Profil Sekolah

Maklumat Staf Dan Pelajar

Web Pautan Ke Menu Utama
PROFIL SEKOLAH Alu-aluan
 
   
   
 
 
BICARA PENGETUA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah kurnia Allah s.w.t , Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2 telah maju selangkah lagi ke hadapan untuk menyahut cabaran dalam era globalisasi ilmu apabila sebuah Laman Web berjaya dibangunkan. Ini adalah selaras dengan kepesatan teknologi yang berlaku saban hari. Setiap saat yang kita lalui pada setiap hari memainkan peranan penting untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam bidang yang diminati, supaya akhirnya turut menjadi penyumbang kepada ciptaan-ciptaan atau penemuan-penemuan baru.

Antara faktor-faktor penyebab tercetusnya ilham untuk memiliki sebuah Laman Web sendiri ialah supaya seluruh warga sekolah dapat memanfaatkannya sebagai sumber maklumat tentang sekolah; pendedahan ke arah celik IT; pemusatan ilmu; tapak perbincangan secara maya sesama sendiri; dan paling penting agar pihak ibu bapa para pelajar sekolah ini dapat memberi sumbangan sama ada dalam bentuk kritikan membina atau pertukaran buah fikiran demi memajukan lagi pencapaian pelajar dalam banyak hal. Sehubungan dengan itu, saya amat berharap agar Laman Web ini benar-benar dapat merealisasikan hasrat bukan sahaja pihak sekolah ini, malahan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Oleh kerana ia masih pada peringkat permulaan, saya kira Laman Web ini masih memerlukan proses peningkatan dan pengubahsuaian. Hal ini memang disedari dan ia akan dibaiki dari semasa ke semasa.

Pada kesempatan yang ada ini, saya dengan berbesar hati ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pelajar-pelajar Tahun Akhir, Universiti Pendidikan Sultan Idris iaitu Nik Sazila bin Nik Abdullah, Mat Zaki bin Hassan dan Shamsul Zamdi bin Kassim yang telah bertungkus-lumus dalam menyiapkan projek Pembangunan Laman Web khas untuk sekolah ini. Tidak lupa juga ucapan penghargaan ini ditujukan kepada guru-guru sekolah ini yang bersama-sama dalam memberikan komitmen dan kerjasama kepada pembangun laman web sepanjang tempoh pembangunan Laman Web ini. Kesatuan dan kesepaduan tenaga dari semua pihak dalam proses pembangunan Laman Web ini amat penting. Dan ini memerlukan keprihatinan dan komitmen yang tinggi. Saya percaya guru-guru sekolah ini, terutama pihak pembangun mampu menyediakan sebuah Laman Web yang berkesan demi mencapai hasrat yang dicita-citakan, insya-Allah.

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada pihak yang terlibat. Semoga usaha murni ini mendapat berkat dari Allah s.w.t.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, Besut,Terengganu MALAYSIA
TEL: 09-6957158 / FAX : 09-6959019 E-Mail Sekolah : [email protected]

Hosted by www.Geocities.ws

1