SEJARAH SEKOLAH

barkelip.gif (11170 bytes)

              Latarbelakang Sejarah Sekolah

        Gopeng adalah sebuah pekan kecil yang terletak di Lembah Kinta, Perak. Ia terletak di laluan Kuala Lumpur - Ipoh. Jumlah penduduk di Gopeng adalah lebih kurang 38000 orang dan kebanyakkannya adalah pekerja kilang disekitarnya. Di Gopeng terdapat 2 buah sekolah Menengah dan 14 buah sekolah rendah sekarang. Di antaranya terdapat dua buah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) dan S.J.K.(T) Gopeng adalah salah satu antaranya.

 

            Sejarah Penubuhan

        Selepas perang dunia kedua sebilangan kecil orang india di Gopeng berusaha menubuhkan sebuah sekolah Tamil untuk memberi pendidikan Bahasa Tamil kepada nak-anak mereka.

        Pada Tahun 1949, pengajaran Bahasa Tamil di Gopeng telah dimulakan dengan murid seramai 20 orang di Kuil Gopeng. Samii Kuil Gopeng Encik Karupiah ditugaskan mengajar dan dibayar sebanyak $1.50 seorang murid sebulan sebagai gaji guru.

        Tahun 1049, sebuah Majlis Pengelola sekolah telah ditubuhkan untuk mentadbir sekolah ini. Untuk menampung peningkatan murid seramai 40 orang, sebuah kedai telah disewa untuk dijadikan sekolah dengan bayaran sewa sebanyak $15.00 sebulan.Kedai itu terletak di Pekan Gopeng yang beralamat di No. 4, High Street, Gopeng. Guru yang ditugaskan mengajar pada masa itu adalah Encik Ramasamy. Beliau dibayar gaji sebanyak $60.00 sebulan yang dibiayai oleh murid-murid dan ahli-ahli lembaga pengurus sekolah.

        Pada tahun 1953, Encik S. S. Sinnaiah telah dilantik oleh Ketua Jabatan Bahagian Sekolah-sekolah India di Jabatan Pelajaran Perak untuk mengajar sebagai guru terlatih di sekolah ini. Pada tahun berikutnya, En Balakrishnan pula dilantik dan gaji mereka dibayar oleh Jabatan Pelajaran.

        Tahun 1955, Encik Marimuthu dilantik mengajar di sekolah ini dan beliau telah bertungkus-lumus untuk memajukan sekolah ini. jumlah murid meningkat naik dan sekolah mula mengadakan sesi petang.

        Apabila keramaian murid mula meningkat seramai 150 orang pada tahun 1957, pihak Lembaga Pengurus Sekolah mendapat kebenaran menumpang menggunakan 2 buah bilik darjah di SRJK(C) Man Ming dengan persetujuan Jabatan Pelajaran Perak. Pada tahun itu seramai 5 orang guru bertugas di sekolah ini dan Encik Marimuthu pula bertugas sebagai Guru Besar.

        Pada tahun 1958, ahli Lembaga Pengurus Sekolah telah berbincang dan mengambil keputusan untuk mendirikan sebuah bangunan bagi sekolah ini. Encik S.S. Sathiah seorang ahli perniagaan telah dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Bangunan. Jawatankuasa yang mengandungi ahli seramai 7 orang ini telah berjaya mengutip derma sebanyak $8400.00 daripada orang ramai. Selepas itu Encik K. Sellam yang juga seorang ahli perniagaan dilantik pula menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan bagi tempoh 1959-1960. Jawatankuasa pimpinan Encik K. Sellam juga dapat mengutip derma sedikit sebanyak.

        Era baru dalam sejarah sekolah bermula pada tahun 1961. Pelancaran mengutip derma pembinaan bangunan telah dijalankan secara besar-besaran di bawah pengerusi baru iaitu Encik M. Nachiappan seorang ahli politik yang menjadi Setiausaha MIC Gopeng ketika itu. Beliau merayu dan mendapat peruntukan sebanyak $ 20000.00 dari kerajaan Malaysia dengan bantuan dan kerjasama mendiang Tun V.T. Sambanthan, Menteri Kabinet juga merangkap Presiden MIC Malaysia pada masa itu. Peruntukan sebanyak $ 7000.00 juga diperolehi daripada Jabatan Pelajaran Perak semasa mendiang Encik J.E. Ambrose menjadi Ketua Pegawai Pelajaran. Guru Besar yang bertugas di sekolah ini pada masa itu ialah Encik Nagalingam.

        Pada Tahun 1963, Jawatankuasa Pembinaan Bangunan berjaya mendapat sebidang tanah seluas 2 ekar 2 rod 33 pole bagi tapak sekolah dan 6 orang telah dilantik sebagai pemegang amanah tapak tanah sekolah ini. Mereka adalah Encik T. Selvadurai, Encik M. Ramasamy, Encik K. Tharmakanoo, Encik K. Panirselvam, Encik Kulandaivellu dan Encik M. Nachiappan.

        Tapak tanah telah diratakan oleh Gopeng Consilidated Ltd Gopeng Berhad  dengan percuma sebagai persiapan membina bangunan baru. Kerja-kerja mendirikan bangunan telah dimulakan pada tahun 1964 dan upacara meletakkan batu asas bangunan telah dilakukan oleh Encik P. Ananda AMN.,PJK., Penyelia Sekolah-sekolah India, Jabatan Pelajaran Perak pada ketika itu. Kos pembinaan bangunan baru yang mengandugi 7 bilik darjah termasuk pejabat sekolah adalah $ 40000.00. Perbelanjaan untuk pagar sekeliling sekolah (Chain Link Fence) sebanyak $ 5000.00 dibiayai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah iaitu Encik M. Nachiappan sendiri. Pada 10 JUN 1965 bangunan baru sekolah ini telah dibuka dengan rasminay oleh YB Menteri Pelajaran pada ketika itu Encik Mohd. Khir Johari. Sekolah ini mempunyai seramai 310 orang murid dengan 7 orang guru di bawah pemangku Guru Besar iaitu Encik R. Shanmugam. Pada asalnya sekolah ini dinamakan Thiruvalluvar Tamil Padasalai Gopeng tetapi namanya tidak wujud lagi.

        Sekolah telah mengalamai beberapa proses pembangunan yang pesat dengan Guru Besar dan Guru-guru silih berganti berkhidmat disekolah ini.

        Pada tahun 1997, sebuah bangunan khas telah didirikan untuk pendidikan komputer atas daya usaha PIBG ketika itu.Bangunan ini menelan belanja sebanayak RM 60000.00. Ia dilengkapi dengan 3 buah pendingin hawa dan 13 buah komputer.

        Pada tahun 1998, dua buah pondok bacaan dibina bagi kegunaan murid-murid. Kedua-dua pondok bacaan ini berharga RM 11592.00 juga adalah hasil usaha PIBG. Pada tahun yang sama juga sekolah telah mendapat dua buah bilik darjah tambahan daripada peruntukan kerajaan.

        Pada masa sekarang Guru Besarnya ialah Pn. Philomena Lourdsamy yang mula berkhidmat pada bulan Mei 1999. Jumlah guru yang ada sekarang seramai 11 orang dan keramaian murid pula 138 orang.

 

len.gif (174308 bytes)

KE MENU ASAL

 

 

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1