Kesilapan
Dalam Mendidik Anak (Bahagian 2)
by
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Dalam
artikel bahagian 1 yang lepas, tiga kesilapan utama dalam mendidik
anak-anak telah dikupas iaitu:
*membanding-bandingkan pencapaian anak-anak;
*merendahkan
kebolehan anak; dan
*memarahi
anak tidak pada tempatnya.
Dalam
siri kali ini beberapa kesilapan dalam mendidik anak-anak dikupas
lagi iaitu:
*tidak
menjadi pendengar yang baik;
*tidak
mewujudkan kemesraan sebelum menegur atau memarahi; *suka membebel
dan mengkritik; *terlalu memanjakan anak;
*tidak
menjadi 'role model' yang baik.
Tidak
menjadi pendengar yang baik. Ramai ibu bapa yang tidak merasa penting
tentang aspek ini. Menjadi pendengar yang baik bukanlah sesuatu yang
sukar dipraktikkan cuma ibu bapa sahaja yang memperkecilkan peranan
mereka sebagai pendengar. Anak-anak apabila dewasa cuba merahsiakan
banyak perkara daripada pengetahuan ibu bapa disebabkan sewaktu kecilnya
luahan dan keluhan hati mereka tidak diberikan perhatian oleh kedua
ibu bapa. Cuba perhatikan kehidupan anda dengan anak-anak. Adakah
anda berhenti membaca akhbar apabila anak anda datang dan bertanyakan
sesuatu soalan? Adakah anda sebagai ibu berhenti menggoreng ikan apabila
tiba-tiba anak anda ke dapur dan bertanya sesuatu? Jawapannya berkemungkinan
ialah tidakkk..... Anda menjawab pertanyaan anak sambil membaca akhbar.
Anda melayan anak sambil menggoreng ikan. Pada anda apa yang ditanya
itu tidak penting. Memang soalan yang dikemukakan itu mungkin tidak
penting tetapi cara anda memberikan perhatian itu penting. Maka jangan
salahkan anak-anak kalau apabila dewasa mereka tidak mengganggap anda
sebagai penyelesai masalah yang boleh diharap.
Tidak
mewujudkan kemesraan. Ini juga satu masalah yang sering kali timbul.
Dapatkah anda bersabar sebelum memarahi atau menegur kesilapan anak?
Ramai ibu bapa yang tidak sabar. Apa tindakan anda apabila guru sekolah
memberitahu bahawa anak anda ponteng sekolah? Pastinya anda terus
memarahi anak tanpa terlebih dahulu cuba memahami situasi atau konflik
emosi dalam diri anak itu. Kalau itu merupakan kesilapannya yang pertama,
maka anda perlu menasihatinya dengan baik. Ceritakan kepadanya yang
anda juga pernah jadi pelajar. Anda juga pernah ada ketikanya rasa
jemu belajar, tertekan dan sebagainya. Katakan pada anak yang anda
memahaminya. Tanya anak apa yang dia fikirkan sebelum dia mengambil
tindakan tersebut. Setelah anak anda mula rasa selesa berbincang,
jelaskan padanya betapa tindakannya itu boleh mendatangkan malu dan
merosakkan masa depan.
Sekiranya anak terus ponteng, sekali lagi anda duduk berbincang. Sekali
lagi cuba fahami perasaan dan fikirannya. Gunakan sentuhan (body contact)
bagi menambahkan kemesraan. Pegang bahunya ketika berkata-kata. Lihat
tepat ke wajahnya. Kalau anak anda masih kecil maka melulutlah agar
kedudukan mata anda berada separas dengan matanya.
Setelah
dia mula selesa, kali ini anda ubah pendekatan. Anda katakan sukar
untuk anda terima yang dia masih melakukan kesilapan yang serupa.
Anda perlu memarahinya. Memarahinya bukan kerana anda mahu lepaskan
geram tetapi marahi anak kerana anda mahu mengajar dan membentuknya.
Terdapat perbezaan yang ketara antara dua keadaan marah itu. Anak-anak
akan lebih menghormati anda sekiranya mereka tidak dapat menjangkakan
apa tindakan anda atas kesalahan yang mereka lakukan. Sebab kalau
anda selalu marah maka anak akan katakan pada dirinya, " Alah...
bapa aku memang macam itu". Lihat! walaupun anda benar-benar
marah, kesannya tiada langsung pada diri anak. Bak kata pepatah, alah
bisa tegal biasa.
Suka
membebel dan mengkritik. Ada pula ibu bapa yang suka membebel pada
anak. Sikap ibu bapa yang sedemikian membuatkan anak rasa hidup dirumah
tidak selesa dan tiada ketenangan. Sebab itu ramai diantara anak-anak
lebih gemar menghabiskan masa diluar. Mereka rasa diri mereka bebas
dan merdeka. Cuba lihat anak-anak kecil anda apabila ada tetamu berkunjung
ke rumah. Kenapa ketika itu perangainya cukup berbeza? Mereka berani
melakukan perkara-perkara yang anda larang. Mereka melompat-lompat
kusyen. Mereka buat ragam dan sebagainya. Sebab mereka tahu bahawa
diri mereka merdeka ketika itu. Mereka juga mahu tunjukkan kebolehan
dan kepandaian dihadapan tetamu. Mereka tahu anda tidak akan membebel
ketika itu. Ada ketikanya bebelan anda sampai ketahap mengkritik anak-anak.
Kritikan yang tidak membina hanya akan membuatkan keyakinan diri anak-anak
anda luntur. Anda boleh mengkritik dengan syarat selepas itu tunjukkan
kepada anak apa yang mereka perlu lakukan. Ini barulah dikatakan sebagai
kritikan yang membina. Bukannya kritikan mencari salah semata-mata.
Terlalu
manjakan anak. Sekiranya anda terlalu manjakan anak-anak maka mereka
akan kehilangan sikap berdikari. Mereka akan malas berusaha. Mereka
mengharapkan orang lain mengubah kehidupan mereka. Anda rosakkan masa
depan anak-anak sekiranya anda memanjakan mereka. Ingat sayangkan
anak tangan-tangankan bukan manja-manjakan. Memang benar anda hidup
dizaman susah. Anda terpaksa bekerja keras untuk mencapai tahap kehidupan
seperti hari ini. Anda terpaksa mengayuh basikal atau berjalan kaki
ke sekolah. Ada ketika jaraknya berbatu-batu. Memang benar hari ini
segala-galanya mudah diperolehi. Tetapi itu semuanya bukanlah tiket
untuk anda memenuhi setiap kehendak dan permintaan anak anda. Tidak
perlu terlalu sentimental dalam mendidik anak-anak hinggakan anda
tidak mahu mereka merasa susah seperti anda dahulu. Kalau anda tidak
mahu mereka susah hari ini, mereka akan tetap hidup susah kemudiannya
nanti kerana tiada keyakinan diri dan tidak boleh berdikari.
Walau
pun anda susahkan sedikit kehidupan mereka, pasti tetap tidak akan
sama seperti susahnya anda sewaktu kecil dulu. Perhatikan mana-mana
permintaan anak-anak yang tidak wajar maka katakan sahaja yang anda
tidak akan penuhi. Ada ketikanya anda sengaja lambat memenuhinya (dengan
syarat anda tidak pernah berjanji pada anak). Ada ketikanya permintaan
anak dipenuhi pada ketika mereka tidak sesekali menyangkanya.
Sekiranya
mereka capai kejayaan, ada ketika anda belikan hadiah. Ada ketikanya
pula anda berikan sekadar puji-pujian sahaja. Ada ketikanya sekadar
membawanya makan diluar. Pelbagaikan cara anda memberikan mereka ganjaran,
dengan cara ini mereka akan kekal melakukan yang terbaik dalam hidupnya.
Tidak
menjadi 'role model' yang baik. Ketika anak perempuan saya, Suhaila,
masih kecil saya memerhatikan gelagatnya. Dia mahu pakai pakaian yang
sama warna dengan ibunya. Mahu memakai lipstik ibunya. Mahu memasak
dan mengemas rumah, juga seperti ibunya. Pendek kata apa sahaja yang
yang dilakukan oleh si ibu mahu diturutinya. Kalau dalam aspek sebegini
anak-anak mahu mencontohi ibu bapa maka pastinya mereka cuba mencontohi
aspek-aspek yang lain juga. Sebab itu ada pepatah yang menyebut, "bapa
borek anak rintek". "Kemana kuah kalau tidak tumpah ke nasi".
"Seperti ketam mengajar anak berjalan betul". "Kalau
bapa kencing berdiri anak pula kencing berlari". Semua ini membuktikan
bahawa kalau anak-anak bermasalah maka faktor utama yang perlu dilihat
terlebih dahulu ialah ibu bapa mereka.
Ibu
bapa perlu faham, didikan sebenarnya melalui tauladan bukannya melalui
paksaan. Anak-anak lebih percaya apa yang dilihat berlaku sekelilingnya
daripada apa yang didengar. Kalau ibu bapa menyuruh anak menghormati
masa tetapi mereka sendiri tidak menghormatinya, maka anak-anak tetap
tidak akan mendengar saranan ibu bapa ini. Kalau kita mahukan anak-anak
berjanji berkelakuan baik dan sebagainya, kita mesti buktikan yang
kita sebagai ibu dan bapa sentiasa berpegang teguh pada janji. Cuba
hitung berapa banyak janji anda dengan anak-anak, sejak mereka kecil,
yang belum anda tunaikan? Dimana kredibiliti anda? Ingat mereka membesar
dengan anda 24 jam sehari. Mereka tahu kehebatan anda dan juga kelemahan
anda. Buktikan kepada mereka yang anda sentiasa memperbaiki diri barulah
anak-anak akan mencontohi anda.
Begitu
juga dalam soal ibadah. Ramai anak-anak malas sembahyang semata-mata
sebab ibu bapa mereka sendiri tidak pernah mengambil berat tentang
sembahyang. Apatah lagi untuk berjemaah satu keluarga. Kalau anda
tidak memperbaikinya hari ini maka bila lagi?
Apakah
anda mahu tunggu sehingga anak anda tidak boleh ditegur dan diperbaiki
lagi? Ingat hubungan seorang anak dengan kedua ibu bapa tidak akan
putus sehingga ke akhirat. Apabila anda mati, hanya tiga perkara sahaja
yang akan bersama iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak-anak
yang soleh yang mendoakan anda. Oleh itu jadilah ibu bapa yang baik.
Ibu bapa yang boleh dijadikan contoh tauladan oleh anak-anak. Dalam
siri Motivasi Alihan Pelajar yang saya jalankan, 90% anak-anak tidak
meletakkan ibu dan bapa sebagai model ikutan mereka. Mereka lebih
melihat orang lain yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin sebagai
idola mereka. Malah 95% pula tidak memilih Nabi Muhammad s.a.w sebagai
ikutan mereka. Salah siapa apabila semuanya ini berlaku?Mulakanlah
perubahan, dan perubahan itu perlu dilakukan SEKARANG!