Islam - Agama Yang Indah
oleh Ustaz Mohd Saudi Abdullah
PENGERTIAN ISLAM
Sebaik-baik nikmat kurniaan Allah S.W.T kepada umat manusia ialah Islam.Islam merupakan agama yang mulia dan amat sesuai sekali dengan fitrah semula jadi manusia bagi menjamin kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Islam pada bahasa ialah selamat,sejahtera,aman dan damai.Manakala pada pengertian syarak ialah menyerahkan diri dengan mengabdikan diri kepada Allah S.W.T semata-mata,tunduk dan patuh kepada segala suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan Allah.S.W.T.
Daripada pengertian di atas,Islam adalah agama yang diredai Allah S.W.T dan Islam adalah agama yang memandu hidup manusia ke arah kesejahteraan dan keredaan hidup di dunia dan kenikmatan hidup di akhirat sebagaimana firman Allah S.W.T.
" Sesungguhnya agama yang diredai Allah S.W.T ialah agama Islam"
(Surah Al-Imran ayat: 19)
Dalam pada itu juga Allah telah menegaskan bahawa agama-agama lain yang wujud di dunia ini selain daripada agama Islam tidak akan mendapat tempat di sisi Allah.Sesiapa yang menganut atau mempercayai agama selain agama Islam maka dia adalah tergolong dalam orang-orang yang rugi dan di akhirat nanti akan mendapat balasan yang amat buruk sekali iaitu neraka jahanam.
Firman Allah S.W.T yang berbunyi:
" Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti"
( Surah Al-Imran ayat: 85 )
Agama-agama lain tidak diterima oleh Allah S.W.T kerana jika diterima,tidak berertilah Allah S.W.T mengutuskan Rasul-rasul untuk mengajar manusia tentang Islam.Jika diterima tidak berertilah Allah S.W.T menjadikan Syurga dan Neraka.Jika diterima tidak bergunalah al-Quran dan al-Hadith.
Islam merupakan agama yang selari dengan fitrah semula jadi manusia dimana setiap insan yang dilahirkan di muka bumi ini telah mengakui Allah S.W.T sebagai Tuhan yang berhak di sembah.Ini adalah selari dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W :
" Setiap anak yang dilahirkan adalah suci iaitu dalam keadaan Islam (menyerah diri kepada Allah S.W.T).Maka kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi."
Islam agama indah yang datang daripada Allah S.W.T .Islam menyeru manusia mengenali Allah S.W.T Tuhan Yang Maha Perkasa,Allah S.W.T yang berhak disembah.Islam mengajak manusia beribadat kepadaNya,membesarkan Allah S.W.T,memuji dan mengagongkan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T jualah yang mentadbir hidup manusia dan Allah S.W.T jualah yang meredai Islam sebagai agama umat manusia.
Perlu diingat bahawa Islam bukan sahaja dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W bahkan semua Nabi dan Rasul semenjak Nabi Adam a.s hinggalah Nabi Muhammad S.A.W membawa Islam sebagai pegangan hidup manusia.Para Rasul mendakwah manusia kepada Islam,menerangkan kepada manusia akidah yang betul,meletakkan syariat Islam dan mengajar manusia berakhlak mulia dalam kehidupan.
Sehubungan dengan itu setiap manusia yang mengaku beragama Islam, wajib mempunyai akidah yang betul iaitu akidah Islam dimana kita yakin dan percaya Allah S.W.T Tuhan yang sebenar-benar disembah.Allah S.W.T Tuhan yang mentadbir alam,memberi rezeki kepada manusia dan mempunyai sifat-sifat yang wajib bagiNya.Kemudian Islam menyuruh manusia dengan suruhan yang wajib supaya beramal dengan segala peraturan Islam dan berakhlak dengan akhlak Islam.Ini adalah bagi meletakkan manusia itu berada dalam rahmat dan hidayah Allah S.W.T.
ISLAM SEBAGAI AD-DIN
Allah telah memberi pengakuan bahawa Islam adalah agama yang diredai Nya dan amat sesuai dijadikan panduan dan ikutan kepada manusia.Islam adalah agama yang berbeza dengan agama-agama lain.Islam merupakan al-Din iaitu suatu cara hidup manusia.Apabila Islam itu dinobatkan suatu cara hidup manusia ini bermakna Islam meletakkan beberapa garis panduan dan peraturan hidup dalam memandu kehidupan manusia.Jadi manusia hendaklah mengikuti budaya hidup Islam.
Mana-mana budaya atau cara hidup yang tidak diakui oleh Islam maka cara hidup yang sedemikian adalah batil dan tidak boleh menjamin kesejahteraan manusia di dunia dan akhirat.Begitu juga dengan adat-adat yang diguna pakai oleh sebilangan masyarakat hari ini.Kalau adat-adat yang diamalkan sejak nenek moyang kita itu menyeleweng dari landasan Islam maka adat-adat tersebut tidak boleh dipakai dan dilarang oleh Islam.
Bila Islam itu dijadikan cara hidup,adakah hidup kita ini mengikut Islam?.Cuba kita renung sejenak,adakah cara kita menguruskan diri kita ,rumahtangga kita mengikut Islam?.Adakah hubungan social kita hari ini berpaksikan Islam?.Ini semua perlu kita kaji balik untuk mendapat jawapan yang baik kerana jika berlaku kepincangan dalam pengurusan kita ini bermakna cara yang kita gunakan adalah salah dan lari daripada kehendak Islam.
Kita sudah nampak mana-mana masyarakat yang ada di dunia hari ini yang tidak meletakkan Islam sebagai cara hidup pastinya akan kucar kacir,porak peranda,terjerumus dalam kehancuran dan gagal meletakkan manusia dalam kesejahteraan.Oleh yang demikian sebagai muslim mukmin kepada Allah S.W.T,sewajarnyalah menerima cara hidup Islam dalam mengatur corak hidup manusia.
Allah S.W.T telah menegaskan bahawa Dialah telah sempurnakan kepada umat manusia agama Islam sebagai cara hidup manusia.FirmanNya yang berbunyi:
" Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu iaitu Islam dan Aku kurniakan nikmat kepada kamu dan Aku reda Islam itu agama kamu.
( Surah al-Maidah ayat : 3)
Sehubungan dengan itu,cara kita menguruskan diri kita, anak-anak kita serta masyarakat dan sebagainya mestilah berjalan sejajar dengan prinsip hidup Islam.Sebagai contohnya,seorang suami yang juga ketua keluarga wajib memelihara ahli keluarga dan mengajar agama Islam dan cara hidup Islam agar kita semua selamat di akhirat nanti sebagaimana firman Allah S.W.T
" Wahai orang orang yang beriman peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari seksaan api neraka.
( Surah al-Tahrim ayat: 6 )
Dalam pada itu Islam telah memberitahu manusia bahawa suatu hari nanti mereka akan dibangkitkan selepas mati untuk menerima pembalasan dari apa yang mereka lakukan di dunia.Oleh yang demikian Islam telah memberi pengakuan dan jaminan bahawa manusia yang beragama Islam dan beriman dengan segala Rukun Islam dan Rukun Iman akan mendapat nikmat Syurga yang Allah S.W.T janjikan kepada manusia.
Pengikut-pengikut agama lain selain agama Islam tidak mendapat nikmat kebahagian malah mendapat azab seksaan api neraka.Firman Allah.
:" Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh sesungguhnya bagi mereka Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai ."
( Surah al-Baqarah ayat : 25 )
Justeru itu Allah S.W.T mengutuskan Rasulullah S.A.W dengan bimbingan al-Quran untuk menjadi panduan hidup manusia di mana Allah S.W.T tidak menzalimi manusia dan makhlukNya tetapi manusia sendiri yang menzalimi diri sendiri.
Dalam hubungan sosial kita,Islam meletakkan asas-asas kukuh dalam pergaulan hidup manusia seharian.Batasan-batasan pergaulan antara lelaki dengan perempuan telah digariskan oleh Islam agar manusia tidak melakukan dosa dan melanggar syariat hukum Allah S.W.T.
Sudah jelas kepada kita,sekiranya pergaulan hidup kita dipengaruhi oleh budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan Islam contohnya cara hidup barat yang sesat pasti masyarakat yang mengikutnya menjadi macam mereka yang diikuti baik cara berpakaian ,cara bercakap,adab dan tingkahlaku, muamalat ,social dan seumpamanya.
Inilah yang terjadi kepada generasi kita hari ini yang terpengaruh dengan cara hidup barat yang liar yang tidak diharuskan oleh Islam.Masalah gejala social seperti zina,bohsia,budaya lepak ,anak luar nikah,masalah dadah ,arak,judi dan sebagainya adalah berpunca daripada sikap tidak ingin menjadikan Islam sebagai cara hidup serta tiada bimbingan hidup Islam.
Cuba kita lihat corak hidup Islam yang dipraktikkan oleh Baginda S.A.W di Madinah.Apabila masyarakat Madinah pada masa itu hidup dalam lingkungan roh Islam dan menjadikan Islam cara hidup manusia,maka kita dapati masyarakat itu hidup aman damai,mentauhidkan Allah S.W.T,hidup bekerjasama,tidak wujud perkara-perkara yang menyalahi peraturan Islam.Bahkan kalau ada perkara yang mungkar terus ditegah dan dijatuhkan hukuman dengan tujuan mendapat keredaan Allah S.W.T supaya di akhirat kelak mendapat keampunan dan rahmat Allah S.W.T kerana kebahagian yang hakiki ialah hidup manusia di akhirat.
Sebagai agama yang menjadi tunjang asas kehidupan manusia dan yang mencorak kehidupan manusia,Islam telah menyatakan dan menerangkan sesuatu itu sama ada halal atau haram.Ini bertujuan untuk mengelakkan manusia terjerumus dalam kehinaan.Sabda Rasulullah S.A.W
" Sesungguhnya yang halal itu nyata dan haram itu nyata ."
Kalau dibandingkan dengan ajaran-ajaran agama lain,ternyata jauh berbeza dengan ajaran agama Islam dari segi hukum hakam,soal pergaulan hidup masyarakat.Ajaran agama yang lain tidak menekankan soal halal dan haram.Sebagai contnya,riba,rasuah,pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan,soal makan minum dan sebagainya tidak ada undang-undang yang boleh memberi manfaat kepada manusia.Islam menetapkan sesuatu itu halal atau haram kerana Islam ingin menyelamatkan akidah manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan dosa yang tidak dapat membawa manusia mencari jalan yang benar.
Jelaslah apa yang disyariatkan oleh Islam adalah semata mata untuk membawa manusia hidup sejahtera dan kita selalu berdoa siang dan malam untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.Firman Allah S.W.T
" Dan di antara mereka yang berkata, Wahai Tuahanku kurniakanlah kami kebaikkan di dunia dan di akhirat dan lindungilah kami dari seksaan api neraka.
( Surah al- Baqarah ayat:201 )
Cara hidup yang dianjurkan oleh Islam adalah yang terbaik dan terindah yang tiada tolak bandingnya dengan ajaran-ajaran agama lain.Semasa zaman jahiliyyah dahulu, kita dapati masyarakat hidup dengan tiada nilai-nilai murni,tiada kesejahteraan hidup,tiada jaminan untuk mengecap kebahagian, hidup dalam ketakutan,huru hara,maksiat berleluasa dan sebagainya.Kita dapati yang kaya berkuasa,yang miskin dijadikan hamba abdi,yang kuat menindas yang lemah,yang berkuasa membuat kejahatan dibiarkan tetapi yang miskin membuat kejahatan diseksa.Ini berlaku adalah kerana tidak ada panduan hidup yang hakiki dan setiap puak ada undang-undang tersendiri yang boleh dipinda-pinda mengikut hawa nafsu mereka.
Apabila datang agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W,Islam mengubah corak hidup manusia kepada cara hidup berasaskan agama Islam yang meletakkan asas akidah kepada Allah S.W.T dan akhlak Islam sebagai pakaian hidup orang Islam.
Islam menyatakan bahawa semua manusia sama sahaja kecuali orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah sebagaimana firmanNya:
" Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah S.W.T ialah yang bertaqwa.
(Surah al-Hujurat ayat:13 )
Islam mengatur hidup manusia dengan penuh bijaksana dan penuh keadilan,mengajar manusia nilai-nilai mulia,mengharamkan penindasan,haramkan maksiat,haramkan syirik kepada Allah S.W.T,menyarankan hidup bersatu padu,tolong menolong dan mewujudkan masyarakat madani yang murni yang mendapat hidayah Allah S.W.T.
MENGAPA ISLAM ITU INDAH?
Setelah kita mengetahiu dengan panjang lebar mengenai Islam dan peranan Islam terhadap corak hidup manusia,maka dapat kita simpulkan bahawa Islam itu adalah sebenarnya agama yang paling indah dan mulia di sisi Allah S.W.T.Islam dikatakan indah kerana:
1. HUBUNGAN DENGAN ALLAH S.W.T DAN HUBUNGAN DENGAN MANUSIA(Hubungan dengan Allah dan manusia)
Islam adalah agama yang mempunyai pertalian di antara Pencipta dengan makhluk dan juga pertalian sesama makhluk.Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W adalah agama Allah S.W.T yang mencipta manusia dan makhluk yang lain.Oleh yang demikian ajaran Islam ialah mengajak manusia beriman kepada Pencipta alam,Pencipta agama Islam,Pencipta manusia Allah S.W.T.Ini bermakna Islam mengajak manusia beribadat kepada Allah S.W.T.Hanya Allah S.W.T Tuhan yang berhak disembah.Islam menyeru manusia mengenali Tuhan Yang Maha Perkasa,Maha Esa,Maha Bijaksana dan mengabdikan seluruh jiwa dan aspek hidup manusia kepada Allah S.W.T.Firman Allah S.W.T:
" Dan tidak aku jadikan jin dan manusia ialah untuk beribadat kepada Aku (Allah S.W.T).
( Surah al-Zariyat ayat: 56 )
Oleh yang demikian memang tetap sekali motif penciptaan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T.Jika kita lihat agama-agama lain selain agama Islam,semua ajaran agama tersebut adalah hasil ciptaan manusia itu sendiri yang tidak relevan dengan kehidupan manusia dan tidak sesuai dengan fitrah hidup manusia.Matlamat ajaran agama lain tidak jelas,kandungan ajarannya boleh diubah suai dan hanya untuk kehidupan dunia sahaja.
Apabila Allah S.W.T mencipta manusia sudah pasti yang menciptakan manusia itu tinggi kuasaNya daripada makhluk.Sebagai makhluk sememangnya kita bersifat lemah dan sentiasa memerlukan hidayah,bimbingan dan pertolongan Allah S.W.T kerana kita yakin dan percaya tanpa ragu-ragu lagi bahawa Allah S.W.T yang mengatur kehidupan kita ,memberi rezeki kepada kita,mentadbir alam dan segala-galanya milik Allah.Firman Allah S.W.T:
" Hanya Engkau jualah ya Allah S.W.T yang kami sembah dan Engkau jualah ya Allah S.W.T yang kami minta pertolongan.
( Surah al-Fatihah ayat:5 )
Dalam pada itu,selain hubungan manusia dengan Allah S.W.T,Islam juga menggariskan peraturan hidup sesama manusia dalam rumahtangga,masyarakat dan social, serta negara.Islam bukan agama individu atau sekumpulan manusia,bahkan Islam adalah agama untuk semua manusia.
Jadi sesama manusia Islam mewujudkan sistem hidup yang praktikal di mana Islam meminta umatnya mengenali sesama sendiri,eratkan hubungan silaturrahim,lahirkan kasih saying,menyeru kebaikkan dan mencegah kemungkaran sebagaimana firmanNya:
" Kamu adalah sebaik-baik umat yang diutuskan,menyeru kepada kebaikkan,mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah S.W.T."
( Surah al-al-Imran ayat: 110 )
Sabda Rasulullah S.A.W:
" Tidak sempurna iman seserang kamu sehingga ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia kasih dirinya ."
Daripada ayat dan hadith di atas,dapat kita fahamkan bahawa umat Islam itu bersaudara dan ada hak serta tanggungjawab sesama sendiri.Ini adalah kerana Islam mahu semua umat Islam beriman kepada Allah S.W.T Tuhan yang berhak disembah.Ini dapat dibuktikan oleh Rasulullah S.A.W yang berusaha menyampaikan cara hidup Islam kepada manusia agar manusia iti tidak berada dalam kekufuran dan kejahilan.Apabila seseorang itu beriman kepada Allah S.W.T sudah pasti dia tidak ingin melihat saudaranya yang lain teraba-raba dalam kesesatan supaya semua umat Islam dapat menikmati keindahan rahmat Allah S.W.T di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
2. ISLAM TIDAK MEMBEBANKAN MANUSIA.
Adalah benar sama sekali bahawa Islam amat indah dan tidak membebankan kepada penganutnya dan seluruh manusia.Kalau kita huraikan persoalan ibadat kita kepada Allah S.W.T,Islam meletakkan perkara yang mampu dilakukan oleh umat manusia.Sebagai contoh kita lihat Rukun Islam yang lima dimana selepas mengucap dua Kalimah Syahadah,kita difardukan solat lima waktus sehari semalam dan solat adalah wajid ke atas setiap mukallaf.Jika seseorang itu tidak mampu berdiri kerana keuzuran,maka boleh dikerjakan secara duduk,jika tidak mampu duduk hendaklah secara mengiring atau baring menelentang ke arah kiblat dan seterusnya menggunakan isyarat mata.
Begitu juga kalau kita lihat pada puasa.Umat Islam hanya difardukan puasa wajib hanya sebulan dalam setahun iaitu bulan Ramadan.Kalau seseorang itu tidak mampu berpuasa disebabkan uzur,sakit atau yang seumpamanya,boleh ditinggalkan puasa dan dibayar fidyah.
Begitu juga Islam telah memberi rukhsah kelonggaran kepada orang musafir ,ibu-ibu yang mengandung dan menyusukan anak atau seumpamanya.Ini semua adalah suatu kemudahan yang Islam berikan kepada manusia dan sama sekali tidak menysusahkan umat manusia.Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T dengan firmannya:
" Allah S.W.T tidak membebankan manusia melainkan apa yang mampu oleh manusia"
( Surah al-Baqarah ayat: 286 )
FirmanNya lagi:
"Dan berjhadlah kamu pada jalan Allah S.W.T dengan jihad yang sebenarnya,Dialah yang memilih kamu mengerjakan suruhan agama dan Dia tidak menjadikan kamu kesusahan dalam agama Islam."
( Surah al- Haj ayat: 78 )
Di samping itu juga zakat yang diwajibkan ke atas orang Islam bukan diwajibkan ke atas semua orang Islam tetapi kepada mereka yang mempunyai nisab yang cukup begitu juga ibadat haji hanya mereka yang mampu sahaja.Dalam Islam ibadat yang kita lakukan seperti solat adalah penghapus dosa-dosa yang kita lakukan iaitu dosa kecil dan ibadat tadi meletakkan kita dekat kepada Allah S.W.T.sabda Rasulullah S.A.W yang berbunyi;
" Solat lima waktu adalah penghapus dosa di antara setiap solat.
Dalam apa sahaja aspek kehidupan manusia yang lain ,kita nampak Islam tidak membebankan kemampuan manusia malah apa yang Islam syariatkan adalah untuk memberi kesenangan dan kemudahan kepada manusia lebih-lebih lagi mendapat keredaan Allah S.W.T.Apa-apa yang ditegah oleh Islam adalah semata-mata untuk mencegah manusia daripada keburukkan atau penyakit yang tidak baik.Umpamanya Islam mengharamkan daging babi dan anjing serta sebarang bentuk minuman keras kerana makanan dan minuman tersebut tidak syak lagi mendatangkan penyakit dan memudaratkan tubuh badan dan akal manusia.
Begitu juga Islam mengharamkan riba,judi,zina dan seumpamanya kerana perbuatan tersebut mendatangkan keburukan pada keturunan manusia,tingkahlaku manusia dan hubungan sesama manusia.Malah apa yang diamalkan oleh mereka yang tidak mengikut acuan Islam makin buruk cara hidup mereka dengan pelbagai bentuk kemungkaran,penindasan,kekejaman dan kezaliman.
3. ISLAM MEMBAWA RAHMAT KEPADA MANUSIA.
Islam membawa rahmat kepada manusia bermakna Allah S.W,T amat kasih kepada manusia yang mana Allah S.W.T dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.Allah S.W.T tidak membiarkan manusia dalam kegelapan hidup.Bahkan Allah S.W.T menjadikan manusia dan pada masa yang sama diberikan segala keistimewaan dan rezeki.Rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T dibawa oleh Baginda S.A.W yang merangkumi seluruh isi alam sebagaimana firmannya:
"Dan tidak kami (Allah S.W.T ) utuskan Engkau Muhammad melainkan membawa rahmat ke seluruh alam."
( Surah al-Anbiya ayat: 107 )
Antara rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T yang begitu indah dalam Islam dan yang diberikan kepada manusia ialah:
Rahmat Iman dan Islam .
Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W memandu manusia beriman kepada Allah S.W.T Tuhan yang Maha Agong dan hanya Allah S.W.T Tuhan yang berhak disembah.
Islam mengeluarkan manusia daripada kejahilan dan kegelapan hidup kepada nur iman dan cahaya kebenaran hakiki dalam kehidupan.Firman Allah S.W.T:
" Allah S.W.T mengeluarkan manusia daripada kesesatan kepada cahaya Islam."
( Surah al-Baqarah ayat : 257 )
Rahmat Akhlak.
Islam datang untuk membetulkan keadaan akhlak manusia.Menyeru manusia membuang segala sifat kemungkaran yang berpunca daripada nafsu yang jahat dan godaan syaitan kepada sifat dan akhlak yang terpuji dan dipandang mulia oleh Allah S.W.T.Islam datang untuk menyucikan hati-hati manusia,menanam benih-benih nur iman dan hidayah.Kalau dahulu sebelum datangnya Islam,masyarakat hidup porak peranda.Kekuatan fizikal dan kabilah menjadi asas kepada penguasaan terhadap kaum yang lain.Manusia hidup dalam kesesatan yang nyata,boleh dikatakan sama dengan haiwan malah lebih teruk daripada haiwan.Ini berdasarkan firman Allah S.W.T
"Dan Rasulullah S.A.W menyucikan mereka dan mengajar mereka al-Quran serta hikmat yang selama ini mereka berada dalam kesesatan".
( Surah Al Imran ayat : 164 )
Dan adalah matlamat utama Islam agar manusia berakhlak mulia ,akhlak mahmudah dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah.Sabda Rasulullah S.A.W :
": Sesungguhnaya Aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia."
Rahmat Ilmu.
Untuk mengenali Allah S.W.T Tuhan yang berhak disembah,Islam mengajar manusia ilmu dan menyeru manusia agar berilmu pengetahuan yang hakiki yang dapat menjadi pelita hidup manusia untuk memilih jalan yang baik dan meninggalkan jalan yang sesat.Rasulullah S.A.W sendiri diajar oleh Malaikat Jibrail a.s bagaimana mengenal Allah S.W.T dan beribadat kepadaNya.Ilmu itu adalah asas kehidupan manusia setelah beriman kepada Allah S.W.T.Firman Allah S.W.T
"Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan semua makhluk.Yang menciptakan manusia dari sebuku darah yang beku."
( Surah al-Alak ayat :1 dan 2 )
Islam yang dicari oleh manusia amat berguna kepada manusia untuk memajukan diri ke tahap yang lebih baik.Dengan ilmu itu jugalah dapat manusia membangunkan tamadun hidup manusia yang berjalan dengan kehendak-kehendak Islam.
Bagi orang yang berilmu,Islam memberi kelebihan darjat istimewa di dunia mahupun di akhirat.Islam juga mengangkat martabat kedudukkan orang yang berilmu kepada kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T dan dihormati masyarakat.Sebagaimana firman Allah S.W.T.
"Allah S.W.T mengangkat kedudukkan orang yang beriman dan berilmu pada kedudukkan yang tinggi."
( Surah al-Al- Mujadalah ayat: 11 )
Islam Mengajar Cara Beribadat Yang Betul.
Sebelum kedatangan Islam,didapati masyarakat pada masa itu,meraba-raba mencari tuhan.Ada yang menyembah berhala patung,pokok,matahari ,sungai,manusia dan sebagainya.Ada juga manusia yang mengaku menjadi tuhan seperti Firaun,Haman dan lain-lain lagi.Dalam pada itu pula kita dapati cara beribadat mereka tidak sama antara satu sama lain dan sememangnya batil.Ada yang langsung tiada agama.Ada berhala yang mereka sembah itu bermacam-macam keadaan dan bentuk.Ada yang besar,kecil,tinggi ,rendah dan sebagainya.
Berhala yang mereka sembah adalah hasil buatan mereka sendiri dan mana-mana makhluk yang mereka sembah tidak dapat memberi apa-apa kebaikkan dan kemudaratan kepada manusia.
Sudah nyata pasti makhluk yang mereka sembah dan yang mengaku dirinya tuhan akan musnah dan binasa akibat keangkuhan dan ketakburan mereka terhadap nikmat Allah S.W.T.
Rahmat Kasih Sayang dan Persaudaraan Sesama Manusia
Islam itu indah kerana Islam membawa kasih sayang kepada mahkluknya dan Islam telah menggariskan panduan bahawa umat Islam adalah bersaudara dan juga Islam mengajar manusia agar bersatu padu setiap masa dan memperbetulkan setiap kesalahan sesama sendiri.Ini dijelaskan oleh Allah S.W.T:
"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara maka perbetulkanlah sesama kamu dan bertaqwalah kepada Allah S.W.T mudah-mudahan kamu mendapat rahmat."
( Surah al- Hujurat ayat: 10 )
Orang yang hidup dalam suasana kasih sayang sesama makhluk senantiasa mendapat rahmat Allah S.W.T.Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda:
"Kasihlah kamu sesiapa yang berada di bumi nescaya kamu akan dikasihi Allah S.W.T."
4. PAHALA DALAM IBADAT DIGANDAKAN.
Salah satu keistimewaan yang Allah S.W.T kurniakan kepada umat manusia yang beriman kepada Allah S.W.T ialah kelebihan pahala yang berlipat ganda.Kalau dilakukan satu perkara kebaikkan Allah S.W.T akan tambah dan gandakan pahala menjadi sepuluh kali ganda ,seratus kali ganda atau lebih daripada itu.Firman Allah S.W.T :
": Sesiapa yang membuat satu kebaikkan maka baginya sepuluh kebajikkan."
( Surah al-Anam ayat: 160 )
Kelebihan pahala itu adalah suatu rahmat yang Allah S.W.T kurniakan.Di akhirat kelak manusia yang pahalanya banyak dan berlipat ganda adalah orang-orang yang beruntung dan mendapat tempat dalam Syurga Allah S.W.T.Sesiapa yang banyak dosa atau kurang pahalanya maka balasan jahat adalah baginya dan Neraka adalah tempatnya.
Sebagai contohnya,solat yang lima waktu sehari semalan adalah bersamaan dengan lima puluh solat yang telah difardukan pada awalnya semasa Rasulullah S.A.W di Israk dan Mikraj.Selawat yang kita bacakan kepada Rasulullah S.A.W satu kali akan digandakan oleh Allah S.W.T sepuluh kali atau selebihnya.Ayat-ayat al-Quran yang kita baca juga digandakan oleh Allah S.W.T.Satu huruf ayat al-Quran yang kita baca diberi sepuluh kebajikkan sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang mafhumnya. " Sesiapa yang membaca satu huruf ayat al-Quran akan ditulis sepuluh kebajikan ,Aku tidak kata alif lam mim itu satu huruf tetapi alif satu huruf,lam satu huruf dan mim satu huruf.
Begitulah indahnya agama Islam yang diciptakan Allah S.W.T yang merupakan agama paling ideal dan nyata dengan keadaan manusia di mana Islam tidak payah diikuti dan menyediakan segala pengajaran yang sesuai dengan sifat-sifat yang ada pada manusia dan amat menyenangkan para penganut Islam.Demikian juga dalam perkara kebajikkan ,sedekah atau sumbangan yang kita hulurkan akan mendapat pahala yang berlipat ganda oleh Allah S.W.T.Ini jelas dinyatakan dalam firmanNya:
" Umpama orang yang berinfak(belanja) pada jalan Allah S.W.T adalah sama seperti satu biji benih yang tumbuh tujuh tangkal dan pada setiap tangkal itu terdapat seratus biji dan Allah S.W.T mengandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya."
( Surah al-Baqarah ayat : 261 )
Daripada ayat di atas,kita dapati Allah S.W.T menggambarkan orang yang berbelanja atau menghulurkan wang untuk kebaikkan ibarat satu benih yang tumbuh dengan tujuh tangkal dan pada satu tangkal itu seratus benih iaitu pahala kebajikkan.Hal yang sedemikian adalah merupakan balasan Allah S.W.T dan pahala yang amat besar.
Umat Nabi Muhamad S.A.W adalah semulia-mulia umat.Oleh yang demikian diharapkan pahala yang sebegini banyak yang Allah S.W.T kurniakan hendaklah direbut peluang dan berlumba-lumba untuk menambahkan pahala.Pahala itulah yang menjadi bekalan dan saham yang paling tinggi untuk mendapat keredaan Allah S.W.T dan menyelamatkan manusia daripada seksaan api neraka.
Nyata jelas sekali perbezaan Islam dengan agama-agama yang lain hasil ciptaan manusia.Agama-agama lain tidak menitik beratkan soal pahala dan kesudahan manusia di alam akhirat,kalau ada sekali pun ianya jauh berbeza sekali dengan apa yang ada pada Islam.
5. ISLAM MEMBINA TAMADUN MANUSIA YANG SEJATI.
Kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W telah mengubah corak hidup manusia daripada kesesatan kepada hidup bertamadun dan kebenaran hakiki.Allah S.W.T telah mengutuskan manusia di muka bumi ini adalah bertujuan menjadikan manusia khalifah untuk memajukan dan memakmurkan alam ini dan membina tamadun hidup manusia yang mulia.
Islam mengajar manusia membina tamadun berasaskan syariat Islam di mana kecemerlangan tamadun manusia bukan sekadar pencapaian fizikal malah pembangunan tamadun yang baik adalah berdasarkan pembangunan rohani manusia itu sendiri yang menjadi tunjang penting kepada pembangunan tamadun manusia.
Segala kemudahan yang Allah S.W.T kurniakan kepada manusia seperti air,udara,galian,tumbuhan dan sebagainya adalah sebagai bahan bantu kepada manusia untuk membangunkan tamadunnya sendiri.Setiap tamadun yang ingin dibina oleh manusia hendaklah ianya mendatangkan kebaikkan dan kesenangan kepada manusia.Inilah yang dianjurkan oleh Islam kepada manusia.Islam menekankan aspek kesejahteraan yang sebenarnya agar kehidupan manusia tidak dibelenggu oleh unsur-unsur kejahatan.
Dalam membangunkan corak hidup dan tamadun manusia Islam telah meletakkan beberapa peraturan yang perlu diikuti oleh manusia.
Antaranya pembangunan itu hendaklah berteraskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.Menegak kebenaran dan mencegah kemungkaran.Dalam pada itu juga pembangunan menurut perspektif Islam hendaklah berasaskan ilmu dan kemahiran serta berada dalam rahmat Allah S.W.T.Kalau peraturan itu tidak diikuti oleh manusia sudah pasti sesebuah tamadun itu tidak akan mencapai kejayaan yang diharapkan.
Sebagai contohnya,Rasulullah S.A.W telah berjaya mengasaskan sebuah tamadun manusia yang berasaskan iman dan taqwa kepada Allah S.W.T.Dengan ajaran Islam Baginda berjaya membina tamadun manusia yang cemerlang dan terkenal pada masa itu.
Kejayaan Baginda membina tamadun itu berpunca daripada kekuatan keimanan dan keredaan Allah S.W.T serta akhlak yang terpuji di kalangan para sahabatnya.Baginda berjaya mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar atas dasar persaudaraan Islam.Baginda juga berjaya menyatupadukan penduduk Madinah yang bersengketa,yang berbilang kaum,agama dan kabilah dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
Sebelum kedatangan Islam,memang jelas masyarakat Arab jahiliyyah hidup berpuak-puak lebih- lebih lagi sukar untuk membangunkan diri dan masyarakat disebabkan kejahilan soal iman dan ketiadaan akhlak yang murni.Kita dapati tiada kesan-kesan yang baik yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan manusia yang akan datang.Hidup yang tiada perubahan,jumud dan pasif adalah tidak dikehendakki oleh Islam.Islam itu maju dan mahukan umatnya juga maju tetapi hendaklah sejajar dengan dengan apa yang dibenarkan oleh Islam.
Daripada apa yang kita perhatikan,banyak kesa-kesan yang buruk timbul jika pembangunan tamadun manusia tidak mengikut prinsip-prinsip hidup Islam.Antaranya ialah lahir pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri.Golongan kaya dan berpengaruh dan yang tertentu sahaja akan mendapat tempat dalam masyarakat.Lahir manusia yang rakus,tamak,haloba,mementingkan diri sendiri,tiada perubahan yang hakiki dan tidak mempedulikan kebajikkan orang lain.Keadaan inilah yang kita nampak jelas perbezaan antara ajaran Islam dengan ajaran agama lain.
6. ISLAM MENEGAK KEBENARAN DAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.
Islam yang dibawa oelh Rasulullah S.A.W bertujuan membawa manusia beriman kepada Allah S.W.T.Menyeru manusia membuat kebaikkan dan mencegah melakukan kejahatan.Seandainya masyarakat tidak diajak membuat kebaikkan sudah pasti keburukkan dan kepincangan akan berlaku dalam masyarakat dan segala aspek kehidupan manusia.
Bila keburukkan berlaku dalam sesebuah masyarakat akan timbul pelbagai masalah,masyarakat tadi jauh daripada rahmat Allah S.W.T,tiada kebahagian hidup dan tiada jaminan untuk mencapai keharmonian dalam kehidupan.
Bagi tujuan itu,maka Islam mengajak umatnya sentiasa membuat kebaikkan tak kira di mana sahaja berada seperti bantu membantu,bekerjasama,tolenrasi,mengeluarkan zakat,sedekah dan Islam meminta agar manusia sentiasa menjauhi perkara mungkar yang dilarang oleh Islam seperti judi,zina,arak,fitnah,hasad dengki,bunuh membunuh dan sebagainya.
Allah S.W.T mengajak ke arah kebaikkan supaya manusia nanti akan mendapat kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan sama ada di dunia mahupun di akhirat.Firman Allah S.W.T yang berbunyi:
" Wahai orang-orang yang beriman rukuk dan sujuk serta sembahlah Allah S.W.T dan buatlah kebaikkan mudah-mudahan kamu akan mendapat kejayaan."
( Surah al-Haj ayat: 77 )
Mencegah kemungkaran dan menyeru kepada kebaikkan boleh dilakukan secara individu atau dilakukan secara berjamaah untuk mencapai hasil yang baik.
7. ISLAM MENJAMIN HAK ASASI MANUSIA.
Islam begitu indah sekali kerana Islam memberi kebebasan beragama .Islam tidak memaksa seseorang itu masuk agama Islam.Islam menghormati kebebasan beragama,Cuma Islam sentiasa mengajak manusia memilih agama Islam yang Allah S.W.T sendiri meredainya dan menjamin Islam itu sebagai cara hidup dan Islam menjamin kesejahteran di dunia dan akhirat.
Sesiapa sahaja boleh memilih mana-mana agama yang mereka sukai..Boleh mengadakan dan mengamalkan adat dan peraturan agama masing-masing walau bagaimanapun kebebasan itu mestilah tidak menganggu agama lain.Firman Allah S.W.T.
" Tidak ada paksaan untuk memasuki dalam agama Islam sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah."
( Surah al-Baqarah ayat : 256 )
Islam memberi kebebasan bersuara.Setiap manusia dibenarkan mengeluarkan pendapat dan pandangan masing-masing.Ini bermakna Islam tidak menyekat manusia bersuara kerana itu hak yang Allah S.W.T kurniakan kepada manusia.Kebebasan bersuara inilah yang banyak mencetuskan ilmu pengetahuan.Namun begitu pendapat yang dikeluarkan hendaklah bertujuan baik dan jangan mendatangkan kejahatan dan fitnah yang boleh menghancurkan agama dan masyarakat.
Islam juga membenarkan manusia mencari dan memilikki harta kerana manusia memang suka kepada harta.Harta yang dicari hendaklah secara halal dan tidak merampas hak orang lain.Islam telah menegaskan bahawa mencari harta dan dibelanjakan pada kebaikkan adalah suatu ibadat yang mendatangkan pahala.Dalam mencari harta mestilah ada keseimbangan di antara tuntutan rohani dan jasmani agar manusia itu mendapat kejayaan dunia dan akhirat.Firman Allah S.W.T:
"Apabila kamu telah selesai menunaikan solat maka bertaburanlah kamu mencari rezeki Allah S.W.T dan ingatlah Allah banyak-banyak mudah mudahan kamu akan mendapat kejayaan."
( Surah al-Jumaat ayat : 10 )
Dalam Islam seseorang itu mempunyai hak untuk hidup.Islam melindungi nyawa manusia daripada dibunuh dan Islam juga memperuntukkan undang-undang qisas untuk memelihara nyawa manusia.Di samping itu Islam mengajak manusia sentiasa menjaga kesihatan badan dan kebersihan bagi mengelakkan penyakit yang boleh membawa kematian.
Islam juga melarang orang orang beriman melakukan sebarang kerosakkan dan kejahatan yang menjatuhkan maruah kehormatan seseorang kerana manusia itu walau pun berbeza warna kulit,rupa paras dan kaya miskin mereka adalah sama di sisi Allah S.W.T.Oleh itu Islam menjaga kehormatan manusia.Pengharaman zina dan sebagainya adalah satu cara Islam menjaga kehormatan manusia agar tetap terpelihara.
Dalam pada itu juga Islam memelihara harta umat manusia di mana Islam telah mengenakan hukuman potong tangan kepada pencuri agar dapat memberi pengajaran dan menakutkan orang ramai daripada mencuri,merompak,merampas hak oramng lain dan memilikki harta secara haram.Begitu juga Islam mewajibkan zakat kerana zakat itu adalah jalan yang baik untuk menyucikan dan menyuburkan harta seseorang.
Dalam agama Islam tidak pernah ada keganasan malah Islam mengutamakan keamanan dan kedamaian serta menegakkan kesejahteraan manusia.Pendapat yang mengatakan Islam ganas dan sentiasa berperang adalah tidak benar.Peperangan yang disyariatkan dalam Islam adalah untuk mempertahan maruah Islam dan umat Islam itu pun setelah Islam diserang atau tercabar kesuciannya.Dalam peperangan sekiranya pihak musuh menawarkan perdamaian,tentera Islam hendaklah menerima tawaran perdamaian tersebut.Firman Allah S.W.T.
" Dan jika mereka condong kepada perdamaian maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah S.W.T .Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
( Surah al-Anfal ayat: 61 )
Islam tidak memusuhi orang kafir yang tidak bermusuh dengan Islam yang tinggal di negara Islam.Sebaliknya mereka dijamin hak untuk hidup bersama-sama orang Islam.Bagi mengekalkan kedamaian dan kesejahteran hidup,Islam mendidik umatnya berakhlak mulia dan mengutamakan keadilan dalam setiap perkara hidup manusia.Akhlak buruk adalah sama sekali dilarang oleh Islam kerana ia boleh merosakkan perhubungan antara anggota masyarakat.
KEISTIMEWAAN ISLAM
Islam merupakan agama yang paling istimewa dan praktikal dengan kehidupan manusia dan menepati kehendak naluri sifat semulajadi manusia.Keindahan dan keistimewaan Islam dapat dilihat pada beberapa aspek yang menjadikan Islam itu sebagai sebuah agama yang menjadi dasar kehidupan umat manusia.
1. RABBANIYYAH ( KETUHANAN )
Rabbaniyyah bermakna Islam yang merangkumi hukum hakam,konsep,prinsip dan nilai-nilai peraturan hidup manusia adalah mutlak milik Allah S.W.T.Islam agama Allah S.A.W sebagaimana keterangan pada bab yang lepas dan agama-agama yang lain tidak diterima oleh Allah S.W.T sebagaimana firmanNya:
" Sesungguhnya agama yang diredai Allah S.W.T ialah agama Islam"
( Surah Al Imran ayat : 19 )
Dan firmanNya:
" Sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam maka dia termasuk dalam golongan mereka yang rugi di akhirat nanti"
( Surah al-Imran ayat : 85 )
Islam dicipta oleh Allah S.W.T Manakala agama-agama lain adalah hasil ciptaan idea dan falsafah serta pandangan manusia.Sesiapa yang menganut agama lain adalah sesat.
Islam adalah satu pegangan yang jitu,bersih daripada kejahilan dan dorongan hawa nafsu.Ini bermakna Islam adalah agama yang sempurna dan indah dalam segala aspek kehidupan manusia baik soal bermasyarakat,ekonomi, politik,sosial dan sebagainya.
Perlu ditegaskan bahawa Islam dan semua makhluk ciptaanNya adalah mutlak milik Allah S.W.T.Seandainya berlaku bala bencana yang Allah S.W.T berikan hendaklah manusia itu mengucapkan pengakuan bahawa semua makhluk milik Allah S.W.T dan semua akan kembali kepadaNya.Dalam pada itu apabila kita menyatakan Islam milik Allah S.W.T maka perlu kita menyakini bahawa Allah S.W.T jualah yang memberi dan menetapkan peraturan hidup manuisa yang wujud terkandung dalam al-Quran dan Hadith serta Sirah Rasulullah S.A.W.
2. SYUMULIYYAH ( LENGKAP )
Syumuliyyah bermakna bahawa Islam itu lengkap dan sempurna malah tiada cacat celanya yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia.Segala apa yang diterangkan oleh Islam adalah benar dan nyata belaka.Segala apa yang dihadapi oleh manusia semuanya terdapat penyelesaian dalam al-Quran sedikit pun tidak ditinggalkan.Allah S.W.T mengetahui kehendak dan kekurangan manusia maka dengan sebab itulah manusia diberi peraturan hidup yang mampu memenuhi keperluan manusia.
Sebagai contohnya kalau seseorang itu ingin bersosial sudah ada peraturan yang digariskan oleh Islam seperti haram pergaulan lelaki dengan perempuan,haram mendedahkan aurat dan sebagainya.
Kalau ingin maju dalam pentadbiran,ekonomi,kebudayaan atau sebagainya,maka sudah ada peraturan yang Islam letakkan hanya perlu mendalami isi al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.Oleh yang demikian manusia hanya perlu tunduk dan patuh kepada segala perintah dan peraturan Islam kerana apa-apa yang disarankan oleh Islam adalah semata-mata memberi kebahagian hidup manusia dunia dan akhirat.
Peraturan dan perundangan Islam adalah seimbang dan mudah dalam semua perkara.Islam telah menyediakan segala kemudahan dan pilihan dalam menyelesaikan masalah sebagai contoh kalau tiada air untuk berwuduk maka boleh bertayammum.
3. WAQIIYYAH ( BENAR DAN NYATA )
Al-Waqiiyyah bermksud ajaran Islam adalah bersifat praktikal dan sesuai diamalkan dalam kehidupan manusia.Apa-apa persoalan yang ditimbulkan oleh manusia yang bersangkut paut dengan kehidupan mereka dapat diselesaikan oleh Islam melalui ajaran-ajarannya yang benar lagi tepat sekali.
Masalah kehidupan manusia adalah dalam pengetahuan Allah S.W.T dan Dia sahajalah yang berkuasa menyelesaikan masalah yang dihadapai oleh manusia .Misalnya bagi menyelamatkan nasab dan keturunan manusia Islam menyarankan berumahtangga dan mengharamkan zina serta meletakkan hukum rejam atau sebat bagi penzina dengan tujuan menjaga kehormatan manusia.
Sehubungan dengan itu juga Islam memberi ruang kepada manusia untuk berfikir bagi memajukan tamadun manusia dan ilmu.Islam menggalakkan manusia bersikap positif,kreatif.inovatif dan mempunyai wawasan untuk kemajuan di mana kemajuan hendaklah seimbang dengan keperluan rohani.
Ajaran Islam tidak ada kesangsian dan syak wasangka pada kebenaran dan perlaksanaanya.Segala peraturan yang di buat oleh Islam sama ada ibadat,sosial,pentadbiran dan seumpamaya adalah begitu indah dan menepati kehendak manusia.
4. ALAMIYYAH ( SARWAJAGAT )
Alamiyyah bermaksud ajaran Islam adalah sesuai untuk semua manusia tanpa mengira bangsa,keturunan,warna kulit,tempat dan zaman.Allah S.W.T sesungguhnya telah memuliakan manusia dengan pelbagai nikmat rezeki dan kemudahan dengan memudahkan manusia menjalankan urusan pentadbiran di bumi ini sebagai khalifah.
Alamiyyah Islam membawa keadilah yang sejagat kepada seluruh alam terutamanya manusia.Keadilan Islam bukan hanya terbatas kepada individu ,puak,keturunan,warna kulit dan sempadan malah keadilan Islam adalah alamiyyah iaitu menyeluruh.Oleh itu Islam memerintahkan umat manusia menegakkan keadilan dalam setiap urusan manusia,rumahtangga,masyarakat dan negara.Keadilan Islam hendaklah ditegakkan tanpa mengira kawan atau lawan sesama Islam atau bukan Islam.
Ini terbukti apabila Rasulullah S.A.W telah menolak diringankan hukuman potong tangan ke atas Fatimah binti al-Aswah seorang wanita golongan bangsawan Bani Makhzum yang telah mencuri.Demikian juga diriwayatkan bahawa Baginda S.A.W sendiri akan memotong tangan anaknya Fatimah sekiranya dia mencuri.
Sudah jelas dan amat nyata sekali kepada kita bahawa Islam itu adalah agama yang indah dan memenuhi kehendak manusia.Islam menjamin kehidupan yang hakiki dan memberi kesejahteraan abadi kepada manusia di akhirat.
PENUTUP
AlHamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah S.W .T kerana dengan limpah rahmatNya dan keizinanNya maka dapatlah saya mengarang buku agama ini yang bertajuk " Islam Agama yang Indah".
Hasil yang telah saya muatkan dalam buku ini adalah merupakan satu bahagian sahaja daripada karangan saya mengenai tajuk di atas dan insya Allah saya akan meneruskan lagi karangan saya untuk menyambung beberapa lagi bahagian yang penting di mana ianya sesuai dengan tajuk " Islam Agama Yang Indah ".
Saya berharap buku yang saya karangkan ini dapat memberi manfaat kepada pembaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai agama Islam dan keindahan serta keistimewaan yang dibawa oleh Islam kepada seluruh alam khasnya kepada umat manusia.
Saya mengucapkan ribuan penghargaan terima kasih kepada isteri saya Rohaida bte Mohd Ela,anak-anak saya Muhammad Luqman Hakim dan Muhammad Tirmizi di atas sokongan mereaka, dan kepada Pn.Hjh.Jamiliah bte Md.Noh pengetua SMK Tun Aminah yang banyak memberi galakkan dan pendorong untuk saya mengarang buku ini dengan baiknya.
Mudah-mudahan buku ini juga menjadi salah satu cara untuk saya berdakwah mengajak manusia kepada menghayati keindahan Islam yang diredai Allah S.W.T.
Mohd Saudi Abdullah
SMK Tun Aminah
Batu Pahat.Johor.
5 OKTOBER 2000 / 7 REJAB 1421
1.Tafsir pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian al-Quran.Terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
2.Al-Mujam al-Mufahras Lil alfazi al-Quran al-Karim .Muhamad Fuad Abdul al-Baqi.
3.Tasawwur Islam SPM.Zulkifli Ahmad.Terbitan pustaka Reka 1997.