* * * * * * * * * * * * * * * * * * *

KISAH TELEFON BIMBIT DI MAKKAH

Penggunaan alat telekomunikasi itu kadang kala mendatangkan kesusahan seperti tertinggal solat jemaah dan telefon dicuri

ROSLAN dan Fatimah menunaikan haji buat kali kedua tahun ini. Pertama kali kira-kira 10 tahun lalu. Ketika itu tidak banyak kemudahan perhubungan melalui telekomunikasi antara jemaah di Makkah dengan sana saudara di Malaysia.

Kini sudah ada perkhidmatan dail terus melalui perkhidmatan telefon. Guna dulu, bayar kemudian di tanah air. Bayangkanlah kalau seorang jemaah menggunakan telefon cara begini sangat kerap, berapa banyak bil yang perlu dibayar di Malaysia.

Ada juga perkhidmatan telefon antarabangsa yang disediakan syarikat Arab yang boleh digunakan jemaah secara bayaran segera selepas digunakan. Perkhidmatan ini agak menjimatkan kerana pengguna boleh mengagak bayaran dikenakan dan hanya bercakap perkara yang mustahak saja.

Namun, kebelakangan ini kemudahan menggunakan telefon bimbit amat meluas di Tanah Suci, sedangkan 10 tahun
lalu hendak menggunakan walkie talkie pun terpaksa minta lesen dan amat sukar diperoleh.

Dengan ledakan teknologi perhubungan dan peralatan canggih seperti telefon bimbit, ia memudahkan urusan jemaah dengan keluarga mereka di tanah air.

Roslan membawa satu unit telefon bimbit yang mempunyai kamera dan mahal harganya. Isterinya juga membawa satu telefon yang perkhidmatan sudah ‘roaming’ bagi memudahkan perhubungan.

Tujuan suami isteri ini membawa telefon setiap seorang untuk mengesan pasangan ketika di Makkah dan memudahkan perhubungan dengan anak-anak di Malaysia. Pasangan ini asyik menelefon keluarga tanpa mengira
jumlah bil.

Suatu hari, ketika waktu Zuhur, Roslan menggantungkan telefon bimbitnya untuk dibawa ke dalam masjid, tiba-tiba beliau ditahan penjaga pintu kerana telefon itu berkamera. Beliau terpaksa berpatah balik ke hotelnya kira-kira 200 meter dari masjid.

Apabila tiba semula, beliau sudah ketinggalan dua rakaat dan terpaksa bersembahyang di atas jalan. Inilah akibatnya membawa barangan yang berlainan dari ibadat.

“Kalau tahu keadaan begini, lebih baik aku tunggu dan solat Zuhur di luar masjid saja, tak perlu balik hantar telefon ke hotel,” Roslan dalam hatinya.

Esoknya, beliau ke masjid seperti biasa tetapi kali ini tidak membawa telefon bimbit. Isterinya yang membawa telefon bimbit mendail berkali-kali kepada suaminya, namun tiada berjawab.

Apabila mereka balik dan bertemu di hotel, isterinya bertanya: “Mengapa abang tidak mengangkat telefon. Saya nak minta izin pergi membeli-belah. Saya terpaksa patah balik ke hotel kerana tidak dapat menghubungi abang!”

Suaminya mengatakan yang dia tidak membawa telefon kerana takut dirampas penjaga masjid.

“Kalau begitu, tak gunalah kita roaming dari Malaysia lagi,” kata Fatimah dengan muka mencuka.

“Yang awak ini asyik lebihkan membeli-belah daripada beribadat kenapa? Sebab telefon bimbit inilah semalam abang kehilangan dua rakaat solat Zuhur.

“Yang, awak ada dengar tak cerita Ustaz Burhan, mutawwif kita mengenai kisah telefon bimbitnya,” kata suaminya.

“Mengapa,” tanya isterinya.

“Ustaz Burhan dalam perjalanan ke hotel kita dua hari lalu. Apabila hampir sampai, seorang Arab menahannya
dan meminta telefon. Ustaz menyangka yang lelaki Arab itu hendak meminjamnya, tetapi apabila telefon bertukar tangan, lelaki itu menjerit pencuri ke arah ustaz.

“Ustaz Burhan tercengang dan menjawab dalam bahasa Arab bahawa lelaki itu yang merampas daripadanya. Kemudian beberapa orang Bangladesh yang melihat peristiwa itu turut masuk campur dan meminta ustaz
mengajar lelaki Arab itu yang mula mengatur langkah hendak lari itu,” katanya.

Tiga orang daripada mereka mengejar lelaki Arab itu yang berlari menghala ke simpang jalan di mana ada seorang polis trafik dan mengadu bahawa Ustaz Burhan mencuri telefonnya.

Ketika itu, mereka bertiga sampai ke situ lalu dikerumuni oleh orang ramai yang lalu-lalang kerana seorang seorang Bangladesh memberitahu polis yang lelaki Arab itu mencuri telefon Ustaz Burhan.

Aduan itu bercanggah dengan aduan penyamun itu tadi. Lalu Ustaz Burhan bertanya Arab itu berapa nombor telefonnya. Lelaki Arab itu terpinga-pinga tidak boleh menjawab kerana Ustaz Burhan memberitahu dengan tepat nombor telefonnya itu.

Penyamun itu sudah pucat. Polis Arab memegang tangannya dan meminta menyerahkan telefon kepada Ustaz
Burhan tanpa mengambil tindakan undang-undang seperti menggari atau mendakwanya.

Lelaki Arab itu tunduk dan meminta ampun berkali-kali kepada Ustaz Burhan yang warak itu.

Sebenarnya, selepas lelaki Arab itu mencuri telefon, dia bergegas ke keretanya untuk melarikan diri, tetapi
entah apa malangnya, keretanya gagal dihidupkan.

Apabila sekumpulan orang Bangladesh termasuk Ustaz Burhan pergi menjenguk ke dalam kereta pencuri itu di
tepi jalan, mereka nampak beberapa telefon bimbit di atas tempat duduk belakang yang menguatkan lagi
dakwaan itu.

Malangnya, tiada pegawai polis yang meronda di kawasan berkenaan untuk membuat aduan atau mengambil langkah pencegahan supaya tiada peras ugut dari kalangan warga Arab terhadap pelancong asing.

Sungguh hairan, sebuah negara Islam yang melaksanakan undang-undang Islam tidak dapat mengawal kejadian
kecurian yang berleluasa.

“Habis dapat semula telefon ustaz itu?,” tanya Fatimah.

“Dapatlah. Tapi masalahnya mengapa terpaksa melalui kesusahan hanya kerana telefon? Tiadakah penguatkuasaan mengawal pencuri ini?

“Ada cerita lain yang berkaitan dengan telefon juga. Ada seorang mutawwif Indonesia bercakap telefon sambil
berjalan. Apabila habis bercakap, dia menyimpan telefon berkenaan ke dalam koceknya.

“Tiba-tiba, datang sebuah motosikal yang ditunggangi dua pemuda Arab meminta pinjam telefon kerana telefon
kepunyaan mereka kehabisan bateri. Mutawwif itu simpati dan memberikan telefonnya. Apalagi, mereka terus memecut motosikal di celah-celah orang ramai hingga hampir melanggar jemaah haji,” katanya.

“Tapi Bang, kalau kita beringat-ingat menggunakan telefon bimbit ini banyak kegunaannya. Kita boleh menghantar pesanan ringkas kepada anak kita. Jika dia membalas semula ia masih murah berbanding menggunakan
telefon biasa,” kata Fatimah.

“Tapi Yang, ada lagi satu cerita mengenai kesulitan telefon bimbit ini,” tambah Roslan.

Ada seorang jemaah yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik. Satu hari, selepas keluar dari masjid, telefonnya berdering, dia pun menjawab. Rupa-rupanya dari anaknya di kampung dan ketika bercakap,
telefonnya dicuri.

Teramat banyak maklumat peribadinya dalam telefon itu. Senarai nombor telefon keluarga, rakan-rakan, pelanggan dan nombor akaun banknya selain nombor kad kredit yang sepatutnya disimpan di tempat lain.

“Dia sangat ralat kerana di Tanah Suci tempat orang beribadat yang diberi ribuan pahala dan digandakan dosa bagi yang melakukan kekejian tetapi orang masih lagi memilih melakukan kekejian,” katanya.

Inilah dugaan di Makkah dan Madinah. Sebab itulah Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis orang yang datang menunaikan haji. Satu kumpulan orang-orang kaya datang untuk membeli-belah di samping
menunaikan haji. Satu kumpulan pula datang memperdengarkan bacaan al-Quran kerana hendak menunjuk-nunjuk bahawa mereka qari. Sekumpulan lagi orang miskin sengaja bertungkus-lumus walaupun berjalan kaki datang ke Makkah untuk meminta sedekah.

Maksudnya, orang tidak hirau lagi mengenai pencapaian haji mabrur. Mereka lebih mementingkan kerja sampingan.

“Jadi, dalam ramai orang yang menunaikan haji itu, agaknya berapa orang yang mendapat haji mabrur kalau semua orang lebih mementingkan kerja sampingan daripada ibadat utama,” tanya isterinya lagi.

“Itu tidak boleh nak kata kerana ia balasan dan kurniaan Allah. Contohnya, pada zaman Syeikh Hassan Basri. Beliau menunaikan haji dalam tempoh satu tahun. Beliau berangkat dari Baghdad dengan berjalan kaki kerana mengikut sunah Rasulullah SAW.

“Selepas tiba di Makkah dan menunaikan haji beliau tertidur dan bermimpi seorang syeikh berjanggut putih datang menemuinya.

“Syeikh itu berkata, pada tahun itu kira-kira 60,000 orang menunaikan haji dan yang mendapat haji mabrur kira-kira 10,000 saja, lalu dijelaskan wajah-wajah yang mendapat keberkatan itu,” katanya.

Menurutnya, pada waktu Subuh, Syeikh Hassan Basri masuk ke masjid dan meneliti seorang demi seorang yang ditemui untuk memastikan jika ada wajah yang mendapat haji mabrur tetapi tidak berhasil.

Akhirnya beliau pun balik ke Baghdad dan tidak putus-putus memikirkan siapa yang bertuah mendapat haji mabrur itu.

Seminggu di Baghdad, tiba-tiba datang seorang penduduk kampung menjemput Hassan Basri ke kawasannya untuk meraikan fakir miskin dan anak yatim.

Syeikh Hassan Basri terkejut kerana wajah orang itu adalah yang tersenarai dalam 10 orang yang dalam mimpinya. Lalu Syeikh Hassan bertanya: “Bila tuan balik dari Makkah?”.

“Maaf Syeikh, saya tidak ke Makkah,” kata lelaki itu.

“Tapi saya nampak wajah tuan ketika di Makkah dan saya amat ingat kerana saya teliti wajah tuan dengan pertolongan Allah,” kata Syeikh Hassan.

“Tidak tuan, pada mulanya saya hendak ikut rombongan tuan ke Makkah, tetapi suasana tidak mengizinkan kerana ketika saya sedang bersiap-siap, tiba-tiba satu keluarga jiran ditimpa musibah. Suami jiran itu meninggal dunia dengan meninggalkan ramai anak dan isteri dalam keadaan daif.

“Kemudian, pada masa yang sama juga ada satu keluarga yang diserang penyakit dan tidak berupaya bekerja. Mereka hidup dalam kesempitan dan hanya menunggu maut saja.

“Saya tidak tahan melihat keadaan itu dan membatalkan hasrat ke Makkah. Semua bekalan saya serahkan kepada keluarga yang dilanda musibah itu. Saya sentiasa berdoa supaya memulihkan kehidupan dua keluarga tadi dan memohon keampunan kerana menangguhkan pemergian ke Makkah,” jelas lelaki itu kepada Syeikh Hassan Basri.

Maka mengertilah Syeikh Hassan bahawa rahmat Allah itu terlalu luas. Hanya kerana membatalkan haji disebabkan kepentingan orang yang di ambang kematian diberi haji mabrur.

Terpegun isterinya mendengar kisah yang baru saja diterangkan oleh suaminya.

“Habis, kita ini agaknya bolehkah mendapat haji mabrur? Kita datang ke Makkah dengan niat ikhlas,” kata Fatimah.

“Entahlah Fatimah, berdoa sajalah kepada Allah,” kata Roslan.

Hosted by www.Geocities.ws

1