Suara negara membangun bergema di Hong Kong

HONG KONG - Sepanjang mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di antara 149 negara di sini, Amerika Syarikat dan Eropah berhadapan dengan realiti baru politik global - suara dunia membangun adalah semakin penting berbanding suara dunia maju.

Perpaduan dan kesedaran mengenai kuasa dunia membangun telah diberikan nafas baru pada sesi-sesi terakhir mesyuarat itu dengan pembentukan satu perikatan oleh 110 negara, bertujuan untuk memberikan tekanan kepada negara-negara maju supaya lebih berkompromi dalam menghapuskan halangan perdagangan.

``Kita semua mesti terus bersatu. Suara kita sekarang sudah menjadi semakin kuat,'' kata Menteri Perdagangan dan Industri India, Kamal Nath.

Kumpulan yang ditubuhkan pada hari Jumaat lalu itu, secara serta merta menetapkan satu senarai sasaran perjanjian perdagangan dan walaupun ia mungkin menghadapi sedikit masalah menyeleraskan kepentingan masing-masing, pembentukannya adalah susulan kepada tekanan-tekanan dunia miskin yang menghampakan cita-cita AS dan Eropah dari segenap segi.

Sekumpulan negara Afrika dan Caribbean menentang usaha untuk mengurangkan halangan perdagangan yang mahu dihapuskan terus oleh kuasa besar untuk faedah syarikat-syarikat besar dan kaya dalam sektor perkhidmatan.

India, antara lain, membantah cadangan AS yang akan menyebabkan negara-negara miskin terpaksa mengurangkan tarif pembuatan. Malah, usaha untuk membentuk satu pakej pilihan untuk negara-negara miskin juga dibantah kerana AS dan Eropah disifatkan sebagai terlalu kedekut.

``Selama 50 tahun kita mengajar negara-negara miskin dan membangun ini bagaimana untuk menjalani kehidupan serta menguruskan ekonomi mereka.

``Sekarang ini mereka sedang lakukan apa yang kita suruh dan kita sekarang terpaksa menerimanya,'' kata Presiden Dewan Perniagaan AS, Tom Donohue.

Ketegangan antara AS dan Eropah juga tidak membantu kebuntuan itu, dengan kedua-duanya secara asasnya gagal mencapai persetujuan dalam beberapa isu.

Tuduh menuduh mula kedengaran kelmarin apabila kegagalan untuk mencapai sebarang persetujuan semakin jelas dalam perjumpaan enam hari di Hong Kong itu.

``Sukar untuk melibat sebarang kemajuan di Hong Kong sekiranya perbincangan terus menuju ke arah ini. Sasaran yang ditetapkan nampaknya semakin ke belakang,'' ujar Ketua Perdagangan Kesatuan Eropah (EU), Peter Mandelson.

Perkutuan 110 ahli itu buat pertama kalinya menghubungkan kepentingan sekumpulan besar negara yang kecewa dengan kepimpinan negara-negara kaya.

Ahli-ahlinya terdiri dari negara-negara membangun yang sudah menghampiri status negara maju seperti Brazil dan India sehinggalah kepada negara-negara miskin seperti Zambia dan Benin.

Sebuah manifesto yang diterbitkan oleh perikatan itu meningkatkan tekanan terhadap AS dan Eropah untuk berkompromi.

Ia menggesa satu sasaran ditetapkan untuk menghapuskan subsidi eksport perladangan menjelang tahun 2010, yang ditentang oleh Eropah selain mendesak satu pakej bantuan disegerakan untuk menggalakkan perdagangan di dunia membangun, yang ditentang oleh kedua-dua AS dan EU.

Selama beberapa dekad, negara-negara kaya berhasil memaksa dunia membangun menerima syarat-syarat perdagangan global.

Bagaimanapun, peralihan kuasa yang bermula dua tahun lalu dengan kegagalan perbincangan perdagangan di Cancun, Mexico - dengan kemunculan Brazil dan India untuk mengimbangi agenda dunia maju - kelihatan memuncak di Hong Kong.

Cabaran terhadap kuasa dunia maju tidak ter had di Hong Kong sahaja. Minggu lalu, negara-negara membangun turut mempamerkan kuasa mereka dalam forum-forum lain di seluruh dunia.

Di Malaysia, negara-negara Asia Timur berkumpul untuk mengkaji kemungkinan membentuk satu blok serantau yang baru - dan AS secara sengaja tidak dijemput. Di Montreal, Kanada, sekumpulan negara yang diketuai oleh Brazil memainkan peranan untuk menentukan keputusan satu persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengurangkan pencemaran udara. AS dikritik teruk sepanjang sesi berkenaan.

Ia membayangkan kedudukan AS dan EU yang semakin pudar di pentas dunia. Kredibiliti AS sebagai pemimpin antarabangsa dipertikaikan berikutan perang Iraq dan status Presiden George Bush sendiri sebagai seorang yang tidak boleh diharap. Begitu juga dengan EU yang terbukti tidak mahu berganjak dalam isu-isu perdagangan utama seperti pertanian.

Ahli-ahli perikatan itu menyatakan mereka bersatu di sebalik hasrat untuk melihat rundingan Doha memberi tumpuan kepada pembangunan, bukannya memenuhi kehendak syarikat multinasional barat yang mahu memecah masuk ke dunia membangun.

Inisiatif 110 negara itu menggariskan bagaimana negara-negara miskin dapat merampas kuasa untuk menentukan arah perbincangan perdagangan dan secara langsung, memegang kuasa veto bagi menentukan hala tuju perbincangan WTO. - Dow Jones

Hosted by www.Geocities.ws

1