SirahOnline KDIM | BankSoalan 

- Kerasulan
   
   
   
   
   

  

 

DA'WAH SECARA RAHSIA

 

          Mengetahui kemungkinan akan wujudnya permusuhan yang begitu bengis dari pihak Quraisy terhadap segala sesuatu yang melanggar kepercayaan dan agama mereka, maka kaum Muslimin pada peringkat da'wah secara rahsia masih sembunyi-sembunyi. Wahyu yang datang kepada Rasulullah SAW makin memperkuatkan iman kaum Muslimin.
 
          Yang menambah pula dakwah itu berkembang sebenarnya adalah kerana teladan yang diberikan oleh Rasulullah SAW adalah sangat baik sekali. Baginda penuh bakti dan penuh kasih-sayang, sangat rendah hati dan penuh kejantanan, tutur katanya lemah-lembut dan selalu berlaku adil, hak setiap orang masing-masing ditunaikan. Pandangannya terhadap orang yang lemah, terhadap piatu, orang yang sengsara dan miskin adalah pandangan seorang bapa yang penuh kasih sayang, lemah-lembut dan mesra. Malam hari pun, Baginda bertahajud, Baginda tidak cepat tidur, membaca wahyu yang disampaikan kepadanya, renungannya selalu tentang langit dan bumi, mencari petanda dari segenap wujud ini, permohonannya selalu dihadapkan hanya kepada Allah SWT. Baginda yang menyerapkan hidup semesta ini ke dalam dirinya dan ke dalam jantung kehidupannya sendiri, adalah suatu teladan yang membuat mereka yang sudah beriman dan menyatakan diri mereka sudah Islam itu, makin besar cintanya kepada Islam dan makin kukuh pula imannya. Mereka sudah berketetapan hati meninggalkan anutan nenek-moyang mereka meskipun harus menanggung segala siksaan kaum musyrik yang hati mereka belum lagi disentuh iman.

          Saudagar-saudagar dan kaum bangsawan Makkah yang sudah mengenal erti kesucian, sudah menyedari erti kebenaran, pengampunan dan erti rahmat, mereka beriman kepada ajaran Rasulullah SAW. Semua kaum yang lemah, semua orang yang sengsara dan semua orang yang tidak punya, beriman kepadanya. Ajaran Baginda sudah tersebar di Makkah, orang sudah berbondong-bondong memasuki Islam, lelaki dan wanita.

          Orang banyak bicara tentang Rasulullah SAW dan tentang ajaran-ajarannya. Akan tetapi penduduk Makkah yang masih berhati-hati, yang masih tertutup hatinya, pada mulanya tidak menghiraukannya. Mereka menduga, bahawa kata-katanya tidak akan lebih dan kata-kata pendeta atau ahli-ahli fikir semacam Quss, Umayyah, Waraqah dan yang lain. Orang pasti akan kembali kepada kepercayaan nenek-moyangnya, yang akhirnya akan menang ialah Hubal, Lata dan 'Uzza, begitu juga Isaf dan Na'ila yang dibawai kurban. Mereka lupa bahawa iman yang murni tidak dapat dikalahkan, dan bahawa kebenaran pasti akan mendapat kemenangan.
5
 

          Kesemua kaum Muslimin pada peringkat ini sering bertemu dengan Rasulullah SAW secara sulit. Apabila mereka hendak melakukan ibadat mereka akan pergi ke lorong-lorong Makkah yang jauh dari pandangan orang-orang Quraisy, maka di sanalah mereka akan mengerjakan ibadah. Ada di antara mereka yang mengerjakan solat di celah-celah gunung di Makkah. Keadaan sebegini berjalan selama tiga tahun, sementara Islam tambah meluas juga di kalangan penduduk Makkah.

         

          Ketika penganut agama Islam meningkat kepada 30 orang lelaki dan perempuan, maka Rasulullah SAW pun telah memilih satu tempat yang agak terpencil sedikit iaitu di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Di rumah itulah Rasulullah SAW menyampaikan segala tunjuk ajar dan nasihat.

 

          Seruan ini telah berjaya memberikan hasil yang memuaskan di mana hampir 40 orang telah menyahut seruan Islam. Kebanyakan mereka ini adalah terdiri dari golongan fakir miskin dan hamba sahaya yang tidak ada tempat dalam masyarakat Quraisy. 2          

 

 

 
       
Copyright � 2003 SirahOnline.cjb.net. All rights reserved.
KDIM. BankSoalan. Feedback


Hosted by www.Geocities.ws

1