KESALAHAN DALAM SOLAT
Bacalah serta ikutlah
(wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah
sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan
yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
(faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu
kerjakan.(29:45)
ANTARA KESALAHAN
BERKAITAN SOLAT
SOLAT adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti. Jika Solat
atau sembahyang seseorang baik, baiklah pula seluruh amalannya dan begitulah
sebaliknya.Solat perlu dipelihara sebaik-baiknya. Antara kesalahan yang selalu
dilakukan berkaitan sembahyang adalah:
1. Meninggalkan sembahyang.
Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan Al-Quran, Sunnah dan Ijmak. Allah
berfirman bermaksud: "Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam Neraka
Saqar?” Mereka menjawab: "(Kerana) kami dulu tidak termasuk orang
yang mendirikan solat." (Surah Al-Muddatstsir, ayat 4)
Rasulullah saw bersabda: "Perjanjian antara kami dengan mereka adalah
solat, barang siapa meninggalkannya maka dia kafir." (Hadis riwayat Ahmad
dan lainnya).
2. Melengah-lengahkan solat.
Firman Allah swt bermaksud : Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman
dalam waktu yang sudah ditentukan." (Surah an-Nisa, ayat 103)
Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah
berdosa besar. Rasulullah bersabda: "Itu adalah solat orang munafik.
Dia duduk menunggu matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua
tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan melakukan empat rakaat,
sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya kecuali sedikit." (Hadis
riwayat Muslim).
3. Tiada thuma'ninah dalam solat.
Thuma'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Thuma'ninah ertinya
tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.
Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak
tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.
4. Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.
5. Mendahului atau menyamai perlakuan Imam.
Hal ini boleh menyebabkan solat terbatal. Makmum hendaklah mengikuti Imam,
tidak mendahului atau menyamai perbuatan Imam.
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya diadakannya Imam itu untuk diikuti,
kerana itu jika dia (Imam) bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir
sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian
rukuk sampai dia rukuk." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan rakaat berikutnya sebelum Imam selesai
dari salam kedua bagi yang ‘masbuq’ (tidak bersama Imam semasa
takbiratul ihram).
7. Memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.
Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: "Hendaklah orangmu berhenti
daripada mendongakkan pandangannya ke langit ketika solat atau Allah tidak
mengembalikan pandangannya kepada mereka." (Hadis riwayat Muslim).
"Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah
suatu kebinasaan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)
8. Mengenakan pakaian nipis yang tidak menutupi aurat.
Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat sah solat. Tidak
memakai tudung dan menutupi telapak kaki bagi wanita kerana aurat wanita dalam
solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan.
Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab: "Hendaknya
dia solat dengan kerudung, dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua
telapak kakinya."
9. Melintas di depan orang yang sedang solat.
Rasulullah bersabda: "Seandainya orang yang lalu di depan orang solat
itu mengetahui dosanya, tentu berhenti (menunggu) empat puluh (tahun) lebih
baik baginya daripada melintas di depannya." (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim).
10. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika mendapati imam sedang rukuk.
Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan berdiri,
baru kemudian mengikuti Imam yang sedang rukuk.
11. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada solat seperti menonton televisyen
dan bersembang.
Allah berfirman, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan
anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat Allah, barang siapa melakukan
demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun, ayat
9).
12. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan.
Seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak mencontohkan solat dengan
memejamkan mata. Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana
di hadapannya ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya maka
hal itu tidak makruh.
13. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika berjemaah.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kalian mahu meluruskan barisan kalian
atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian." (Hadis riwayat
Bukhari dan Muslim).
14. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh anggota.
Nabi Muhammad saw bersabda: "Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh
anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya,
dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki (perut hujung jari kaki)."
(Muttafaq Alaih)