|
|
|
|
|
|
LAPORAN PERSATUAN MELAYU MIRI 1994/1997
1. MUKADDIMAH
Pada Mac 1997 yang lalu Persatuan Melayu Miri sudah menjangkau usia 38 tahun. Dalam jangkamasa tersebut kita telah bersama melewati pelbagai senario perubahan dan pengalaman. Kita telah menyaksikan turun dan naiknya prestasi Persatuan kita.
Tiga puluh lapan (38) tahun yang lalu pengasas Persatuan Melayu Miri telah menyedari perlunya orang Melayu bersatu dan berkerjasama dalam konteks pembangunan sosio-ekonomi yang mampan serta berteraskan keseimbangan antara kebajikan dunia dan akhirat. Konsep asal pengasas Persatuan ini masih belum dicabuli dan masih dijadikan wadah perjuangan kita. Apa yang berubah barangkali ialah kaedah perlaksanaan dan sistem kerja bagi mencapai tujuan dan maksud yang telah diabadikan dalam Perlembagaan oleh pengasas Persatuan ini. Sudah dua kali kita menyemak dan menggubal peruntukkan Perlembagaan asal; apa yang jelas ialah kita tidak mengenepikan tujuan dan maksud Perlembagaan yang digubal oleh pengasa Persatuan ini. Aspirasi orang yang bertanggungjawab mengujudkan Persatuan Melayu Miri ini masih tetap unggul dan masih boleh dijadikan wadah perjuangkan kita. Dengan hal yang demikian tidak timbul soal kita mengenepikan atau melupakan jasa orang dulu. Jasa mereka tetap dikenang dan harus disanjung tinggi.
Jangkamasa 38 tahun adalah satu tempoh yang cukup lama. Dalam tempoh tersebut sepatutnya kita sudah pun mampu menjadi satu pertubuhan yang kuat, berprestasi dan berkesan. Akan tetapi sejauh manakah pencapaian Persatuan kita setakat ini. Lumrahnya pendapat dari ahli-ahli akan berbeza dari seorang ke seorang yang lain. Ini bergantung kepada tanggapan, persepsi dan nawaitu ahli yang membuat penilaian.
Anjakan paradikma, ledakan teknologi maklumat, mega trend dan lain-lain perkembangan yang kita hadapi kini mesti diambil perhatian sirius. Persatuan Melayu Miri tidak mampu lagi bersikap dingin atau malas tah ku kan ingau terhadap cabaran alaf baru tersebut. Kita tidak boleh lagi bersikap seperti katak di bawah tempurung� atau terus duduk dalam hutan dan pokok seperti yang pernah diungkapkan oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agong Khas dan Mesyuarat Agong 1994 yang lalu.
Barat, dalam rancangan mega trend mereka, telah lama membuat perhitungan dan berusaha hendak memiliki abad ke-21. Kepada mereka soal siapa akan memiliki abad ke-21 ini sudah tidak timbul. Alaf Baru yang kita hadapi kini sudah pun milik mereka. Bagaimana pula dengan Bangsa Melayu. Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia. Jawapannya ada pada kita semua.
Persatuan, semua ahli dan masyarakat Melayu mestilah merebut peluang yang ada yang dicetuskan oleh beberapa dasawarsa negara dengan kerja dan usaha yang gigih jika kita mahu meletakan Persatuan dan masyarakat kita ditempatnya yang sah; bukan sahaja sebagai peserta, malah sebagai kelompok pentakrif dalam konteks bangsa Malaysia. Kejayaan pasti kita capai dengan syarat: orang Melayu mestilah ditransformasikan menjadi bangsa �Melayu Baru�.
Melayu Baru memerlukan perubahan sikap yang menyeluruh terhadap segala aspek budaya Melayu. Melayu Baru mestilah menjadi bangsa yang mempunyai budaya yang sesuai dengan aliran zaman, yang sanggup menghadapi segala cabaran, yang dapat bersaing tanpa bantuan, yang terpelajar dan berilmu, canggih, jujur, berdisiplin, amanah dan cekap. Persatuan kita mestilah peka kepada keperluan tersebut dan menggerakkan jenteranya untuk membawa perubahan yang mendesak. Kita perlu melupakan budaya menyalahkan orang lain. Sebaliknya kita perlu merobah sikap kita terlebih dahulu jika kita mahu tempat dalam era pembangunan sekarang.
Kita juga perlu segera mengubah persepsi dan tanggapan bahawa selesai sahaja Mesyuarat Agong, tugas ahli pun selesai. Ahli punya tanggungjawab yang sama dalam usaha memajukan Persatuan ini. Tanpa penglibatan ahli, Persatuan tidak akan berfungsi. Persatuan Melayu Miri bukan milik Jawatankuasa Tadbir, juga bukan milik seseorang. Persatuan milik semua ahli yang mempunyai tanggungjawab dan hak yang sama. Perubahan sikap dari negatif kepada positif dalam Persatuan kita mestilah berlaku segera. Kalau tidak, Persatuan kita akan berterusan menjadi satu pertubuhan yang �hidup segan mati tak mahu�. Kita tentunya tidak mahu perkara ini berlaku ke atas Persatuan kita ini. Aspirasi pengasas kita mestilah diteruskan dengan usaha-usaha yang lebih gigih.
2. DASAR PENTADBIRAN TERBUKA
Jawatankuasa Tadbir yang ada kini bersedia dikritik atas kelemahannya sesuai dengan dasar pentadbiran terlus yang diamalkannya selama ini. Sikap terbuka yang kita amalkan mestilah dipertahankan agar tidak berlaku tanggapan dan persepsi yang meleset ke atas Persatuan kita. Walau bagaimana pun, jika perlu kita mengkritik, biarlah kritikan itu bersifat adil, rasional, dan disertakan dengan kesanggupan untuk melibatkan diri dalam sebarang alternatif yang diketengahkan itu kelak. Kita tidak seharusnya menjadi ahli NATO - No Action Talk Only. Kita tidak mahu melihat ahli-ahli yang banyak membuat cadangan dan apabila dijemput untuk melaksanakan kerja-kerja yang berhubung dengan cadangan mereka, ada saja alasan diberi bagi melepaskan diri dari terlibat dengan kerja Persatuan. Untuk menyelamatkan Persatuan dari terkubur oleh sikap demikian, adalah elok jika ahli-ahli tidak membazirkan undi mereka untuk kategori ahli tersebut.
Survival atau keujudan Persatuan kita bergantung kepada azam dan apa yang diusahakan oleh semua ahli dan bukan hanya sekumpulan ahli atau Jawatankuasa Tadbir. Segala pencapaian Persatuan adalah kejayaan semua ahli. Begitu juga sebaliknya. Kegagalan dan kemunduran Persatuan adalah refleksi tahap iltizam ahli sendiri. Persatuan ini kepunyaan semua ahli. Kita perlu menerima hakikat bahawa kita punya tanggungjawab untuk menentukan halatuju masa depan Persatuan kita. Semua ahli tidak terlepas dari tanggungjawab ini.
3. PENGHARGAAN
Dalam tempoh tiga tahun ini, Persatuan telah menerima sumbangan dalam bentuk wang dan material. Kerja-kerja membaikpulih bangunan Persatuan kita yang memakan belanja lebih RM32 ribu telah dibiyai oleh salah seorang dari dermawan Persatuan. Beliau tidak mahu namanya diumumkan. Beberapa orang ahli kita juga telah membuat sumbangan wang tunai manakali pihak kerajaan, swasta, pertubuhan juga turut memberi sumbangan kewangan kepada Persatuan. Bantuan tersebut telah membolehkan kita membeli beberapa kelengkapan bangunan dan pejabat. Kita berharap sumbangan sedemikian akan berterusan. Kita juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan dermawan yang telah membolehkan kita mengadakan beberapa kemudahan pejabat dan kelengkapan-kelengkapan yang lain.
4. PENTADBIRAN TERLUS
Jawatankuasa Tadbir dari awal perkhidmatannya lagi telah memperkenalkan stail pentadbiran yang terlus atau transparent. Keterlusan ini telah membolehkan kita membina hubungan dua-hala yang lebih erat dengan ahli-ahli. Setiap ahli Jawatankuasa Tadbir diberi tanggungjawab untuk menyebarluaskan berita-berita Persatuan kepada ahli-ahli dan dalam masa yang sama menggumpul apa-apa sungutan yang timbul dari mereka untuk dibincang dan diambil tindakan yang wajar. Semua rekod dan dokumen Persatuan adalah terbukaluas untuk diperiksa oleh ahli. Ahli-ahli digalakkan membawa apa juga cadangan kepada Persatuan dalam bentuk kertas kerja untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Tadbir tanpa banyak karenah yang mungkin mematikan minat atau semangat pencadang. Kesimpulannya stail pentadbiran yang terlus ini telah memberi peluang yang luas kepada ahli-ahli yang mahu melibatkan diri dalam kegiatan Persatuan.
5. WANITA PMM
Penglibatan wanita dalam Persatuan ini perlu diberi perhatian yang sirius. Jawatankuasa Tadbir telah memberi ruang yang cukup kepada mereka untuk bergiat selaras dengan aspirasi mereka. Satu Jawatankuasa Kerja Hal Ehwal Wanita telah ditubuhkan pada awal tahun 1995. Menerusi Jawatankuasa Kerja ini, wanita PMM telah banyak menjalankan kegiatan mereka. Seperti yang dijangka ternyata wanita kita mampu bergerak tanpa banyak penyeliaan dari Jawatankuasa Tadbir. Adalah menjadi harapan kita agar wanita kita akan cukup terdedah dengan teknik-teknik kepimpinan yang pada akhirnya akan membolehkan mereka bergiat dalam arena lain seperti, pertubuhan wanita, pertubuhan kebajikan mahu pun bidang politik dan menjadi pemimpin yang berwibawa dan beriman.
Untuk menentukan wanita PMM mendapat tempat dalam Persatuan kita, peruntukkan khas telah digubal dalam Perlembagaan yang mewajibkan satu daripada 2 jawatan Naib Yang DiPertua mestilah diberikan kepada ahli wanita. Sedangkan jawatan-jawatan lain dalam Persatuan bebas untuk direbut dalam pilihan di Mesyuarat Agong Persatuan.
6. AKHIR KATA
Terima kasih saya kepada semua ahli Jawatankuasa Tadbir dan ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja atas kerjasama mereka dan sokongan erat yang telah diberikan kepada saya selama saya memegang jawatan Setiausaha Kehormat. Terima kasih kepada ahli-ahli yang telah menunjukkan iltizam dan benar-benar memberi sumbangan mereka ke arah perkembangan Persatuan ini.
Saya akui bahawa apa yang telah diusahakan oleh saya dan Jawatankuasa Tadbir bukan besar sangat untuk mendapat perhatian. Saya yakin kita telah sama berusaha dalam ruang kemampuan kita. Kita boleh sama mengambil iktibar dari segala kelemahan kita. Segala yang baik adalah dari Allah SWT dan segala kerja-kerja yang kurang sempurna adalah kerana kekurangan dan kelemahan saya.
Apa yang pasti, dalam tempoh 3 tahun pasti ada yang tersinggong atau terguris perasaan seseorang. Jika ini berlaku saya ingin memohon maaf. Saya yakin semua usaha yang telah dijalan oleh Jawatankuasa Tadbir dan diri saya sekali-kali tidak bermaksud untuk menyakiti sesiapa jua pun. Ketelanjuran saya dan Jawatankuasa Tadbir yang ada kini mungkin secara kebetulan dan tidak disengajakan. Allah yang mengetahui
WASSALAM DAN SELAMAT MAJU JAYA
HJ. PUTIT ABANG TUAH
SETIAUSAHA KEHORMAT
15 Julai 1997