Subject FW: Pesawat Blair dipanah petir sebelum mendarat di Washington
WASHINGTON 27 Mac - Pesawat 777 British Airways yang membawa Perdana Menteri, Tony Blair dipanah petir sewaktu kapal terbang itu berada pada ketinggian 10,000 kaki dan kira-kira 20 minit sebelum mendarat di Pangkalan Tentera Andrews di Washington, semalam. Menurut wartawan yang mengikuti rombongan Blair ke AS, petir tersebut mengenai sayap kiri pesawat berkenaan tetapi tidak menjejaskan penerbangan tersebut. Blair dan para penumpang pesawat yang disewa khas itu ditenangkan oleh juruterbang pesawat berkenaan, Kapten John Lindsey sebelum pesawat itu mendarat. Sekutu rapat Presiden George W. Bush itu ke AS untuk bertemu Bush bagi membincangkan isu mengenai perang ke atas Iraq yang kini masuk hari kelapan. Sementara itu, jurucakap Blair berkata, Perdana Menteri itu amat marah apabila dimaklumkan bahawa stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan gambar yang menunjukkan dua askar Britain yang berjaya ditembak mati dan dua lagi ditawan oleh tentera Iraq. ``Perdana Menteri terkejut dan sedih dengan kematian dan juga tawanan tersebut dan kesal kerana stesen itu menyiarkan gambar-gambar berkenaan,'' kata jurucakap itu. Blair mendapat tahu mengenai berita itu sewaktu beliau di dalam penerbangan untuk bertemu Bush di Kem David.
Media-media Britain melaporkan bahawa gambar dua mayat askar yang dikatakan terbunuh itu sama seperti dua askar yang hilang sewaktu operasi menggempur tentera Iraq, baru-baru ini. Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Britain tidak mahu mengulas perkara itu dan berkata bahawa mereka masih mengkaji rakaman televisyen berkenaan. Blair ditemani oleh Penasihat Dasar Luar Britain, Sir David Manning dan Ketua Staf Tentera, Jonathan Powell sementara Bush diiringi oleh isterinya, Laura serta Penasihat Keselamatan Kebangsaan, Condoleezza Rice dan Ketua Staf Tentera, Andrew Card. Ditanya mengenai dakwaan bahawa Britain terdesak untuk meminta AS bersetuju agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diberi peranan penting bagi membangunkan Iraq pada pasca perang, jurucakap Blair berkata, keputusan tersebut belum dicapai sewaktu pertemuan di Kem David semalam. ``Isu tersebut juga turut disentuh secara sepintas lalu pada pertemuan itu namun sehingga kini belum ada keputusan dibuat,'' katanya. Blair berlepas ke New York selepas pertemuan dengan Blair untuk bertemu Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan. - Agensi
kiriman: awin