Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Nabi s.a.w 
bersabda: 

Seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah membunuh seramai 
sembilan puluh sembilan orang manusia, lalu dia mencari seseorang yang 
paling alim. Setelah ditunjukkan kepadanya seorang pendeta, dia terus 
berjumpa pendeta tersebut kemudian berkata: Aku telah membunuh seramai 
sembilan puluh sembilan orang manusia, adakah taubatku masih diterima? 
Pendeta tersebut menjawab: Tidak. Mendengar jawapan itu, dia terus 
membunuh pendeta tersebut dan genaplah seratus orang manusia yang telah 
dibunuhnya. 

Tanpa putus asa dia mencari lagi seseorang yang paling alim. Setelah 
ditunjukkan kepadanya seorang Ulama, dia terus berjumpa Ulama tersebut 
dan berkata: Aku telah membunuh seramai seratus orang manusia. Adakah 
taubatku masih diterima? Ulama tersebut menjawab: Ya! Siapakah yang 
boleh menghalang kamu dari bertaubat? Pergilah ke Negeri si polan, 
kerana di sana ramai orang yang beribadat kepada Allah. Kamu 
beribadatlah kepada Allah s.w.t bersama mereka dan jangan pulang ke 
Negerimu kerana Negerimu adalah Negeri yang sangat hina. Lelaki tersebut 
beredar menuju ke tempat yang dinyatakan. Ketika berada di pertengahan 
jalan tiba-tiba dia mati, menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab 
bertelingkah mengenainya. 

Malaikat Rahmat berkata: Dia datang dalam keadaan bertaubat dan 
menghadapkan hatinya kepada Allah s.w.t. Manakala Malaikat Azab pula 
berkata: Dia tidak pernah melakukan kebaikan. Lalu Malaikat yang lain 
datang dalam keadaan berupa manusia dan cuba menghakimi mereka sambil 
berkata: Ukurlah jarak di antara dua tempat. Mana yang lebih hampir, 
itulah tempatnya. Lantas mereka mengukurnya. Ternyata mereka dapati 
lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ditujunya. Akhirnya dia 
diambil oleh Malaikat Rahmat. 

[Bukhari & Muslim]

menu

Hosted by www.Geocities.ws