Teori Ta'abudiyah

Oleh: Mana Sikana (ahli teori sastra, asal Malaysia) 

 

Sumber dan dasar kritikan Islam adalah berasal daripada al-Quran dan Sunnah
Rasulullah. Dari perspektif persejarahannya pula, dasarnya sudah
ditradisikan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. lagi. Beberapa buah hadis
baginda menteorikan terhadap penilaian karya sastera. Tradisi ini
diperkukuhkan lagi pada zaman para sahabat, zaman Umaiyah dan seterusnya
pada zaman Abbasiyah. Dua kriteria yang menjadi tunjang kritikan Islam ialah
pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak Islamiah.

Di sini dapatlah dibuat tanggapan bahawa dalam tradisi kesusasteraan Islam
atau dalam budaya Islam, sudah ada bidang kritikannya sendiri. Ini merupakan
suatu perkara yang amat membanggakan. Selama ini, oleh sebab tidak pernah
dibuat kajian atau kekurangan maklumat, ada orang yang menganggap bahawa
dalam Islam tidak ada kritikan, atau tidak ada kriteria dan pendekatan
Islam. Lebih buruk daripada itu ada yang menyatakan, Baratlah yang
sesungguhnya mengajar tradisi kritikan.

Pada zaman kebangkitan Islam ini, sastera yang berunsurkan Islam telah
menjadi suatu tajuk pembicaraan yang menarik. Di mana-mana orang
membicarakan soal sastera Islam. Telah lahir berbagai-bagai sayembara bagi
melahirkan sastera Islam dan telah melibatkan tokoh-tokoh penting seperti
Yusof Zaki Yaakob. Dengan adanya karya berunsur Islam, maka kritikan Islam
juga harus dilahirkan. Adalah sangat ganjil lagi aneh, jika sastera yang
berunsurkan Islam dinilai menggunakan pendekatan yang datangnya dari dunia
bukan Islam. Oleh itu, usaha melahirkan pendekatan Islam perlu diijtihadkan.

Terbuka di hadapan khalayak sastera kini, beberapa kemungkinan atau jalan
arah melahirkan kritikan berpendekatan Islam. Pendekatan tradisi Barat yang
digunakan selama ini haruslah diubahsuaikan. Dalam hal ini kita perlulah
menyaring atau menyunting aspek yang bertentangan dengan Islam dan
mengekalkan mana-mana aspek yang tidak bertentangan. Dalam tradisi kritikan
tersebut, banyak pendekatan yang dirasakan tidak sesuai dengan syiar Islam
di samping itu ada juga unsur-unsur yang sesuai dan boleh disesuaikan. Dalam
pendekatan moral, misalnya, konsep dan prinsipnya baik, tetapi definisi
moral itu sendiri merujuk kepada budaya Barat. Justeru itu, ia boleh
digantikan dengan pengertian moral dalam Islam.

Begitulah seharusnya dilakukan terhadap pendekatan lain, seperti dalam
pendekatan struktural, psikologikal, sosiologikal dan sebagainya. Pendekatan
psikologikal, misalnya, banyak menggunakan teori kejiwaan Freud. Pendekatan
ini boleh digantikan dengan pandangan-pandangan Islam mengenai kejiwaan.
Jika dalam pendekatan sosiologikal, falsafah determinisme atau Marxisme yang
digunakan, tetapi boleh menggantikannya dengan konsep kemasyarakatan atau
muamalat dalam Islam. Dengan berbuat demikian, pengkaji sastera telah
berusaha untuk menyaring atau mengislamisasikannya.

Ini merupakan satu usaha yang besar dan berat. Sebuah teori penyaringan
sastera dan teori nilai yang baru perlu dicipta. Bukanlah mudah setakat
mengislamkannya begitu sahaja. Kesukaran-kesukaran yang timbul, ialah akibat
kekurangan pengetahuan agama, tidak mendalami ilmu kesenian dan
kesusasteraan Islam.

Struktural, moral, sosiologikal dan psikologikal telah banyak menyumbangkan
tenaga ke arah perkembangan kesusasteraan tanah air. Dan yang paling
menarik, pengkaji sastera mahu terus menerima dan menyesuaikan
pendekatan-pendekatan seperti stilistik, semiotik dan formalisme.
Pendekatan-pendekatan ini semuanya telah digunakan ketika menghadapi
karya-karya yang bercorak keislaman. Buktinya, apabila diadakan sayembara
penulisan sastera berunsurkan Islam, pengadilan dilakukan dengan penerapan
pendekatan tersebut dengan memasukkan beberapa nilai keislaman di dalamnya.
Ini ialah contoh yang baik, bagaimana pendekatan itu boleh dimasukkan dengan
konsep Islam.

Namun begitu, jalan yang dirasakan mustahak ialah dengan cara melakukan
ijtihad, melahirkan sebuah pendekatan kritikan Islam. Jadi di sini, ada
kemungkinan yang terbuka untuk kita mengambil semula konsep dari prinsip
kritikan Islam yang sudah sedia ada itu. Kemudian kita boleh persesuaikan
dari sudut metodologinya dengan situasi dan kondisi kesusasteraan zaman ini.
Pengukuhan akidah dan pembentukan akhlak Islamiah tetap dijadikan sebagai
prinsip yang utama dalam kritikan pendekatan Islam. Prinsip ini telah
digunakan oleh para ulama dan pengkritik Islam, sejak zaman Nabi, Khalifah
Umaiyah dan Abbasiyah. Penting dan perlu disampaikan serta diperjuangkan
setiap zaman ialah memelihara akidah dan membentuk akhlak. Kesusasteraan
Islam juga dalam kreativitinya, membentuk diri bagi menepati keperluan
akidah dan moral. Sastera Islam ialah yang berkonsepsikan akidah dan moral.
Justeru itu, para cendekiawan Islam menyatakan bahawa sastera Islam ialah
untuk bertakwa. Pengertian dan takrifan takwa di sini ialah merujuk,
menyempurnakan dan membersihkan akidah, di samping mengamalkan hidup
berakhlak. Akhlak dalam Islam ialah memelihara hubungan manusia dengan Allah
dan hubungan manusia sesama manusia.

Pengertian pengukuhan akidah itu amat luas. Ini juga membuka kemungkinan
aspek tema, persoalan dan permasalahan yang luas dalam sastera kreatif
Islam. Pengukuhan akidah dapat diertikan sebagai melakukan peribadatan,
keimanan, mengamalkan hidup dan nilai-nilai Islam dan sebagainya. Ia tidak
seharusnya disempitkan ke dalam kategori mengingatkan hari kematian,
menggunakan ayat-ayat suci atau hadis nabi, atau berkhutbah tentang kebaikan
Islam sahaja: malah apa sahaja yang diredai oleh Islam dan berfungsi
menguatkan akidah umat Islam dapat dikategorikan ke dalam sastera Islam.
Begitu juga dengan amalan hidup yang berlandaskan pada akhlak Islamiah juga
agak luas, termasuk peribadatan, hubungan kekeluargaan, organisasi
kemasyarakatan dan sebagainya. Pendeknya, konsep pengukuhan akidah dan
pembentukan akhlak Islamiah itu amat luas dan memberikan berbagai-bagai
kemungkinan penerapannya dalam penulisan kreatif dan kritikan.

Sebagai karya sastera, aspek keindahan menjadi unsur yang terpenting dalam
penciptaan dan pembinaan.Tanpa keindahan atau estetika, ia tidak akan dapat
dianggap sebagai sebuah karya sastera. Dalam Islam, keindahan dan estetika
juga diambil kira dan menjadi perhitungan utama. Seni sastera dalam Islam
juga mempunyai konsep keindahan yang tersendiri. Nilai keindahannya dapat
dijelmakan dalam perpaduan antara nilai kerohanian, keimanan dan takwa
dengan nilai-nilai intelektual, moral dan fizikal. Keindahan akan tercapai
apabila tujuan dan aspirasi karya dapat dijelmakan, iaitu meninggkan
apresiasi terhadap subjek yang baik dan murni serta menolak yang mungkar dan
batil. Pendeknya, keindahan dapat disimpulkan sebagai karya yang
memanifestasikan ciri-ciri keimanan, keluhuran, keikhlasan dan sebagainya.

Keindahan-keindahan tersebut dapat diekspresikan melalui penggunaan bahasa
yang baik, kuat, tajam, beristikharah, berkias dan sebagainya. Tradisi
sastera Islam pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. sememangnya mengambil kira
terhadap penggunaan bahasa. Stail merupakan wadah dan cara bagaimana aspek
keindahan ini dapat diturunkan. Islam memandang hina penggunaan bahasa yang
mendatangkan mudarat kepada masyarakat pembacanya. Bahasa yang baik ialah
yang dapat mengangkat taraf akaliah dan pemikiran umatnya.

Melalui perbincangan-perbincangan keislaman dan kritikan ini, menyampaikan
kita kepada betapa perlunya sebuah pendekatan Islam itu kembali diwujudkan.
Kita juga telah berusaha ke arah itu. Ada baiknya, sekarang kita menumpukan
pula perhatian ke arah aspek metodologi atau perkaedahan, mekanisme dan cara
mengaplikasikan pendekatan kritikan Islam ini.

Pertama, kritikan pendekatan Islam membicarakan aspek latar belakang
penulisnya. Adalah difikirkan mustahak, sebelum memasuki pembicaraan
intrinsik, aspek ini dibicarakan terlebih dahulu. Ini memandangkan bahawa
dalam kreativiti kesenian dan sastera dalam Islam, faktor manusia atau pihak
yang mengendalikannya diambil kira.

Sastera Islam menolak karya yang ditulis oleh orang bukan Islam, meskipun
persoalannya menyentuh aspek keislaman. Sama seperti pendekatan
sosiologikal, riwayat hidup pengarang, sosialisasi, pendidikan, alam sekitar
dan nilai hidup dibicarakan, pendekatan ini juga mengambil kira dan mengenal
pasti kesemua faktor tersebut. Yang berbeza, kritikan Islam lebih cenderung
menganalisisnya dari sudut yang ada kaitannya dengan keislaman. Malah budaya
atau amalan seseorang itu perlu juga dibincangkan, sama ada seseorang itu
bergiat dalam gerakan keislaman, atau dalam kebajikan dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan bahawa faktor-faktor yang disebutkan dapat menolong
memperkenalkan penciptanya dan ini akan mempengaruhi karya yang dihasilkan.
Penganalisisan aspek diri pngarang ini juga sangat dituntut, justeru Islam
tidak mahu melihat ada percanggahan antara apa yang ditulis dengan amalan
sehari-hari yang dilakukan oleh pengarang. Kalau dia mengajak beramal makruf
dan melarang melakukan perbuatan mugkar dalam karya sasteranya, maka
pengarang harus melakukan hal-hal sedemikian dalam hidupnya. Di sini ada
kaitan dengan konsep munafik atau sebagainya. Bagaimanapun dalam konsep
Islam, ia menggalakkan seseorang itu melakukan dakwah mengikut bidang
masing-masing. Jika seseorang itu pandai bersyarah, maka dia harus
menggunakan kepandaiannya untuk menyampaikan syarahan-syarahan tablighnya.
Jika dia seorang penulis, maka tanggungjawabnya menyebarkan risalah Islam
melalui penulisan. Selain daripada untuk lebih memahami karya sastera yang
dihasilkan, latar belakang pengarang akan dapat melihat sejauh mana
penglibatan dan iltizam pengarang terhadap apa yang dihasilkan.

Tentulah Islam tidak mahu karya yang dicipta hanya berupa gagasan atau
khutbah kosong semata-mata.
Dalam konteks ini juga, dapat disorot aspek tujuan atau niat pengarang itu
berkarya. Meskipun perkara ini sesuatu yang sangat abstrak, tetapi
sebenarnya hasil atau amalan seseorang pengarang dapat dilihat sebagai
penentu nilai. Sesuatu pekerjaan yang baik dan menghasilkan yang baik,
biasanya dimulai dengan niat dan hasrat hati yang baik juga. Aspirasi
pengarang dan visinya terserlah dari pekerjaannya. Walaupun perkara ini
begitu sukar untuk dikenal pasti, tetapi bukanlah mustahil untuk
menanggapinya.

Kedua, pendekatan ini menganalisis aspek isi karya. Pengertian isi merujuk
kembali seperti yang telah disebutkan, iaitu hal-hal yang berhubung dengan
persoalan, tema, pemikiran, ideologi, premis, falsafah dan sebagainya. Tahap
awal yang hendak digariskan ialah sejauh mana isi karya tersebut
membincangkan isu-isu keislaman. Dari sudut manakah isu keislaman itu
dirujuk: kemasyarakatan, syariah, ibadah, moral dan sebagainya. Kemudian
dibincangkan pula bagaimana cara bahan itu dicernakan dalam karya tersebut,
iaitu membicarakan aspek teknik dan mekanisme kepengarangannya. Diharapkan
tema yang dikupas oleh pengarang merupakan penjelmaan penghayatan Islamiah,
lebih luas, lebih mendalam, mencakup aspek kehidupan dan ia dekat pula
dengan permasalahan kontemporari umat Islam.

Kajian dalam aspek ini antara aspek atau dimensi yang dibincangkan seperti
yang dijelaskan di atas iaitu mengenai aspek akidah dan akhlaqiyah. Melihat
hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia dan
terjelma dalam akhlaqiyah atau keperibadian manusia.

Dalam Islam manusia yang berakhlak itu ialah manusia yang menjaga
hubungannya dengan Allah dan hubungannya sesama manusia. Pada dasarnya
inilah inti kepada kritikan sastera Islam itu. Boleh sahaja subjek-subjek di
atas dipecahkan kepada menganalisis aspek perakidahan, muamalat dan akhlak.
Dan dalam konteks kesemuanya itu pula, lebih-lebih lagi akhlak mempunyai
kaitannya dengan kehidupan taabuddiyyah yang selalu dimanifestasikan sebagai
sufi, zuhud dan sebagainya.
Dalam menganalisis, seseorang pengkritik Islam hendaklah memastikan skop
perbincangan pengarang. Jangan membiarkan aspek-aspek tertentu sahaja
dibincangkan oleh pengarang, seperti menyentuh topik-topik yang sempit,
kecil dan kurang sesuai. Begitu juga pandangan terhadap pengertian tema atau
pokok persoalan dalam Islam yang sering dijadikan bahan karya seperti
kematian, kisah di sekitar ibadat, taubat dan sebagainya: hendaklah
diberikan pandangan baru dan tidak sahaja diulang-ulang, seolah-olah hanya
itulah tema dalam sastera Islam.

Sesungguhnya ruang lingkup pembicaraan tentang kisah-kisah atau
pemikiran-pemikiran Islam, amatlah luas. Jadi, dalam menganalisis, hendaklah
diberikan perhatian dalam konteks pemilihan tema, kepentingan tema dan
bagaimana ia diutarakan yang kesemuanya merujuk kepada keislaman. Kajian itu
dihubungkan dengan akidah dan pembentukan akhlak.

Ketiga, pembicaraan di sekitar aspek teknik penulisan. Dalam aspek ini, dua
perkara yang harus diberikan perhatian utama, iaitu estetika dan unsur
logik. Apabila disebut estetika, maksudnya keindahan yang dikonsepsikan
dalam Islam. Bukannya memberikan penghormatan yang lumayan terhadap
kebebasan imaginasi yang tidak terbatas, atau yang mementingkan keseronokan
indera, tetapi ia lebih kepada peningkatan pemikiran dan sifat kemanusiaan
itu sendiri seperti yang telah dibincangkan. Bagaimanapun, estetika di sini,
dapat dikatakan merangkumi juga aspek kehidupan sebagai karya sastera dalam
pengertian yang umum. Misalnya, apabila menggambarkan watak yang sedang
mengalami perkembangan iman dan kesedaran Islamiah pada seseorang watak itu,
hendaklah diolah dengan cara yang menyakinkan supaya jangan timbul
kepura-puraan dan tidak realistik.

Berbagai-bagai teknik sebenarnya boleh diaplikasikan dalam mengembangkan
watak dan cerita. Namun, teknik yang agak kasar dan selalu digunakan dalam
karya-karya berunsurkan Islam seperti teknik dakwah, khutbah atau
fikiran-fikiran terbuka yang dilontarkan melalui perbualan pengarang, sudah
amat klise dan tidak menarik. Teknik yang asli dan memperlihatkan penguasaan
estetika yang tinggi dan selaras pula dengan Islam tentulah menjadi
perhatian seseorang pengkritik pendekatan Islam.

Sementara itu dalam aspek logik, sememangnya menjadi kriteria dalam
menentukan karya sastera Islam. Sebab-musabab, taakulan, menyakinkan dan
bersandarkan akaliah merupakan sifat-sifat logik atau mantik Islam. Ini
tidak bererti ia menolak karya yang lain daripada corak itu. Islam
sebenarnya mempunyai dimensi yang sangat luas dalam aspek mantik atau logik
ini, asalkan ia tidak bertentangan dengan akidah keislaman. Watak yang
jahat, tiba-tiba berubah menjadi baik, bertaubat dan naik haji tanpa
diberikan sebab-musabab yang menyakinakan, sebenarnya bukanlah mencapai
teknik penulisan Islam yang baik. Faktor-faktor yang boleh mendatangkan
kebosanan, tidak berpijak ke alam nyata dan khayalan kosong begitu sahaja,
juga bukan logik sastera Islam.

Dalam mengkritik sudut teknik ini, terdapat dua perkara yang harus
ditekankan. Pertama, estetika yang dikaitkan dalam pengertian Islam sambil
membenarkan aspek-aspek keindahan umum yang tidak bercanggah dengan
nilai-nilai Islam. Kedua, hukum logik yang dijelmakan dalam Islam bagi
melihat sejauh mana aspek kesusasteraan dan hukum akal dalam sesebuah karya
itu dilaksanakan dengan cukup berkesan.

Dalam mengkaji persoalan teknik ini, tentulah pembicaraan lebih menumpukan
sudut pencernaan, pengolahan dan pengadunan terutama dalam pengaplikasikan
komponen penciptaan seperti perwatakan, plot, bahasa, latar dan sebagainya.
Dari sudut ini, pendekatan Islam, seperti yang ditegaskan, meneliti dan
mengkaji bahagian-bahagian yang rapat kaitannya dengan pengaplikasian yang
memperlihatkan unsur-unsur keislaman. Perlu juga ditegaskan di sini,
penelitian pendekatan Islam, mestilah memerhatikan dengan penuh saksama dan
hati-hati bahawa aspek keindahan merupakan faktor yang penting dan menjadi
nadi karya sastera.

Suatu kajian atau kritikan yang berbentuk makro, tentulah setiap komponen
itu boleh disentuh. Di dalam sastera Islam, seperti yang dilihat dalam
tradisi sejarahnya, memiliki sifat-sifat tersendiri bagi setiap komponen
pengkaryaan. Justeru itu, dalam kritikan boleh disentuh secara mendalam
aspek perwatakan, plot, bahasa dan dan sebagainya. Bagaimanapun, kesemuanya
berpusat dalam pengertian teknik pengkaryaan, yang demikian kajian itu
haruslah menumpukan kepada aspek-aspek yang ada kaitannya dengan persoalan
Islam dan bagaimana persoalan itu dikemukakan. Jika kajian terlalu mendalam
bagi setiap komponen itu, dikhuatiri akan mirip kepada strukturalisme.

Bagaimanapun harus dijelaskan aspek penelitian teknik ini iaitu estetika dan
logik bergantung kepada jenis, corak dan aliran karya. Islam membenarkan
kepelbagaiannya, dan setiap kepelbagaian itu pula mempunyai teknik dan
mekanismenya sendiri. Selagi ia tidak bercanggah dengan Islam, dibolehkan.

Keempat, sastera Islam tidak lahir untuk kekosongan atau keseronokan
semata-mata kerana seni. Sastera dalam Islam ialah sebagai wadah dan alat
untuk masyarakat, iaitu masyarakat Islam, dan masyarakat yang mengamalkan
syariat Islam. Justeru itu, Islam memandang penting hubungan karya sastera
dengan masyarakat dan kesan karya tersebut dalam kalangan audien. Seperti
yang telah dibincangkan, prinsip sastera Islam ialah pengukuhan akidah dan
pembentukan akhlak Islamiah. Kedua-duanya ini telah pun dilihat
pengaplikasiannya dalam aspek isi karya. Sejauh mana sesebuah karya sastera
itu mempersoalkan atau membincangkan permasalahan penting ini, sama ada
secara terus atau tidak, karya Islam haruslah tidak lari dari
membicarakannya. Untuk tujuan sedemikian, prinsip itu boleh juga dikaji
dalam aspek motof atau tujuan pengarang, iaitu sejauh mana keberkesanan
sesebuah karya sastera itu dalam mengutarakan persoalan pengukuhan akidah
dan pembentukan akhlak Islamiah.

Bertolak dari hakikat itu, metodologi kritikan Islam seterusnya ialah
membicarakan kesan fizikal, mental dan rohaniah dari hasil karya sastera
yang dibincangkan. Sebenarnya, ada berbagai-bagai cara untuk mendapatkan
kesan dan apakah harus dilakukan hasil daripada maklumat-maklumat yang
diperoleh. Dari sudut isi yang diolah oleh pengarang, dapat dikesan reaksi
daripada audien.

Dalam konteks ini, jenis isi dan cara penggambarannya sedikit sebanyak dapat
diramalkan kesan pembaca terhadap sesebuah karya. Sebab itulah, misalnya,
Islam menolak karya yang bercorak erotis atau lucah, kerana ia akan meracuni
fikiran pembaca dan menurunkan darjat manusia itu sendiri. Kesan dari
pembacaan inilah yang dipentingkan oleh sastera Islam. Apa yang diharapkan,
sastera akan berusaha mempertingkat kemanusiaan, lebih peka terhadap
anugerah Tuhan, menghargai kehidupan memperbaiki silaturahim dan yang paling
penting, mendekatkan makhluk dengan Khaliq.

Dalam hubungan ini, dapat juga dikaitkan seni untuk seni yang telah
disebutkan. Islam langsung mengetepikan fahaman ini. Begitu juga Islam
melarang karya yang lebih mementingkan bentuk, kerana keindahan terpancar
dari struktur semata-mata, apalagi dari unsur intrinsiknya sahaja, justeru
keberkesanan yang dirasa oleh penonton akhirnya menitikberatkan pemujaan
terhadap aspek fizikal, bukannya akaliah. Walaupun Islam tidak menentang apa
sahaja struktur yang diaplikasikan, tetapi karya yang semata-mata ditulis
bertujuan mengisi keperluan bentuk tidak dapat diterima.

Jadi, sebagai pengamal kritikan pendekatan Islam, kajian wajib ditumpukan
sejauh mana kesan karya tersebut kepada audien. Apakah ia mengajak manusia
berbuat baik dan melarang berbuat jahat? Apakah unsur-unsur kebaikan
mengatasi kejahatan? Atau apakah selepas membaca karya itu nanti, pembaca
hanya akan menjadi kasar, biadab atau melupakan Tuhannya? Tidak dapat
ditolak, aspek kesan ini rapat hubungannya dengan aspirasi dan yang menjadi
cita-cita pengarangnya dan sejauh mana semuanya itu dicapai dalam karya
sastera. Analisis haruslah lebih menumpukan kesan daripada sudut kejayaan
atau kegagalan dalam aspek pengukuhan iman dan pembentukan akhlak Islamiah.

Demikianlah empat perkara pokok yang harus dikaji, diteliti dan dianalisis
dengan menggunakan pendekatan kritikan Islam. Aspek latar belakang
pengarang, isi, teknik dan kesan yang dibahas dan dibincangkan dari kaca
mata Islam. Dengan menggunakan panduan prinsip dan konsep sastera Islam,
sedikit sebanyak kritikan itu dapat mencapai fungsi keislaman yang
diharapkan. Tentu sahaja sebagai seorang yang ingin melaksanakan
ukuran-ukuran dan timbang neraca Islam, banyak hal yang perlu dituntut
darinya.

Pertama, dia sendiri mestilah memperlihatkan kewibawaannya sebagai seorang
pengkritik, dengan maksud telah menguasai ilmu kritikan secara terbuka.
Memandangkan metodologi kritikan Islam ini menyentuh aspek latar belakang,
isi, teknik dan kesan, pengetahuan pendekatan kritikan yang lain sangat
diharapkan. Lebih-lebih lagi dalam aspek teknik, termasuk pembicaraan
komponen-komponen karya seperti tema, plot, bahasa, perwatakan, latar, sudut
pandangan dan sebagainya.
Kedua, pengetahuannya dalam dasar ilmu Islam itu sendiri sangat diperlukan.
Tanpa pengetahuan Islam, sudah tentu kritikan yang dilakukannya tidak akan
mengarah kepada apa yang diharapkan. Ketiga, pengetahuan dalam aspek seni
dan sastera Islam mestilah juga telah dikuasainya dengan mendalam. Tasauf
atau konsep sastera Islam difahaminya dengan betul dan tepat serta
berkemampuan membezakan di antara seni sastera Islam dengan yang tidak.

Teori kritikan pendekatan Islam ini bertambah teguh dan kukuh, apabila teori
nilainya juga telah berhasil diterapkan. Islam memang telah sedia ada teori
nilainya sendiri, yang penting ialah bagaimana teori itu diterap dan dibina
serta digunakan dalam konteks pengukuhan pendekatan kritikan Islam. Dengan
penggunaan teori nilai Islam, ertinya penilaian yang diterapkan terhadap
karya kreatif itu menggunakan ukur tara Islam. Inilah yang diharapkan serta
menjadi sifat keunggulan kritikan tersebut. Dengan itu, kritikan pendekatan
Islam benar-benar menjalankan fungsinya menurut kehendak Islam.

Demikian teori kritikan sastera Islam, yang dinamakan teori Taabudiyyah itu.
Teori di atas sebenarnya saya nukilkan kembali tanpa sebarang perubahan
daripada yang asalnya, yang telah dibina dan diterbitkan pada tahun 1986
dalam buku Kritikan Sastera: Teori dan Kaedah (Petaling Jaya: Penerbit Fajar
Bakti). Sebagai teori ia telah diajarkan kepada mahasiswa dalam kursus Teori
dan Pendekatan Kesusasteraan, dan telah digunakan dalam penulisan esei,
kritikan, latihan ilmiah dan tesis.
 

Hosted by www.Geocities.ws

1