|
Pengenalan
Maklumat Buku
Penulisan
Galeri
Hubungi Saya
|
Artikel Penulisan >
Utusan Malaysia > Judul: Beza Amalan Politik Negara Maju,
Membangun
Isu penggantungan jawatan dan keahlian Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd
Isa Samad, membuka ruang perbahasan tentang sama ada pemimpin parti atau
menteri kabinet harus meletakkan jawatan dan apakah implikasi tindakan itu
ke atas imej dan populariti pemimpin tertinggi parti dan kerajaan.
Populariti parti atau kerajaan berkait rapat dengan kes-kes penggantungan
atau peletakan jawatan dalam parti dan kabinet. Yang penting bukan siapa
yang digantung atau diarah meletakkan jawatan tetapi implikasi daripada
tindakan ini. Para penganalisis politik masa kini memberi tumpuan kepada
mengapa dan apakah kesan tindakan itu ke atas parti, kabinet dan keseluruhan
sistem politik. Apakah peristiwa ini akan membawa kepada ``kesan riak'' yang
akan mempengaruhi keputusan pemimpin tertinggi parti-parti komponen lain
jika perkara yang serupa berlaku kepada organisasi mereka terajui?
Memandangkan kerajaan yang memerintah di Malaysia bukan merupakan sistem
satu parti seperti di United Kingdom (UK), maka keputusan berhubung
perlanggaran etika, penggantungan, peletakan jawatan atau pemecatan
tertakluk di bawah ruang lingkup parti-parti yang berkenaan.
Dalam sistem eksekutif yang teguh seperti di UK, bila kegagalan berlaku, ia
boleh dihalakan kepada kementerian-kementerian tertentu dan pemerintah boleh
meletakkan kesalahan kepada menteri-menteri yang terlibat atau menepis
kritikan dan seterusnya mengembalikan populariti dengan memulau atau
menyingkir menteri-menteri berkenaan.
Di samping itu, besar kemungkinan tindakan seperti itu boleh membawa kepada
tahap amalan politik yang lebih tinggi, di mana seandainya pemimpin
tertinggi atau menteri terlibat dalam salah laku, beliau sendiri harus
mempunyai kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk melepaskan kedudukan secara
sukarela, bukan diarah atau dipaksa.
Senario politik sebegini merupakan senario biasa di negara-negara yang
mempunyai warisan tanggungjawab menteri individu (individual ministerial
responsibility) yang teguh seperti UK, Australia, Kanada dan Afrika Selatan
di mana seseorang menteri bertanggungjawab ke atas kegagalan pentadbiran di
bawah portfolio kementerian masing-masing (Torun Dewan dan Keith Dowding,
``The Corrective Effect of Ministerial Resignation on Government
Popularity'', American Journal of Political Science, Vol. 49, No.1, Januari
2005, 46-56).
Di Amerika Syarikat (AS), contohnya, penyingkiran menjadi satu alat untuk
Kongres dan Mahkamah Agung menyekat kuasa presiden. Proses penyingkiran
bererti walaupun presiden ada kuasa veto, beliau masih tertakluk kepada
proses undang-undang dan perlu sedar bahawa jawatan serta tanggungjawab yang
diamanahkan amat penting dan memastikan kepercayaan rakyat kepada keluhuran
jawatan eksekutif tertinggi itu tidak disalahguna atau dikhianati. Alat
timbang tara juga wujud dalam sistem politik dan kerajaan Malaysia, iaitu
undi tidak percaya dalam parlimen, tetapi sehingga kini belum pernah
digunakan.
Membangun
Isu peletakan jawatan meninggalkan pelbagai kesan ke atas imej dan
populariti pemimpin. Seperti yang ditunjukkan oleh data tinjauan di negara
maju, kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi menganggap serius imej dan
populariti mereka.
Jika sekalipun peletakan jawatan menteri dianggap sebagai di luar kawalan
kerajaan atau membawa kesan negatif untuk jangka pendek, kerajaan perlu
mengambil langkah menepis tanggapan negatif dengan menghasilkan dan
mengemukakan dasar-dasar yang akan menambah nilai keseluruhan populariti .
Akauntabiliti, tanggungjawab, ketelusan serta kesedaran penyandang jawatan
merupakan aspek-aspek penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem
demokrasi. Di samping itu, populariti dan masa yang tepat untuk melepaskan
jawatan atau mengundurkan diri daripada arena politik juga merupakan isu
penting, namun yang membezakan negara maju dengan negara membangun ialah
kerelaan untuk melepaskan jawatan.
Contoh yang terbaru ialah tuduhan pihak pembangkang bahawa Presiden
Filipina, Gloria Macapagal Arroyo , telah menipu undi sekali gus melanggar
tataetika pilihanraya dengan menelefon pegawai pilihanraya sewaktu pengiraan
undi Presiden pada Mei 2004.
Pengakuan Arroyo telah menyebabkan rakyat keluar beramai-ramai menunjukkan
bantahan serta mendesak beliau meletakkan jawatan. Pun begitu, bilangan
3,000 penunjuk perasaan tidak seramai seperti yang menuntut pengunduran
Ferdinand Marcos dan Joseph Estrada. Bilakah akan tiba masanya bagi
pemimpin-pemimpin negara-negara membangun yang tidak popular mengundurkan
diri secara suka rela dan terhormat?
* DR. SHAKILA YACOB ialah pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM).
|