HYPERTEXT PreProcessor (PHP) merupakan sebuah bahasa pengaturcaraan untuk pelayan web yang dicipta oleh Rasmus Lerdorf pada tahun 1994.
Pada mulanya ia dicipta oleh Rasmus untuk mengesan pelawat yang melayari laman web beliau. Kini PHP semakin popular digunakan untuk membina laman web dinamik.
Laman web dinamik membolehkan pelawat berinteraksi dengan laman web seperti berbincang dalam forum, membeli-belah dalam talian dan membuka pelbagai aplikasi khusus yang menjadi keperluan laman web organisasi mahupun individu.
Ini berbeza dengan laman web statik yang hanya boleh berfungsi untuk mempamerkan maklumat.
Laman web jenis statik boleh dibina cukup dengan menggunakan Hypertext Markup Language (HTML).
Oleh kerana PHP merupakan bahasa pengaturcaraan untuk pelayan, maka kod-kod aturcaranya akan dijalankan (running) di komputer pelayan.
Ini bermakna kemampuan laman web yang menggunakan PHP adalah bergantung kepada keupayaan pemprosesan komputer pelayan dan bukan pada komputer pelanggan.
Kelebihan PHP berbanding bahasa pengaturcaraan web lain ialah ia berasaskan teknologi sumber terbuka yang disokong oleh komuniti yang besar di Internet.
Ia bersifat bebas platform yang bermaksud ia boleh digunakan pada pelbagai sistem pengoperasian seperti Linux, Unix dan Windows.
Selain itu, ia juga menyokong penggunaan MySQL sebagai pangkalan datanya, satu lagi teknologi sumber terbuka yang mempunyai komuniti pembangun dan pengguna yang besar.
Untuk mempelajari PHP tidaklah sukar memandangkan banyak tutorial percuma yang disediakan di Internet seperti di http://www.php.net.
Sebagai permulaan untuk mempelajarinya anda perlu memasang perisian Easy PHP (kini pada versi 1.8) untuk menjadikan komputer anda seperti sebuah komputer pelayan.
Perisian Easy PHP merupakan perisian sumber terbuka yang boleh dimuat turun secara percuma dari laman web http://www.easyphp.org.
Ia adalah sebuah pakej perisian yang meliputi pelayan Apache, pangkalan data MySQL yang membolehkan kod-kod PHP dilarikan dengan jayanya pada komputer anda.
Setelah Easy PHP dipasang pada direktori C anda, satu tetingkap dari Easy PHP akan dipamerkan untuk menunjukkan sama ada pelayan Apache dan MySQL telah berfungsi atau tidak.
Butang hijau menunjukkan tanda operasi manakala butang berwarna merah menunjukkan terdapat masalah pada pemasangan tersebut.
Setiap kali anda hendak menguji kod PHP yang ditulis, anda perlu memastikan Easy PHP dimulakan dan kedua-dua butang adalah berwarna hijau untuk menunjukkan statusnya adalah baik.
Langkah berikutnya ialah anda boleh menulis kod PHP berikut menggunakan sebarang editor teks contohnya seperti Notepad.
echo "Tahniah, ini program PHP pertama anda";
?>
Simpan fail ini dengan nama index.php dalam folder bernama www yang terletak di C:/Program Files/Easy Php1-8/.
Untuk melihat hasilnya, buka Internet Explorer dan taipkan alamat http://localhost.
Hasil daripada larian fail index.php akan dipaparkan secara automatik dan sekiranya nama fail tersebut ialah test.php, maka alamat yang perlu ditaip ialah http://local host/test.php.
Ini adalah satu langkah permulaan untuk mempelajari PHP dan untuk peringkat seterusnya anda boleh merujuk di Internet, menghadiri kursus-kursus ataupun melalui pembacaan buku-buku PHP terkini yang terdapat banyak di pasaran.
Selamat mencuba!
- HAIRULNIZAM MAHDIN ialah Pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia,
Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.
Beliau boleh dihubungi melalui e-mel: hairuln@
kuittho.edu.my.