PENGADILAN PERLETAKAN HAJARUL ASWAD
Peristiwa ini berlaku pada waktu masyarakat Makkah sedang sibuk disebabkan oleh bencana banjir besar yang turun dari gunung. Banjir ini telah menimpa dan meretakkan dinding-dinding Ka'bah yang sememangnya sudah lapuk kerana pernah terbakar. Oleh itu, dinding-dinding Ka'bah ini perlu dibaiki agar ianya elok seperti sediakala. Tambahan pula, setiap tahun ribuan manusia akan berkunjung ke Ka'bah untuk menunaikan haji.
Sebelum itupun pihak Quraisy memang sudah
memikirkan untuk membaiki Ka'bah. Tempat yang tidak beratap itu menjadi sasaran pencuri mengambil barang-barang berharga di dalamnya. Hanya saja Quraisy merasa takut; kalau bangunannya diperkuat, pintunya ditinggikan dan diberi beratap, dewa Ka'bah yang suci itu akan menurunkan bencana kepada mereka. Sepanjang zaman
jahiliyyah, keadaan mereka diliputi oleh pelbagai macam legenda dan
kepercayaan karut yang mengancam sesiapa yang berani mengadakan sesuatu perubahan. Dengan demikian perbuatan itu dianggap tidak
sepatutnya dilakukan.
Tetapi sesudah mengalami bencana banjir, tindakan demikian itu
adalah suatu keharusan, walaupun masih serba takut-takut dan
ragu-ragu. Suatu kebetulan pula, telah terjadi sebuah
kapal milik seorang pedagang Rumawi bernama Baqum yang datang
dari Mesir, terhempas di laut dan pecah. Sebenarnya Baqum ini
seorang ahli bangunan yang mengetahui juga soal-soal
perdagangan. Sesudah Quraisy mengetahui hal ini, maka
berangkatlah al-Walid bin al-Mughira dengan beberapa orang dari
Quraisy ke Jeddah. Kapal itu dibelinya dari pemiliknya, yang
sekalian diajaknya berunding supaya sama-sama datang ke Makkah bagi membantu mereka
membina Ka'bah kembali. Baqum
menyetujui permintaan itu. Pada waktu itu di Makkah ada seorang
Kopti yang mempunyai keahlian sebagai tukang kayu. Persetujuan
tercapai bahawa dia pun akan bekerja dengan mendapat bantuan
Baqum.
Sudut-sudut Ka'bah itu oleh Quraisy dibahagikan kepada empat bahagian.
Setiap qabilah mendapat satu sudut yang harus dirombak dan dibina
kembali. Sebelum bertindak melakukan perombakan itu, mereka
masih ragu-ragu dan khuatir akan mendapat bencana. Kemudian
al-Walid bin al-Mughira tampil ke depan dengan sedikit
takut-takut. Setelah dia berdoa kepada dewa-dewanya, dia mulai
merombak bahagian sudut selatan. Tinggal lagi orang
menunggu-nunggu apa yang akan dilakukan Tuhan nanti terhadap
al-Walid. Tetapi setelah ternyata sehingga pagi
tiada terjadi
apa-apa, mereka pun ramai-ramai merombaknya dan memindahkan
batu-batu yang ada. Rasulullah SAW juga turut membawa batu-batu itu.
Setelah mereka berusaha membongkar batu hijau yang terdapat di
situ tetapi tidak berhasil, dibiarkannya batu itu
sebagai tapak bangunan. Orang-orang Quraisy mula mengangkut batu-batu
granit berwarna biru dari gunung-gunung di sekitar tempat itu, dan pembinaan pun segera dimulakan.
Setelah bangunan itu setinggi orang berdiri dan tiba saatnya
meletakkan Hajarul Aswad yang disucikan di tempatnya semula di
sudut timur, maka timbullah perselisihan di kalangan Quraisy,
siapa yang seharusnya mendapat kehormatan meletakkan batu itu
di tempatnya. Demikian memuncaknya perselisihan itu sehingga
hampir saja timbul perang saudara kerananya. Keluarga 'Abdud-Dar dan keluarga 'Adi bersepakat tidak
akan membiarkan qabilah yang mana pun campur tangan dalam kehormatan yang besar
ini. Untuk itu mereka mengangkat sumpah bersama. Keluarga 'Abdud-Dar membawa sebuah bekas berisi darah. Tangan mereka
dimasukkan ke dalam bekas itu guna memperkuatkan sumpah mereka.
Kerana itu peristiwa ini diberi nama La'aqatud-Dam, yakni 'jilatan
darah'.
Abu Umayyah bin al-Mughira dari Bani Makhzum, adalah orang yang
tertua di antara mereka, dihormati dan dipatuhi. Setelah
melihat keadaan sebegitu, dia berkata kepada mereka,
"Serahkanlah keputusan masalah kamu ini di tangan orang yang pertama
sekali memasuki pintu Shafa ini pada esok pagi". Lalu mereka pun
menunggu pada awal pagi untuk melihat siapakah orang yang pertama
memasuki pintu Shafa tersebut. Maka orang tersebut ialah Muhammad
Rasulullah SAW.
Tatkala mereka melihat Rasulullah SAW adalah orang yang pertama memasuki
tempat itu, mereka berseru, "Ini al-Amin, kami dapat menerima
keputusannya."
Lalu mereka menceritakan peristiwa itu kepadanya. Baginda
pun
mendengarkan dan sudah melihat di mata mereka betapa
berkobarnya api permusuhan itu. Baginda berfikir sebentar, lalu
katanya, "Bawakan ke mari sehelai kain". Setelah kain
dibawakan, dihamparkannya dan diambilnya batu itu sendiri
dengan tangannya yang mulia itu lalu diletakkan Hajarul Aswad itu ke
atas kain tersebut dengan tangannya sendiri, kemudian katanya,
"Hendaknya setiap ketua kabilah memegang hujung kain ini."
Mereka bersama-sama membawa kain tersebut ke tempat batu itu
akan diletakkan. Lalu Rasulullah SAW mengeluarkan batu itu dari kain
dan meletakkannya di tempatnya. Dengan demikian perselisihan
itu berakhir dan bencana dapat dihindarkan.
Lantaran keputusan hukum yang sangat adil itu, sangatlah gembira hati orang dan bertambah hormat orang kepadanya, meskipun Rasulullah SAW pada waktu itu baru seorang anak muda. Bertambah masyhurlah Rasulullah SAW dan gelaran al-Amin itu sentiasa menjadi sebutan penduduk-penduduk Makkah.
Quraisy menyelesaikan bangunan Ka'bah sampai setinggi 18 hasta (� 11 meter), dan ditinggikan dari tanah
sedemikian rupa, sehingga mereka dapat menyuruh atau melarang
orang masuk. Di dalam itu mereka membuat enam batang tiang
dalam dua deretan dan di sudut barat sebelah dalam dipasang
sebuah tangga naik sampai ke teras di atas lalu
diletakkan berhala
Hubal di dalam Ka'bah. Juga di tempat itu diletakkan
barang-barang berharga lainnya, yang sebelum dibina dan
diberi beratap sering menjadi sasaran pencurian.
Mengenai umur Muhammad Rasulullah SAW sewaktu membina Ka'bah dan memberikan
keputusannya tentang batu itu, masih terdapat perbezaan
pendapat. Ada yang mengatakan berumur 25 lima tahun. Ibnu
Ishaq berpendapat umurnya 35 tahun. Kedua pendapat
itu baik yang pertama atau yang kemudian, sama saja; tapi yang
jelas cepatnya Quraisy menerima ketentuan orang yang pertama
memasuki pintu Shafa, disusul dengan tindakan Baginda mengambil
batu dan diletakkan di atas kain lalu mengambilnya dari kain
dan diletakkan di tempatnya dalam Ka'bah, menunjukkan betapa
tingginya kedudukan Baginda di mata penduduk Mekah, betapa besarnya
penghargaan mereka kepadanya sebagai seorang yang berjiwa besar.
Adanya pertentangan antara qabilah, adanya persepakatan
La'aqatud-Dam ('Jilatan Darah'), dan penyerahan keputusan
kepada sesiapa yang mula-mula memasuki pintu Shafa, menunjukkan
bahwa kekuasaan di Makkah sebenarnya sudah jatuh.
Kekuasaan yang dulu ada pada Qushayy, Hasyim dan
Abdul Muthalib sekarang sudah tiada lagi. Adanya
pertentangan kekuasaan antara keluarga Hasyim dan keluarga
Umayyah sesudah kematian Abdul Muthalib memberikan kesan yang besar kepada
politik Makkah. 5
