Amanat Terakhir Mahathir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad semalam menyerahkan kepemimpinan Umno yang kukuh kepada penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dengan mengingatkan pemimpin dan ahli parti supaya mengelak persengketaan demi keutuhan Umno.

Inilah amanat Dr Mahathir dalam ucapan terakhirnya selaku Presiden Umno di hadapan lebih 3,000 ahli parti dari seluruh negara pada majlis Berbuka Puasa Bersama Presiden dan Timbalan Presiden Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Perdana Menteri dalam ucapan setengah jam itu, berkata kesepakatan di kalangan ahli parti adalah balasan terbaik kepada jasa beliau memimpin parti dan negara selama lebih 22 tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi penghargaan kepada khidmat saya kepada negara, tetapi tidak ada terima kasih yang lebih besar daripada menyingkir segala sengketa sesama kita dan ahli Umno terus berganding bahu untuk menjayakan parti.

“Inilah yang amat dihargai dan inilah bagi saya balasan yang akan saya hargai lebih daripada apa-apa kenyataan terima kasih kepada saya kerana khidmat yang sedikit yang saya sumbangkan,” katanya yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Pada mesyuarat MT yang terakhir dipengerusikannya, Dr Mahathir turut mengumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikannya sebagai Perdana Menteri ke-5, akan memangku jawatan Presiden parti mulai hari ini.

Dr Mahathir dan Abdullah kemudian menyertai pemimpin dan anggota Umno berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan sunat tarawih di PWTC.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sebelum itu, pada sebelah pagi, Perdana Menteri menjalankan tugas rasmi terakhirnya dengan membentang usul mengenai kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kelapan di Dewan Rakyat selama 190 minit.

Pada jam 3 petang ini, Abdullah, 64, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-5 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Dr Mahathir dalam ucapan selepas mempengerusikan mesyuarat MT yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, turut mengajak ahli Umno memperbaharui lagi usaha pembentukan Melayu baru agar dapat berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia.

Beliau berkata orang Melayu hendaklah mengubah sikap supaya menjadi lebih berani, lebih sanggup menghadapi cabaran dan lebih bermaruah.

“Masih banyak lagi perubahan sikap yang perlu dilakukan orang Melayu sebelum boleh menjadi bangsa yang maju,” katanya.

Beliau berkata Melayu boleh mencapai kejayaan jika menukar nilai-nilai hidup mereka supaya bersesuaian dengan nilai-nilai hidup untuk menjadi bangsa yang maju.

Dr Mahathir juga meminta semua pemimpin dan ahli Umno memberi sokongan padu dan kesetiaan kepada kepemimpinan baru.

Pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan tempatan dan asing di tingkat 38 Menara Dato Onn pula, Dr Mahathir berpesan kepada pemimpin baru parti supaya menjalankan pentadbiran yang adil kepada semua kaum.

“Namun demikian kepentingan orang Melayu dan kaum Bumiputera lain juga dipertahankan oleh Umno dan Umno sedang berusaha untuk memberi tempat kepada orang Melayu dan Bumiputera lain dalam ekonomi negara kita,” katanya.

Dalam sidang akhbar itu juga, Perdana Menteri yang kelihatan riang berkata, ketika mesyuarat MT beliau turut memberi pandangan dan nasihat supaya ahli MT terus memberi sokongan kepada pemangku Presiden supaya urusan parti berjalan lancar.

Bagaimanapun, katanya, soal pelantikan Timbalan Presiden tidak perlu dibangkitkan pada masa ini kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan.

“Namun demikian dalam perlembagaan (Umno), MT mempunyai hak menentukan sesuatu jika tiada kesilapan berkenaan perkara ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau turut memberitahu mesyuarat MT bahawa beliau akan meletak jawatan pada jam 3 petang ini untuk kedua-dua jawatan Presiden dan Perdana Menteri.

“Maka dengan itu parti perlu mengikut fasal 9.9 dalam perlembagaan Umno, Timbalan Presiden akan memegang jawatan pemangku presiden dan pada masa yang sama memegang jawatan bendahari yang saya pegang pada hari ini,” katanya.

Perenggan 9.9 perlembagaan parti, antara lain berbunyi:

“Jika Presiden berhenti, maka Timbalan Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan Perhimpunan Agung untuk memilih Presiden baru mengikut Fasal 9.3 dan ia mempunyai kuat kuasa mengikut Fasal 9.8.1.”

Dr Mahathir seterusnya berkata: “Dengan itu, selepas jam 3 esok (hari ini) Datuk Seri Abdullah akan memegang jawatan pemangku presiden sehinggalah diadakan pemilihan. Ini telah diterima oleh pihak MT. Ini mengikuti tradisi dan perlembagaan parti,” katanya.

Beliau berkata, sebagai membalas budi kepada Umno yang telah melantiknya sebagai Presiden dan dengan itu menjadi Perdana menteri, beliau akan terus bekerja untuk menjayakan Umno.

“Saya akan menolong dalam kempen pilihan raya, bahkan kalau tidak ada pilihan raya pun saya akan bergerak berjumpa dengan ahli Umno bagi mendapat sokongan untuk menguatkan Umno mendapat sokongan daripada semua pihak terutama orang Melayu.

“Pendapat kita semua, hanya Umno yang berjuang untuk orang Melayu dan agama Islam di Malaysia. Kita yang beri tempat kepada orang Melayu sehingga mereka dapat menebus balik maruah mereka dan dapat memberi serta mengembalikan kehormatan kepada agama Islam dengan menunjukkan betapa Malaysia ada satu agama, satu negara yang baik kepada semua.

“Ini adalah pendirian Umno dan akan teruskan segala dasar yang diasaskan pemimpin Umno yang lama, daripada Datuk Onn (Jaafar), Tunku Abdul Rahman, Tun Razak (Hussein) dan kemudian Tun Hussein (Onn). Itulah yang kita nyatakan dalam mesyuarat,” katanya.

Abdullah pada sidang akhbar yang sama, melahirkan penghargaan kepada Dr Mahathir bagi pihak ahli MT.

“Kami menghargai tunjuk ajar dan kepemimpinan yang telah diberikan dan atas contoh teladan yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir. Kesimpulannya ialah Umno mesti terus berjuang dan mencapai kejayaan yang lebih besar lagi dan mewujudkan perpaduan negara,” katanya.

Hosted by www.Geocities.ws