Kesilapan
Dalam Mendidik Anak (Bahagian 1)
by
Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D
Mendidik anak-anak merupakan suatu perkara yang sering memeningkan
kepala ramai ibu bapa. Tidak ada seorang ibu pun yang mahukan anak-anak
mereka membesar sebagai orang gagal dan bermasalah. Sebagai ibu bapa
kita perlu ingat bahawa anak-anak adalah amanah Allah s.w.t. kepada
kita untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya. Mereka lahir seperti
kain yang putih bersih tanpa sempurna tanpa sebarang cacat celanya.
Kitalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu dengan corak
dan warna yang tertentu. Sebahagian besarnya mengikut acuan yang telah
kita sediakan untuk mereka.
Dalam
membesarkan anak-anak kita tidak menyedari pelbagai kesilapan telah
dilakukan tanpa kesedaran kita. Kesilapan ini berlaku kerana kurangnya
pengetahuan tentang aspek keibubapaan. Dalam mendidik anak-anak perlu
diingatkan bahawa didikan bukan melalui paksaan tetapi tauladan. Anak-anak
lebih percaya apa yang dilihat dari apa yang didengar. Kalau kita
suruh anak-anak menguruskan masa dengan baik sedangkan kita sendiri
sentiasa tidak menepati masa serta sering bertangguh, maka mereka
lebih terikut-ikut kepada apa yang mereka lihat kita lakukan. Maka
wajarlah dalam mendidik anak-anak, kita dalam masa yang sama perlu
mendidik diri kita juga.
Kesilapan
yang sering dilakukan dalam mendidik anak-anak bolehlah dibincangkan
seperti dibawah:
Membanding-bandingkan.
Ibu bapa seringkali membanding-bandingkan sama ada kebolehan atau
kelemahan anak dengan orang lain. Ada ketikanya perbandingan ini dibuat
antara adik-beradik dan ada ketikanya dengan orang lain seperti anak
jiran, saudara, sepupu, kawan atau sesiapa sahaja. Memanglah tujuan
perbandingan ini dibuat ialah untuk mendorong atau memberi semangat
kepada anak. Tetapi kerap kali anak-anak akan salah tafsir akan tujuan
ibu bapa berbuat demikian. Sekiranya perbandingan dibuat antara adik
beradik, maka kita telah menyuburkan sifat cemburu dan iri hati dalam
diri anak. Sekiranya perbandingan dibuat dengan orang lain, anak akan
merasa rendah diri dan hilang kekuatan untuk bersaing.
Perbandingan
hanya boleh dibuat ketika tiada tekanan emosi. Maknanya ketika perbincangan
berlaku secara terbuka. Bukan ketika anak sedang dimarahi. Kita boleh
jadikan orang lain sebagai contoh untuk ditauladani tanpa membandingkannya
dengan anak kita. Barulah mereka boleh menerimanya.
Cuba
lihat contoh perbualan dibawah:
Contoh1:
"Apa nak jadi kau ni... lihat si Ali tu, tiap kali petang pasti
dia balik awal. Lepas tu terus mandi, solat dan belajar. Tak macam
engkau ni, entah apa nak jadi nanti".Contoh di atas ternyata
ibu bapa membuat perbandingan langsung antara anak dengan si Ali.
Anak kita cukup tidak menggemarinya.
Contoh
2: "Orang berjaya ialah orang yang sentiasa menepati waktu. Waktu
main, mainlah sepuas-puasnya tapi bila tiba waktu belajar, waktu solat
dan sebagainya perlu diseimbangkan pula. Kalau kita balik ke rumah
awal sempatlah untuk solat dan mandi sebelum belajar. Badan pun tak
penat, betul kan?
"Lihat,
contoh diatas tiada langsung unsur perbandingan. Maksudnya tetap sama
dengan contoh yang pertama, malah diselitkan pula dengan alasan yang
munasabah disamping meminta anak berfikir dengan menjuruskan perkataan...
betul kan?
Jadi
cubalah cari jalan agar kita tidak lagi membuat perbandingan ketika
memarahi anak. Seperti yang telah dikatakan awal-awal tadi, contoh
kejayaan orang lain boleh diceritakan sewaktu tiadanya tekanan atau
desakan emosi dalam diri anak.
Merendahkan kebolehan anak. Kita sering kali tanpa sedar merendahkan
kebolehan anak secara langsung. Kerap kali ibu bapa yang resah tentang
masalah anak akan meluahkan keluhannya kepada orang lain dihadapan
anak-anak. Ada ketikanya apabila bertemu jiran, kita beritahu mereka
akan kelemahan anak kita. "Anak saya ni Cik Jah... entah apa
lagi saya nak cakap.. malas betul nak belajar". Itu salah satu
contoh ungkapan. Ungkapan ini pula dibuat dengan kehadiran anak, maka
anak percaya apa yang didengarnya. Secara tidak langsung si ibu telah
suburkan lagi sikap negatif dalam diri anak itu.
Ada
ketikanya pula ibu bapa merendahkan kebolehan diri anak-anak secara
langsung apabila marah. "Kau ni besar nanti apa nak jadi? Dah
lah malas, degil pulak tu..". Kata-kata begini menghiris perasaan
anak-anak dan tentunya bila sentiasa diulang-ulang akan membuatkan
mereka percaya itulah sahaja kemampuan diri mereka. Ibu bapa perlu
ingat setiap patah perkataan yang kita ucapkan atas diri anak-anak
merupakan suatu doa. Janganlah nanti kata-kata yang tidak baik pula
dimakbulkan Allah s.w.t. OLeh itu, carilah kebaikan dalam diri anak
walaupun kecil. Subur-suburkanlah kebaikan itu. Mendidik anak-anak
merupakan suatu proses yang berterusan. Jangan menyangka untuk melihat
perubahan yang mendadak dalam diri anak. Sebagai pendidik, ibu bapa
memerlukan kesabaran yang tinggi.
Memarahi
anak tidak pada tempatnya. Ibu bapa seringkali memilih waktu yang
salah memarahi anak-anak. Ramai ibu bapa dalam sessi kaunseling saya
mengadu bahawa anak-anak mereka tidak suka berterus terang atau berbincang
masalah dengan mereka. Sebenarnya kenyataan sedemikian agak kurang
tepat. Anak-anak tidak mahu berbincang atau berterus terang sebab
ibu bapa sendiri tanpa disedari telah menutup pintu perbincangan tersebut.
Waktu anak masih kecil, sama ada di alam tadika atau sekolah rendah,
mereka pernah mengadu hal kepada ibu bapa. Mereka mengadu segala-galanya
kerana ibu bapalah yang dianggap sebagai pelindung kita. Misalnya,
anak kita mungkin pulang dari sekolah dan mengadu yang guru telah
memarahinya. Kita pasti bertanya kenapa guru marah. Anak memberitahu
yang dia telah dimarahi guru kerana mengejek, mengusik, memukul atau
mengambil barang kawan.
Apa
tindak balas kita? Ramai ibu bapa apabila mengetahui bahawa guru memarahi
anak disebabkan kesilapan anak itu sendiri akan segera marah anak
itu sekali lagi. Apa pula perasaan anak? Tindakan mengadu hal tadi
menyebabkan emosinya dua kali sakit. Apabila perkara sebegini berlaku
berulang-ulang kali maka anak tidak akan berterus terang dan berbincang
lagi. Sebab mereka tahu tindakan berterus terang adalah suatu tindakan
yang membawa padah. Sikap inilah kelak yang terbawa-bawa sehingga
anak membesar.Oleh itu, jangan memarahi anak apabila mereka berterus
terang. Jangan pula menyebelahi mereka. Jelaskan secara bijak bahawa
perbuatan mereka sememangnya salah dan tindakan guru itu wajar. Dengan
cara begini anak-anak akan belajar dari kesilapan. Hubungan ibu bapa
dan anak juga makin akrab.