar pakaian begitu
juga mudahnya mengubah sikap. Dengan syarat tahu rahsia dan kaedahnya.
Untuk
berubah sikap, setiap kepercayaan dan pegangan hidup yang negatif perlu
digugat, dicabar, dibenci dan kemudiannya digantikan dengan alternatif
yang baru. Proses ini lebih mudah dilakukan sekiranya dibantu oleh seseorang
yang pakar dalam bidangnya.
Perhatikan
sejenak, adakah sikap anda selama ini membolehkan anda menggunakan sepenuhnya
potensi diri yang ada pada diri anda? Setiap kali guru memberikan markah
ujian, cuba tanyakan diri anda, adakah ini yang terbaik boleh dilakukan
oleh anda? Kalau tidak, apa yang menghalang anda melakukan yang terbaik?
Tiada
yang menghalang kecuali diri anda sendiri. Kalau anda tidak mengubah
sikap dan cara fikir anda sekarang, anda juga pastinya mencapai sesuatu
yang serupa 5 - 10 tahun yang akan datang. Yang berubah ketika itu mungkin
lokasi anda, rakan-rakan anda dan fizikal luaran anda tetapi dalamnya
tetap sama.
Kalau sekarang anda gagal di sekolah maka 5-10 tahun akan datang anda
bakal gagal pula dialam pekerjaan. Sebab itulah anda perlu berubah,
dan perubahan itu perlu dilakukan sekarang! Allah s.w.t telah berfirman
yang mafhumnya, "tidak akan aku ubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah
mereka ubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri"..