Untuk
Berjaya Perlu Ada Matlamat (Bahagian 2)
www.laman-map.com
by Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Dalam artikel Bahagian 1 sebelum ini, saya telah membincangkan apa yang
dikatakan matlamat dan bagaimana untuk membentuknya. Kali ini mari kita
lihat pula kenapa matlamat itu perlu.
Kajian di institusi pengajian tinggi menunjukkan 80% pelajar tidak bermatlamat
dan ini adalah punca utama pelajar melayu gagal bersaing. Menyedihkan
tetapi itulah hakikatnya.
Matlamat
memudahkan perancangan. Sekiranya anda ada matlamat, maknanya anda telahpun
menetapkan apa yang mahu dicapai dalam suatu tempoh yang tertentu. Ini
pastinya memudahkan lagi untuk anda merancang tugas anda setiap hari,
setiap minggu dan setiap bulan.
Contoh:
Katakan anda mahu menghabiskan ulangkaji mata pelajaran Sains sebulan
sebelum tibanya peperiksaan PMR. Katakanlah, pelajaran Sains itu mempunyai
24 tajuk dan anda kini mempunyai 6 bulan sahaja untuk menghabiskannya
(iaitu sehingga sebulan sebelum PMR). Ini bermakna anda perlu menghabiskan
4 tajuk Sains setiap bulan, atau lebih kurang 1 tajuk setiap minggu.
Sekiranya
anda merancang untuk belajar Sains sebanyak 4 kali seminggu, gunakan
3 sessi yang pertama untuk menghabiskan satu-satu tajuk dan gunakan
sessi ke-4 untuk mengimbas semula tajuk tersebut dan menjawab soalan-soalan
yang berkaitan dengannya.
Matlamat
meningkatkan komitmen diri. Secara tidak langsung apabila anda punya
matlamat maka anda merasakan suatu komitmen perlu diambil untuk memenuhinya.
Sebab sekiranya anda terlalai untuk mengikut setiap perancangan yang
telah dijadualkan bermakna anda menggadai masa depan anda sendiri.
Mata
pelajaran Sains seperti di atas tidak mungkin dapat dihabiskan hanya
sekiranya anda meletakkan komitmen untuk mengikut jadual harian anda
sendiri. Ingatlah, manusia yang berjaya ialah manusia yang mempunyai
komitmen yang tinggi terhadap senarai tugas atau perancangan hariannya.
Matlamat
membantu anda membuat keputusan. Dalam kehidupan seharian anda pasti
menyedari betapa sukarnya untuk mendisiplinkan diri mengikut jadual
harian anda. Malah mereka yang mampu mengikut jadual harian jumlahnya
terlalu kecil, hanya sekitar 5% sahaja. Yang lain, sama ada langsung
tidak mempunyai jadual harian atau ada jadual tetapi sekadar hiasan
dinding dan tidak pernah diikuti.
Kenapa ini berlaku? Jawapannya ialan sebab kita bukannya robot dan bukannya
mesin yang boleh dijadualkan untuk berfungsi mengikut masa-masa yang
ditetapkan setiap hari. Malah saya sendiri tidak yakin bahawa jadual
adalah penyebab kejayaan seseorang.
Sebagai
manusia kita tertakluk kepada begitu banyak faktor-faktor luar jangka,
misalnya anda mahu belajar tetapi mak minta jaga adik, ayah minta pergi
kedai. Sebentar lagi ialah waktu untuk buat kerja sekolah tapi di TV
pula ada perlawanan akhir bola sepak. Semuanya ini antara penyebab kenapa
anda sukar mengikut jadual belajar anda.
Tetapi
dengan adanya matlamat anda pada bila-bila masa boleh mengubah perancangan
harian anda asalkan ia tidak meninggalkan kesan atas perancangan jangka
panjang anda.
Anda
boleh tidak belajar mengikut masa yang ditetapkan tetapi anda perlu
ganti semula dan belajar pada waktu yang lain. Yang penting belajar
tetap belajar. Yang penting setiap tajuk perlu dihabiskan dalam masa
satu minggu seperti perancangan asalnya. Be flexible!!
Matlamat
membantu anda mendapatkan pertolongan. Apabila anda mempunyai matlamat
anda mula mengatur perancangan. Apabila anda bertindak melengkapkan
perancangan, anda mula menyedari dan mengenali kelemahan-kelemahan yang
ada pada diri anda. Ini memudahkan anda mendapatkan pertolongan.
Anda
mungkin perlu berjumpa guru setelah mengetahui ada bahagian-bahagian
tertentu dalam sesuatu mata pelajaran yang tidak anda fahami. Anda mungkin
bertemu rakan-rakan dan berbincang dengan mereka. Ingat tidak ada rakan
yang mahu membantu anda disaat-saat akhir kerana mereka sendiri sibuk
menelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
Matlamat pengukur kejayaan. Matlamat tidak akan tercapai dengan angan-angan
atau impian kosong. Ia perlu disusuli dengan tindakan. Kejayaan besar
yang diimpikan esok hari ialah himpunan kejayaan-kejayaan kecil yang
diraih setiap hari. Apakah kayu pengukurnya untuk memastikan yang setiap
hari anda berjaya? Bagaimana anda tahu bahawa anda telah berjaya? Pengukur
kepada kejayaan ialah matlamat yang telah dirancang.
Sekiranya
anda telah melakukan tindakan dan menyelesaikan tugas seperti yang dirancang
maka anda dikatakan sebagai berjaya. Hari demi hari tanpa anda sedari
anda mendaki puncak kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna.
Jadi
pastikan sekarang bahawa matlamat anda tidak terlalu kecil sehingga
ia tidak bermakna, dan tidak pula terlalu besar hinggakan anda rasakan
mustahil untuk mencapainya. Tetapkan satu matlamat yang anda begitu
bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikannya .