|
h t t p : / / w w w . g e o c i t i e s . c o m / s a h a b a t m g h 8 8 |
|
Feedback...dari korang dan kisah aku mengelolakan 'sahabatmgh88' ni... 13 June 2002 Jangan marah kawan-kawan... ada harinya pemuisi kehilangan iramanya, ada harinya si raja kehilangan takhtanya, ada harinya puyuh meninggalkan denainya, ada harinya kembang mengharum kehilangan serinya. Maka, hari aku tidak merasa terdorong untuk mengetuk keyboard dan memperbaharui yang lama disini, telah menakluk barang beberapa ketika peredaran malam dan siang. Bukan lupa padamu teman, sekadar memberi ruang, mencari ruang dan memupuk ruang. Jika aku bicara sukar lagi hari ini, maafkan lah. Itu namanya moda bahasa sukar menakluki seluruh rongga saraf yang berfungsi ditubuhku. Adakalanya moda begini memberikan aku bingkis-bingkis keselesaan dan kepuasan! Sedar-sedar hampir setengah bulan Jun telah kita lewati, dan aku terlepas peluang percuma hari ini untuk menghadiri seminar teknologi canggih di pwtc. Itu lah gara-gara tidak peka pada email masuk dan kad panggilan beralamat di Cyber Jaya! Mungkin ada sebab mengapa aku tidak ditakdirkan kesana hari ini, dan aku tersenyum :) Hari Selasa 11 Jun Chakper singgah disini dan sempat makan tengahari bersama. Dia kelihatan sehat diusia kandungan mencecah enam bulan. Semalam bila rindu ini begitu membuak-buak, aku menekan mata dail mencari Ita. Hah... cikgu balik awal dari kedai rupanya... ada kelas sebelah petang. Paginya aku menerima panggilan dari Aeen, mekar sungguh gembira didadanya bila modem yang rosak disempurnakan tokey cina kedai komputer. Kawan-kawan... adakalanya kita rasa terlalu jauh antara satu sama lain... adakalanya kita dekat sekali. Aku tahulah kita bukan duduk seasrama lagi.... :) Haaah! Hari ni aku rindu........ aku sungguh rindu......... masakan mak cik-mak cik hostel dulu.... ikan jaket, sayur labu dan sambal belacan!!! Aku pernah tolong pusing mesen sambal belacan tu kawan-kawan... masukkan cili api banyak-banyak dan nenas yang sudah dipotong tambah belacan sekali... dan pusing... "pusing kuat-kuat" kata mak cik Jenah... bila mesen tu tak bergerak... dan aku pun pusing kuat-kuat sambil Citah tolong pegang mesen yang hampir tercabut dari meja itu... sampai sambal belacan keluar... Hari ni aku tak jumpa lagi dah mesen macam tu. Dan aku masih ingat setahun setengah yang lalu, bila berjumpa mak cik Jenah di kedai koboi Seri Menanti, dia pantas memelukku. Dan semua kegerunanku pada mak cik tukang masak asrama yang garang itu... sudah luput bersama usia remaja yang kutinggalkan. Tahu-tahu dadaku diselaputi rasa kasih yang teramat, kelopak mataku bergenang keharuan. Kerana dia aku meneruskan hari-hari diasrama tanpa masakan ibu, bukankah sama budinya seperti ibu. Mak tersenyum melihat kemesraan yang sebati. Orang yang mak panggil kakak itu, sudah lama dikenali kerana mereka berdiri didaerah yang sama dari zaman remaja mereka pula. Aku sempat menyampaikan perkembangan kalian. Dan dimatanya aku membaca gembira dan bangga, kerana kita menjadi manusia, dan dia mencarik makna dalam terjadinya itu semua. Aku tahu dia juga bangga kerana pengorbanannya abadi dihati kita! Mungkin kerap aku bercerita tentang dia, tak mengapalah... itu mungkin kerana aku terasa budinya masih panas dan mengalun jalan-jalan membentuk aku hari ini. Graduasi ECU Agak longlai langkahku, entah apa yang tak kena. Pun begitu aku jadi gembira bercucuran airmata, melirik jalan keatas pentas kurnia itu bukan semudah mana. Banyak dugaan dan cabaran yang Tuhan kemukakan buatku untuk mengaup sekeping kertas ini. Seharusnyalah kuhargai. Cita-citaku panjang dan masih jauh. Kalau ada restu Tuhan, aku kan kepentas kurnia lagi... supaya mak boleh tersenyum lagi. Perjalanan ini kawan, bermacam-macam permaidaninya. Ada tikanya kita bahagia memijak permaidani gebu, adakalanya tidak. Ada masanya kita lebih selesa berkaki ayam dan santai melewati tepi sawah padi tinggal seperti di kampungku. Cuma bezanya tapak kaki kita tidak sekasar tapak kaki nenek moyang kita yang tidak lut duri semalu! Lagu semangat kedua-dua negara keudara, dan aku terkial-kial mencari semangat antara itu. Lalu pada laluanku ke pentas kurnia, aku tertunduk, walaupun getar semangat tidak segah sewaktu menuju pentas kurnia yang terdahulu, aku tetap bersyukur kerana ini juga antara yang terindah. Dan sewaktu menuruninya pandanganku berkaca.... inilah yang aku cari sebenarnya. Mungkin aku silap menghitung dalam hati, tapi inilah yang aku cari sebenarnya. Takkan aku sudah lupa. Mungkin hampir lupa kerana kelemasan berada dalam dakapan berdozen-dozen buku tebal sejengkal telah setahun kutinggalkan. Inilah yang kucari sebenarnya buat mengubati sebuah duka! Aku bahgia sebenarnya kawan-kawan, itu sebenarnya yang hampir kunafikan. Dan kemeriahan hari itu menjadi saksi keluarga. Bukan senang jalan menuju pentas kurnia, tapi dihujungnya... dengan izin Tuhan akan termetri bahagia. ... dan aku ingin berkongsi kenangan [ x ]
[ ada dengar midi lagu tak kengkawan? ya/tidak beritahu dlm gesbuk ya? ] 14 June 2002 Hari ini aku boring total! Memang tak ada kerja urgent. Macam ni lah aku bila tak ada kerja urgent! Entah kenapa nak belajar application pun rasa reput-reput tulang. Akhirnya tengahari tadi aku telefon Ita, katanya petang ini dia akan gotong-royong memindahkan gerainya. Sebab kat tapak yang itu juga lah MPS nak buat jalan. Teringat pula rancangan kerajaan nak buat highway lalu dekat rumah aku... bila jitu keputusannya itu, maka rumah siapa saja harus dipindahkan, dan kemudiannya dibayar pampasan. Aduhai... pampasan tidak membeli kenangan. Sesungguhnya setiap inci dari kediaman itu punya kenangan. Lantai berlubang diatas rumah... mengingatkan aku tentang arwah abah tempat jenazahnya dimandikan, tingkap kayu tentang kucing kesayangan yang terperangkap dalam rumah, anjung tempat Along diijab kabulkan, pangka tempat Ongah menjadi raja sehari... dan seluruh-seluruhnya tentang mak yang kemaskan sambil membebel panjang-panjang pada aku yang malas. Mana boleh! Dulu aku ada berkunjung kerumah abang angkat di Semanggol (anak angkat mak) Abang Din yang baik, kami kesana semasa majlis perkahwinan adik perempuannya. Ahh ... indah sekali kampung itu. Aku pergi bertiga... bersama mak dan arwah sepupuku Sal. Dingin sekali airnya... ada sungai mengalir, sebuah perkampungan yang pada pandangan mataku sedikit lebih damai dan tenang berbanding Buyau, tapi sayang kampung itu terbelah dua.... diantaranya HIGHWAY! Dan sungai itu membawa ledak merah yang telah mencetekkan airnya. Aku sempat bergambar disitu bersama arwah. Teringat arwah yang telah dijemput pergi diusia kami 27 tahun. Al-Fatihah... Ayu call... dan aku terharu sungguh-sungguh Ayu atas ucapan tahniah itu... next is Zaidah... kita tunggu ya kawan-kawan! Untuk abah Ayu... kami semua mendoakan agar pak cik sembuh dengan segera. Sesungguhnya setiap segala sesuatu itu membawa pengertian yang luas. Tuhan mengurniakan kita nikmatnya dalam pelbagai bentuk, yang mana pengertian kita dan keredhaan kita menerimanya itu sebaiknya haruslah tulus, setulus kasih sayangNya terhadap kita semua. Untuk Ayu dan keluarga semoga bersabar dan terus berusaha, insyaAllah Dia tidak pernah menghampakan kita. Keboringan aku semakin pudar... CEO aku bagi T-Shirt TMnet streamyx... merah menyala... dan sekarang dia 'menyangkutkan mukanya' kat partition meja aku... buat lawak lah tu... tu lah yang buat aku boleh bertahan... Dan Yah akan datang petang ni selepas registration kat UM selesai... aku ingat nak ajak dia pergi cari HI-Fi esok...:) 20 June 2002 Nak kata sibuk tak jugak... an lepak-lepak aje kat opis. Tadi chatting ngan Citah... thee he he... saja try different mode of conversation... best kan Citah kan... kan... kan... kan... Semalam an tepon Zam, dia bertambah sehat... alhamdullillah... cuma dia tak boleh jalan lagi... simin kat kaki dia tu berat sangat katanya. Selain tu dia pergi ke Melaka urut dekat dukun patah... elok lah tu ... cuba berubat cara tradisional juga... An doakan Zam cepat sembuh dan boleh study untuk habiskan satu paper yang pending tu. InsyaAllah... semuanya akan selamat... Petang ni an nak merambu ngan Citah ke Midvalley. Aeen kata Acai dah due ek? Wah dapek anak buah baru lah kita... bila pulak nakjunguk Acai ni.... plan plan... kenaplan ni... Eh Ziah bila due... dulu memasing dah janji nak pi tgk nak bawak hadiah lagi... hehhehe... And.... friends... my poem appear to attract this journalist... may be you all wanna take a look [ x ] or surf his site [ x ] and scroll for his entry on 14-06-02 where he store my poem.... thanks to fajar.... :) 25 June 2002 Dalam kereta menuju UM merealisasikan hajat bermain 'tenis' dengan tembok, Citah dikejutkan dengan pangilan Arisa tentang hasrat serta keputusan PM ingin letak jawatan dalam parti dan barisan. Citah jadi kelabu asap. Aku jadi termanggu. Jedah tenang memandu. Semua orang bertanya 'kenapa' dan menambah 'not now'. Sebahagian kita beriya-iya menyuruh dia meletakkan jawatan, nampaknya 22 Jun tarikh yang ditunggu. Tapi bila terjadi kita rasa kosong dan sunyi. Kita telah 'terlalu biasa' dengan Mahathir, sehingga bila dia ingin pergi kita jadi tak selesa. Kita sudah 'biasa' mencarut Mahathir, jadi bila dia tiada kita tak ada sapa nak dicarut lagi??? Maaf kawan-kawan rasanya isu ini sensitif, tapi aku ingin menulis. Jadi terlebih dulu sebelum aku menulis panjang lebar, maaf jika apa yg aku tulis tidak berasaskan fakta, emotional atau keterlaluan. Aku bukan pemerhati atau penganalisa politik... maaf.... sekadar mengetuk keyboard dari pandangan sekali lalu. Terus terang, aku bukan pro umno, tapi dalam masa yang sama aku tidak fanatik mana-mana parti yang lain. Cuma aku ingin kita hidup cara Islam yang adil, justeru melenyapkan maksiat percuma dijalanan untuk terus-terus jadi tontonan. Aku mahu bangsa kita bersatu, bukan mencarut-carut di dada akhbar... aku benci aku muak... banyak perkara yang lebih penting dari tuduh menuduh dan fitnah memfitnah. Di pasar malam, aku menenangkan Citah yang nampak terganggu emosi... "pemimpin aku tu..." keluh Citah. Hati aku tiba-tiba rasa lega dan aku beritahu Citah, semuanya akan OK. Betul pula gerak hati ku, keputusan itu ditarik balik. Banyak yg kami bertiga bincangkan, rata-rata berkisar 'siapa nak ganti Mahathir?'. Aku nampak Anuar... jika dulu aku tak pernah gusar... mungkin dia calon yang agak baik. Tapi ya lah... kita semua maklum dan kejadian dulu tu adalah dari orang melayu kepada orang melayu, maka orang melayu jugalah yang merasa. Kadang-kadang aku secara tak sengaja faham mengapa pm sergah pemikiran melayu. Aku tahu benarnya kerana aku sendiri begitu (buat apa nak menafikan, mengaku juga bukan satu kehinaan, lebih baik dari berpura-pura). Aku percaya Mahathir have decided, bukan drama. Dia pun ingin masa rehat sebelum ajal menjemput tiba, barang bertafakur dan bermunajat ditikar sembahyang sebelum tiba tarikh perletakan jawatan sebagai manusia tanpa perlu memikirkan tentang politik. Untuk Citah, aku tak nafikan sumbangan pm, melayu mudah lupa, dan aku hampir lupa... yang tak disebut, melayu mudah memaafkan dan lupa! Ya lah.... sedangkan nabi ampunkan umat... ya tak? Rata-rata bila menonton tv dan membaca akhbar, 'rakyat' memberi sokongan padu kepada pm. 'Merayu' pm tak letak jawatan dan terus memimpin negara kerana kita sangat-sangat perlu baktinya lagi. Ya kah? Dan orang melayu pun bersorak-sorak bila hukum Islam itu tidak jadi diimplimentasikan... takut hilang tangan, hilang telinga, hilang lidah??? Subhanallah... Islam itu syumul... maka janganlah engkau bertelagah... Situasi ini sama lah juga seperti anak-anak yang dah dewasa... dah berumah tangga... tapi masih mengharap bantuan ibubapa untuk survive untuk beli susu anak2. Begitu lah peminpin2 UMNO yang menidakkan keputusan PM dipondium Dewan Merdeka sabtu itu, dari mataku tak ubah seperti anak2 yang meminta itu ini dari seorang bapa. Kasihan jugak.... ya lah... org lain sibuk nak bersara awal... PM pulak tak diberi bersara... Fazil Noor pula kembali ke rahmatullah... teringat ceramah perdana dulu tu... bila mereka bersalaman... itu sebenarnya yang aku mahu! Dua kejadian ini seperti satu petunjuk... Memang waktu ini tak sesuai... tapi bila kah waktu yang sesuai itu? Terutama jika 'anak2' itu terus-terusan manja begitu. [ entri di bluehikari ] Aku redha dengan pemergian Allahyarham Dato' Fazil Noor, walaupun itu satu kehilangan besar buat masyarakat Islam Malaysia. Pemergiannya juga meninggalkan satu lompang. Mungkin kurang disedari justeru tiada liputan hari-hari dikaca tv. Al-Fatihah buat allahyarham. Semoga rohnya dicicuri rahmat dan ditempatkan disisi roh orang-orang yang beriman. Kita ini sebenarnya tidak ramai sahabatku, melayu ini kecil bilangannya. Maka jika dibelah bagi manalah kita ingin bersuara tentang kekuatan kita. Maka jika berbelah bagi manalah melayu ingin terus memupuk jaya dan semangat kental menongkah arus kafir laknatullah yang semakin naik takhta dibumi kita ini? Jangan buat-buat terkejut nanti jika 'Kampung Melayu' jadi 'Kampung Cina' 'Kampung India' dan sebagainya... Jedah ada kata... satu kawasan kampun di Bahau telah jadi kampung cina.... dan ia adalah angkara manusia politik melayu! Lebih tepat Dato' L punya angkara.... mendidih darah melayu aku... Mungkin lebih baik pm mengumumkan persaraannya begitu, sekurang-kurangnya kejutan itu boleh maju mundur bila pm bertolak ansur. Tapi jika ajal yang menjemput pergi... berapa lama kita nak sedar dari rasa terkejut pula. Utusan hari ini menyebut tentang 'tolak-ansur' pm dan akan diumumkan hari ini. Citah... Mahathir pasti bersara, pemimpinmu itu pasti bersara, harapanku suatu masa yang tak jauh dari sekarang kau juga berada dibarisan itu, memimpin bangsa dan ugama! |
|
h t t p : / / w w w . g e o c i t i e s . c o m / s a h a b a t m g h 8 8 |