* * * * * * * * * * * * * * * * * * *
PULANGLAH CIKGU NAZRI

SEBUT sahaja nama Cikgu Nazri, semua guru dan pelajar mengenalinya. Mereka mengenalinya bukan sahaja kerana dia memiliki sebuah basikal yang boleh bergerak dengan menggunakan kuasa bateri rekaan sendiri, malah kerana perwatakannya yang ganjil.

Tidak sampai setahun Cikgu Nazri mengajar di sekolah itu dia sudah ditegur oleh pengetua.
“Saya dapati cikgu tidak berhati-hati memeriksa buku latihan budak-budak,” tegur pengetua, Encik Raman tentang kesalahannya selepas tiga bulan dia mengajar di sekolah itu, "Cikgu tanda betul bagi jawapan yang salah …”

“Saya dapati cikgu juga selalu merotan pelajar.”

“Kerana mereka malas!”

“Mengikut peraturan guru-guru tidak dibenarkan menyentuh pelajar, apatah lagi merotan mereka,” beritahu Encik Raman.

“Tetapi majoriti pelajar bersetuju …”

“Cik gu mesti mematuhi peraturan sekolah yang telah ditetapkan, bukan peraturan yang cikgu gubal sendiri bersama pelajar!”

Setelah ditegur lalu Cikgu Nazri megubah sedikit hukumannya. Dia memerintah denda bertulis mana-mana pelajar yang tidak membuat kerja sekolah di rumah. Hukuman sedemikian disenangi Encik Raman.

Namun, tidak lama selepas itu berlaku kejadian yang menimbulkan kemarahan beberapa orang guru kerana Cikgu Nazri mengarahkan pelajar-pelajar bermain bola sepak di tengah hujan lebat. Dia sendiri menjadi pengadil!

“Kita tidak boleh biarkan Cikgu Nazri membuat kerja tolol begitu. Mati anak kita kalau dipanah petir!!” rungut salah seorang guru yang kebetulan anaknya turut terlibat.
Tanpa membuang masa mereka melaporkan perkara itu kepada pengetua.

Kepada pengetua Cikgu Nazri menjawab:
“Saya terpaksa membawa pelajar turun ke padang kerana sekolah lama berdinding papan atapnya bocor dan terlalu bising. Guru-guru tidak masuk kelas. Mereka meninggalkan tugas yang diamanahkan hanya kerana takut basah ditimpa hujan tanpa mengambil kira kepentingan pelajar. Anehnya, guru-guru ini cuma nampak kesalahan orang lain dan menganggap dirinya sentiasa betul!”

Mendengar itu Encik Raman mendongakkan kepalanya memandang papan Jadual Mengajar Umum sekolahnya. Dia mendapati guru yang mengadu akan hal Cikgu Nazri itulah yang tidak masuk kelas!

Kini sudah genap setahun Cikgu Nazri bergaul mesra dengan guru dan pelajar sekolah itu. Walaupun Cikgu Nazri ada kalanya bersikap bengis, tetapi pelajar tertarik dengan pewatakannya yang kelakar ketika mengajar.

Namun begitu, sesetengah guru kurang senang dengan Cikgu Nazri. Antara guru yang paling rajin mencari kelemahan dan kesalah Cikgu Nazri ialah Cikgu Marjiha. Sebagai seorang guru yang sudah lama mengajar di sekolah itu, dia bukan sahaja disegani oleh Encik Raman malah setiap guru di sekolah itu. Tanpa segan silu mulutnya yang longgar itu akan menyuarakan apa-apa saja perbuatan Cikgu Nazri yang sumbang pada penglihatan atau janggal pada pendengarannya.

“Sudah 20 tahun lebih saya jadi guru belum pernah berjumpa guru sewel macam Cikgu Nazri,” umpatnya pada suatu pagi sambil mengangkat dua batang jarinya seolah-olah hendak mengiklankan dua bentuk cincin berlian yang menunggu masa untuk dijual kepada guru yang berminat.

“Sewel macam mana pula, cikgu?” balas Encik Raman dengan tenang.

“Encik Raman tidak tahu?” pura-pura dia bertanya sambil menarik muka seolah-olah terkejut.

“Cikgu Nazri mengajar ajaran songsang!”

“Ajaran songsang?” terkejut besar Encik Raman kerana perkara itu tidak pernah terlintas dalam kepalanya. “Setahu saya Cikgu Nazri mengajar matematik dan sains, bukan agama.”

“Sekarang ini, Encik Raman, ajaran songsang bukan terhad kepada ajaran agama saja, banyak lagi perkara lain disongsangkan,” balas Cikgu Marjiha dengan mimik muka.

“Ajaran songsang bagaimana pula?” tanya Encik Raman, memandang tepat ke muka Cikgu Marjiha yang sudah menampakkan kedutnya, tidak dapat lagi ditampungi bedak tebal yang dipakainya.

“Tidak pandai saya hendak beritahu. Nanti tersalah cakap pula. Encik Raman siasatlah sendiri,” balasnya ringkas apabila didapati Encik Raman lebih banyak bertanya daripada mengiakan cakapnya.

Setelah disiasat, Encik Raman mendapati memang betul bahawa Cikgu Nazri mengajar ajaran songsang kepada pelajarnya. Sebaik-baiknya saja sampai di sekolah pada suatu pagi, segera dia menjemput Cikgu Nazri ke biliknya.

“Cikgu selalu menyusahkan saya,” rungutnya setelah Cikgu Nazri duduk di kerusi di hadapannya.

Berubah wajah Cikgu Nazri mendengarnya. Dia kelihatan terkejut dan segera membalas.

“Saya tidak pernah berniat begitu.”

“Tetapi apa yang cikgu ajar menyusahkan saya.”

“Maksud Encik Raman?”

“Guru-guru heboh tentang ajaran songsang yang cikgu ajar.”

“Ajaran songsang?!”

“Cik gu cuba memesongkan fikiran pelajar-pelajar dari segi kaedah mengira dan membaca …”
“Saya kurang faham!!”

“Angka ‘1’ cikgu suruh budak-budak baca angka ‘9’, angka ‘2’ sebagai angka ‘8’ … Begitu juga dengan abjad. Cik gu suruh budak-budak hafal huruf ‘a’ sebagai ‘z”. huruf ‘b’ sebagai ‘y’ dan seterusnya. Apakah cik gu mahu otak budak-budak jadi terbalik macam otak cikgu?”

“Oh, pasal angka dan huruf yang saya ajar,” Cikgu Nazri tersenyum. “Sebenarnya dalam matematik bentuk angka dan huruf hanya lambang. Kita boleh baca apa saja, asalkan kita faham maksud lambang huruf atau nilai lambang angka yang kita gunakan itu.”

“Saya hairan mengapa cikgu menyusah diri dan budak-budak menghafal benda-benda yang tidak berfaedah itu?” tanya Encik Raman, tidak berminat mendengar penjelasan lanjut Cikgu Nazri.

“Kerana saya mahu melatih mereka berfikir secara kritis, logik dan sistematik sesuai dengan era IT. Di Barat, pelajar boleh menghafal susunan huruf abjad mulai ‘z’ hingga ‘a’,” Cikgu Nazri membuat perbandingan.

“Walaupun cikgu pernah belajar di Amerika dan hebat dalam pelbagai program komputer, saya harap janganlah membawa balik tabiat membandingkan pelajar kita dengan pelajar di Barat. Dan tidak sepatutnya pula cikgu menyamakan otak garam pelajar kita dengan otak keju pelajar mereka.”

“Tidak pernah saya mendengar otak manusia juga boleh dikelas-kelaskan macam telur ayam hendak dijual. Yang saya tahu kalau pelajar kita dilatih berfikir sejak awal-awal lagi, mereka juga boleh mencapai tahap pemikiran macam pelajar Barat.”

“Saya tidak mahu mereka keliru. Cikgu bukan tidak tahu mereka tidak lama lagi menghadapi peperiksaan. Kalau fikiran mereka bercampur-aduk dengan perkara yang bukan-bukan macam mana mereka hendak lulus peperiksaan?”

Cikgu Nazri sungguh terkilan dengan kata-kata Encik Raman yang tidak menghargai usahanya untuk meningkatkan daya pemikiran pelajar-pelajarnya.

“Saya sekarang sedang mengajar algebra,” beritahu Cikgu Nazri. “Saya mahu pelajar benar-benar memahami konsep algebra yang boleh menyelesaikan masalah yang berlapis-lapis dengan menggunakan hukum andaian seperti kalau ‘a’ bersamaan dengan ‘x’ dan ‘x’ ;bersamaan ‘2y’, cari nilai ‘a’ kalau nilai ‘y’ bersamaan dengan ‘2’ dan ‘2’ bersamaan dengan nilai ‘9’. Jadi, apa yang Encik Raman anggap ajaran songsang atau ‘yang bukan-bukan’ itu sebenarnya merupakan satu kaedah pembelajaran paling mudah untuk memahami konsep algebra yang memerlukan daya pemikiran yang tajam dan imiginasi yang tinggi. Walau berjela-jela contoh mengenai ‘hukum andaian’ diberikan oleh Cikgu Nazri, namun, Encik Raman tidak mudah menerima cara pengajaran Cikgu Nazri yang dianggap terlalu asing dan mengelirukan pelajar-pelajar itu.

Ketika isu ajaran songsang belum reda, tiba-tiba tersebar pula berita sensasi yang tidak kurang hebatnya.

“Benarkah Cikgu Nazri membuat perangai yang tidak senonoh seperti itu?” tanya Encik Raman kepada Cikgu Marjiha yang begitu cekap menyampaikan berita terbaru kepadanya.

“Kalau tiak percaya, Encik Raman tanyalah pasukan pengakap kita,” balas Cikgu Marjiha yang hanya memandang selapis terhadap setiap perkara yang didengar atau dilihatnya.
Setengah jam kemudian berderet-deretlah pasukan pengakap yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima dipanggil oleh Encik Raman untuk disoal siasat mengenai aktiviti mereka ketika berkempen di Hulu Gong semasa sekolah bercuti minggu lalu.

“Kalau cikgu tidak percaya, tanyalah Cikgu Nazri,” balas pelajar yang berikutnya apabila bertubi-tubi disoal siasat oleh Encik Raman.

Encik Raman mengarahkan keraninya memanggil Cikgu Nazri pula. Namun, dia sungguh hampa kerana Cikgu Nazri tidak datang ke sekolah pada hari itu kerana bercuti sakit.

“Lain kali kalau sakit, telefonlah saya,” kata Encik Raman, tidak memandang tepat ke mata Cikgu Nazri kerana terlalu marah.

“Saya memang hendak beritahu, tetapi telefon sekolah selalu engaged.”
Jawapan itu melenyapkan sebahagian daripada kemarahan Encik Raman. Namun, dia tidak dapat melupakan aktiviti pasukan pengakap yang diketuai oleh Cikgu Nazri itu. Dan itulah perkara pokok menjadi perbahasan hangat antaranya dengan Cikgu Nazri pada pagi itu.

“Tidak salah?” merah muka Encik Raman apabila Cikgu Nazri cuba menafikan perkara yang dianggap salah itu. “Sepatutnya cikgu menunjukkan teladan yang baik-baik kepada pelajar-pelajar, bukan perbuatan obscene yang memalukan saya sebagai pengetua dan menjejaskan nama baik sekolah!!”

“Soal obscene dan menjejaskan nama baik sekolah tidak timbul dalam hal ini, Encik Raman, kerana di dalam hutan Hulu Gong sana tidak ada orang luar …”

“Tetapi perbuatan cikgu mandi telanjang bersama-sama pelajar di hulu sungai sana itu sudah heboh seluruh sekolah,” jerkah Encik Raman. "Kalau perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat PIBG kelak, sayalah yang bertanggungjawab untuk menjawabnya.”
Cikgu Nazri terdiam.

“Saya tidak faham mengapa cikgu masukkan aktiviti yang … yang bodoh dan lucah itu ke dalam program kempen …"

“Saya tidak fikir begitu,” berdesing cuping telinga Cikgu Nazri menerima tuduhan seperti itu.

“Apa yang cikgu fikirkan?”

“Tujuan saya melakukan itu untuk mengembalikan nostalgia pelajar kepada zaman kanak-kanak mereka.”

“Tanpa memikirkan akibatnya?”

“Saya juga ingin menghapuskan semangat rendah diri dan perasaan malu yang mengongkong jiwa pelajar. Saya mahu membuktikan bahasa manusia adalah sama dari segi fizikal mereka dan saya mahu mereka merasai diri saya sebahagian daripada mereka, tiada lagi batasan antara saya dengan mereka. Yang paling penting saya mahu mendisiplinkan mereka supaya amanah kepada janji dan patuh kepada sumpah.”

“Saya tidak nampak sebarang kaitan perbuatan menjolok mata itu dengan kata-kata mulia yang cikgu sebutkan itu. Yang saya nampak cik gu tidak jujur melaksanakan tugas pendidikan yang diamanahkan!”

“Bukan saya, tetapi pelajar-pelajar yang tidak amanah!”

“Maksud cikgu?”

“Sebelum pergi ke Hulu Gong mereka telah mengangkat sumpah dan berikrar tidak akan membocorkan segala rahsia semasa kempen. Sebagai pasukan pengakap, sepatutnya mereka mesti setia kepada sumpah. Nampaknya, saya gagal melatih mereka. Inilah salah satu kelemahan pelajar kita. Saya akan berusaha melatih mereka supaya …”

“Tidak!!” tengking Encik Raman. “Mulai hari ini cikgu tidak layak mengetuai pasukan pengakap sekolah ini!”

Tindakan Encik Raman yang tegas itu sungguh mengecewakan Cikgu Nazri dan mengubah sikapnya pada hari-hari berikutnya. Perubahan sikapnya yang mendadak itu menimbulkan tanda tanya di kalangan guru yang sejak dahulu memerhatikan tingkahlaku Cikgu Nazri yang dianggap ganjil itu.

Ketika mereka sedang mencari-cari jawapan mengenai perubahan sikap Cikgu Nazri itu tiba-tiba meledak pula suatu berita yang mengejutkan dan menakutkan masyarakat sekolah. "Cikgu Nazri mengajar budak-budak membuat bom!!” beritahu salah seorang guru.
“Mana mungkin?” bantah guru lain. “Baru dua hari lepas Cikgu Nazri merungut tentang peralatan sains sekolah ini sudah lapuk dan ketinggalan zaman, masakan dia boleh mengajar pelajar membuat bom?”

Dan pada hari itu juga berita itu sampai ke pengetahuan Encik Raman. Namun, sebelum penyiasatan lanjut dijalankan, pada suatu malam sekolahnya dikejutkan oleh kejadian yang sungguh menggemparkan: Bilik makmal sekolah meletup dan terbakar!!

Pada malam yang sama juga pihak berkuasa datang ke sekolah itu untuk menyiasat punca letupan itu. Lewat pagi berikutnya hasil penyiasatan telah diperolehi: Serpihan bom rekaan sendiri ditemui di dalam bilik makmal!!

Oleh kerana sebelum ini sudah merebak berita yang ada kaitan dengan bom, maka semua telunjuk menuding kepada Cikgu Nazri. Cikgu Nazri ditahan oleh pihak berkuasa.
Setelah menjalani penyiasatan lanjut berdasarkan rekod peribadi Cikgu Nazri yang diperolehi daripada pengetua, lantas pihak berkuasa mengaitkan kejadian itu dengan penyakit mental yang sering dialami oleh burnt out teacher pada akhir-akhir ini dan memutuskan supaya Cikgu Nazri dirawat pusat sakit jiwa dan diletakkan di bawah perhatian polis.

Ketiadaan Cikgu Nazri itu mengurangkan masalah Encik Raman. Yang diharapkannya kini, tiada lagi guru seperti Cikgu Nazri dihantar ke sekolahnya.

Bagaimanapun, nama Cikgu Nazri lenyap daripada sebutan sebentar sahaja. Apabila sekolah itu memperolehi keputusan peperiksaan SRP yang cemerlang pada tahun itu, nama Cikgu Nazri timbul semula. Yang paling menyesal atas kehilangannya ialah Encik Raman sendiri kerana sains dan matematik merupakan mata pelajaran yang paling tinggi peratus kelulusannya, malahan berjaya mengatasi beberapa buah sekolah yang ternama di daerah itu. Persoalannya, bagaimana hendak mengekalkan pencapaian yang cemerlang itu pada tahun-tahun berikutnya tanpa Cikgu Nazri?

Suatu hari Encik Raman mengunjungi pusat sakit jiwa untuk berjumpa Cikgu Nazri buat kali pertama sejak dia dirawat di pusat itu.

“Cikgu Nazri sudah lama tiada di sini,” beritahu Doktor Sakit Jiwa, Dr. Hamid.

“Bukankah doktor yang bertanggungjawab merawat cikgu saya itu?”

“Atas nama tanggungjawab itulah saya tidak tergamak melihat Cikgu Nazri bergaul dengan pesakit jiwa di pusat rawatan ini.”

“Mengapa??”

“Kerana dia tidak menghidap sakit jiwa.”

“Cikgu Nazri sihat?”

“Dia hanya mengalami sedikit tekanan emosi kerana setiap perbuatan yang dilakukannya ditentang oleh guru-guru dan cikgu sendiri,” Dr. Hamid berterus terang.

“Kerana yang dilakukannya itu bertentangan dengan peraturan sekolah dan kejadian yang paling akhir itu pula bertentangan dengan undang-undang,” Encik Raman cuba membetulkan tanggapan doktor yang mungkin terpengaruh oleh cerita Cikgu Nazri yang bijak bercakap itu.

“Betulkah Cikgu Nazri memiliki sebuah basikal bateri?” tanya Dr. Hamid, tidak mempedulikan penjelasan Encik Raman.

“Ya, dia sendiri mereka basikal bateri itu,” beritahu Encik Raman, bangga.

“Sebenarnya pada masa itu dia sedang mencipta sebuah bateri yang boleh dicas dengan menggunakan cahaya suria untuk basikalnya!”

“Benarkah begitu?”

“Saya tidak ragu-ragu lagi kerana cikgu sendiri mengakui dia memiliki basikal bateri rekaan sendiri.”

“Tetapi mengapa dia tidak memberitahu saya?” Encik Raman berasa terkilan.

“Kerana katanya dalam keadaan begitu tiada siapa mempercayai cakapnya. Lebih-lebih lagi kebanyakan bahan yang digunakannya menyerupai bahan-bahan yang terdapat di dalam bom!”

Mendengar itu Encik Raman terdiam dan mengeluh panjang.
“Dan …” Dr. Hamid meneruskan, “letupan itu berlaku kerana paip tabung gas dalam bilik makmal bocor. Katanya lagi, pihak pentadbiran lebih berminat membelanjakan wang sekolah untuk membina taman rekreasi daripada menggantikan alat-alat sains yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Betulkah begitu?”

Berdegup jantung Encik Raman mendengar itu kerana perkara yang sama juga pernah dibangkitkan oleh Cikgu Nazri dalam mesyuarat suatu ketika dahulu.

“Lupakanlah perkara yang lepas itu. Sebenarnya apa tujuan cikgu datang ke mari?” Dr. Hamid meringkaskan cerita kerana sudah sepuluh minit masa rawatan pesakit berlalu.

“Saya hendak menjemput Cikgu Nazri kembali mengajar”, Encik Raman berterus terang.

“Saya tidak fikir dia sudi,” balas Dr. Hamid seolah-olah mengetahui isi hati Cikgu Nazri.

“Di mana dia sekarang?”

“Di perkebunan saya.”

“Dia tinggal di sana?”

“Ya, dia menetap di sana sehingga dirinya dibebaskan daripada perhatian polis tidak lama lagi.”

“Boleh saya berjumpa dengannya?”
Dr. Hamid tidak menjawab. Dia menarik sekeping kertas dan melakar peta ringkas lokasi rumah penginapannya pada hujung minggu yang terletak lebih kurang 30 km dari situ.

Sambil mengunjuk kertas itu dia berkata:
“Saya harap cik gu dapat memujuknya. Tidak patut tenaga muda yang rajin dan kreatif sepertinya dibiarkan terbuang di daerah yang sunyi dan terpencil itu.”
“Saya akan cuba. Terima kasih!”

Tengah hari itu juga Encik Raman telah memandu Volvonya ke tempat kediaman Cikgu Nazri. Dia ingin segera sampai ke sana untuk menyatakan sesuatu kepadanya.
Tetapi apabila tiba di separuh perjalanan, fikirannya berubah. Dia berasa tidak perlu tergesa-gesa mengejar sesuatu yang belum tentu berjaya kerana dia pasti Cikgu Nazri masih menaruh dendam terhadap dirinya. Lalu dia memutuskan menghantar seorang wakilnya untuk menjemput Cikgu Nazri. Tetapi siapa?

Dua hari berikutnya seorang guru muda yang paling ayu di sekolah itu datang menjemput Cikgu Nazri.

“Lupakanlah peristiwa yang lepas itu, Naz. Mereka semua mengharapkan kepulangan Naz,”
dengan suara lembut Cikgu Nurlia memujuk setelah berulang kali rayuannya ditolak.

“Susah aku hendak menerimanya kerana mereka telah meletakkan diriku dan pengorbananku setaraf dengan pesakit jiwa,” pendirian Cikgu Nazri tidak mudah berganjak.

“Pengetua sudah menyedari kesilapannya dan meminta maaf kepada Naz.”

“Hanya maaf?”

“Sebagai menebus kesilapannya dia telah berusaha mendapatkan peralatan sains sebagaimana cadangan Naz dulu. Sekarang sekolah kita mempunyai bilik makmal baru lengkap dengan alat pengukur bahan kimia berkomputer yang canggih …”

“Setelah aku dihumbankan ke pusat sakit jiwa …”

“Kalau dia tidak menyerahkan rekod peribadi Naz dulu, mungkin Naz akan menerima hukuman yang lebih berat lagi kerana ….”

“Aku lebih rela menerima apa saja hukuman daripada diriku dihina sebagai pesakit jiwa, orang gila!!!”

“Nur tahu mengapa Naz bersikap begitu. Maafkan Nur kerana menolak cinta Naz dulu itu. Nur juga telah dipengaruhi oleh guru-guru lain.”

“Aku tidak menyesal kerananya. Sebaliknya aku bersyukur tidak memiliki wanita yang tidak mempunyai pendirian sendiri, mudah tunduk kepada fitnah orang!!”
Merah muka Cikgu Nurlia yang putih kuning dan bergetar ruang dadanya mendengar kata-kata sinis Cikgu Nazri itu. Dia berasa ingin menangis. Tetapi ditahan perasaan hatinya yang pilu. Dia mesti bersabar menghadapi seorang yang keras hati seperti Cikgu Nazri.

“Kalau begitu Naz lupakan saja Nur dan pelawaan pengetua, tetapi … tolonglah berikan sedikit ruang untuk memikirkan pelajar yang Naz tinggalkan itu." Fikirkan Amir, fikirkan Adi, Zizi, Azni dan … dan Nawab yang mengharapkan kepulangan Naz.”
Mendengar nama-nama pelajarnya disebut, tiba-tiba mata Cikgu Nazri bercahaya dan wajahnya kembali lembut.

“Bagaimana dengan Nawab?” segera dia bertanya. Dia terpikat dengan nama yang satu itu. Ditatapnya wajah Cikgu Nurlia dalam-dalam buat pertama kali.

“Sebulan Naz tiada, setiap hari dia datang berjumpa Nur. Dibawanya kertas denda yang Naz suruh dia tulis 500 baris kerana tidak membuat kerja sekolah.”

“Nawab masih memikul kasutnya ke sekolah?” Dia masih ingat pelajarnya itu hanya memakai kasut yang dibelinya apabila tiba di sekolah.

“Nawab kembali memakai seliparnya semula. Dia menyimpan kasut yang Naz berikat itu sebagai kenangan. Dan Nur telah membelikan kasut dan sepasang pakaian sekolah yang baru untuknya,” beritahu Cikgu Nurlia.
Mendengar hal itu Cikgu Nazri termenung panjang.

“Nawab dan rakan-rakannya akan menghadapi PMR tahun ini …”

“Aku tahu!”

“Pulanglah, kalau Naz benar-benar ingin melihat pelajar-pelajar yang tinggal jauh di kaki bukit sana itu berjaya dalam pelajaran mereka,” rayu Cikgu Nurlia lagi, menyebabkan Cikgu Nazri semakin sukar menolak pelawaan Encik Raman yang ada kaitan dengan pelajar-pelajar miskin yang ingin dibelanya.

“Mereka tentu gembira menyambut kepulangan Naz,” Cikgu Nurlia terus memujuk apabila Cikgu Nazri semakin tunduk kepada rayuannya.
Sekali lagi ingatan Cikgu Nazri kembali kepada Nawab dan rakan-rakannya yang kaya dengan kemiskinan itu. Jauh di sudut matanya terbayang-bayang lambaian mereka, manakala di telinganya pula sayup-sayup terdengar suara mereka memanggil-manggil namanya, "Pulanglah, Cikgu Nazri!!"

Sebaik-baik sahaja Cikgu Nazri melangkah masuk kelas pada pagi itu, hatinya sungguh terharu. Beberapa titis air mata kasih berderai ke pipinya, kerana mereka jugalah menjulang kain rentang yang berwarna biru tertulis:
“SELAMAT PULANG CIKGU NAZRI!!”

Hosted by www.Geocities.ws

1