KARANGAN  JENIS PENDAPAT/PERBINCANGAN

BAGAIMANA SAINS MEMBERI BANTUAN KEPADA PETANI-PETANI MODEN DI KAMPUNG

Pada zaman dahulu, para petani terikat dengan cara–cara bertani yang tradisional dan ketinggalan zaman. Cangkul, parang, bajak, tenaga manusia dan binatang merupakan alat-alat yang digunakan bagi menambahkan hasil pertanian mereka. Mereka terpaksa berhadapan dengan ancaman bencana alam seperti banjir dan kemarau serta serangan binatang liar dan serangga perosak tanaman.

Dengan perkembangan yang pesat di bidang Sains dan Teknologi, berbagai-bagai cara dan alat telah dicipta oleh ahli-ahli sains untuk membantu para petani mengeluarkan hasil mereka yang berlipat-ganda.Misalnya baja-baja kimia yang berkesan untuk menambahkan hasil pertanian mereka. Manakala pelbagai jenis ubatan dan racun juga dicipta untuk memerangi musuh tanaman seperti serangga, tikus, tiak dan sebagainya.

Ahli-ahli sains juga telah menciptakan jentera-jentera yang amat berguna seperti trektor (jenis Catapillar) dan jentera-jentera bajak bagi memudahkan kerja-kerja membajak. Dengan adanya jentera-jentera ini, para petani dapat membuka kawasan pertanian baru yaang lebih luas dan dapat menjimatkan masa, kos serta tenaga manusia.Alatan dan jentera menuai padi seperti Ezeki sering digunakan untuk membantu para petani mengutip hail padi  yang biasanya dapat membereskan kerja dalam masa sehari sahaja menggantikan kerja yang biasa yang dilakukan oleh tenaga manusia.

Pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian, RISDA, FELCRA dan FELDA sering melawat kampung-kampung memberi nasihat kepada para petani tentang cara-cara  bertani yang lebih berkesan. Sementara itu para petani dapat memasarkan hasil pertanian mereka dengan mudah terus kepada syarikat-syarikat pemasaran seperti FAMA dan lain-lain pertubuhan peladang tanpa melalui orang tengah. Para petani juga boleh menyalurkan segala masalah dan keperluan mereka melalui agensi-agensi dan saluran yang tertentu.

Penyelidikan–penyelidikan yang dilakukan oleh ahli-ahli sains telah benyak memberi faedah kepada kaum petani. Dari segi pemilihan biji benih misalnya, para petani akan dibekalkan dengan biji-biji benih yang baik dan bermutu . Dengan cara ini kaum petani dapat menanam padi dua atau tiga musim setahun serta menghasilkan perolehan yang berlipat-ganda. Oleh yang demikian jelas kepada kita, sains telah memberi faedah yang tak ternilai kepada kaum petani di kampung-kampung.

Sebagai kesimpulan, sains telah membawa kemajuan yang besar kepada kaum petani dari semua segi. Ciptaan-ciptaan sains telah membantu memudahkan kerja-kerja mereka dan akhirnya meningkatkan sumber pendapatan harian.
 

KARANGAN J ENIS PERIBAHASA

BERAKIT-RAKIT KE HULU, BERENANG-RENANG KE TEPIAN

Di kampung saya tinggallah seorang anak penoreh getah bernama Ilham. Ilham tinggal dalam sebuah keluarga yang susah. Dia mempunyai dua orang adik yang masih bersekolah.Semasa kecilnya Ilham membantu ayahnya menoreh getah untuk menampung perbelanjaan persekolahan dan keluarganya. Kadang-kadang Ilham tidak hadir ke sekolah disebabkan kesempitan hidup, begitu juga adik-adiknya yang lain. Apabila pulang dari sekolah waktu petang dia pergi pula mengambil upah mencari kayu api. Tetapi pada waktu malam dia menumpukan sepenuh perhatian dan  untuk mengulangkaji pelajaran.

Setelah tamat sekolah rendah Ilham telah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh di ibu kota. Di  sana Ilham terpaksa bekerja sampingan di pasar borong milik seorang taukeh berbangsa Cina dengan upah yang tidak seberapa. Namun Ilham terus tabah dan bekerja dengan rajin untuk membantu menyara adik-adiknya yang juga sedang bersekolah. Ilham kurang mendapat dorongan dari kedua orang tuanya kerana mereka masih belum sedar betapa pentingnya ilmu pengetahuan. Namun atas keazaman yang tinggi dan cita-cita yang berkobar-kobar menjadikan Ilham terus berjuang dan   berusaha gigih menghadapi seribu satu jenis cabaran.

Malang terus menimpanya apabila dia kehilangan ibu yang menjadi tempat tempat mengadu dan mencurahkan hasrat dan cita-citanya ketika hendak menghadapi peperiksaan SPM. Mujur masih ada ayah sebagai tempat mencurah kasih. Namun ayahnya seringkali menghalang hasrat Ilham untuk terus melanjutkan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi.

Demi masa depan yang diharap-harapkan , dia terpaksa melupakan segala kisah duka yang sedang dialaminya dan menupukan sepenuh perhatian terhadap pelajarannya.Akhirnya apabila keputusan peperiksaan diumumkan dia menjadi slah seorang pelajar terbaik di sekolah. Setelah lulus peperiksaan  itu ayahnya yang tidak begitu memikirkan masa depan anaknya terus mendesak supaya Ilham berhenti sekolah dan bekerja untuk menyara keluarga dengan alasan dia sudah terlalu uzur.Dengan desakan yang bertubi-tubi itu Ilham terpaksa berhenti dari sekolah walaupun hatinya berkeras tidak mahu. Akhirnya Ilham telah mendapat kerja yang baik dengan gaji yang lumayan hasil keputusan peperiksaannya yang cemerlang itu. Namun semangatnya tidak pernah luntur untuk meneruskan pengajiannya ke peringkat tertinggi.

Lantas Ilham telah mengambil peperiksaan untuk memenuhi segala cita-citanya selama ini. Dalam peperiksaan kali ini Ilham telah berjaya dengan cemerlang dan ditawarkan melanjutkan pelajaran ke di salah sebuah universiti di Australia dalam bidang kejuruteraan. Ilham amat gembira dan dia tidak melepaskan peluang ini walaupun ditentang hebat oleh ayahnya. Di sana dia telah mendapat biasiswa di samping turut melakukan kerja sampingan seperti memetik buah-buahan di musim bunga untuk perbelanjaan diri dan adiknya dan keluarga di kampung. Setelah lima tahun, akhirnya Ilham berjaya menamatkan pengajiannya sebagai seorang jurutera dan pulang ke tanahair dengan segulung ijazah. Sekarang dia telah menjawat jawatan jurutera profesional dan berkhidmat di Kuala Lumpur. Dia amat bersyukur dan hidup gembira dengan hasil titik peluhnya bersusah-payah belajar dahulu.

Dari cerita tersebut bolehlah diambil tauladan bahawa usaha gigih dan keazaman yang tidak mengenal erti kekecewaan  penting untuk mencapai cita-cita. Ibarat kata pepatah: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian.
 

KARANGAN JENIS KEPERIHALAN/GAMBARAN

Pengalaman mengunjungi puncak bukit atau gunung.

Pada musim cuti semester yang lalu, saya dan keluarga telah mengunjungi Bukit Bendera yang terletak di Pulau Pinang. Ia merupakan sebuah pusat pelancongan yang termasyhur di negara kita.Kunjungan ke Pulau Pinang tidak akan lengkap tanpa mendaki Bukit Bendera.

Pada hari tersebut kami sekeluarga tiba awal di kaki Bukit Bendera. Namun begitu, ramai pengunjung yang telah mula berbaris. Kami turut beratur untuk mendapatkan tiketkereta api bukit. Setelah berbaris kira-kira sejam untuk mendapatkan tiket kami terpaksa berbaris pula untuk menunggu giliran menaiki kereta kabel yang disediakan. Sebaik saja pintu koc dibuka, orang ramai berebut-rebut mendapatkan tempat duduk. Saya agak kurang bernasib baik kerana terpaksa berdiri  sepanjang pendakian. Kereta kabel mula bergerak perlahan, namun makin lama makin tinggi. Saya mula terasa suasana dingin.Kira-kira pukul 11.30 pagi kami sampai di puncak Bukit Bendera.

 Suasana di puncak Bukit Bendera sungguh indah dan nyaman.Dari puncak bukit itu saya dapat melihat keindahan bandar raya Gerorgetown. Bangunan-bangunan tinggi bagaikan kotak-kotak kecil yang berselerak. Dari jauh saya dapat melihat Jambatan Pulau Pinang yang menghubungkan Pulau Pinang dengan Tanah besar. Kelihatan juga beberapa buah feri yang sarat membawa muatan.Saya terpesona menyaksikan keindahan bandar raya ini.

Setelah itu, kami sekeluarga mengambil kesempatan untuk bergambar di beberapa kawasan yang menarik. Walaupun matahari sudah semakin tinggi namun kami tidak berasa begitu panas. Saya dapat merasakan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menyamankan suasana.Pelbagai jenis bunga sedang mekar di taman dapat dilihat. Setelah penat berjalan kamisekeluarga berehat di bawah sepohon pokok yang rendang sambil menikmati udara segar.

Setelah puas berehat kami sekeluarga menikmati makan tengahari di sebuah restoran. Setelah itu kami pergi melawat tempat-tempat menarik yang meninggalkan pelbagai sejarah. Dua laras meriam purba yang menghala ke arah Selat Melaka milik penjajah Inggeris,telah dipamerkan di kawasan yang agak tinggi. Menurut bapa, Bukit Bendera telah dijadikan markas pertahanan British semasa Inggeris memerintah Pulau Pinang dahulu. Kami juga turut membeli pelbagai jenis ole-ole sebagai tanda kenangan untuk rakan-rakan karib di sekolah.

 Kami juga mengambil kesempatan untuk bersolat Zohor di sebuah masjid berdekatan yang mempunyai reka bentuk yang unik.Setelah hampir lima jam di Bukit Bendera kami membuat keputusan untuk menuruni bukit itu.Saya berasa amat gembira walaupun keletihan. Mungkin suatu hari nanti saya akan kembali lagi ke sana.
 

KARANGAN JENIS  LAPORAN

LAPORAN  SAMBUTAN HARI GURU.

Sambutan Hari Guru Sekolah Menengah Raja Ahmad

Pada tanggal 16 Mei 2002 yang lalu telah berlangsung sambutan Hari Guru di peringkat sekolah. Dua oran g tetamu kehormat pada hari itu ialah Tuan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Encik Salahuddin bin Basri dan Tuan Pengerusi Pengelola sekolah, iaitu Tuan Haji Akashah bin Ismail. Pelbagai acara telah diatur bagi memeriahkan majlis tersebut.

 Tepat pukul 8.00 pagi, semua hadirin telah berkumpul di Dewan Sri Istana 1. Upacara dumulai dengan acara menaikkan benderaMalaysia sambil menyanyikan ‘Lagu Negaraku’. Pengetua telah membacakan perutusan daripada Y.B Menteri Pendidikan Malaysia diikuti oleh perutusan daripada Yang Berbahagia Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Selepas itu para hadirin berpeluang mendengan ucapan-ucapan daripada tetamu kehormat dan wakil pelajar. Setelah itu Tuan Pengetua pula dijemput untuk membalas ucapan penghargaan dan sanjungan. Ucapan ini diakhiri dengan nyanyian lagu “Guru Malaysia” oleh semua guru yang hadir.

Selepas itu acara persembahan bermula. Tirai pembukaan dimulai dengan persembahan pasukan pancaragam sekolah yang begitu menarik perhatian para hadirin.Beberapa buah lagu patriotik telah didendangkan oleh pasukan ini.Sterusnya diikuti oleh persembahan akrobatik daripada Kelab Akrobatik sekolah. Setelah itu ahli-ahli taekwando  pula memperlihatkan aksi-aksi mempertahankan diri yang begitu hebat. Sebuah sketsa turut dipersembahkan oleh Persatuan Seni dan Budaya. Sebuah sketsa yang begitu menarik berjudul ‘Seketika bersamamu Cikgu Siti’, telah membawa hadirin sama-sama mengimbau kenangan suka duka di alam persekolahan. Setelah itu sebuah sajak khas untuk para guru berjudul ‘Pendidikku’ telah dideklamasikan oleh juara penyajak sekolah dengan penuh bersemangat.

Selain daripada itu kumpulan Tari Gemalai sekolah turut mempersembahkan beberapa buah tarian asli untuk tontonan hadirin. Acara terakhir untuk hari itu adalah persembahan Fesyen Pakaian Lelaki yang telah dijayakan oleh pelajar lelaki kelas 3 Zamrud. Seramai 10 orang pelajar telah memperagakan pelbagai fesyen pakaian yang menarik. Mereka telah menunjukkan gaya dan bakat yang tersendiri dalam memperagakan pakaian masing-masing.Pertunjukan ini telah mendapat perhatian dan tepukan gemuruh daripada para hadirin. Acara tamat pada pukul 1.30 petang dan diikuti pula dengan acara padang yang bermula pada pukul 2.30 petang.

Acara padang yang tidak asing lagi adalah perlawanan bola jaring di antara pelajar dan guru perempuan manakala perlawanan tarik tali untuk guru lelaki. Pertandingan ini berlangsung dengan penuh aksi dan kemesraan antara pelajar dengan guru amat ketara pada masa ini. Acara penutup telah dilaksanakan oleh Tuan Pengetua pada pukul 4.30 petang.  Satu jamuan ringan telah diadakan. Sesungguhnya perayaan ini telah memupuk semangat bekerjasama dan muhibbah antara guru-guru dan para pelajar.

‘Guru Teras Kecemerlangan Wawasan’

Sekian, terima kasih.

Dilaporkan oleh,

……………………………..
(NUR ALIAH BINTI JAMAL)
Setiausaha
Badan Pengawas
Sekolah Menengah Raja Ahmad
 

KARANGAN JENIS UCAPAN/SYARAHAN/CERAMAH

Sebagai guru kaunseling anda diminta menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar di sekolah menengah  bertujuan menyedarkan muda mudi tentang keruntuhan moral pada masakini.

Salam sejahtera kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengan Raja Ahmad, guru-gura yang dihormati dan para pelajar yang dikasihi sekelian.
Bersyukur saya kwe hadrat Ilahi kerana dengan izinNya kita dapat bersma-sama di dalam majlis ini. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah yang telah memberikan peluang kepada saya untuk berceramah pada pagi ini.Tajuk ceramah saya pada hari ini adalah ‘Keruntuhan Moral Muda Mudi menyebabkan Kehancuran Masyarakat’.
Para pelajar dan hadirin sekalian,

Akhlak adalah merujuk kepada sifat atau tabiat dalam jiwa seseorang. Akhlak ini didorong oleh pertimbangan akal samada yang baik atau buruk. Keruntuhan akhlak pula merujuk kepada menjurus ke arah melakukan maksiat dan kejahatan yang bertentangan dengan perintah Allah.Sementara itu kehancuran masyarakat pula bermaksud memusnahkan sesuatu kaum atau bangsa. Kesimpulannya di sini umat islam dan bangsa kita akan hancur jika mereka membiarkan diri mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Para hadirin sekalian,

Dewasa ini semakin ramai muda mudi yang yang terlibat dengan gejala sosial seperti dadah, arak dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Segala tingkah laku sumbang mereka dilakukan tanpa rasa segan dan malu.Mereka seolah-olah terlupa bahawa mereka beragama Islam.Gejala-gejala ini akhirnya akan membawa kepada keruntuhan akhlak. Golongan pelajar akan hilang minat untuk belajar dan yang sudah bekerja akan hilang minat bekerja.

Budaya lepak, isu bohjan dan bohsia di kalangan remaja semakin menular bukan saja diibu kota malah di bandar-bandar kecil. Adakah mereka tidak tahu akan risikonya? Pada pendapat saya mereka tahu akan padahnya tetapi syaitan telah menguasai diri dan pemikiran. Kes-kes jangkitan HIV akibat perbuatan maksiat telah mengakibatkan mereka menderita sepanjang hayat. Mereka menjadi sampah masyarakat dan langsung tidak dapat memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

Para pelajar sekalian,
Islam telah mengajar umatnya supaya teguh berdissiplin, berhemat tinggi, bersopan santun dan menjauhkan sifat riak dan bangga diri.Sebagai contoh semasa berpuasa umat Islam telah menunjukkan disiplin yang tinggi dengan melawan nafsu zahir dan batin.Dari segi pakaian pula  , Islam mewajibkan umatnya menutup aurat. Bagi gadis-gadis dan wanita yang sanggup mendedahkan aurat telah melupakan tuntutan agama agar berakhlak mulia. Ini telah membawa kepada berlakunya kes-kes rogol dan perkosaan. Da antara mereka yang terus hidup terepsong dan terjerumus ke lembah hina.Jadi kaum wanita mestilah mempunyai akhlak yang dikehendaki Islam bagi menghindari kes-kes begini.

Umat Islam juga dilarang mengamalkan pembaziran. Kita dituntut mengamalkan sikap sederhana dari semua aspek kehidupan.Namun hari ini semakin ramai yang terus berlumba-lumba mencari kekayaan dan kemewahan hidup.Tetapi mereka lupa untuk menderma kepada yang memerlukan. Mereka mementingkan pangkat dan darjat hingga menjadi  tamak haloba. Saban hari hidup berpoya-poya  dengan menghabiskan wang mereka di meja judi dan kasino. Sikap masyarakat Islam  yang alpa seperti ini hanya akan membawa kehancuran masyarakat keseluruhannya.

Para hadirin sekalian,
Setakat ini dahulu untuk kali ini. Saya berharap agar ceramah ini dapat menyedarkan para pelajar akan pentingnya maruah dan akhlak diri. Akhir kata jauhkan diri anda dari akhlak yang mazmumah.

Sekian terima kasih.
 

KARANGAN JENIS WAWANCARA

Sebagai wartawan akhbar tempatan, anda ditugaskan menemu bual seorang pegawai kebajikan masyarakat untuk mendalami punca-punca tercetusnya gejala penganiayaan kanak-kanak serta cara mengatasinya.

Wartawan : Assalamualaikum Encin Kamil. Saya Suraya daripada Beita Harian. Saya ingin mengucapka terima kasih atas kesudian Encik Kamil menerima kunjungan kami untuk sesi temubual ini.

En. Kamil : Waalaikumsalam dan terima kasih kembali.

Wartawan : Encik Kamil, kini banyak orang bercakap tentang kes penganiayaan. Tapi apa sebenarnya yang difahamkan dengan kata ‘penganiayaan’ini?

En. Kamil : Oh,…penganiayaan dapat ditakrifkan sebagai apa-apa tindakan yang bersifat menyakitkan termasuk penderaan fizikal seperti memukul, menendang, menyucuk benda tajam dan sebagainya.Manakala penganiayaan mental pula termasuklah pengabaian kasih sayang, penghinaan dan sebagainya.

Wartawan :Encik Kamil menyatakan penganiayaan ini meliputi tindakan yang menyakitkan. Bagaimana pula dengan tindakan ibu bapa yang memukul anak-anak untuk tujuan mendidik?

En.Kamil : Sudah tentu tidak kerana tindakan itu disertai dengan rasa tanggungjawab dan kasih sayang, bukannya rasa marah dan niat mencederakan.

Wartawan : Mengapa penganiayaan ini boleh berlaku sedangkan negara kita semakin maju dan taraf pendidikan semakin tinggi?

En.Kamil : Daripada kajian yang dibuat didapati ada dua punca utama iaitu tekanan hidup dan masalah-masalah peribadi yang dihadapi para pendera seperti ibu bapa atau ahli keluarga lain.Tekanan hidup akibat kemiskinan menjadi punca dimana ibu bapa menanggap anak-anak sebagai beban hidup mereka.Oleh itu pelbagai karenah dan kenakanlan anak-anak akan menambah lagi tekanan mereka hingga ada yang sanggup mencederakan anak-anak sendiri. Kajian juga mendapati kes-kes penderaan lebih ketara berlaku dikalangan keluarga yang berpendapatan rendah.

Wartawan: :Tetapi ada juga kes penganiayaan yang berlaku di kalangan keluarga berada. Bagaimana dengan hal ini?

En.Kamil : Memang betul kata saudari itu. Dalam kes begini faktor peribadi lebih menjadi punca utama. Sesetengah pendera terlibat dalam penagihan dadah dan alkohol yang mana sewaktu ketagihan mereka menjadi kurang waras. Selain itu perpecahan rumahtangga juga menjadi punca. Ibu bapa yang sering bergaduh, bercerai dan berkahwin lain misalnya. Dalam hal ini kes penderaan anak-anak tiri kerap terjadi.

Wartawan : Nampaknya gejala ini semakin meruncing, jadi apa agaknya langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengatasi masalah ini?

En Kamil : Ya di sini terdapat tiga bahagian strategi yang boleh diambil iaitu tindakan undang-undang, pendidikan dan penglibatan anggota masyarakat. Dari segi perundangan, hukuman yang lebih berat telah digubal iaitu hukuman penjara, denda dan sebat.Dengan ini kita berharap orang ramai akan takut untuk melakukan penderaan. Dari segi pendidikan pulaJabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam telah menawarkan khidmat nasihat dan kaunseling kepada mereka yang mempunyai masalah keluarga. Disamping itu, kempen-kempen kesedaran juga telah diadakan melalui media massa  dan sebagainya. Begitu juga dengan anggota masyarakat patut melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mendapat tahu kes-kes seperti ini berlaku.

Wartawan :  Baiklah En Kamil. Nampaknya sudah panjang lebar penerangan tentang isu ini. Semoga penerangan ini memberikan faedah kepada kita semua. Terima kasih.

Encik Kamil : Mudah-mudahan dan sama-sama.
 
 

KARANGAN JENIS FAKTA

Terangkan cara-cara mengatasi masalah penagihan najis dadah di kalangan belia Malaysia.

Masalah penagihan najis dadah di kalangan belia bukan lagi satu isu yang baru. Penagihan najis dadah mendatangkan kesan negatif kepada individu, menggugat keharmonian dan kemajuan masyarakat serta negara.

Penagihan najis dadah perludihapuskan daripada beterusan, langkah-langkah tegas perlu diambil. Langkah utama ialah memberi didikan agama yang secukupnya  kepada anak-anak. Didikan agama yang senpurna dapat mengelakkan belia daripada terjerumus ke elmbah penagihan najis dadah. Kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa dalam pendidikan anak-anak amatlah penting. Kemewahan wang ringgit semata-mata tidaklah memadai.

Selain itu, guru-guru di sekolah patut memberi penerangan tentang bahayanya najis dadah kepada para pelajar bermula dari peringkat pendidikan tahap rendah lagi. Di samping itu, kegiatan ko-kurikulum yang diadakan di sekolah  juga penting bagi memenuhi masa lapang para pelajar. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membentuk peribadi pelajar dengan baik disamping dapat menghindarkan diri mereka daripada najis dadah.

Masa yang terluang sewaktu di sekolah hendaklah diisi dengan sebaik-baiknya, contohnya dengan menyertai kelab dan persatuan di sekolah seperti Kelab Komputer, Kelab Kerjaya dan sebagainya. Dengan menyertai aktiviti persatuan dan kelab ini akan mendorong para pelajar melakukan perkara-perkara yang berfaedah sahaja. Oleh yang demikian masa yang terluang tidaklah terbuang dengan sesia sahaja.

 Masyarakat sekeliling juga memainkan peranan dalam membantu membanteras gejala penagihan dadah ini dengan cara bekerjasama dengan pihak polis. Mereka perlu melaporkan kepada pihak polis dengan segera sekiranya mengetahui terdapat kegiatan penagihan dadah di sekitar kawasan mereka. Sikap kebanyakan ahli masyarakat yang tidak mengambil endah akan perbuatan negatif anak-anak muda sebenarnya akan merugikan negara.

 Melalui langkah-langkah positif dan kerjasama semua pihak bagi mengatasi maslah penagihan najis dadah ini, usaha membanterasnya tentu akan menjadi lebih berkesan. Orang ramai khususnya ahli persatuan ibu bapa harus peka dengan tindak-tanduk para pelajar dan para belia di kawasan masing-masing. Mereka boleh menasihatkan anak-anak muda ini supaya menghindari najis dadah di samping segera melaporkan sesuatu perkara yang boleh disyaki kepada pihak polis. Jika semua pihak dapat bekerjasama menangani masalah penagihan najis dadah sudah pasti negara akan maju di amsa akan datang.
 

KARANGAN JENIS CERITA

Petang itu hujan turun tidak henti-henti. Saya berdiri di kaki lima sebuah kedai menunggu hujan reda. Apabila hujan mulai reda , saya terdengar…..(mulakan dengan “Apabila hujan mulai reda , saya terdengar…..)

 Apabila hujan mulai reda, saya terdengar bunyi dentuman yang kuat tidak jauh dari tempat saya berdiri. Bunniyanya seperti berlaku perlanggaran dan diikuti dengan satu jeritan seorang wanita. Tanpa berlengah-lengah lagi saya terus berlari kearah bunyi tersebut untuk melihat apa yang terjadi.

 Alangkah terperanjatnya saya, kelihatan suatu kemalangan antara sebuah kereta Wira Aeroback dengan sebuah motosikal. Penunggang motosikal itu seorang wanita India dan dia mengalami  cedera parah kerana tidak memakai topi keledar. Manakala pemandu kereta itu pula adalah seorang lelaki  berbangsa cina.Orang ramai mula mengerumuni kawasan kemalangan Dengan pantas saya terus berlari ke pondok telefon berhampiran untuk menelefon ambulans dan pihak polis. Manakala dua orang pemuda lain bertindak mengawal perjalanan kenderaan lain bagi mengelakkan berlaku kesesakan lalu lintas.

 Saya lihat motosikal yang ditunggang oleh wanita tersebut terbalik ke tepi jalan raya, manakala kereta itu pula telah melanggar tiang elektrik. Penunggan motosikal berkenaan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan kaki kanannya patah. Pemandu kereta itu pula mengalami kecederaan ringan di kepala dan mata terkena serpihan kaca cermin hadapan kereta yang telah remuk.Terdapat serpihan kaca yang memasuki mata kiri lelaki tersebut. Saya cuba membantunya dengan membalut kepalanya yang berdarah menggunakan saputangan sementara menunggu ketibaan ambulans.

 Lima minit kemudian ambulans dan pihak polis tiba. Mangsa kemalangan terus dikejarkan ke  hospital untuk rawatan selanjutnya. Saya meras amat kasihan melihat wanita itu yang masih belum sedarkan diri. Didalam hati saya berdoa agar dia selamat .

 Mengikut siasatan pihak polis, kemalangan itu berpunca daripada jalan yang licin dan kecuaian penunggang motosikal itu sendiri.Mungkin wanita itu akan terselamat  sekiranya dia memakai topi keledar semasa menunggang motosikal. Oleh itu kita sebagai pemandu dan pengguna jalan raya hendaklah sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang semasa di jalan raya.
 

KARANGAN JENIS BERITA

Anda sebagai peberita sebuah akhbar, tuliskan satu berita lengkap mengenai kejadian kebakaran di sebuah bangunan tinggi.

 BANGUNAN EROSSEL YANG TERBAKAR DITUTUP

Kuala Lumpur- 15 Mei – bangunan   EROSSEL di jalan Raja Chulan telah ditutup hari ini berikutan kebakaran di tingkat sepuluh bangunan itu malam tadi.

 Kebakaran itu berlaku kira-kira jam 9.30 malam dan telah memusnahkan Pejabat Malaysian Institute of Management di tingkat sepuluh . Syarikat Tugu yang terletak di tingkat yang sama turut mengalami kerosakan kecil.

 Enam buah kereta bomba termasuk dari Selangor dengan 40 orang anggota bomba terlatih telah dikejarkan ke tempat kejadian itu dan berjaya mengawal api dari terus merebak. Pegawai bomba dari Jalan Shaw,Encik Zakaria Ramli memberitahu seorang anggota bomba mengalami kecederaan ringan apabila terjatuh sewaktu menaiki tangga ke tingkat sepuluh untuk memadamkan api.Anggota itu, Encin Khairul Anuar telah dikejarkan ke Hospital Besar dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

 Menurut Encik Zakaria, pihak bomba menghadapi beberapa masalah ketika sampai di tempat kejadian kerana lif  bomba telah rosak. Bangunan itu juga tidak mempunyai kemudahan lainu ntuk pihak bomba, menyebabkan mereka terpaksa memikul alat –alat memadamkan kebakaran dan menaiki tangga hingga ke tingkat sepuluh.

 Beratus-ratus orang pekerja di bangunan itu telah datang seperti biasa pagi ini tetapi tidak dibenarkan masuk bekerja. Kesemua mereka tidak mengetahui tentang kejadian itu  sebelumnya.

 Anggota-anggota polis bersama Pasukan Polis Simpanan Persekutuan mengawal tempat tersebut sejak malam tadi. Bagaimanapun beberapa orang pekerja di tingkat satu dibenarkan masuk untuk mengambil fail-fail penting.
 

SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

Tulis sepucuk surat kepada sahabat pena anda yang bercadang hendak bercuti di Malaysia. Balas suratnya.

                           Hazrul Akmal b. Hanafi
                                                                                                        412, Jalan Esa,
                                                                                                         86000 Kluang,
                                                                                                              Johor Darul Ta’zim,

                                                                                                  1 Jun 2003.


 






Menemui kembali sahabatku Johan Darsani yang berada di Damsyik, Syria semoga berada dalam keadaan yang menggembirakan di samping keluarga dan tugas harian.
Saudara,
 Warkah saudara yang bertarikh 14 May 2002 telah selamat saya terima. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas ingatan saudara itu. Sebelum saya meneruskan coretan ini, saya ingin meminta maaf  kerana sudah lama tidak mengutus surat kepada saudara. Apa khabar saudara dan keluarga di sana? Saya di sini sihat sejahtera.
Saya berasa amat gembira tentang cadangan saudara  untuk bercuti di Malaysia. Berita ini telah sampai ke pengetahuan keluarga saya. Mereka amat mengalu-alukan kedatangan saudara. Negara Malaysia telah mengadakan pelbagai acara dan pesta sepanjang tahun dengan tujuan untuk menarik pelancong datang ke Malaysia.
Terdapat banyak tempat menarik di Malaysia yang boleh dilawati. Salah satu contohnya di negeri Melaka, terdapat banyak tempat bersejarah seperti Mini Malaysia, Kota A Famosa, Perigi Hang Tuah dan lain-lain. Kota Melaka adalah tempat tumpuan para pelancong. Di sini juga terdapat pelbagai hasil kraf tangan  penduduk tempatan.Sementara itu, Kuala Lumpur yang merupakan ibu negara Malaysia yang begitu pesat membangun telah  menjadi pusat pentadbiran dan segala aktiviti harian. Ramai penduduk dari luar bandar berhujrah ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan pekerjaan. Sungguh indah bandaraya ini.Di antara tempat-tempat yang menjadi tumpuan para pelancong adalah seperti Muzium Negara, Tugu Negara, dan Pasar Budaya.
Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mepunyai pelbagai jenis kesenian dan kebudayaan. Masyarakat yang berbilang bangsa dan agama yang tinggal di Malaysia hidup dengan aman dan harmoni. Masing-masing mengamalkan sikap bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain. Ini menjadi salah satu faktor utama yang menarik perhatian para pelancong. Saudara tentu akan  kagum melihat keindahan negara Malaysia.
Saya sedia menemani saudara sepanjang lawatan saudara di sini nanti. Saya berharap saudara memberitahu tarikh kedatangan supaya kami dapat  menyambut saudara di Lapangan Terbang Senai.
Setakat ini sahaja sehingga kita berjumpa pada waktu yang ditetapkan nanti.

                                                                                                                              Sahabatmu,

                                                                                                                 ……….……………
 

SURAT KIRIMAN RASMI

Tulis sepucuk surat kepada salah sebuah jabatan kerajaan di daerah anda untuk memohon jawatan sebagai kerani.
 

No. 46, Jalan Sungai Abong,
40000 Shah Alam.                                                                            Tel:03-42258525



25 MEI 2003.

Tuan Pengurus,
Jabatan Kerja Raya,
Jalan Datin Halimah,
40000 Shah Alam.

Tuan,

Memohon Jawatan  Sebagai Kerani di Jabatan Kerja Raya

Saya ingin memohon jawatan kosong seperti yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 20 MEI 2003, berkenaan jawatan yang tertulis di atas.

2. Secara ringkas, butir-butir peribadi saya adalah seperti berikut:

Nama   : Suraya Hani binti Hamdi
Umur   : 22 Tahun
Tarikh Lahir  : 1 Januari 1980
Warganegara  : Malaysia
Kelulusan  : Penilaian Menengah Rendah , 5A 3B
                     Sijil Pelajaran Malaysia, Pangkat 1
Kegiatan  : 1. Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan Kebudayaan.
   : 2. Setiausaha Pandu Puteri
Kelulusan menaip : Memiliki sijil menaip peringkat rendah dan menengah
     Kepantasan menaip 45 patah perkataan seminit.
Pengalaman  : Pernah bekerja sebagai kerani di Syarikat Motorola selama
     dua tahun.

3. Bersama-sama ini disertakan salinan sijil-sijil akademik dan surat akuan seperti yang dikehendaki oleh pihak tuan.

4. Sekiranya permohonan saya berjaya, saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi kerja di jabatan tuan.

5. Diharap permohonan saya ini akan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari pihak tuan.

Sekian terima kasih,

Yang benar,
…………………………
(SURAYA HANI HAMDI)

SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI

Guru anda sedang melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Anda telah menerima surat daripadanya dan dia ingin mengetahui tentang perkembangan sekolah anda sekarang. Balas suratnya.

         Sarimah Mahmood
         19, km 71/2,
         Kampung Baru,
         26620 Pekan.
         25 JUN 2003.
 Menemui Cikgu Faizal bin Shahdan yang kini berada di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah dengan selamatnya.

Cikgu,
 Saya serta rakan-rakan yang lain berada dalam kandungan sihat sejahtera. Saya berharap bagi pihak cikgu lebih-lebih lagi hendaknya. Surat cikgu telah selamat saya
terima tempoh hari. Terima kasih atas ingatan cikgu terhadap kami. Saya tidak menyangka akan kehadiran surat daripada cikgu itu, kerana hampir setengah tahun cikgu meninggalkan kamitanpa mengirimkan sebarang erita. Kami sedia maklum dengan tugas cikgu di sana. Walaubagaimanapun, kami beraas amat gembira menerima perkhabaran daripada cikgu.

 Terdapat bebarapa perubahan berlaku di sekolah ini. Bangunan lama yang terletak berhampiran dengan asrama sekolah ini telah dirobohkan dan bangunan baru akan didirikan tidak lama lagi. Bangunan baru ini dibina bertujuan menampung para pelajar yang semakin meningkat bilangannya pada setiap tahun. Kawasan di sekeliling sekolah ditanam dengan pokok-pokok bunga, sungguh cantik pemandangannya. Kami telah memenangi hadiah dalam pertandingan kebersihan antara sekolah-sekolah di daerah ini.

 Sementara itu, Persatuan Bahasa dan Kebudayaan yang diasaskan oleh cikgu dahulu telah menunjukkan kemajuan. Persatuan ini telah menjadi johan dalam pertandingan perbahasan yang diadakan dua hari lepas. Bagi pertandingan nyanyian lagu asli, ekolah hanya mampu menduduki tempat ketiga, walaupun kami telah berusaha dengan tekun dna bersungguh-sungguh tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Prestasi sekolah dalam bidang pelajaran amat menggalakkan, begitu juga dalam bidang kokurikulum.

 Setakat ini sahaja buat kali ini dan saya sudahi dengan salam hormat, semoga cikgu akan berjaya mengejar cita-cita. Doakanlah kejayaan kami anak-anak muridmu ini.

Muridmu,

Sarimah
         ………………………
KARANGAN JENIS LAPORAN
 
 


Laporan Aktiviti Kelab Komputer
Sekolah Menengah Sri Murni 2001


 






Pengerusi  : Norman bin Salleh
Naib Pengerusi : Sofea bt. Adnan
Setiausaha  : Habibah bt. Auzir
Bendahari  : Norlina bt. Hamdan
Ahli Jawatankuasa : Saiful Hisham bin Osman
     Mohd. Idris bin Omar
     David Hew
     Usha Devi
Penasihat  : Encik Ishak bin Yaakub

 Kelab komputer sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1999. Usia kelab ini masih muda jika dibandingkan dengan persatuan-persatuan yang lain. Seramai 400 orang pelajar telah menyertai kelab ini. Kelab ini ditubuhkan untuk mendedahkan pelajaran dan aplikasi komputer kepada  para pelajar.
Kelab ini telah mencapai banyak kejayaan semenjak ditubuhkan. Antaranya ialah:
1. Memenangi tempat pertama dalam pertandingan komputer peringkat negeri yang diadakan di Dewan Jubli Intan, Kluang, Johor, 10 Mac 2002.
2. Mengadakan pertandingan pengaturcaraan komputer antara sekolah-sekolah pada 10 Mei 2002.
3. Mewakili sekolah dalam peraduan laman web pada 30 September 2002.

Kini kelab ini memiliki 25 buah komputer. Wang pembelian komputer ini merupakan hasil derma daripada orang ramai dan bantuan daripada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Namun begitu, kelab ini masih kekurangan komputer untuk memenuhi keperluan ahli-ahlinya. Kami sentiasa mengalu-alukan bantuan atau derma daripada mana-mana pihak.
Kelab komputer ini menyediakan sebuah bilik khas yang terletak bersebelahan bilik guru. Pembinaannya adalah daripada hasil ihsan pihak sekolah dan kerajaan. Bilik tersebut digunakan khas untuk kelas bimbingan komputer. Setakat ini kegiatan kelab berjalan lancar dan sistematik.
Akhir sekali kami ingin merakamkan pennghargaan kepada pengetua dan guru penasihat kami kerana sokongan dan tunjuk ajar mereka.Tidak ketinggalan juga kami ucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli kelab ini.
Semoga kelab ini akan terus berjaya pada masa akan datang.

Disediakan oleh:

Habibah
…………………………
(HABIBAH BT. AUZIR)
Setiausaha Kelab Komputer,
Sekolah Menengah Sri Murni.
 

KARANGAN JENIS SYARAHAN

Hidupan Liar Kian Terancam di Negara kita.

 Assalamualaikum dan selamat pagi saya ucapkan kepada Pengerusi Majlis, Tuan Pengetua, para hakim yang arif lagi bijaksana serta para hadirin yang dihormati sekelian. Saya amat berbangga kerana diberi peluang untuk menyertai pertandingan syarahan pada hari ini. Tajuk syarahan yang akan dibentangkan sebentar lagi ialah’Hidupan liar kian terancam di negara kita’

 Hadirin sekelian,
 Dewasa ini, pihak kerajaan kita telah mengadakan berbagai-bagai rancangan pembangunan yang bertujuan untuk memepertingkatkan lagi taraf hidup rakyat. Walaubagaimanapun, segala rancangan pembangunan itu telah mengancam hidupan liar. Proses penerokaan kawasan-kawasan hutan rimba telah mempengaruhi ekosistem hidupan liar ini. Tempat tinggal hidupan liar telah musnah dan binatang-binatang liar menghadapi masalah mencari bahan makanan dan proses pembiakan juga terancam. Keadaan ini menyebabkan sesetengah spesis hidupan liar ini hampir pupus akibat kekurangan makanan .

 Beberapa langkah yang  tegas perlu diambil untuk menyelamatkan hidupan liar ini. Dalam hal ini pihak kerajaan perlulah menguatkuasakan undang-undang tentang keselamatan hidupan liar. Kawasan hutan simpanan perlu diperuntukkan kepada binatang liar dan sesiapa yang cuba mencerobohi harus dikenakan hukuman atau denda yang sewajarnya.

 Hadirin sekelian,
 Selain itu pengeluaran lesen memburu perlu dihadkan. Lesen memburu hanya boleh dikeluarkan kepada mereka yang hendak memburu dengan tujuan tertentu bukan untuk tujuan komersil.

 Kempen memelihara hidupan liar harus dijalankan untuk menyedarkan masyarakat tentang pentingnya hidupan liar itu. Hidupan liar juga ingin hidup dengan aman dan selesa seperti manusia yang hidup di muka bumi ini.

 Langkah-langkah tegas seperti di atas perlulah dilaksanakan bagi mengelakkan kepupusan hidupan liar. Rancangan pembangunan yang hendak dijalankan perlulah diteliti terlebih dahulu serta mengambil kira kesannya ke atas hidupan liar terbabit. Pendek kata kerjasama dari semua pihak amatlah penting dalam soal ini.

 Sekian sahaja syarahan saya untuk kali ini. Akhir kata marilah kita bersama-sama memelihara hidupan liar di negara kita agar ianya tidak akan terus terancam untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang

 Sekian. Terima kasih.

KARANGAN JENIS UCAPAN

Anda sebagai pengerusi baru Persatuan Bulan Sabit Merah sekolah diminta menyampaikan ucapan di majlis perjumpaan persatuan itu.

 Assalamualaikum dan selamat pagi diucapkan kepada Cikgu Khamsani selaku guru penasihat, ahli-ahli jawatankuasa serta ahli-ahli persatuan yang lain. Di sini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kerana telah memberi sepenuh kepercayaan kepada saya memegang jawatan ini. Saya berasa amat gembira kerana telah dipilih sebagai pengerusi baru Persatuan Bulan Sabit Merah pada tahun 2003 ini.

 Para hadirin sekalian, sejak persatuan ini ditubuhkan, pengerusi persatuan sering bertukar ganti. Saya selaku pengerusi yang baru berjanji akan memimpin persatuan ini dengan penuh tanggungjawab dan berdasarkan garis panduan persatuan. Saya berharap persatuan kita akan mencapai kejayaan cemerlang pada tahun ini sebagaimana pencapaian yang telah ditunjukkan pada tahun-tahun yang lepas. Kita juga patut teruskan segala khidmat bakti kita kepada sekolah bahkan kepada masyarakat umumnya.

 Walaubagaimanapun, kerjasama daripada ahli-ahli persatuan amatlah diperlukan agar persatuan ini dapat terus bergerak dengan sempurna dan lebih aktif. Saya juga amat mengharapkan tunjuk ajar dan bimbingan daripada Cikgu Khamsani bagi melicinkan perjalanan persatuan ini. Tanpa bimbingan guru dan kerjasama rakan-rakan saya tak mungkin dapat menjayakan wawasan persatuan ini.

 Antara kegiatan-kegiatan yang telah saya susun bagi persatuan ini ialah berkhidmat dalam kejohanan sukan di daerah ini, menjemput bekas ahli-ahli persatuan untuk memberi ceramah, menganjurkan minggu suai kenal antara ahli-ahli lama dan baru dan banyak lagi.

 Hadirin yang saya hormati sekalian,
Sebagai  manusia biasa kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, begitu juga dengan diri saya. Oleh itu saya bersedia menerima sebarang teguran yang membina demi memperbaiki diri saya dan persatuan ini. Ahli-ahli persatuan pula digalakkan memberi buah fikiran yang bernas demi kebaikan persatuan.

 Saya mengharapkan semua ahli persatuan ini akan turut sama  bekerja keras dan berganding bahu bagi meningkatkan prestasi persatuan Bulan Sabit Merah ini agar menjadi salah sebuah persatuan terbaik di sekolah ini. Di samping itu ianya akan lebih maju, terkenal dan berdaya saing dengan persatuan-persatuan lain hingga ke peringkat daerah dan negeri.

 Akhir kata saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan atas apa juga keterlanjuran dalam ucapan saya ini. Semoga semua ahli dapat beekerjasama demi kemajuan dan kejayaan persatuan ini.
 Sekian. Terima kasih.
 

KARANGAN JENIS PENDAPAT

Beri pendapat anda tentang faedah makan buah-buahan tempatan.

 Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis, durian, pisang dan sebagainya. Buah-buahan ini boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu buah-buahan bermusim dan tidak bermusim. Kita boleh dapati pelbagai jenis buah-buahan yang tidak bermusim di gerai, pasar tani atau pasar awam.

 Durian dan rambutan adalah di antara contoh buah-buahan bermusim, manakala pisang adalah contoh buah-buahan tidak bermusim. Banyak faedah yang boleh kita perolehi dengan makan buah-buahan tempatan ini. Disamping rasanya yang enak, buah-buahan ini juga kaya dengan khasiat. Kandungan vitamin yang terdapat di dalam buah-buahan ini sangat berguna untuk pertumbuhan fizikal dan tisu-tisu dalam badan seterusnya dapat mengekalkan bentuk tubuh yang ideal.

 Selain itu, kita harganya yang murah juga dapat membantu  kita menjimatkan wang. Harganya adalah jauh lebih murah berbanding dengan buah-buahan import seperti anggur, epal dan strawberi. Buah-buahan tempatan juga mudah didapati di mana-mana sahaja, baik di gerai-gerai tepi jalan, pasar tani maupun pasaraya.

 Dengan membeli buah-buahan tempatan, secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan negara kerana kurang membeli buah-buahan yang diimport.Lantaran itu, demi memajukan industri buah-buahan tempatan, kerajaan sedang mengatur pelabagi rancangan untuk memperkenalkan buah-buahan tempatan di luar negara.

 Orang ramai juga diberikan penerangan tentang rasa, nama dan khasiat buah-buahan tempatan melalui berbagai-bagai kempen yang diadakan sama ada di sekolah, pusat membeli belah dan pesta-pesta makanan. Pihak hotel juga memainkan peranan penting dalam memperkenalkan buah-buahan tempatan ini kepada para pelancong asing yang menginap di sana. Begitu juga restoran-restoran mewah dan kedai makan diseluruh pelusuk negeri.

 Memandangkan banyak faedah yang boleh diperolehi daripada buah-buahan tempatan, maka adalah wajar bagi kita menyambut seruan kerajaan iaitu ‘Makanlah buah-buahan tempatan’. Sambutlah kempen ini dengan rela hati demi meningkatkan kesihatan dan kemajuan ekonomi negara kita. Makanlah buah-buahan tempatan yang lazat dan segar berbanding buah-buahan import yang sudah layu dimakan masa itu.
 

KARANGAN JENIS PERBINCANGAN

Permainan Tradisional patut diperkenalkan kepada generasi muda hari ini. Bincangkan.

 Masyarakat kita memang kaya dengan pelbagai warisan nenek moyang. Salah satu daripadanya ialah permainan tradisional seperti wau, congkak dan gasing. Permainan tradisional ini tidak lagi mendapat tempat dalam jiwa generasi muda zaman ini. Mereka lebih gemar permainan-permainan moden seperti badminton,  bola sepak, tenis dan sebagainya.

 Oleh yang demikian sepatunyalah permainan tradisional ini diperkenalkan kepada golongan muda hari ini. Permaiann tradisional seperti ini hendaklah diperkenalkan di majlis-malis tertentu seperti majlis keramaian atau majlis rasmi di kampung dan juga bandar. Dengan cara ini, golongan belia akan dapat melihat sendiri cara permainan ini dimainkan. Sudah tentu ada di antara mereka yang tertarik hati dengan permainan ini.

 Selain daripada itu, persatuan belia patut memainkan peranan mereka. Permainan tradisional boleh dijadikan sebahagian daripada kegiatan belia seperti dengan menganjurkan pertandingan permainan tradisional atau pameran-pameran khas bagi menarik pehatian generasi muda kini. Pendedahan yang luas kepada permainan ini akan menambahkan lagi minat belia terhadap permainan ini.

 Ibu bapa juga harus memupuk minat anak-anak dalam permainan tradisional ini. Sejak kecil anak-anak boleh didedahkan dengan permainan seperti congkak dan sebagainya bagi mengisi masa lapang bersama keluarga sewaktu di rumah. Ajarlah anak-anak cara permainan tersebut dimainkan dan terapkan kepada mereka betapa pentingnya ia dikekalkan.

 Di samping itu pihak media massa harus selalu menonjolkan berita tentang permainan-permainan tradisional ini. Rencana-rencana khas perlu disiarkan melalui surat khabar, majalah dan lain-lain bagi menimbulkan minat para pembaca terhadap sesuatu sukan itu. Tidak ketinggalan juga ia boleh diperkenalkan dengan lebih meluas melalui internet yang mana boleh dibaca oleh masyarakat seluruh dunia. Dengan ini secara tidak langsung ia dapat membawa imej negara Malaysia di mata dunia umumnya.

 Oleh yang demikian adalah wajar bagi kita meneruskan usaha meningkatkan lagi mutu permainan tradisional agar tidak luput ditelan dek zaman. Kekalkanlah ia di persada seni dan budaya negara agar generasi akan datang dapat menikmati akan keindahan warisan seni budaya kita  di sepanjang zaman.
 
 

KARANGAN JENIS CERAMAH

Sebagai ketua polis daerah sediakan satu ceramah sempena ‘Minggu Polis’.

Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, Yang dihormati Tuan Pengetua Sekolah Menengah Sri Mahkota, guru-guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian.
Terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi  menjemput saya berceramah pada pagi ini yangmembawa tajuk ‘Langkah-langkah untuk Menghindari Pelajar-pelajar daripada Menjadi Mangsa Penjenayah’.
Para pelajar dan hadirin sekelian,
Kita sedar di daerah Manjung kini kian pesat mambangun. Dalam pada itu kadar jenayah juga turut meningkat seperti penyalah gunaan dadah, kecurian, rompakan, perjudian serta kegiatan kongsi gelap. Di samping itu pusat-pusat hiburan seperti pusat karaoke dan kelab malam tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Dengan ini para pelajar perlu lebih barhati-hati agar emreka tidak menjadi mangsa penjenayah yang tidak berperikemanusiaan.

Oleh yang demikian, di sini saya ingin menyampaikan beberapa panduan dan nasihat yang berguna kepada para pelajar. Para pelajar khusunya anak-anak gadis jangan mudah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak luar. Anak-anak muda perlu berhati-hati agar tidak dipengaruhi oleh sindiket mengedar dadah. Anda boleh melaporkan perkara tersebut pihak sekolah sekiranya didatangi oleh golongan yang berniat jahat ini.Disamping itu para pelajar juga jangan mudah menerima pelawaan daripada seseorang yang tidak dikenali.

Para hadirin sekelian,
Para pelajar juga digalakkan mempelajari seni mempertahankan diri speerti silat, taekwando, judo dan sebagainya bagi melindungi diri sendiri. Dengan ini mereka akan dapat menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah. Selain itu pelajar perempuan juga dinasihati supaya tidak memakai barang-barang kemas atau berpakaian terlalu seksi. Perbuatan ini hanya akan membawa pada h kepada diri sendiri dan boleh mengancvam nyawa anda. Ini kerana terdapat banyak kes rogol dan pembunuhan yang berlaku kini.

Sebagai pelajar anda semua bertanggungjawab menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Jangan sesekali terlibat dengan kegiatan-kegiatan samseng yang akan merugikan diri sendiri. Dalam kesempatan ini saya juga menyeru para pelajar agar tidak ponteng sekolah atau melepak di kompleks membeli belah. Penuhi masa lapang yang ada dengan  aktiviti berfaedah. Sentiasalah berkongsi masalah dengan rakan sebaya atau guru kaunseling di sekolah, nescaya anda dapat mnegelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah.

Akhir kata, saya berharap para pelajar akan sentiasa berwaspada walau di mana anda berada. Jadikan ceramah ini sebagai garis panduan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penjenayah.

Sekian. Terima kasih.
 
 

KARANGAN JENIS RENCANA

Kepentingan Amalan Penyusuan Ibu
Ditulis oleh: Rosmah Kamal



 Hubungan ibu dengan anak-anak adalah yang paling intim. Walaubagaimanapun di zaman yang semakin moden ini ramai di kalangan ibu-ibu yang cuba melupakan hubungan intim ini, iaitu melalui amalan menyusui anak-anak.

 Pelbagai alasan diberikan atas tindakan ini. Alasan mahu menjaga bentuk badan telah menjadi punca utama. Mereka bimbang bentuk tubuh mereka tidak lagi menarik yang mana akan menjadi punca para suami terpikat kepada wanita lain. Bagi para ibu yang bekerja pula, faktor masa dan tempat menjadi penghalang bagi mereka menyusukan anak-anak. Selain itu terdapat juga ibu-ibu yang mengalami masalah kesihatan seperti kekurangan susu atau menghidapi penyakit berbahaya seperti kanser.

 Susu ibu amat penting dalam tumbesaran anak-anak. Ia merupakan makanan lengkap yang mengandungi keperluan zat yang diperlukan oleh bayi. Susu ibu dapat membantu proses penghadaman dan dapat mengelakkan cirit-birit.  Selain itu bayi yang diberi susu ibu mempunyai daya tahan melawan penyakit atau antibodi yang lebih kuat. Disamping itu bayi-bayi ini didapati lebih aktif dan tidak mengalami masalah kegemukan.

 Dari segi psikologi pula, penyusuan ibi dapat mewujudkan hubungan perasaan dan emosi yang lebih kuat antara anak dan ibu. Anak-anak merasa lebih selamat dan tenteram bersama ibu mereka. Belaian yang diberikan oleh ibu semasa menyusui juga dapat meredakan perasaan tidak selesa di kalangan anak-anak. Akhirnya mereka berjaya membentuk peribadi yang lebih mantap.

 Sementara itu, pakar-pakar perubatan mendapati bayi-bayi yang diberi susu ibu lebih cerdas, iaitu lapan kali ganda daripada bayi yang diberi minum susu tepung. Oleh itu masyarakat perlulah mengubah pandangan mereka terhadap proses penyusuan ini.

 Antara langkah ke arah perubahan ini termasuklah usaha mewujudkan kesedaran di kalangan para ibu. Kempen-kempen berkaitan penyusuan ibu perlu diadakan melalui media massa. Sementara doktor, bidan serta jururawat pula bertanggungjawab mempengaruhi ibu-ibu yang mengandung supaya mengutamakan susu ibu. Kemudahan cuti bersalin yang lebih lama juga dapat membantu para ibu supaya mereka dapat benar-benar menyusui bayi mereka.

 Kepentingan susu ibu memang telah terbukti sejak dahulu hingga sekarang. Oleh itu para ibu wajar mengakui kenyataan ini. Penyusuan ibu tidak akan menjejaskan paras rupa yang cantik malah akan dapat meningkatkan martabat ibu sebagai seorang yang paling besar pengaruhnya terhadap anak-anak.
 

KARANGAN JENIS BERITA

MELAKA, Isnin, 12 Februari – Mayat seorang ahli perniagaan dari Klang telah ditemui terapung di pinggir pantai Tanjung Bidara oleh sekumpulan nelayan lewat petang semalam. Pasukan penyelamat telah memberhentikan usaha menyelamat setelah menemui seorang lagi mayat nelayan tempatan di perairan Tanjung Keling petang kelmarin kerana keadaan Laut Selat Melaka yang bergelora.

 Pasukan penyelamat percaya bahawa sekumpulan empat orang yang terdiri daripada dua orang nelayan tempatan dan dua orang ahli perniagaan dari Klang telah menaiki bot kecil untuk memancing di Perairan Pulau Besar. Pasukan penyelamat daripada Akademi Kelautan di Melaka (ALAM) yang dibantu oleh Pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia mengesahkan bahawa dua orang lagi telah mati walaupun mayatnya tidak dijumpai.

 Mengikut keterangan daripada Puan Suriat, salah seorang isteri kepada nelayan tempatan yang dikenali sebagai Encik Talib mengatakan bahawa mereka berdua adalah sahabat kepada suaminya yang datang dari Klang untuk bercuti dan ingin memancing di Pulau Besar. Mereka pandai berenang dan bot suaminya dilengkapi alat keselamatan, tetapi tidak menyangka akan berlaku kecelakaan itu .

 Orang ramai khususnya kaum nelayan diminta supaya membuat laporang di balai polis yang berhampiran sekiranya menemui mayat dua orang lagi mangsa bot karam tersebut. Pihak pols mengingatkan kaum nelayan supaya tidak ke laut kerana keadaan laut yang masih bergelora dan merbahaya bagi bot-bot kecil.

 Kedua-dua mangsa yang ditemui telah dibawa ke Hospital Besar Melaka dan keluarga mangsa telah pun dihubungi untuk menuntut mayat tersebut. Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa mengatakan bahawa Encik Sulaiman, iaitu mangsa yang hilang telah berpesan kepada isterinya supaya jangan menghubungi beliau sewaktu di Pulau Besar dan menjaga keenam-enamm orang anaknya dengan baik sepeninggalannya ke Melaka.

 Encik Darus yang seharusnya tahu akan selok belok di laut dn keadaan cuaca sepatutnya tidak mendedahkan diri kepada bahaya seperti yang telah berlaku. Dia seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga, bahkan tidak mengajak rakan-rakannya untuk menyertainya ke laut pada musim ini. Namun begitu, segala yang berlaku merupakan takdir Ilahi dan kita tidak dapat menolaknya sekiranya telah ditakdirkan begitu.
 
 


KERTAS BAHASA MELAYU

FORMAT KARANGAN PMR 2007



KERANGKA KARANGAN

BAHAGIAN 1 (Cerpen)

1. Sempena hari Usahawan sekolah anda, satu peraduan menulis cerpen telah diadakan. Tema yang diberi ialah usaha tangga kejayaan. Tuliskan sebuah cerpen berdasarkan tema tersebut.

Kerangka Cerpen:

1. Tajuk cerpen – berkaitan dengan tema yang diberikan
2. Pendahuluan – menggunakan teknik yang menarik pembaca, misalnya imbas kembali atau dialog atau terus kepada cerita yang ingin dipaparkan.
3. Isi-isi penting:
- Herman mengambil langkah berani di samping bertawakal. Dia berhijrah ke bandar mencari pekerjaan dengan berbekalkan sekeping sijil SPMnya.
- Herman tidak lupa segala pesanan guru dan ibu bapanya untuk berusaha dan terus berusaha walau di mana berada.
- Setelah ia berjaya diterima bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kewangan dia mengikuti kursus memproses makanan dan pemasaran hasil makanan.
- Herman mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menguruskan perniagaan sendiri.
- Herman yakin segala persiapannya selama ini akan membuahkan hasil. Ia membuka sebuah kilang makanan tradisional untuk pasaran tempatan dan juga untuk eksport ke luar negeri.

Penutup:
 Berkat hasil usahanya yang gigih Herman akhirnya berjaya menjadi seorang usahawan yang terkemuka. Hasil jualannya sentiasa meningkat dan ia bercita-cita untuk membuka rangkaian perniagaan di beberapa tempat lain termasuk di luar negeri.
 

2. Karyakan sebuah cerita yang dimulakan dengan perenggan berikut.

Hujan semakin mencurah-curah. Kilat memancar menerangi malam yang gelap pekat itu. Petir berdentuman bagaikan tidak mahu berhenti. Jam di dinding rumah tumpangan itu sudah melewati  nombor satu. Azizan masih terpaku di situ …………….

Kerangka Cerpen:

Pembukaan:
 Tulis semula perenggan cerita yang telah diberikan untuk memulakan cerpen tersebut.

Isi-isi penting:
- Memberikan imbas kembali peristiwa tiga tahun lalu di rumah tumpangan itu; ketika itu Azizan dengan kekasihnya menginap di situ. Satu kecelakaan telah berlaku ketika hujan lebat seperti itu. Kekasih Azizan telah ghaib begitu sahaja. Kehilangannya merupakan satu misteri yang tidak terjawab sehingga hari ini.
- Azizan ingin mencari jawapannya. Ia tidak mahu tidur. Ia masih merayau-rayau di sekitar rumah tumpangan itu meskipun jam sudah menunjukkan 3.00 pagi.
- Azizan cuba menjejaki beberapa orang yang bergerak ke sebuah lorong gelap. Terdapat satu lorong kecil menuju ke tingkat bawah bangunan itu.
- Azizan terdengar bunyi muzik dan kelihatan banyak orang sedang minum dan menari. Dia terus menjejakinya. Terdapat ramai gadis seperti sedang menanti seseorang.
- Azizan terlintas pandang bekas kekasihnya dahulu yang juga turut menari. Azizan tergamam. Dia tidak dapat masuk ke ruang yang berkawal rapi itu.
- Azizan mengambil keputusan untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. Tidak lama kemudia pihak polis menyerbu tempat tersebut.

Penutup:
 Rumah tumpangan tersebut telah dijadikan tempat pengedaran dadah dan hiburan di samping memerangkap gadis-gadis untuk dijadikan penari dan pelacur.  Hasil dari penangkapan  itu Azizan dapat bertemu kembali dengan bekas kekasihnya.
 

BAHAGIAN 2 (Surat Kiriman Tak Rasmi)

1. Anda belajar di sebuah sekolah berasrama. Tuliskan sepucuk surat kepada ayah dan ibu anda dengan menyatakan bahawa anda berasa tidak tenteram akhir-akhir ini dan pelajaran anda juga merosot. Pinta pendapat mereka untuk mengatasi masalah anda.

Kerangka Surat:

1. Pendahuluan – Bertanyakan khabar dan menyatakan keadaan anda di asrama masa kini.
2. Isi-isi penting:
1. Sebelum anda meneruskan tulisan anda nyatakan bahawa ujian bulanan sedang berlangsung sekarang.
2. Bertanyakan bagaimanakah keadaan kampung, keluarga dan kucing kesayangan anda sepeninggalan anda ke sekolah berasrama.
3. Nyatakan anda akan menduduki peperiksaan Pertengahan Tahun tidak lama lagi dan berharap ayah dan ibu anda dapat membantu anda kerana sejak akhir-akhir ini anda selalu berasa tidak tenteram tinggal di asrama.
4. Dua ujian yang lalu juga menunjukkan prestasi anda tidak begitu memuaskan.
5. Pinta pendapat ayah dan ibu adakah perlu anda meneruskan persekolahan anda di sekolah ini atau pun bersekolah di sekolah harian biasa.
3. Penutup – berharap agar ayah dan ibu anda dapat menjengok anda dengan segera dan doakan mereka sentiasa sihat dan bahagia selalu hendaknya. Gunakan format penutup surat kiriman tidak rasmi.
 

2. Tulis sepucuk surat kepada sahabat anda yang berada di Brunei Darussalam dengan menyatakan bahawa sekolah anda baru sahaja menjalankan Program Sambutan Hari Ko-kurikulum secara besar-besaran tahun ini.

Kerangka Surat:

1.  Pendahuluan – Bertanyakan khabar dan menyatakan keadaan anda sekeluarga
3. Isi-isi penting:
1. Sebelum anda meneruskan tulisan anda nyatakan bahawa musim buah-buahan sedang bermusim di tempat anda sekarang ini dan bertanyakan adakah di sekolah sahabat itu diadakan sambutan Hari Ko-kurikulum juga.
2. Nyatakan sambutan Hari Ko-kurikulum tahun ini diadakan secara besar-besaran dengan menjemput ibu bapa dan penduduk sekitar sekolah anda.
3. Semua unit beruniform mengambil bahagian dalam pertandingan kawad kaki, gerai jualan dan persembahan pentas.
4. Semua kelab dan persatuan pula mengambil bahagian dalam pameran. Pameran dadah dan senjata dari pasukan tentera juga diadakan.
5. Anda bersyukur pasukan anda telah menjadi juara dalam pertandingan kawad kaki. Sambutan tahun ini sungguh meriah dan akan sentiasa menjadi kenangan abadi..

4. Penutup – berharap agar sahabat anda sentiasa sihat dan dapat menceritakan kejayaan beliau di segenap lapangan hidup seterusnya berharap akan dapat menemui beliau suatu hari nanti. Gunakan format penutup surat kiriman tidak rasmi.
 

BAHAGIAN 3 (Laporan)

1. Anda telah dipilih untuk mengikuti satu ceramah bertajuk “Kesan-kesan kedatangan pendatang haram ke negara kita” yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara di tempat anda. Selaku setiausaha Persatuan Kerjaya sekolah anda diminta membuat satu laporan mengenai ceramah tersebut.

Kerangka Laporan:

1. Pendahuluan:
 Nyatakan tajuk ceramah, penceramah, tempat dan tarikh ceramah itu diadakan. Buat penerangan secara am kesan ceramah tersebut kepada anda.
2. Isi-isi penting:
a. Beri maksud pendatang haram: orang Indonesia, Bangladesh, dan lain-lain yang datang ke negara ini tanpa dokumen yang sah.
b. Tujuan mereka – mencari pekerjaan kerana keadaan hidup mereka yang terhimpit.
c. Mereka memilih Malaysia kerana banyak peluang pekerjaan, pesat membangun, berperikemanusiaan dan masyarakatnya harmoni.
d. Kesan negatif – menimbulkan masalah sosial, merampas peluang pekerjaan rakyat tempatan.
e. Cara mengatasi: menghantar mereka balik ke negara asal, mengenakan hukuman yang sewajarnya.

3. Penutup:
Langkah-langkah tegas perlu diambil kerana kedatangan mereka lebih banyak menimbulkan masalah kepada kita. Gunakan format penutup laporan; tulis nama dan jawatan anda.
 

2. Anda telah diminta menulis satu laporan tentang aktiviti Kelab Kembara untuk dimuatkan dalam majalah sekolah anda tahun ini. Tuliskan laporan itu selengkapnya.

 1. Pendahuluan:
 Nyatakan tajuk: Laporan Kelab Kembara. Berikan nama sekolah dan senarai ahli jawatankuasa serta penasihat kelab anda bagi tahun ini.

2. Isi-isi penting:
a. Berikan sejarah penubuhan, tujuan penubuhan, jumlah ahli dan syarat keahlian.
b. Nyatakan kejayaan-kejayaan kelab semenjak ditubuhkan. Antaranya ialah:
i. Memenangi tempat pertama dalam pertandingan kembara berbasikal ke Tanjung Piai di Pontian.
ii. Mendapat Naib Johan dalam pertandingan keseluruhan perkhemahan di Tanjung Labuh, Batu Pahat.
c. Nyatakan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun: mengadakan latihan berkawad, berbasikal, berkayak, berenang, perkhemahan dan mendaki gunung.
d. Kelab telah berjaya membeli peralatan mendaki gunung hasil dari jualan makanan sempena Hari Usahawan sekolah.
e. Kelab juga sedang berusaha mendapatkan peruntukan membeli khemah untuk kemudahan ahli-ahli mengadakan aktiviti perkhemahan.

3. Penutup:
Merakamkan penghargaan kepada pengetua, guru penasihat, PIBG serta ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli kelab ini atas sokongan menjayakan program kelab. Semoga kelab ini akan terus berjaya pada masa akan datang. Gunakan format penutup laporan; tulis nama dan jawatan anda.
 

BAHAGIAN 4 (Syarahan/Ceramah)

1. Anda  akan menyertai pertandingan syarahan peringkat daerah sempena sambutan hari kemerdekaan negara kita. Sediakan syarahan yang lengkap bertajuk “Rakyat Perlu Besatu Demi Kemajuan Negara”.

Kerangka Syarahan:

Pembukaan:
 Gunakan format syarahan. Mulakan dengan kata-kata aluan dan menyatakan terima kasih kepada para hadirin, pengadil dan guru-guru. Terangkan maksud tajuk dengan menghuraikan perlunya dan kebaikan yang akan diperolehi jika seluruh rakyat negara ini dapat hidup bersatu-padu.

Isi-isi penting:
- Perlunya kita mengamalkan semangat toleransi, tolong-menolong dan hormat-menghormati antara kaum untuk membentuk warganegara yang bertanggungjawab.
- Amalan hidup bersatu hendaklah dimulakan dari bangku sekolah lagi.
- Jika kita bersatu-padu masyarakat yang harmoni dan aman damai akan terbentuk - pelabur akan suka datang melabur.
- Masyarakat yang bersatu mendorong pembangunan negara dilaksanakan dengan mudah dan berjaya mencapai taraf hidup yang tinggi.
- Rakyat perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi menghadapi cabaran alaf baru dan era globalisasi sebagai persediaan membentuk negara maju.

Penutup:
 Menegaskan akan perlunya semangat bersatu-padu di antara seluruh penduduk negara ini demi kesetabilan, kemajuan dan pembangunan negara. Para pelajar pula perlu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan untuk menjadi warganegara yang berguna. Gunakan format penutup syarahan.
 

2. Semasa anda bertugas sebagai seorang pegawai kesihatan di sebuah hospital, anda telah mendapat undangan untuk memberikan ceramah tentang bahaya demam denggi sempena kempen anti-aedes di sebuah sekolah di tempat anda. Sediakan ceramah itu sepenuhnya.

Kerangka Ceramah:

Pembukaan:
- Gunakan format ceramah yang rasmi. Memberi ucapan kesejahteraan.
- Kata alu-aluan kepada pengerusi majlis, Tuan Pengetua, guru-guru dan para pelajar.
- Menyatakan tajuk ceramah dan kesan demam denggi sempena kempen anti aedes di sekolah tersebut.

Isi-isi penting:
- Menyatakan jenis nyamuk dan jenis-jenis denggi yang membahayakan manusia kepada para hadirin.
- Menunjukkan punca demam dan tempat pembiakan aedes.
- Memberikan contoh kesan serangan denggi yang boleh membawa maut.
- Menggalakkan para hadirin menjaga kesihatan - membersihkan persekitaran, buangkan bahan-bahan yang boleh menakung air untuk menghapuskan aedes.
- Mendapatkan rawatan segera jika mengalami demam.

Penutup:
 Menegaskan perlunya kita mengelakkan diri dari didenda akibat menyediakan tempat pembiakan nyamuk. Berharap para pelajar akan berubah sikap dan mahu membersihkan persekitaran tempat tinggal kita kerana mengawal adalah lebih baik daripada mengubati. Gunakan format penutup ceramah.
 

BAHAGIAN  5  (Pendapat)

1. Kaum  wanita perlu diberi peranan yang sama dengan kaum lelaki dalam memajukan sesebuah negara. Apakah pendapat anda?

Kerangka kerangan:

Pembukaan:
 Kaum wanita perlu diberi peranan yang sama penting dengan kaum lelaki dalam usaha memajukan negara kerana mereka memiliki taraf yang sama dengan kaum lelaki dalam banyak bidang kerjaya di negara ini.

Isi-isi penting:
- Seseorang wanita adalah pendidik berkesan- mereka perlu mendidik anak-anak di rumah. Anak-anak yang terdidik akan menjadi warganegara yang berupaya membangunkan negara.
- Kebanyakan wanita rajin berusaha, tabah dan dedikasi dalam bekerja. Ini dapat meningkatkan lagi produktiviti negara.
- Sektor perkilangan lebih memerlukan wanita kerana mereka bekerja dengan cermat dan teliti, hasilnya pengeluaran bertambah dengan kualiti yang terjamin.
- Dalam bidang pengurusan wanita lebih tegas dan bertoleransi - ini dapat mempastikan sesuatu projek berjalan mengikut perancangan.
- Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia. Begitulah pentingnya peranan wanita dalam pebangunan negara.

Penutup:

 Semua faktor di atas perlu dipertimbangkan kerana kemajuan negara tidak mudah dicapai jika tiada sumbangan kaum wanita, baik di bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan bahkan politik negara ini. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
 

2. Nyatakan pendapat anda tentang Budaya Membaca di kalangan masyarakat kita..

Kerangka kerangan:

Pembukaan:

Huraikan tentang budaya membaca yang perlu ada di kalangan kita semua. Membaca adalah kunci kejayaan kerana melalui pembacaan kita mendapat pengetahuan.

Isi-isi penting:

- Amalan membaca perlu dipupuk sejak awal persekolahan lagi kerana tanpa amalan ini tidak wujud budaya membaca apabila kita dewasa kelak.
- Galakan membaca perlu dimulai dari rumah. Ibu bapa patut menyediakan perpustakaan mini di rumah. Sediakan bahan-bahan bacaan yang sesuai.
- Sekolah juga perlu menggalakkan para pelajar membaca dengan melalui kempen dan pertandingan anjuran sekolah.
- Pusat sumber sekolah perlu memberi pelbagai bahan bacaan kepada pelajar dan diberi ujian serta hadiah galakan
- Para pelajar perlu belajar kaedah membaca dengan betul sejak awal lagi supaya mereka pandai membaca, menghayati sesuatu bahan bacaan dan memahami bahan yang dibaca serta dapat menilai sesuatu bahan bacaan yang bermutu.
- Beri tumpuan kepada pelajaran, tidak membuang masa dan membuat aktiviti-aktiviti yang berfaedah di masa lapang dengan membaca.

Penutup:

Galakan membaca harus diberikan sejak awal dan diberikan sejak dari rumah kemudian diteruskan di sekolah setiap masa. Hanya melalui pembacaan kita mendapat ilmu dan kemahiran serta sebagai kunci untuk lulus peperiksaan.

[ Kembali ke Menu Utama]

oleh:
Mohd Shafie Bin Kunting
Talian: 07-4245425

1