TUDUNG: RUTIN, HAK ASASI ATAU HUKUM
Tersentuh hati perempuan saya membaca tulisan dari seorang non-Muslim yang
menilai Islam berdasarkan sejarah, bukan berdasarkan nas yang sahih. Whatever
it is, apa yang merunsingkan fikiran saya ialah apabila ujud dikalangan umat
Islam sendiri yang kurang tahu tentang agamanya. Tidak tahu kenapa wanita
mesti bertudung (surah 24:31) dan mengenakannya tidak lebih sekadar satu rutin
harian. Tidak tahu bahawa sesuatu perintah Allah bukan untuk dicari justifikasi
logik akal semata-mata. Apabila padang pasir tidak ujud, maka gugur kewajipan
memakai khimar (tudung). Menurut penulis ini, mungkin di Malaysia ini orang
Gurun, Kedah aje kot kena pakai tudung sebab depa dok di gurun :-)
Saya teringat kata-kata abang Michael Jackson yang telah memeluk Islam iaitu
Jermaine Jackson yang mana bila dia melihat Islam dan perintah menutup aurat
yang dikenakan ke atas wanita, dia melihat betapa indahnya Islam kerana wanita
tidak lagi menjadi mangsa eksploitasi pihak kafir seperti untuk melariskan
barangan/produk dsb. Ramai juga dari kalangan converts yang merasa lebih aman
bila bertudung kerana tidak lagi menjadi 'mangsa' mata-mata jalang jantan
kaberet... Itu persepsi bekas orang Kafir yang melihat 'hikmah' disebalik
perintah mengenakan khimar.
Paling penting untuk diingati oleh setiap muslimah (dan juga muslimin), mengenakan
pakaian menutup aurat tidak terbit dari hak asasi manusia (human rights) sebaliknya
ia adalah perintah Allah sebagai bukti keimanan. Tidak perlu cari sebab kenapa
ia diperintahkan kerana setiap hukum Allah itu adalah peraturan terbaik yang
disusun untuk manusia dalam kapasiti sebagai yang dicipta (makhluk) oleh yang
Maha Mengetahui iaitu Sang Pencipta (Al-Khaliq). Hak asasi yang akhir-akhir
ini kerap ditimbulkan rentetan dari insiden karikatur Nabi Salallahu 'Alayhi
Wasallam bukan berasal dari ajaran Islam kerana setiap Muslim itu terikat
dengan hukum syarak dan hendaklah memastikan hukum-hakamnya sebelum melakukan
sesuatu. Seorang Muslim tidak boleh berbuat sesuatu hatta untuk memenuhi perintah
Allah dengan mengatas-namakan hak asasi seperti "aku nak bertudung sebab
ini hak asasi aku"... sehingga menganggap satu amalan (contohnya bertudung)
sebagai satu kebiasaan (atau sebab ada manfaat, elak mudarat). Niat (demi
dan untuk Allah) yang disulami dengan pengetahuan (ilmu) akan sesuatu amatlah
penting. Hadis riwayat an-Nasa'i dan Ibn Majah - " Ada orang yang berpuasa
tidak mendapat sesuatu daripada puasanya kecuali lapar dan ada orang yang
solat malam dan tidak mendapat sesuatu kecuali berjaga malam"
Melakukan sesuatu atas prinsip kebebasan (bukan kerana perintah dan larangan
Allah) pastinya akan lebih menyemarakkan api kebebasan yang hebat dilaung
dan didendangkan oleh pihak Barat sebagaimana kata-kata seorang ahli falsafah
Perancis yang tersohor yang pernah mengungkap kata-kata begini :
"I disapprove of what you say, but I will defend to the death your right
to say it "- Voltaire (1694-1778)
Sama-samalah kita membetulkan persepsi diri (sekiranya tersilap) dan juga
berusaha menasihati sesama muslim agar ibadah, amalan yang kita lakukan bukan
kerana manusia, kerana hak asasi dan lain-lain sebab yang bukan kerana Allah.
Memetik kata-kata Sheikh Ali Thantawi :
" Terdapat perbezaan yang besar antara seorang yang terjaga lewat pagi
kemudian terus bergegaskan untuk keluar bekerja. Disebabkan kesibukan menjalankan
tugas, beliau tidak berkesempatan untuk makan dan minum sehingga tibanya waktu
malam, sementara seorang yang lain yang turut mengalami keadaan berlapar dan
dahaga tetapi telah berniat untuk berpuasa, telah mendapat pahala daripada
amalannya disebabkan niatnya, sementara orang yang pertama tidak memperoleh
apa-apa sedangkan dia turut berlapar dan dahaga. Begitulah keadaanya dengan
amalan-amalan kebiasaan yang lain, bilamana diniatkan untuk mendapatkan keredhaan
Allah Subhanahu wa Taala akan memperolehi pahala dari Nya, sebaliknya jika
dilakukan sebagai rutin hidup, dia tidak akan memperoleh apa-apa "