EMPAT
SUNGAI DIKENAL PASTI PALING TERCEMAR
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Nasional/20051231003038/Article/
31 Disember 2005
KUALA LUMPUR: Empat sungai di negara ini didapati paling tercemar sepanjang
2004 sehinggakan airnya tidak sesuai untuk tujuan minuman atau pengairan.
Laporan Kualiti Alam Sekitar Malaysia 2004 yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar
baru-baru ini menyebut sungai itu ialah Sungai Menggaris di Sabah, Sungai
Jelutong di Pulau Pinang serta Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di Johor.
Sungai Petang di Kedah, Sungai Penjuring, Sungai Teranum dan Sungai Teras di Pahang serta Sungai Liawan, Sungai Tandulu, Sungai Maliau dan Sungai Sualong di Sabah pula paling bersih.
Kebersihan sungai itu membolehkan airnya dijadikan sumber bekalan tanpa memerlukan rawatan.
Kajian hidrologi yang dilakukan mengkategorikan tiga sumber pencemaran sungai itu, iaitu pencemaran fizikal seperti sampah sarap, pencemaran biologi seperti najis binatang yang menyebabkan kemunculan bakteria seperti E Coli dan pencemaran kimia yang terdiri daripada bahan kimia terlarut daripada pencemar fizikal dan biologi serta pencemar kimia.
Menurut laporan itu, sepanjang 2004 JAS melakukan pemantauan kualiti air di 926 stesen pemantau meliputi 120 lembangan sungai. Hasilnya kualiti air di 540 stesen diklasifikasikan sebagai bersih, 278 sedikit tercemar dan 108 tercemar.
Secara umumnya kualiti air di stesen pemantauan yang terletak di hulu sungai didapati bersih, manakala di hilir sungai didapati sedikit tercemar atau tercemar.
Di kalangan lembangan sungai pula, kualiti air di 58 lembangan didapati bersih, termasuk lembangan sungai Melaka di Kedah, Sungai Golok di Kelantan, Sungai Rajang di Sarawak dan Sungai Kinabatangan di Sabah.
Lembangan Sungai Sepang di Selangor,
Sungai Linggi di Negeri Sembilan, Sungai Samarahan di Sarawak dan Sungai Kalabakan
di Sabah pula antara 53 lembangan sungai yang kualiti airnya didapati sedikit
tercemar. - Bernama