* * * * * * * * * * * * * * * * * * *
TAMADUN MANA MEMBUNUH 6 JUTA YAHUDI?

Oleh Mazlan Nordin


NAMPAKNYA bukan pelbagai penulisan sesetengah para orientalis saja yang menimbulkan persoalan. Penulis-penulis lain juga.

Seperti Tariq Ali, intelektual Pakistan yang sekian lama berhijrah dan bermastautin di London.

Menaikkan bulu roma dan bukan sekadar bulu kening saja ialah karya barunya berjudul The Clash of Fundamentalisms: Crusades, Jihads and Modernity.

Bab pertama bertajuk An Atheist Childhoad diikuti dengan ayat pertama, berbunyi: ``I never really believed in God. Not even for a week, not even between the ages of six and ten, when I was an agnostic.''

Selanjutnya disebut betapa ibu bapanya juga sepertinya dan demikian juga kebanyakan sahabat karib mereka di Lahore waktu dahulu.

Lalu dibawa kisah ayahnya menunaikan fardu haji ke Mekah: ``Kunjungan ke Tanah Suci itu tidak begitu memberi kesan kepada ayahku. Atau mungkin ada juga, kerana beberapa tahun kemudiannya beliau menjadi komunis ortodoks dan berkekalan sepanjang hayatnya.

``Moscow became his Mecca,'' Tariq menambah.

Ketika masih kecil, guru mengajinya menyedari bahawa Tariq ``bosan belajar ayat-ayat Quran'' dan tidak mengajarnya sejarah Islam.

Buku berakhir dengan ``sepucuk surat kepada orang belia Islam'' dan antara lain dicatatkan: ``Jangan salah faham diriku. Kebencianku kepada agama bukan tertumpu kepada Islam saja...''

Lantas disebut pertembungan di antara golongan Protestan dan mazhab Katolik Kristian di masa lampau.

Ayat akhir berbunyi: ``Aku telah membiarkan pena terlajak dan meleret-leret mengkhutbahkan bidaahku. Aku ragu-ragu apakah aku akan berubah, tapi aku harap kau boleh.''

Karya terbaru Tariq nampaknya berupa lanjutan daripada tesis Profesor Samuel P. Huntington dari Universiti Harvard pada tahun 1993 mengenai The Clash of Civilisations iaitu pertembungan di antara tamadun-tamadun Barat, Islam, Hindu dan Confucius.

Hanya sanya tidak dijawab daripada segala-galanya ialah pertanyaan: Peradaban atau tamadun manakah yang membunuh enam juta Yahudi dalam deretan peristiwa yang disebut holocoust? Bukankah tragedi itu berlaku dalam dunia tamadun Barat?

Berupa ingatan mengenai tragedi itu ialah secebis daripada sebuah esei mengenainya oleh seorang penulis bernama Bruno Bettelheim: ``Berjuta-juta lelaki, wanita dan kanak-kanak - diproses setelah mereka diperlakukan dengan kejam, perikemanusiaan mereka dibinasakan,
pakaian mereka dikoyak rabik daripada tubuh. Setelah ditelanjangi mereka diasingkan ke bahagian yang mahu dibunuh serta-merta dan yang mahu digunakan sebagai buruh paksa.

Tetapi setelah beberapa ketika mereka juga dimasukkan ke dalam dewan gas racun untuk dilemaskan supaya di saat-saat akhir mereka tidak dapat mengelakkan perkelahian sesama sendiri untuk menghirup nafas akhir.

Kisah sama dibawa oleh pelbagai penulis lain dari dunia Barat sendiri.

Juga disebut betapa pegawai-pegawai komandan yang melakukan pembunuhan beramai-ramai itu kemudian pulang ke pangkuan keluarga masing-masing seperti biasa (seperti petugas pejabat) dan kemudian mendengar lagu klasik gubahan Wagner bagi menenangkan jiwa!

Peristiwa seumpama tidak pernah berlaku dalam mana juga negara Islam, termasuk di negara Sepanyol yang lalu diperintah oleh Islam selama kira-kira 700 tahun.

Setelah pemerintahan Islam itu ditewaskan oleh Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella, ramai orang Yahudi berhijrah ke negara-negara Islam demi keselamatan diri mereka.

Hal-hal seperti ini tidak pula dicatat oleh golongan orientalis dan para penulis lain yang anti-Islam.

Tentunya mesti disebut dalam semua aspek ini ialah tulisan Dr. Mark Gabriel, seorang bekas Islam dan bekas profesor sejarah Islam di Universiti Al-Azhar di Kaherah, berjudul Islam and Terrorism. Ia kemudian memeluk agama Kristian.

Buku tersebut dicetak oleh Charisma House di Amerika yang antara lainnya juga menerbitkan sebuah buku yang memberi amaran kepada kaum wanita mengenai bahaya berkahwin dengan lelaki Islam.

Dr. Gabriel juga memberi penghargaan kepada Florida Christian University.

Sebegitu sekali tamadun dan peradaban Islam dijadikan sasaran dalam iklim pertembungan peradaban masa kini.

Timbul pertanyaan daripada buku Tariq Ali ialah betapa pengetahuan beliau sebenarnya mengenai Islam kalau tidak tamat membaca Quran dan mengetahui segala-galanya mengenai hukum-hukum Islam dan Kristian atau agama lain kerana agnostik atau ateis.

Juga berbangkit pertanyaan: Kalau dulu ayahnya menjadi komunis dan menganggap Moscow sebagai kiblatnya betapa kemudian setelah ideologi komunis itu lesap dan segala rejim komunisdi Eropah Timur tumpas belaka setelah berkuasa hanya selama 70 tahun?

Antara buku lain tulisan Tariq ialah Can Pakistan Survive? (1982), The Nehrus and the Gandhis (1985). Tiada satu mengenai Mohammad al-Jinnah, bapa Pakistan.

Kepada Dr. Gabriel yang telah memeluk agama Kristian dan dalam bukunya mengungkit perihal orang Yahudi di Madinah di zaman dulu, kita mengajukan pertanyaan lanjut: Kenapa diam mengenai tragedi holocaust yang mengorbankan nyawa enam juta Yahudi - lelaki, wanita
dan kanak-kanak?''

Yang melakukannya ialah orang-orang daripada peradaban Barat. Tetapi yang menerima akibat ialah orang-orang Arab Palestin.

* Penulis ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hosted by www.Geocities.ws

1