31 oktober 2003

Abdullah,
yang menyambut hari lahirnya ke-64 pada 26 November ini, mengangkat sumpah
jawatan itu di depan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra
Jamalullail di Istana Negara di sini, semalam.
Sejurus selepas upacara itu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd
Ali, masing-masing menerima Anugerah Darjah Kebesaran Persekutuan Seri
Maharaja Mangku Negara (SMN) dan Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM),
kedua-duanya membawa gelaran Tun.
Abdullah, yang berbaju Melayu hitam dengan butang hadiah khas oleh ibunya,
Datuk Khailan Hassan untuk upacara bersejarah itu tiba di Istana Negara
bersama isteri, Datin Seri Endon Mahmood pada jam 2.40 petang, diikuti Dr
Mahathir dan Dr Siti Hasmah jam 2.45 petang.
Turut hadir orang kenamaan lain termasuk anggota Kabinet, Menteri Besar dan
Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.
Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah
Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Abdullah sebagai
Perdana Menteri dimulakan pada jam 3.05 petang.
Lagu NegaraKu dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia sebelum
Abdullah membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia
sebelum menandatangani keempat-empat Suratcara Pelantikan.
Doa selamat dibacakan sebelum empat suratcara pelantikan itu ditandatangani
oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai saksi
yang kemudian diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin
Osman.
DR
MAHATHIR melambai kepada
ratusan kakitangan kerajaan
ketika beliau dan Dr Siti Hasmah
meninggalkan Jabatan
Perdana Menteri di Kompleks
Perdana Putra, Putrajaya
sambil diiringi Abdullah, semalam.
Upacara itu disiarkan secara langsung oleh RTM
dan TV3 ke seluruh negara.
Abdullah yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 26 November 1939, dilantik
sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 8 Januari 1999.
Abdullah menerajui kerajaan selepas Dr Mahathir (17 Julai 1981–31 Oktober
2003); Tun Hussein Onn (1976–1981); Tun Abdul Razak Hussein (1970–1976)
dan Tunku Abdul Rahman (1957–1970).
Sebaik selesai upacara di Istana Negara, Abdullah dan Dr Mahathir kembali ke
Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya untuk majlis penyerahan kuasa bagi
jawatan tertinggi dalam kerajaan itu.
Proses penyerahan kuasa di Tingkat Lima, Bangunan Perdana Putra itu diadakan
dengan penuh tertib dan dianggap paling terancang dalam sejarah politik negara.
Dalam upacara itu, Dr Mahathir, 78, menyerahkan fail meja sebagai tanda
penyerahan tugas dan tanggungjawab kepada Abdullah dengan disaksikan Samsuddin.
Dr Mahathir yang tiba dulu, memasuki Pejabat Perdana Menteri dan duduk buat
kali terakhir di mejanya sebelum membuka songkoknya dan menandatangani
beberapa dokumen, disaksikan oleh Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana
Menteri, Datuk Badariah Arshad.
Dua anaknya, Datuk Mokhzani dan Mukhriz, tiba selepas itu, diikuti Dr Siti
Hasmah dan Samsuddin. Sejurus selepas itu, Abdullah tiba dan bersalam dengan
Dr Mahathir sebelum kedua-duanya duduk di kerusi tetamu untuk penyerahan fail
meja.
Selepas itu, kedua-duanya mengadakan pertemuan empat mata selama kira-kira 20
minit dengan semua yang berada dalam bilik berkenaan menunggu di luar. Pada
masa yang sama, menteri-menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan menunggu di
ruang legar bersama-sama kakitangan JPM serta puluhan wartawan tempatan dan
asing.
Dr Mahathir yang berbaju Melayu berwarna hitam dan bersongkok turun ke ruang
legar untuk merakamkan waktu keluar pejabat buat kali terakhir pada 5.07
petang, sambil disaksikan anggota pentadbiran JPM.
Ketika Dr Mahathir keluar daripada lif dari tingkat 5, orang ramai
kebanyakannya kakitangan JPM berebut untuk bersalam dengannya dan Dr Siti
Hasmah, yang diikuti Abdullah di belakang, dalam keadaan penuh sesak sehingga
sebuah pasu bunga jatuh dan pecah.
Sekali-sekala, bekas pasangan pertama itu kelihatan sebak dan mengambil masa
untuk berjalan di celah ratusan orang ramai. Bagaimanapun, sepanjang
perjalanan menuju ke keretanya selama kira-kira 20 minit, Dr Mahathir tidak
menghampakan mereka yang ingin bersalaman dengannya.
Dr Mahathir memasuki ke keretanya, yang dikerumuni oleh ratusan orang ramai
tepat jam 5.30 petang selepas melambaikan tangannya. Beliau dan isteri yang
diiringi Ketua Pengawal Peribadi, Datuk Mohamad Ali kemudian terus menuju ke
Seri Perdana - kediaman rasmi Perdana Menteri kira-kira lima kilometer dari
situ. Mereka dijangka bertolak ke Eropah pagi ini untuk bercuti selama 10 hari.
Pada hari terakhirnya sebagai Perdana Menteri tengah hari semalam, Dr Mahathir
mengadakan sidang akhbar bagi mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat
Malaysia yang menyokong beliau di saat susah dan senang sepanjang 22 tahun
lalu.
Beliau, yang berpakaian ala-Nehru ketika itu, kelihatan tenang dan segak
tetapi amat terharu menerima kesemua surat dan ucapan terima kasih serta
penghargaan atas sumbangannya kepada negara.
“Semua usaha ini memberi kepuasan kepada hati saya, dan inilah balasan yang
lebih besar daripada apa-apa yang lain iaitu penghargaan yang diberi dan
ucapan terima kasih yang disampaikan,” katanya dalam sidang akhbar 30 minit
itu.
Ketika ditanya mengenai perasaannya menjelang beberapa jam saja sebelum
menyerahkan tugas kepada timbalannya, Abdullah, Dr Mahathir berkata beliau
merasa lega kerana ‘beban’ memimpin negara kini dipindahkan daripada
bahunya.