Pertanian penting untuk pertahanan
Utusan Malaysia, 18 Apr 2002
Baru-baru ini ketika Pameran Perkhidmatan Perta-hanan Asia (DSA 2002) di Mines,
banyak perbelanjaan yang digunakan oleh kerajaan dalam membeli peralatan baru.
Saya menyokong penuh hasrat kerajaan dalam memodenkan institusi pertahanan
negara agar setanding dengan negara-negara sekitarnya agar satu hari nanti
negara yang cuba menggertak kita akan berfikir banyak kali.
Mungkin kita tidak akan lupa dalam keadaaan peperangan yang sebenar sudah
tentulah negara akan diisytiharkan darurat.
Apabila sesuatu negara diisytiharkan darurat banyak aktiviti tidak dapat
dilakukan termasuk pentadbiran, pendidikan dan juga pertanian.
Apa yang saya ingin kupaskan ialah sistem keselamatan makanan negara ketika
berperang.
Apa yang saya ketahui ialah bekalan makanan negara kita hanya dapat menampung
selama tiga bulan sahaja.
Kita tidak mahu nanti apa yang berlaku pada zaman Jepun dihadapi juga oleh
rakyat Malaysia yang terpaksa makan ubi ke-rana bekalan makanan negara tidak
cukup pada era moden ini.
Oleh itu wajarlah Kementerian Pertahanan membuat latihan khususnya dalam bidang
perta-nian kerana ia amat penting ke-tika berlakunya masa darurat.
Apabila darurat, semua rakyat akan takut, panik dan banyak aktiviti tersangkut.
Apa yang difikirkan oleh rakyat pada masa itu ialah makanan.
Aktiviti pertanian tentulah terganggu.
Yang hanya boleh turun ke padang dan bercucuk tanam ialah tentera terlatih dalam
bidang pertanian. Para petani tentulah takut kerana iklim pada masa itu yang
tidak mengizinkan mereka meneruskan usaha bertani kelak.
Lihat sahajalah di Amerika Syarikat (AS), tentera mereka mempunyai kelebihan
bertani sambil mempunyai kemahiran persenjataan.
Ini penting jika peperangan berpanjangan sehingga ambil masa bertahun-tahun.
Bekalan makanan akan dapat dihasilkan untuk keperluan penduduk Malaysia kelak.
Tidak salah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai banyak kelebihan bertani
selain kemahiran kejuruteraaan dan persenjataan.
Mungkin pengalaman pertanian ini akan digunakan oleh mereka apabila telah
bersara.
Contohnya kebanyakan pensyarah di universiti pertanian AS adalah bekas-bekas
tentera yang telah berkhidmat semula.
Mungkin akan wujudnya usa-hawan tani daripada kalangan tentera nanti.
Saya berharap pihak ATM dapat menimbangkan perkara ini kerana kita masih belum
terlambat dalam melatih tentera kita dalam pertanian.
Negara kita mempunyai banyak institusi pertanian seperti Institut Penyelidikan
Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan agensi pertanian
kerajaan yang lain untuk melatih tentera kita dalam kemahiran pertanian.
Tidak perlulah kita memandang sinis terhadap ATM jika mereka bersetuju dalam
mewujudkan Kor Pertanian kerana satu hari nanti kewujudan mereka akan dipandang
tinggi apabila negara terpaksa berperang kelak.
Ini penting dalam usaha kerajaan dalam memantapkan pertahanan negara selain
kelengkapan persenjataan.