Oleh: ZIN MAHMUD
RABU lalu ialah ulang tahun kelahiran ke-100 Presiden pertama Indonesia, Sukarno. Dengan kedudukan Presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) tergugat dan kemungkinan Megawati Sukarnoputri menggantikan tempatnya, populariti Sukarno berada di tempat tertinggi sejak kejatuhan Suharto.
Bagi Malaysia, Sukarno merupakan pemimpin yang pernah menjadi musuh kerana cuba menggagalkan penubuhannya melalui konfrontasi.
Sukarno juga dilihat oleh Malaysia sebagai pemimpin yang gagal memberikan kemakmuran kepada rakyatnya. Indonesia menderita semasa pemerintahannya terutama di saat-saat akhir sebelum kejatuhannya.
Presiden pertama Indonesia itu juga dilihat sebagai diktator apabila beliau mengisytiharkan diri sebagai Presiden seumur hidup melalui konsep Demokrasi Terpimpin yang sebenarnya adalah kediktatoran.
Ditambah pula, Sukarno dianggap menjadi boneka kepada Parti Komunis Indonesia (PKI) yang amat berpengaruh semasa pemerintahannya di samping mengikut telunjuk China dan Soviet Union.
Dalam pada itu, Sukarno juga dilihat sebagai kaki perempuan dan lebih cenderung untuk berseronok daripada menangani masalah rakyatnya secara serius dan praktikal.
Rakyat Malaysia yang melalui zaman konfrontasi mungkin masih ingat betapa Sukarno menghina Tunku Abdul Rahman, pakaian Melayu dan lagu Negaraku yang dinyanyikan dalam bentuk asal bernama Terang Bulan.
Tetapi ketika kemuncaknya Konfrontasi, terdapat di kalangan rakyat Malaysia (termasuk Singapura kerana pulau itu belum dikeluarkan) yang menyokong Sukarno dan menentang penubuhan Malaysia.
Sukarno dan penyokong-penyokongnya di Malaysia menganggap negara ini merupakan projek neo-kolonialis tajaan Britain dan Amerika Syarikat (AS) yang mahu membendung pengaruh Indonesia, ketika itu pro-komunis.
Penyokong-penyokong Sukarno di Malaysia ketika itu ialah Front Sosialis yang terdiri daripada Parti Rakyat Malaya (PRM) dan Parti Buruh Malaya (PBM) masing-masing dipimpin oleh Ahmad Boestamam dan Pak Sako. Pas yang ketika itu dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi turut menyokong Sukarno.
Akibatnya, kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menangkap pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyokong Sukarno termasuk Dr. Burhanuddin dan Ahmad Boestamam.
Lantaran itu, parti-parti pembangkang menjadi lemah dan dalam pilihan raya umum tahun 1964, Front Sosialis dan Pas kalah teruk.
Kemenangan besar Perikatan itu mengabsahkan sokongan rakyat terhadap penubuhan Malaysia dan kepimpinan Tunku Abdul Rahman.
Secara peribadi, konfrontasi mendatangkan rahmat tersembunyi kepada penulis.
Bapa penulis telah mengakhiri perkhidmatannya dalam Askar Melayu Diraja kerana berakhirnya darurat pada tahun 1960. Konfrontasi menyebabkan bekas-bekas tentera yang berkelayakan di panggil balik untuk berkhidmat bagi berdepan dengan ancaman Sukarno. Jika tidak, kebanyakan bekas tentera itu terpaksa bekerja di kampung-kampung dengan pendapatan yang tidak menentu.
Maka askar-askar Melayu itu berkawal di sepanjang pantai barat Semenanjung termasuk Port Dickson. Percubaan mendarat tentera Indonesia dapat dipatahkan.
Penulis mula mengenal Sukarno melalui rencana mengenai kisah hidupnya yang disiarkan oleh majalah Dewan Pelajar.
Kemudian daripada kunjungan ke rumah-rumah sanak saudara pada tahun-tahun 60-an, maka ditemui buku-buku politik Indonesia termasuk ucapan-ucapan Sukarno. Dua buku besar yang masih diingati ialah Berkibarnya Bendera Revolusi. Ia merupakan koleksi ucapan-ucapan Sukarno dalam memperjuangkan kemerdekaan Indonesia.
Tidak dinafikan bahawa pengaruh Sukarno ke atas pemikiran intelektual Melayu adalah besar.
Perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu dan semangat nasionalisme di peringkat awal banyak dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran Sukarno.
Maka tidak hairanlah pertubuhan-pertubuhan politik awal Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Haji Yaakob dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr. Burhanuddin dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran Sukarno.
Sukarno memperjuangkan satu rupa bangsa baru yang dinamakan Indonesia di atas runtuhan empayar penjajah Belanda.
KMM dan kemudiannya PKMM tersalah sangka dengan mengharapkan perjuangan Sukarno turut membabitkan Tanah Melayu. Walaupun sejurus Jepun kalah, Sukarno singgah di Taiping untuk menemui pemimpin-pemimpin nasionalis Melayu, tetapi ternyata konsep Indonesia yang diperjuangkannya tidak termasuk Tanah Melayu.
Baginya, konsep Indonesia hanyalah meliputi bekas tanah jajahan Belanda. Sebab itu, beliau bersungguh-sungguh mahu mendapatkan Irian Jaya yang pada mulanya enggan diserahkan oleh Belanda. Tetapi Sukarno tidak pula menyentuh Timor Timur yang dijajah Portugis.
Sepanjang pemerintahannya, Sukarno sibuk mempertahankan Indonesia daripada berpecah, suatu usaha yang menjejaskan sebarang perhatian kepada pembangunan.
Indonesia pula sentiasa diancam perpecahan dengan pemberontakan pemisahan oleh pelbagai pihak termasuk golongan yang mendapat sokongan AS.
Apa yang membimbangkan AS ialah sikap Sukarno yang toleran terhadap komunis. Bukan saja ia membiarkan PKI menjadi parti komunis yang besar dan kuat, serta berbaik-baik dengan China dan Soviet Union, malah mewujudkan satu kumpulan negara-negara dunia ketiga bagi menyaingi AS.
Bersama Presiden Gamal Nasser dari Mesir, Perdana Menteri Jawaharlal Nehru dari India dan Broz Tito dari Yugoslavia, Sukarno menubuhkan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi mewujudkan kuasa ketiga, bebas daripada pengaruh AS atau Soviet Union.
Di Asia, Sukarno menubuhkan satu pakatan negara-negara anti-Barat yang terdiri daripada China, Korea Utara dan Indonesia. Konsep Kuasa-Kuasa Baru Muncul (Nefos) dan Poros Jakarta-Beijing-Pyongyang semuanya mencabar AS dan sekutu-sekutunya.
Bagi Sukarno, AS dan Britain merupakan kuasa neo-kolonialis dan imperialis (nekolim) yang cuba menjajah semula dunia termasuk rantau Asia Tenggara.
AS pula melihat Indonesia sebagai proksi Soviet-China yang akan membahayakan kepentingan mereka jika Jakarta jatuh ke tangan komunis.
Bayangkan kalau Indonesia menjadi komunis dengan ketika itu Tanah Melayu dan Singapura baru saja keluar daripada darurat dan ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) masih wujud.
Bagi Tunku Abdul Rahman, ancaman komunis adalah nyata, baik dari dalam iaitu PKM mahupun luar khususnya Indonesia dan China.
Hanya dengan penubuhan Malaysia, cara hidup rakyat negara ini dapat dipertahankan.
Tetapi ternyata Sukarno tidaklah begitu bijak dan komunis tidaklah begitu kuat. Dengan kejatuhan Sukarno dan kemunculan Suharto sebagai Presiden, PKI dimusnahkan dengan mudah walaupun mengorbankan banyak jiwa.
Malaysia juga terselamat dan Asia Tenggara berjaya mengelak daripada menjadi komunis.
Maka tidak hairanlah Malaysia lebih mesra dengan Suharto walaupun pejuang-pejuang awal kemerdekaan negara ini pernah kagum dengan Sukarno.