|
Pengenalan
Maklumat Buku
Penulisan
Galeri
Hubungi Saya
|
Artikel Penulisan >
Utusan Malaysia > Judul: Rasuah Politik Turut Jadi
Masalah di Barat
Baik `politik wang' atau `rasuah politik' (istilah yang digemari di
Eropah) atau `kapitalisme kroni' yang popular di Amerika Syarikat (AS), isu
calon jawatan politik membeli undi atau syarikat-syarikat besar ``membeli''
calon untuk melindungi kepentingan mereka bukanlah unik pada UMNO atau
Malaysia sahaja.
Jika keputusan pemilihan Perhimpunan Agung UMNO September atau pilihan raya
umum 2004 dipertikaikan kerana dikaitkan dengan unsur-unsur politik wang
atau salah guna jentera negara, maka keputusan pilihan raya Presiden AS 2004
dan 2000 juga menimbulkan kontroversi kerana vote rigging, manipulasi media
(FOX TV), salah guna jentera negara serta wang PAC (Political Action
Committees atau Jawatankuasa Tindakan Politik).
PAC, satu aspek penting dalam politik dan sistem pilihan raya AS,
menyediakan akses kepada sumber kewangan. PAC wujud secara sah dari segi
undang-undang sebagai saluran bagi syarikat korporat, persatuan
peniaga-peniaga, kesatuan sekerja, kumpulan sekepentingan dan
kumpulan-kumpulan sasar lain mendapatkan sumbangan daripada ahli-ahli,
pemegang-pemegang saham atau pekerja-pekerja secara sukarela bagi membiayai
calon-calon pilihan atau parti-parti politik.
Walaupun sumbangan individu kepada PAC dan sumbangan PAC kepada parti
dihadkan, pada 1985, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa tiada had
ditetapkan untuk membelanjakan wang PAC bagi pihak calon asalkan
perbelanjaan itu tidak dibuat dengan kerjasama calon. Ini bermakna sumbangan
langsung kepada calon tidak dibenarkan dan dianggap sebagai rasuah politik.
Sesiapa yang ingin melibatkan diri dalam politik, baik peringkat tempatan,
negeri mahupun nasional, sedia maklum bahawa akses kepada sumber kewangan
perlu untuk bertanding. Wang pencalonan, kos kempen rumah ke rumah, ceramah,
poster, sepanduk, semuanya memerlukan wang. Sekiranya calon ada akses
kewangan, sudah pasti mudah mengatasi lawan. Pepatah Melayu mengatakan: `Ada
beras, semuanya deras', yakni wang perlu untuk `membeli' tenaga dan
sumber-sumber lain serta melicinkan jentera parti bagi memastikan kempen
pilihan raya berjalan lancar dan keputusan menyebelahi pihak yang telah
melaburkan wang mereka.
Kempen pilihan raya di mana sekalipun semakin canggih dan menelan
perbelanjaan yang tinggi. Dengan demikian, sukar misalnya bagi calon bebas
seperti Ralph Nader yang bertanding atas tiket Green Party dan mewakili
kepentingan pekerja untuk mendapatkan pembiayaan lumayan bagi kempennya
daripada kesatuan sekerja atau para pencinta alam sekitar.
Rakus
Bandingkan kedudukan Nader dengan George W. Bush yang didakwa menggunakan
dana kempen sebanyak AS$140juta bagi menyiarkan iklan TV untuk menyerang
John Kerry sekali gus mengalihkan perhatian pengundi daripada dasar-dasar
dalam dan luar negaranya.
Yang menjadi isu di sini ialah implikasi penerimaan wang PAC daripada
syarikat-syarikat korporat gergasi yang rakus melindungi kepentingan ekonomi
satu atau dua peratus super elite di AS tanpa mengambil kira ekonomi rakyat,
pencemaran alam sekitar, serta perhubungan antarabangsa.
Inilah yang dikatakan kapitalisme kroni, elitisme teman seperjuangan
(companion elitism) atau sistem rakan gergasi (big buddy system) di AS yang
mengaitkan pemimpin-pemimpin negara seperti Bush Sr. dan Jr. dengan
kapten-kapten korporat seperti Enron, Halliburton, dan lain-lain.
Hubungan intim antara politik dan wang ini bermakna ``mereka yang memiliki
emas, membuat peraturan'' - peraturan yang menyebelahi golongan kaya dan
berkuasa dan menindas mereka yang miskin serta tiada upaya. Jika ini
dibiarkan berterusan, di manakah masa depan demokrasi?
Justeru, bolehkah kita samakan dakwaan tentang implikasi kegiatan PAC di AS
dengan amalan politik wang yang dibahaskan dalam UMNO? Wajarkah kita
menubuhkan suatu institusi seperti Jawatankuasa Tindakan Politik ini sebagai
mekanisme untuk membolehkan pembiayaan kempen calon pemilihan parti dan
pilihan raya yang sah dari segi undang-undang?
Jika difikirkan wajar, maka perlu digariskan syarat-syarat terperinci
berhubung tujuan dan jumlah perbelanjaan. Dengan mengehadkan belanjawan
kempen, maka sumber yang ada dapat disalurkan bagi program-program yang
lebih memerlukan biaya seperti membasmi kemiskinan, memberi latihan dan
peluang pekerjaan serta menyokong usaha-usaha peniaga kecil dan sederhana.
Seandainya cadangan untuk memperluaskan perwakilan yang memilih calon Majlis
Tertinggi UMNO diterima pakai sebagai usaha menangani politik wang, namun
masih perlu ada pengawalan yang lebih ketat dan berkesan untuk memastikan
tiada calon boleh membeli undi perwakilan lagi.
Kemungkinan menerima pakai konsep Jawatankuasa Tindakan Politik yang
disesuaikan dengan senario politik tempatan boleh dipertimbangkan. Ini
kerana penubuhan jawatankuasa sedemikian membolehkan fokus bertukar daripada
personaliti calon kepada isu yang diperjuangkan. Ini merupakan satu titik
perubahan signifikan dalam usaha membangunkan dan memajukan budaya politik
negara.
- DR. SHAKILA YAKOB ialah pensyarah sejarah di Universiti Malaya.
|