Judul: Amerika Syarikat Pembentukan Negara Bangsa

Pengenalan

Maklumat Buku

Penulisan

Galeri

Hubungi Saya

Artikel Penulisan > Utusan Malaysia >

Judul: Bank Wanita Perlu Ditubuhkan

PENDAPAT

SEMASA merasmikan Kongres Wanita Profesional 2005 pada 8 Julai lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyarankan agar perhatian diberikan kepada cadangan-cadangan yang boleh menambahkan bilangan wanita dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

Seruan ini disahut oleh peserta kongres yang mengusulkan 14 resolusi bagi mempertingkatkan kebajikan wanita; usul utama yang ditekankan ialah penubuhan Bank Wanita.

Penubuhan Bank Wanita bukan satu usul yang baru, tetapi telah pun dikemukakan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2003, namun tiada model yang disarankan sebagai contoh atau teladan.

Saranan supaya bank-bank yang sedia ada memberi khidmat tidak akan menjamin tercapainya objektif saranan kerana diskriminasi halus yang wujud dalam sistem dan institusi kewangan.

Kini sekali lagi usul yang serupa dikemukakan: Bila dan apakah model yang akan diterima pakai? Apakah langkah-langkah awal yang perlu diambil untuk mewujudkan impian ini?

Pertama dan paling penting, apakah objektif sebenar Bank Wanita yang diuar-uarkan ini? Siapakah kumpulan sasarnya?

Jika untuk membiayai kumpulan usahawan wanita kelas menengah, maka telah ada pelbagai ruang dan kemudahan bagi mereka mendapatkan dana dan bantuan kewangan.

Bagaimana dengan kumpulan wanita yang miskin lagi daif yang tiada kemahiran, lantaran akses, kepada peluang kemudahan bantuan dan pembiayaan yang sedia ada.

Untuk melicinkan pencapaian wanita luar bandar, maka bank tersebut harus diusahakan sendiri oleh wanita untuk wanita.

Ini kerana wanita lebih memahami masalah, cabaran, peluang serta keperluan sesama sendiri.

Strategi ini juga bijak dalam menjalin dan mengukuhkan perhubungan pelanggan yang akrab dan penting dalam memastikan pemantauan dan keberkesanan pelaksanaan projek-projek yang menggunakan pembiayaan Bank Wanita.

Sudah tiba masanya untuk menumpukan perhatian kepada pembangunan wanita di pedalaman yang perlu penyelesaian jangka panjang, bukan sekadar menerima wang, pakaian dan bantuan makanan.

Jika ingin memperkasakan wanita, maka Bank Wanita ini harus bermula secara kecil-kecilan, supaya mudah dan dapat dilaksanakan segera. Perlu dipastikan kelayakan pemohon, serta wujud mekanisme pemantauan yang ketat dan konsisten.

Sistem pembayaran balik yang fleksibel tetapi berkesan kerana pusingan wang amat diperlukan bagi membantu usahawan-usahawan baru serta proses pemberian pembiayaan mesti telus.

Dan maklumat tentang peluang ini harus disebarkan secara meluas serta sampai kepada sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan.

Usaha agihan yang lebih luas dapat memecah putaran ganas kemiskinan jauh lebih berkesan dan baik daripada mewujudkan segelintir wanita jutawan Melayu.

Mungkin apa yang sesuai ialah memperkenalkan skim pembiayaan mikro di mana negara kita jauh ketinggalan berbanding amalan serupa di negara-negara lain seperti Filipina, Sri Lanka, India dan Bangladesh.

Pembiayaan mikro merupakan satu kaedah peminjaman wang kepada mereka yang berada di bawah paras kemiskinan supaya mereka dapat mengusaha, mengekal dan mengembangkan perniagaan kecil-kecilan sekali gus mencapai cita-cita kerajaan meningkatkan taraf hidup dan membasmi kemiskinan.

Model jaya yang boleh dicontohi adalah Bank Grameen yang telah diperkenalkan sejak 1976 hasil usaha Dr. Muhammad Yunus, seorang profesor ekonomi di Bangladesh.

Dalam penemuan beliau, wanita miskin berjaya membebaskan diri daripada cengkaman kemiskinan apabila disediakan peluang pinjaman kecil untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

Sehingga kini, Bank Grameen menyediakan bantuan kepada 4.4 juta peminjam dan lebih 10,000 keluarga dapat melampaui paras kemiskinan setiap bulan.

Apa yang lebih penting, Bank Grameen berusaha membuat perkongsian strategik dengan rakan global, contohnya Grameen Foundation USA yang kemudiannya mempunyai misi dan visi sama membina rangkaian perkongsian pembiayaan mikro dan berjaya meningkatkan taraf hidup 1.1 juta keluarga di 20 buah negara.

Bagaimana pembiayaan mikro dapat membantu usahawan wanita Melayu?

Ia dapat dijadikan satu alat bagi menjayakan matlamat negara untuk mencapai pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar, lelaki dan wanita, selari dengan Dasar Wawasan Negara (2001-2010). Kumpulan sasar yang kedua pembiayaan mikro dapat ditumpukan kepada siswazah wanita Melayu menganggur dan ibu tunggal. Ini memperluaskan lagi pilihan siswazah, tidak hanya tertumpu kepada makan gaji sahaja.

Pembiayaan mikro ini dapat menggalakkan penglibatan siswazah dalam bidang perniagaan atau perusahaan kecil-kecilan yang seterusnya membantu perniagaan sokongan.

Di sinilah wanita Melayu profesional yang berjaya perlu berperanan sebagai pendorong kepada kumpulan sasar berasaskan semangat beramal, sukarelawan dan berkongsi pengalaman serta kemahiran melalui sistem mentor bagi menyediakan sistem sokongan kepada wanita-wanita yang ketinggalan dari segi ekonomi.

Bank Wanita boleh berfungsi sebagai agensi perantaraan bagi merapatkan jurang antara wanita yang berjaya dengan yang masih bertatih.

Ia juga dapat menjadi pusat sumber bagi membina pangkalan data untuk usahawan wanita tempatan dan antarabangsa.

Usahawan wanita Melayu perlu diperkasakan dari segi daya saing dan daya tahan agar tidak mudah tunduk kepada kegagalan. Wanita Melayu profesional perlu berganding bahu dan saling bantu membantu menjalin rangkaian dan membina sistem sokongan yang teguh, bukan jatuh menjatuh serta tindas menindas tak ubah `sindrom ratu lebah' kerana terlalu banyak tugas dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul oleh wanita kini.

Sempena Hari Wanita peringkat kebangsaan hari ini, ada baiknya golongan berkenaan memperbaharui tekad untuk menggerakkan penubuhan Bank Wanita yang belum menjadi impian setakat ini sekali gus dapat menyahut seruan Perdana Menteri menambah jumlah mereka dalam bidang keusahawanan.

- SHAKILA YACOB, Kuala Lumpur

 

Disediakan oleh Dr. Shakila Yacob, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM �

Hosted by www.Geocities.ws

1