REJIM
TEL AVIV MEMILIKI 300 BOM NUKLEAR
Berita Harian (12 Mei 2006) = http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Dunia/20060511232204/Article/
LONDON: Israel, satu-satunya negara kuasa nuklear di Asia Barat dan keenam
di dunia mempunyai kekuatan berkenaan dilaporkan memiliki 200-300 kepala peledak
atom, suatu perangkaan yang sepatutnya dibimbangkan dunia berbanding andaian
yang dibuat mengenai agenda Iran dalam isu nuklear.
Statistik itu dinyatakan John Eldridge ketua pengarang majalah Jane's Nuclear, Biological and Chemical Defense - media pertahanan yang berpengaruh, dalam wawancara dengan agensi berita Agence France-Presse (AFP), kelmarin.
“Anggaran ini berdasarkan keupayaan pengeluaran reaktor nuklear negara terbabit,” katanya.
Institut Kajian Strategik Antarabangsa sebelum ini menganggarkan bilangan kepala peledak nuklear Israel ‘sehingga 200 buah’.
Negara Yahudi berkenaan turut memiliki sejumlah peluru berpandu darat ke darat termasuk jenis jarak dekat Jericho 1 dan sederhana Jericho 2 yang menjadi antara kekuatan strategik pertahanannya.
Israel yang menjadi antara negara utama mengecam program nuklear Iran biarpun Teheran mengakui ia bagi tujuan keamanan, juga diketahui memiliki tiga kapal selam Dolphin menggunakan diesel pada akhir 1990-an.
Setiap satunya yang berupaya menghabiskan masa sebulan lamanya dalam air, pula mempunyai kemampuan melancarkan sehingga enam torpedo.
Akhbar Washington Post sebelum ini mendedahkan Israel berjaya mengubah suai peluru berpandu buatan Amerika Syarikat yang mampu membawa kepala peledak nuklear dan dapat dilancarkan daripada kapal selam.
Setakat ini, Israel mengamalkan pendekatan tidak mengesahkan atau menafikan strategi pertahanan nuklear yang dimilikinya kepada pengetahuan antarabangsa.
Tetapi, sebuah kumpulan penasihat AS, Inisiatif Ancaman Nuklear (NTI) yang diasaskan Ted Turner - pengasas stesen Cable News Network (CNN) dan bekas senator, pula percayakan kekuatan pertahanan nuklear Israel ‘menyamai kuantiti dan kualiti dimiliki Perancis dan Britain.’
Dokumen sulit Britain yang diumumkan baru-baru ini menunjukkan London membantu Tel Aviv memperoleh bom nuklearnya, 40 tahun lalu.
Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohammad ElBaradei, sudah beberapa kali meminta Israel menamatkan program rahsia pertahanan nuklearnya yang boleh menghasilkan perlumbaan senjata di Asia Barat.
Malah, Israel sendiri bukannya
anggota Perjanjian Kawalan Senjata nuklear. - Agensi