Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As r.a katanya: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Di antara dosa-dosa besar ialah seorang 
lelaki mencerca kedua orang tuanya. Para Sahabat bertanya: Wahai 
Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun kedua orang 
tuanya? Rasulullah menjawab dengan bersabda: Ya. Seorang lelaki yang 
memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali 
bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang 
lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya. [Bukhari 
& Muslim] 

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w pernah 
menceritakan tentang dosa-dosa besar. Baginda bersabda: Menyekutukan 
Allah, mengherdik kedua-dua ibubapa, membunuh dan berkata dengan 
kata-kata palsu. [Bukhari & Muslim] 

Diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah 
s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu 
sebesar-besar dosa besar? Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, 
mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu. 
Semasa Rasulullah bersabda, baginda sedang bersandar lalu duduk. Baginda 
terus mengulangi sabdanya sehingga kami berkata: Semoga baginda berhenti 
dari menyebut Hadis tersebut. [Bukhari & Muslim] 

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w 
bersabda: Mencaci dan memaki orang-orang Islam adalah fasik dan 
memerangi mereka adalah kafir. [Bukhari & Muslim]

menu

Hosted by www.Geocities.ws