|
Pengenalan
Maklumat Buku
Penulisan
Galeri
Hubungi Saya
|
Artikel Penulisan >
Utusan Malaysia > Judul: Melahirkan `Muslim Unggul'
PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucaptamanya di
Mesyuarat Agung Antarabangsa Ke-38, Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC)
baru-baru ini mengutarakan konsep `Asia Baru' sebagai rantau yang lebih
dinamik dan berintegrasi.
Salah satu komponen penting bagi menjayakan konsep ini ialah membina
rangkaian untuk memperkukuhkan kepentingan bersama melalui perkongsian
maklumat, kepakaran, idea, peluang perniagaan dan perdagangan serantau.
Seruan beliau kepada rakyat Malaysia di Hong Kong supaya menjalinkan
rangkaian dengan rakan sejawat di negara itu adalah untuk memperluaskan
pasaran dan meneguhkan ekonomi negara.
Bersandarkan rangkaian serantau, kita juga dapat membina rangkaian global.
Dalam memperkatakan tentang rangkaian global, jarang sekali ditemui
penampilan rakyat Malaysia keturunan Melayu di luar negara.
Di manakah Melayu luar negara di kalangan mereka yang berjaya?
Bukankah mereka mampu menyumbang kepada pembinaan generasi `Melayu Unggul'?
Sehingga kini, belum ada seorang pun Melayu luar negara yang berjaya menempa
nama, seperti Datuk Michelle Yeoh dan Jimmy Choo yang mengharumkan nama
negara di persada perfileman dan fesyen antarabangsa.
Justeru Melayu Malaysia dan Melayu luar negara perlu membina dan memupuk
rangkaian global untuk melahirkan karakter Melayu dan Muslim Unggul yang
merentasi sempadan geopolitik.
Usaha ini amat diperlukan untuk menyatu padu dan memperkasakan orang Melayu
khususnya, dan umat Islam amnya, sama ada dalam mahupun luar negara, melalui
jaringan dan kerjasama pelbagai bidang.
Dalam era globalisasi dengan kemajuan teknologi dan komunikasi, kaum lain
mampu bergerak mengikut arus masa dan merebut peluang keemasan.
Contohnya para profesional dan usahawan teknologi keturunan India yang
berjaya menggunakan ilmu, kepakaran, pengalaman, kedudukan serta pencapaian
mereka untuk membangunkan sektor teknologi tinggi dengan menyalurkan
peluang-peluang outsourcing (yang tumbuh pada kadar 30-40 peratus setahun)
dari Amerika Syarikat dan Eropah ke India.
Usaha ini membawa kepada kejayaan India sebagai pusat teknologi Asia dengan
wujudnya taman-taman teknologi di Bangalore, Hyderabad dan Mumbai, yang
merupakan hasil jaringan atau rangkaian profesional, pakar dan usahawan
teknologi India di Silicon Valley, California, dengan rakan sejawat di tanah
air mereka.
Negara kita telah membelanjakan begitu banyak wang untuk melatih pelajar
dalam bidang sains serta teknologi dan ramai juga graduan yang bekerja di
luar negara setelah tamat pengajian, tetapi mengapa sehingga kini tiada
jaringan yang menguntungkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
di Malaysia dijalinkan?
Pun begitu, projek Koridor Raya Multimedia (MSC) yang dilancarkan pada 1996
juga belum mengeksploit sepenuhnya jaringan dengan negara-negara Islam
serantau dan antarabangsa untuk menjadikan Malaysia pusat ICT sedunia.
Mengapakah syarikat-syarikat multinasional masih memilih Singapura atau Hong
Kong sebagai ibu pejabat syarikat mereka atas dasar ketelusan, kecekapan
pentadbiran, kemahiran pengurusan projek dan pekerja-pekerja mahir?
Apakah Malaysia dapat mengubah persepsi syarikat-syarikat multinasional jika
generasi muda Melayu berubah melalui anjakan paradigma dan berfikir secara
inovatif?
Mungkinkah transformasi pemikiran, sikap, tingkah laku serta amalan
merupakan jawapan atau kunci kepada persoalan ini?
Generasi muda Melayu tiada pilihan tetapi berhadapan dengan cabaran
globalisasi yang memaksa mereka mentakrif semula peranan dan tanggungjawab
kepada bangsa dan umat Islam seluruh dunia.
Karakter
Ini membawa kita kepada masalah karakter Melayu yang sinonim dengan penyakit
hasad dengki, tidak yakin, enggan menyokong usaha sesama sendiri.
Justeru, ini waktu yang tepat untuk suatu gerakan progresif bagi melahirkan
Melayu dan `Muslim Unggul', yang berniat suci, berkeyakinan diri dan berdaya
saing, saling bantu membantu, ciri-ciri positif yang perlu bagi menghakis
stereotaip Melayu.
Persoalan transformasi orang Melayu telah dibicarakan oleh pemimpin serta
cendekiawan Melayu dan Barat sejak zaman kolonial lagi.
Para orientalis mahupun pejuang nasionalis telah membahaskan dan berusaha
mengubah pemikiran dan sikap kaum Melayu melalui cogan kata seperti Revolusi
Mental, Dilema Melayu dan Melayu Baru.
Pelbagai dasar dan program pembangunan negara telah digubal serta
dilaksanakan bagi mengubah kedudukan, hala tuju dan peluang orang Melayu
membina sosioekonomi dan menempa nama di negaranya sendiri.
Walaupun telah memasuki dekad keempat sejak pengenalan Dasar Ekonomi Baru
(DEB), persoalan membina Melayu Unggul masih dibangkitkan.
Kenapa orang Melayu masih dianggap gagal bersaing, menempa nama pelbagai
bidang, antaranya perniagaan, pengurusan dan pendidikan serta latihan.
Apakah kerana kita tidak pandai menguar-uarkan kebolehan dan pencapaian?
Mungkinkah kepercayaan, nilai serta amalan budaya merupakan halangan kepada
kemajuan orang Melayu selama ini?
Konflik antara kaum tua dan kaum muda yang memecahbelahkan umat Islam
sekitar 1920-an dan 1930-an lagi disebabkan isu kelemahan dan kemunduran
Melayu Islam kerana amalan budaya dan tradisi yang menghalang kemajuan,
seperti sikap terhadap pengumpulan harta, takdir dan sebagainya.
Apakah isu budaya masih relevan pada masa kini?
Apakah kita masih boleh menyalahkan kolonialisme dan imperialisme Barat yang
menyebabkan kemunduran orang Melayu? Kenapakah walaupun telah hampir 50
tahun merdeka, kita masih gagal mengikis stereotaip yang disebarkan oleh
para penjajah dan orientalis? Sampai bila sarjana Melayu harus menggunakan
mitos pribumi malas sebagai punca kemunduran orang Melayu sehingga kini.
Sepatutnya alaf baru merupakan titik permulaan bagi orang Melayu
meninggalkan beban budaya dan bergerak maju serta membuktikan bahawa mereka
mampu mengubah pemikiran, mengikut peredaran masa serta berlumba niaga tanpa
mengorbankan nilai-nilai murni Islam.
Kepercayaan, nilai serta amalan agama Islam juga sering dijadikan alasan
mengapa kaum Melayu dan umat Islam tidak boleh maju seperti kaum lain.
Berdasarkan pedoman moral dan kekuatan dalaman, kaum Melayu dan umat Muslim
tiada alasan untuk tidak berjaya dan mencari kekayaan untuk diagihkan bagi
kebajikan dan kemajuan sesama saudara Islam.
Selama ini, beban budaya dan tradisi ditambah dengan tumpuan kepada tafsiran
literal serta penampilan luaran yang menjadi punca negara-negara Islam
sering dikaitkan dengan gejala negatif seperti rasuah, kemiskinan,
kemunduran, perang saudara dan tiada legitimasi politik.
Sehingga kini, masih belum ada negara Islam yang berjaya menegakkan
keutamaan dan jati diri sedangkan agama Islam menyediakan landasan yang
lebih unggul daripada sistem kapitalisme yang kini diamalkan secara meluas.
Malaysia sebagai Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) seharusnya
dapat menentukan hala tuju strategik bagi negara-negara Islam memperkukuh
dan menggembleng tenaga serta sumber untuk mengembalikan zaman kegemilangan
tamadun Islam seperti antara abad keempat hingga ke-14.
Mengikut Profesor Ali Mazrui, sesuatu tamadun itu lahir daripada usaha
mencapai sintesis kreatif.
Sintesis ini boleh ditemui di antara etika dan ilmu, agama dan sains, antara
satu budaya dengan budaya yang lain.
Mampukah Malaysia dan Melayu Islam berusaha mewujudkan sintesis kreatif ini
melalui rangkaian global antara sesama Melayu dan umat Islam seluruh dunia?
Inilah masa untuk kita mengambil peluang bertindak sebagai khalifah umat
Islam sekali gus memperkukuhkan semangat persaudaraan di kalangan umat
Islam.
- Dr. SHAKILA YAKOB ialah pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.
|