SirahOnline KDIM | BankSoalan 

- Kerasulan
  Berkaitan :
-  
-  
   
   

  

 

PENGISYTIHARAN UMUM KERASULAN

 

        Ibnu Hisham menceritakan : Seruan Islam telah mendapat sambutan yang tidak putus-putus dari orang ramai, sama ada lelaki mahupun perempuan sehingga menjadi buah mulut dan perbualan umum di kota Makkah. Kemudian Allah SWT meminta NabiNya supaya menjalankan tugas secara terang-terangan dengan membentangkan perkara ini kepada orang ramai serta menyeru mereka beriman denganNya.

 

          Rasulullah SAW telah menjalankan tugas da'wahnya secara sulit lebih kurang tiga tahun sehingga turunnya ayat al-Qur'an yang berbunyi :

 

          "Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik."

(al-Hijr : 94)

 

          Dan firman Allah SWT lagi yang bermaksud :

         

          "Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat. Dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutmu iaitu orang-orang yang beriman."

(asy-Syu'ara : 214-215)

 

          Dan firman Allah SWT yang bermaksud : 

 

          "Dan katakanlah : Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan."

(al-Hijr : 89)

 

          Pada ketika itulah Rasulullah SAW telah mengumpul Bani Fihr dan Bani 'Adi di atas bukit Safa, sebagai mematuhi seruan Allah dalam surah al-Hijr : 94. Kesemua mereka turut hadir dalam perjumpaan itu. Bagi mereka yang uzur tidak dapat hadir terpaksa menghantar wakil peribadi. Di situlah Rasulullah SAW telah bangun lantas berkata, "Apakah kamu sekalian akan percaya atau tidak sekiranya aku ceritakan bahawa di sebalik bukit ini ada sekumpulan musuh yang akan menyerang kamu?" Jawab mereka, "Sudah pasti kami akan percaya kerana kami belum pernah mendengar lagi percakapan dusta darimu." 

 

          Kemudian Rasulullah SAW menambah, "Sesungguhnya aku ini pembawa berita yang menakutkan iaitu di hadapanku ini suatu azab sengsara yang paling hebat." Abu Lahab pun bangun lalu menjawab, "Binasalah engkau hai Muhammad, apakah untuk ini sahaja yang engkau kumpulkan kami?" Selepas itu maka turunlah ayat al-Qur'an :

 

          "Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa."

(al-Lahab : 1)

 

          Sebagai menyahut kepada firman Allah SWT dalam surah asy-Syu'ara, Rasulullah SAW pun mengumpul kaum kerabatnya sambil berkata, "Wahai Bani Ka'b bin Luai bebaskanlah dirimu daripada api neraka, wahai Bani Murrah bin Ka'b jauhkanlah dirimu daripada api neraka, wahai Bani Hasyim selamatkanlah dirimu dari api neraka, wahai Bani Abdul Manaf jauhilah dirimu dari api neraka, wahai Bani Abdul Muttalib hindarkanlah api neraka dari dirimu, wahai Fatimah bebaskanlah dirimu dari neraka. Sesungguhnya aku tidak upaya hanyalah setakat menghubung tali silaturrahim yang abadi di antara kamu sekalian."

 

          Pihak Quraisy telah menunjuk reaksi mereka terhadap seruan Rasulullah dengan berpaling tadah dan mencemuh seruannya itu dengan alasan mereka tidak sanggup meninggalkan agama yang diwarisi dari datuk nenek mereka yang telah sebati dan menjadi darah daging. 

 

          Penyembahan mereka terhadap berhala-berhala semata-mata bergantung kepada perasaan sentimen dan ta'sub yang melulu kepada datuk nenek mereka yang terdahulu. Firman Allah SWT :

 

          "Dan apabila dikatakan kepada mereka : Marilah (mengikut) kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada Rasul. Mereka menjawab : Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya. Apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat petunjuk."

 

          Apabila Rasulullah SAW mengecam berhala dan penyembahannya, memperhinakan cara mereka berfikir dan cara pemikiran datuk moyang mereka, lantas kecaman Rasululllah SAW tadi ditentang habis-habisan. Kecualilah mereka yang telah memeluk agama Islam dan terkecuali juga bapa saudara Baginda, Abu Thalib yang telah mempertahankan Rasululalah SAW dari serangan-serangan orang-orang Quraisy. 2          

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KDIM. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1