|
Pengenalan >
Ulasan:
Utusan Malaysia (Isnin, Julai 18, 2005):
Kesan Sejarah Membentuk Dasar Amerika Syarikat:
Dalam usaha untuk muncul sebagai kuasa besar seperti hari ini, Amerika
Syarikat (AS) pernah dijajah dan menjajah. Sejarah awal Amerika mempamerkan
satu isu penting yang memainkan peranan utama dalam membentuk keperibadian
dan kenegaraan Amerika. Isu itu adalah berhubung dengan perselisihan antara
koloni dengan bekas penjajah mereka, Britain secara khusus atau Eropah
secara keseluruhannya.
Pembentukan negara baru Amerika bermula selepas berjaya dalam perjuangan
kebebasan semasa Perang Kemerdekaan pada tahun 1776. Kejayaan itu dianggap
sebagai bukti keagungan tamadun Amerika dan mengukuhkan lagi semangat
rakyatnya untuk mengasingkan diri daripada tamadun Eropah yang dianggap
boleh meruntuhkan keperibadian mereka.
Negara Amerika berjaya memperoleh kemerdekaan tetapi malangnya tidak ada
perpaduan atau penyatuan di antara 13 negeri. Selepas Amerika terbentuk, ia
muncul sebagai negara terawal mengamalkan demokrasi dalam dunia yang
diperintah oleh monarki.
Selepas menandatangani Perjanjian Keamanan Paris pada tahun 1783, Amerika
mempunyai tempat sah di kalangan negara merdeka di dunia. Dan sejak itu,
cabaran demi cabaran ditempuhi, AS berjaya melaluinya dengan menjadikan
sejarah sebagai landasan serta teladan untuk membolehkannya bangkit.
Pendek kata, AS mempunyai sejarah tersendiri sebelum unggul pada abda
ke-20 sebagai sebuah kuasa besar dunia. Justeru apa yang menjadikan ia
muncul sebagai kuasa kuat di dunia seperti yang berlaku hari ini?
Jawapannya ialah sejarah. History atau sejarah bukan hanya kisah
yang menarik, setiap peristiwa atau perkembangan juga mempunyai makna yang
mendalam. Maklumat yang terkandung dalam sejarah harus dianalisis dan
ditafsir bagi memberikan faedah dalam membina keperibadian masing-masing.
Kembali Ke Atas Halaman
Sumbangan:
Itulah yang berlaku kepada AS sehingga ia membentuk sebuah negara bangsa
yang mempunyai jati diri. "Ini waktu paling sesuai menerbitkan buku tentang
sejarah AS. Hingga kini, masyarakat Malaysia tidak banyak terdedah kepada
masyarakat Malaysia tidak banyak terdedah kepada masyarakat AS walaupun
filem keluaran negara itu ditayangkan di Malaysia sejak awal abda ke-20,"
kata pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Profesor Emiterus
Datuk Dr. Khoo Kay Kim yang menulis prakata buku ini.
Menurut Kay Kim, pemahaman masyarakat di negara ini berkenaan budaya
orang Amerika masih tidak mendalam. Tetapi katanya, sitausi di Malaysia
bertambah baik apabilia semakin banyak majalah keluaran Amerika diedarkan di
negara ini selain bilangan pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran ke negara
kuasa besar itu bertambah.
Namun dalam tempoh itu juga, tidak keterlaluan dikatakan bahawa tidak
banyak sumbangan yang diberikan masyarakat Malaysia sekembalinya mereka ke
tanah air selepas itu. Dengan kata lain hampir tiada buku atau naskhah
tertentu yang ditulis mereka tentang AS.
"Pandangan dunia, tidak terkecuali masyarakat Malaysia terhadap Amerika
banyak yang negatif sahaja. Kita hanya memandang Amerika sebagai kuasa
penjajah yang gila berperang, mahu medominasi kuasa dan menindas
negara-negara miskin lagi lemah.
"Tetapi kita lupa satu perkara bahawa sejarah yang mengajar AS menjadi
begitu. Walaupun banyak kepincangan dilakukan, ada juga kebaikan atau
kelebihan AS yang boleh dijadikan sempadan. Justeru sebuah naskhah yang
barangkali boleh memperbetulkan sedikit tanggapan negatif terhadap Amerika
itu perlu diterbitkan," kata penulis buku ini ketika ditemui Utusan
Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Shakila yang juga pensyarah di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains
Sosial, UM berkata, beliau mengambil masa selama kira-kira empat tahun untuk
menyiapkan buku tersebut. "Asalkan buku itu adalah untuk memenuhi permintaan
pelajar yang mahukan maklumat mendalam mengenai sejarah AS dalam Bahasa
Malaysia. Ada banyak buku rujukan tentang AS di negara ini, tetapi
kesemuanya dalam Bahasa Inggeris. Saya boleh katakan ini buku bahasa Melayu
pertama membincangkan secara panjang lebar sejarah AS," ujar Shakila, yang
juga pakar dalam sejarah serta politik AS.
Menurut Shakila, Amerika mahu mempromosikan demokrasi di dunia hari ini
kerana ia pernah dijajah dan tidak gemarkan sistem pemerintahan beraja
mutlak.
"Justeru saya melihat walaupun AS menggila dalam memperjuangkan demokrasi
(kini di Asia Barat), ada keikhlasan dalam tindakan AS itu jika diperhalusi
dari segi sejarah."
Kembali Ke Atas Halaman
Kuasa
Katanya, sejarah yang membentuk AS mempunyai jati diri dan bangsa menjadi
sebuah negara sekarang. Itulah kunci utama pembangunan sebuah negara kuasa besar
seperti AS. Tetapi katanya, hubungan Malaysia-AS tidak pernah bermasalah.
Kita seolah-olah menjalinkan hubungan 'benci tapi rindu' dengan AS. Kita
katakan kita tidak sukakan Amerika tetapi pada masa sama kita setia kepada
Starbuck, Coca-Cola, KFC dan sebagainya.
"Kita tidak boleh menolak ini semua. Hakikatnya, kita memang banyak
bergantung kepada Amerika," ujar beliau.
Membaca buku setebal 374 halaman ini seolah-olah mempamerkan hubungan AS dan
negara dunia lain khususnya Malaysia tidak pernah dilanda masalah dan betapa ia
perlu saling bergantung di antara satu sama lain.
Selebihnya buku ini menjawab secara langsung dan tidak langsung perkembangan
masyarakat AS sejak sebelum wujudnya AS sebagai sebuah negara bangsa hingga kini.
Kembali Ke Atas Halaman
|