Judul: merika Syarikat Pembentukan Negara Bangsa

Pengenalan

Maklumat Buku

Penulisan

Galeri

Hubungi Saya

Artikel Penulisan > NSTP >

Judul: Rakyat Belum Faham Matlamat, Manfaat FTA

PERUNDINGAN Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) kini memasuki fasa kritikal. Bagaimanapun, ramai tidak menyedari bahawa FTA bakal memberi kesan besar terhadap setiap lapisan masyarakat negara ini. Isu ekonomi ini bukan milik golongan korporat, malah pesawah di pedalaman Kedah dan Kelantan bakal menerima tempiasnya. Isu ini diperjelaskan Timbalan Pengarah Institut Polisi Awam dan Perhubungan Antarabangsa (Inpuma) Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Shakila Yacob kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin. Shakila yang juga pakar sejarah perhubungan Malaysia-AS adalah penulis buku The United States and The Malaysian Economy yang bakal diterbitkan tahun depan.

Apakah sebenarnya Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA)?

FTA adalah perjanjian dua hala antara dua atau beberapa negara bertujuan memupuk integrasi ekonomi yang lebih kukuh. Menerusi FTA, negara ahli akan menghapuskan tarif atau halangan perdagangan lain bagi memudahkan perdagangan dua hala. Perkembangan semasa menunjukkan FTA bukan lagi hanya isu perdagangan, malah meliputi FDI (pelaburan langsung asing), penghijrahan, kerjasama teknologi dan penyelarasan dasar domestik.

Mengapakah FTA menjadi begitu penting hingga seolah-olah berlaku perlumbaan antara negara memeterainya?

Aliran menandatangani FTA muncul selepas kegagalan perundingan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) yang bermatlamat menjadikan perdagangan bebas tanpa sebarang bentuk perlindungan di Seattle, Amerika Syarikat pada 1999.

Pada awal 1990-an, perjanjian perdagangan antara rantau menjadi popular seperti Kesatuan Perdagangan Bebas Eropah (Efta), Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta), manakala hanya Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta) wujud di Asia.

Keadaan berubah pada akhir 1990-an, terutama apabila krisis kewangan berlaku pada 1997. Perdagangan antara rantau tidak menjanjikan peningkatan perdagangan memuaskan. Ia menyebabkan FTA menjadi alat politik dan ekonomi serta menyediakan jalan pintas untuk meningkatkan pencapaian ekonomi sesebuah negara.

Setiap negara kini berlumba-lumba mengadakan FTA hingga orang kata menjadi seperti mangkuk yang mengandungi mi atau spaghetti. Malaysia mengadakan FTA dengan Thailand, Thailand pula dengan Filipina dan Filipina dengan Amerika. Keadaan seperti kelam kabut.

Apakah Malaysia benar-benar memerlukan FTA?

Kita perlu! Dunia semakin rapat dan Malaysia tidak boleh melarikan diri. Penyokong FTA mengemukakan alasan bahawa negara perlu mengikut aliran perdagangan global. Hampir semua negara mengadakan FTA dengan negara lain untuk memajukan ekonomi dan meningkatkan daya saing global.

Tidak dapat dinafikan kemungkinan besar FTA akan menambah perdagangan dan FDI, sekali gus meningkatkan daya saing negara pada peringkat global, mewujudkan sistem ekonomi cekap, meningkatkan pembangunan dan penyelidikan serta inovasi serta akhirnya meningkatkan taraf hidup. Sekurang-kurangnya lebih ramai ahli politik dan perniagaan Amerika didedahkan kepada kepentingan memupuk perdagangan dan pelaburan di Malaysia sebagai rakan rantau yang penting.

Malaysia memerlukan FTA kerana perlu bersaing. Paksaan untuk bersaing dengan negara maju menyebabkan negara terpaksa meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan supaya berjaya mencapai tahap global.

Jika FTA Malaysia-Amerika berjaya dimeterai. Apakah kelebihan negara peroleh?

Tarif pada barang Malaysia akan dihapuskan atau dikurangkan menyebabkan produk terbabit seperti perabot dan tekstil menjadi murah dan mampu dibeli lebih banyak. Jika FTA dimeterai, saya menjangka perdagangan kedua-dua negara akan bertambah dua kali ganda menjelang 2010, cuma persoalannya sejauh manakah Malaysia meraih keuntungan atau adakah lebihan dagangan yang Malaysia capai sejak dulu akan berpihak kepada Amerika.

Kita juga perlu ingat produk Malaysia di Amerika perlu bersaing dengan China yang sangat murah. Mungkin dari segi kualiti, produk Malaysia boleh menang, tetapi produk China masih berdaya saing. Semua ini risiko terpaksa ditanggung, walaupun kita nampak kebaikan diperolehi. Adakah kita mahu membuka sektor perkhidmatan, perbankan, telekomunikasi dan insurans kerana itu yang Amerika minta.

Selain akses pasaran, kesan tidak kurang penting menandatangani FTA dengan Amerika ialah Malaysia membina satu kredibiliti besar pada peringkat global. Jika selepas menandatangani FTA, perdagangan Malaysia meningkat maju seperti peningkatan eksport dan FDI, negara lain akan menghormati dan ingin berdagang dengan Malaysia.

Pada masa sama, apakah yang Amerika peroleh?

Mereka juga akan dapat melabur di negara ini dengan bebas tanpa sebarang halangan tarif. Keadaan yang bakal berlaku ialah produk Amerika boleh memasuki negara ini serta syarikat negara itu menerokai sektor seperti perbankan, insurans dan telekomunikasi serta bidang yang mereka paling mahu masuk, industri automobil.

Amerika mempunyai 'the Detroit of the East' di Thailand. Pada bila-bila masa syarikat automobil gergasi Amerika boleh memasuki negara kita. Syarikat automobil tempatan seperti Perodua mungkin boleh berdepan cabaran itu, tetapi saya tidak fikir Proton boleh bersaing.

Itu kelebihan Amerika dapat. Walaupun negara kecil, kita perlu ingat bahawa Malaysia boleh menjadi pangkalan kepada syarikat Amerika menembusi pasaran Asia Tenggara. Malah, ketika ini Amerika menggunakan Kawasan Perdagangan Bebas di negara ini untuk mengeksport 100 peratus produk ke negara lain. Apabila syarikat Amerika berada di Malaysia, mereka lebih mudah memahami pasaran, geografi, kehendak dan budaya tempatan. Faktor ini sangat penting dalam perniagaan.

Jika dilihat dari sudut kebaikan, kehadiran syarikat Amerika akan mendorong modal insan kita menjadi lebih mahir. Keadaan tidak lagi seperti dulu, pelabur datang membuka kilang semikonduktor yang menggunakan tenaga pekerja tidak mahir.

Syarikat Amerika mungkin melabur mengeluarkan produk akhir berkualiti tinggi yang memerlukan tenaga pekerja berkemahiran tinggi. Ia memaksa kita meningkatkan kemahiran dan mewujudkan pemindahan teknologi. Malah di Cyberjaya, syarikat asing, termasuk dari Amerika membuka ibu pejabat serantau dan ini memberi peluang pekerjaan dan memaksa pekerja tempatan mempunyai kemahiran seperti bahasa Inggeris.

Paling penting kita mesti mengadakan debat, seminar dan forum, tetapi yang saya nampak ialah kebanyakan kegiatan ini diadakan kelompok komuniti perniagaan Amerika yang hanya bercakap mengenai aspek positif kerana mereka menyokong dan tidak menonjolkan aspek negatif. Rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk membangkitkan aspek negatif FTA.

Bagaimanapun tidak kurang pihak melihat FTA dengan Amerika sebagai kuasa besar boleh memberi kesan negatif kepada negara kecil seperti Malaysia?

Dalam setiap FTA ada sektor yang bakal menerima kesan positif, tetapi tidak dapat dinafikan ada sektor menerima cabaran hebat, sekali gus meninggalkan kesan negatif terhadap mereka yang terbabit dalam sektor itu. Antara sektor mungkin menerima kesan negatif di Malaysia ialah pertanian, perkhidmatan, kesihatan dan keselamatan. Syarikat Malaysia terpaksa bersaing dengan syarikat Amerika dalam sektor itu. Jika syarikat tempatan tidak mampu bersaing dan seterusnya terpaksa ditutup, maka hilanglah sumber pendapatan dan pekerja rakyat tempatan.

Bagi sektor kesihatan, kos ubat pelbagai penyakit, termasuk HIV/AIDS akan meningkat kerana wujud langkah ketat untuk melindungi IPR (Hak Cipta Intelektual).

Walaupun perunding utama Amerika, Barbara Wiesel, mendakwa pengeluaran pertanian kedua-dua negara saling melengkapi, Malaysia perlu berhati-hati berhubung isu ini. Merujuk kepada sejarah hubungan ekonomi kedua-dua negara, jelas wujud persaingan pengeluaran hasil pertanian kedua-dua negara yang masih relevan hingga hari ini.

Contohnya, kempen memburukkan hasil minyak kelapa sawit Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport terbesar dunia dilancarkan Persatuan Kacang Soya AS untuk mempertahankan pasaran terhadap minyak sawit yang lebih murah.

Satu lagi sektor pertanian bakal menerima kesan FTA ialah penanaman padi. Pengeluar beras dan pesawah bimbang dengan kehadiran beras bebas cukai Amerika. Malah, isu beras atau politik beras adalah isu hangat diperdebatkan atau dalam sesetengah kes menjadi halangan kepada perundingan FTA antara Amerika dengan Jepun dan Thailand.

Adakah FTA boleh menjejaskan usaha meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara?

Setiap negara mempunyai sektor sensitif seperti India dengan perkilangan, Thailand (hasil tenusu, perkhidmatan dan pelaburan), China (perkhidmatan dan minyak makan), Jepun (beras dan pergerakan manusia) dan Filipina (beras dan jagung). Bumiputera? Kerajaan cuba membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera, tetapi adakah mereka mampu bersaing dengan produk Amerika.

Saya tidak fikir mereka boleh menyaingi kualiti produk Amerika yang kadang-kadang lebih murah. Sebagai contoh dalam perniagaan komponen kereta yang banyak PKS Bumiputera menjadi pembekal kepada Proton. Menerusi kewujudan FTA dengan Amerika, Proton boleh membeli dari vendor berkualiti tinggi, akibatnya PKS akan sengsara.

Bagaimana dengan perkembangan perundingan FTA Malaysia-Amerika?

Pusingan keempat perundingan FTA dimulakan sejak Jun 2006 di San Francisco, California antara 8 sehingga 12 Januari tahun lalu. Seorang pakar perunding Amerika yang terbabit dalam perundingan itu berpendapat sekurang-kurangnya dua pusingan lagi diperlukan bagi menyelesaikan isu serta masalah timbul antara kedua-dua negara. Pusingan kelima diadakan di Kuala Lumpur.

Persoalan sekarang mampukah perundingan fast track atau Trade Promotion Authority (TPA) diselesaikan sebelum 1 Julai ini jika ingin mengelakkan Kongres meneliti atau membahaskan isu kandungan FTA itu.

Mungkin kita tidak sempat mengambil fast track kerana TPA berakhir Julai. Kita perlu menyelesaikan perundingan pada Mac supaya dapat dibentangkan kepada Kongres sebelum Julai. Kuasa TPA ada pada Bush dan dia boleh hanya membentangkan kepada Kongres yang tidak boleh meminta sebarang perubahan terhadap FTA yang dimeterai. Kongres hanya boleh kata meluluskan atau tidak, sebab itu dipanggil fast track.

Apakah yang akan berlaku jika persetujuan gagal dicapai bulan depan?

Proses perundingan berterusan, tetapi lebih sukar diluluskan kerana apabila masuk ke Kongres, mereka boleh kata tidak suka syarat itu dan ini. Akhirnya akan mengambil masa panjang untuk dipersetujui. Jika dipersetujui sekarang dan Bush mahukan, Kongres hanya boleh bersetuju atau tidak. Bagi saya, Kongres akan bersetuju kerana ini baik untuk Amerika. Jika mereka tidak bersetuju, itu di luar keupayaan kita.

Bagaimanapun, saya percaya Kongres bersetuju. Walaupun, ada aspek merugikan Amerika, Kongres tidak boleh mengubah apa-apa. Selepas fast track, kita akan melalui proses seperti pengalaman Chile. Keadaan sekarang bergantung kepada kita. Kalau kita pandai melindungi diri, bertoleransi dan berkompromi serta boleh memujuk Amerika supaya bersetuju dengan dasar kita, Malaysia boleh menang.

Mungkin ada pengalaman negara lain yang boleh Malaysia kongsi berdasarkan keadaan berlaku sekarang?

Perundingan FTA Chile-AS bermula pada 1994 dan hanya selepas 10 tahun baru perjanjian itu ditandatangani. Bagaimanapun, kesan FTA yang berlaku dalam peningkatan besar perdagangan sebanyak 75 peratus, tetapi setakat ini tiada kesan besar dari segi FDI Amerika ke negara itu. Chile seperti Malaysia adalah sebuah negara kecil, kini secara agresif mengadakan FTA dengan negara lain dan sekarang sedang berunding dengan China.

Saya berpandangan Malaysia perlu mempunyai FTA dengan China. Mengapa? Kita akan mendapat perundingan seimbang yang akan mengambil kira kepentingan kedua-dua negara serta ada persamaan dari segi pasaran dan budaya menjadikan perundingan itu lebih mudah. Berdasarkan pengalaman perundingan dengan China boleh digunakan untuk berunding dengan negara maju lain.

Ia berbeza apabila berunding dengan AS yang jauh lebih maju dan memikirkan pelbagai perkara ke depan yang Malaysia belum nampak.

Suatu perkara yang saya kecewa berhubung perundingan FTA ialah Malaysia sepatutnya mewujudkan satu suasana positif di kalangan rakyat supaya rakyat beramai-ramai bersatu memberi sokongan.

Kita mesti menghebahkan kemajuan perundingan dan mengajak semua lapisan masyarakat memberi pandangan. Maklum balas daripada semua pihak yang bakal menerima kesan daripada FTA amat penting dan kerajaan perlu mengambil maklum balas itu sebagai pertimbangan untuk melindungi rakyat. Malangnya ini tidak berlaku.

Dalam isu beras dan ubat HIV/Aids, ada pihak memberi maklum balas. Golongan peniaga seperti PKS, termasuk vendor Proton tidak tahu dan menyedari kesan yang bakal diterima. Mereka masih kabur.

Hanya apabila FTA dibentangkan kepada Kabinet, baru kita tahu bahawa ada mengenai 58 isu yang menjadi pertikaian dalam perundingan FTA dengan Amerika. Apakah isu itu? Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui semua isu itu.

Pengetahuan mengenai isu itu membolehkan kita boleh memberi maklum balas kepada kerajaan dan ia membolehkan kerajaan membuat penilaian sama ada meneruskan perundingan atau adakah ini memberi manfaat kepada Malaysia.

Maklum balas sangat penting kerana kadang-kadang pegawai kerajaan tidak nampak. Pihak menerima kesan yang dapat melihat dan menjangka kesan itu. Kita perlu mewujudkan suasana positif di kalangan pihak berkepentingan dalam sektor perniagaan dan politik. Bagaimana dengan tuntutan pihak kesatuan sekerja dan lobi alam sekitar Amerika. Mereka menuntut Malaysia mematuhi peraturan tertentu.

Kita perlu mengadakan perbahasan menerusi penganjuran seminar dan forum mengenai FTA. Setakat ini, saya hanya nampak kebanyakan kegiatan ini diadakan kelompok komuniti perniagaan Amerika yang hanya bercakap mengenai aspek positif kerana mereka menyokong FTA. Rakyat Malaysia bertanggungjawab membangkitkan aspek negatif FTA.

Malaysia mahu melindungi kepentingan negara dan pada masa sama, Amerika juga mahu berbuat demikian. Chile mengambil masa 10 tahun. Bagaimanakah titik pertemuan boleh dicapai dalam tempoh singkat pada Mac ini?

Besar kemungkinan, kita tidak akan berjaya mencapai persetujuan pada masa ditetapkan. Saya pasti perundingan itu akan berterusan dan mengambil masa lama. Kita sebenarnya tiada pilihan dan terpaksa menandatangani FTA. Kita akan rugi kerana negara lain akan menandatangani FTA. Ketika ini, saya lebih suka Malaysia menandatangani FTA dengan China dan India kerana kedua-dua negara adalah pasaran yang sedang naik dan kita akan dapat satu FTA yang lebih seimbang berbanding dengan Amerika.

Kita perhatikan wakil perdagangan kelihatan menyedari isu sensitif seperti beras dan memberi jaminan bahawa perkara itu tidak menjadi masalah?

Itu pengecualian yang kita boleh minta. Sebab itu dinamakan perundingan seperti kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz ada 58 isu dan jika kedua-dua pihak berdegil, maka tidak jadilah. Jika kedua-dua pihak berkompromi, Malaysia akan melindungi bidang ini dan mereka bersetuju, barulah perjanjian FTA boleh ditandatangani. Sekarang ini dalam proses perundingan, siapa yang lebih kuat dan siapa akan mengalah dan berkompromi.

Bagaimana dengan pengalaman negara lain berunding untuk memeterai FTA dengan Amerika?

Pengalaman Chile menunjukkan sebuah negara kecil dan sedang membangun Amerika Latin berjaya dalam perundingan dengan FTA kerana mereka berani. Bagaimanapun, perundingan itu mengambil masa lama kerana perlu memikirkan dengan terperinci. Perundingan Filipina-AS gagal kerana Filipina bimbang dengan kemasukan beras dan hasil tenusu Amerika menjejaskan pengeluar tempatan.

Jepun juga gagal. Kenapa Jepun sebagai sebuah negara maju tidak mahu menandatangani FTA dengan Amerika ? Seperti Amerika Syarikat, Jepun mempunyai industri kereta. Bagaimanapun tanpa FTA, pengeluar kereta negara boleh menyaingi pengeluar kereta Amerika. Kenapa perundingan kedua-dua negara itu gagal? Hanya kerana beras. Perhatikan bagaimana Jepun melindungi petani mereka. Politik beras memang sudah lama di Jepun yang tidak akan membuka pasaran negara itu.

Di Asia Tenggara, hanya Singapura berjaya menandatangani FTA dengan Amerika. Bagaimanapun, kes negara ini berbeza kerana Singapura tidak mempunyai sumber alam. FTA dengan Amerika memang menguntungkan Singapura yang bergantung harapan kepada modal insan.

Ia menunjukkan kepentingan modal insan dan penekanan aspek ini dalam Rancangan Malaysia Kesembilan sangat penting supaya Malaysia mampu berdaya saing. Ekonomi Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan produk menggunakan ramai pekerja. Jika berteraskan intensif buruh, lebih baik pelabur asing pergi ke Vietnam.

Kos pekerja kita juga semakin mahal, malah sebahagian besar pekerja asing. Malaysia perlu mencipta bidang menggunakan kemahiran modal insan seperti bioteknologi. Kita perlu membina modal insan untuk mengembangkan sektor perkhidmatan.

Selain Asia Tenggara, bolehkah Amerika menggunakan Malaysia sebagai pangkalan menembusi pasaran negara Islam?

Saya rasa boleh jika syarikat Amerika yang berpangkalan di Malaysia mengambil orang Melayu/Islam memenuhi jawatan peringkat pengurusan. Sudah tentu boleh menembusi pasaran Asia Barat dan negara Islam lain. Mereka juga boleh menggunakan orang Cina dan India Malaysia untuk menembusi pasaran India dan China.

Adakah suasana ini membuatkan Amerika Syarikat sebenarnya lebih memerlukan FTA dengan Malaysia?

Itu satu hujah yang baik dan boleh membuka mata Amerika, tetapi tanpa FTA syarikat negara itu masih boleh datang kerana Malaysia mempunyai dasar FDI yang cukup liberal. Mereka datang walaupun kita tidak mempromosi negara kita sepenuhnya. Jika hujah ini digunakan, ia dapat mempromosikan Malaysia kerana Amerika dapat melihat keadaan bahawa melantik anak tempatan pada peringkat pengurusan akan membantu syarikat negara itu menembusi pasaran lebih besar.

Setakat ini, memang ada syarikat Amerika melantik anak tempatan sebagai CEO, bilangan yang ada tidak mencukupi dan anak tempatan tidak semestinya Melayu/Islam. Persoalannya jika hendak melantik orang Melayu/Islam, adakah cukup orang Melayu/Islam bersifat global? Bagi menjadikan kita berdaya saing, kita perlu pergi ke arah itu, membina daya saing.
 

Disediakan oleh Dr. Shakila Yacob, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM �

Hosted by www.Geocities.ws

1