SAYA tertarik dengan rencana yang ditulis Zin Mahmud pada 8 Jun lalu sempena 100 tahun kelahiran Sukarno, Presiden Indonesia pertama.
Saya lebih suka melihatnya dari perspektif bidang pengajian saya, pengajian hubungan antarabangsa.
Mengikut Kenneth Waltz, seorang profesor dalam hubungan antarabangsa mengatakan bahawa dalam sistem dwikutub (bipolar), semua bahagian dunia tidak terasing daripada persaingan di antara dua buah kuasa besar dunia, iaitu komunis yang dipimpin oleh Kesatuan Soviet dan demokrasi kapitalis yang dipimpin oleh Amerika Syarikat (AS).
Sukarno cuba meletakkan dirinya dalam satu komponen di luar daripada dua kuasa ini, iaitu bukan penyokong kepada AS ataupun Soviet.
Beliau meletakkan dirinya sebagai bersifat neutral. Persidangan Bandung 1955 adalah atas dasar membawa kerjasama bagi menguatkan kedudukan negara-negara sedang membangun, bersatu membentuk satu pakatan yang kuat.
Tetapi ternyata apa yang digariskan oleh Sukarno ini tidak berjaya, kerana dalam dunia dwikutub, sesebuah negara mesti berada dalam salah satu blok kuasa. Akhirnya Sukarno sama ada secara sengaja atau tidak, atau terpaksa dalam suasana sistem dwikutub telah memihak kepada blok komunis, Soviet dan kemudiannya kepada Republik Rakyat China.
Dalam percaturan kuasa sistem politik dunia dwikutub, Sukarno telah bertindak sebagai ejen blok komunis dalam percaturan kuasa politik dunia yang bersifat dwikutub.
Ini tidak bermakna Sukarno seorang komunis tetapi keputusan dalam dasar luar Indonesia adalah lebih selari dengan dasar luar China dan Soviet.
Tindakan Sukarno ini bukan semata-mata kerana sifat peribadinya kerana sesuatu keputusan dasar luar negara tidak hanya ditentukan oleh pemimpin itu semata-mata.
Mengikut Profesor Rosenau, faktor dalaman negara, faktor suasana politik antarabangsa, sejarah negara dan beberapa lagi mempengaruhi keputusan dasar luar sesebuah negara.
Dalam membincangkan Sukarno, kita mesti melihat perkembangan politik dalam negara Indonesia yang berlaku sejak akhir tahun 1950-an (khususnya selepas Pemberontakan PRRI 1958) dan perkembangan politik awal tahun 1960-an.
Apabila ini difahami maka barulah kita dapat memahami kenapa berlakunya konfrontasi Malaysia.
Politik Indonesia dalam tahun-tahun akhir 1950-an tidaklah begitu stabil dan menjamin kedudukan Presiden Sukarno. Ini paling jelas selepas berlakunya pemberontakan PRRI 1958 yang mendapat sokongan kuat daripada Parti Masjumi (Majlis Syura Muslim Indonesia) atas sebab tidak bersetuju dengan pentadbiran pusat Jakarta berkaitan dengan agihan belanjawan negara dan dasar Sukarno terhadap Parti Komunis Indonesia (PKI).
Perkembangan 1958 ini juga kurang meyakinkan Sukarno terhadap angkatan bersenjata. Akhirnya Sukarno membentuk Demokrasi Terpimpin dengan PKI menjadi sekutu politiknya. Ini dilakukan bagi menjamin kekuatan dan kuasa politik yang lebih memihak kepadanya.
Harus diingat bahawa Parti Nasional Indonesia (PNI) pimpinan Sukarno mendapat 22 peratus undi dalam pilihan raya Indonesia 1955, parti-parti lain iaitu Masjumi 20 peratus, Nahdatul Ulama (NU) 18 peratus dan PKI 16 peratus.
Mengapa Sukarno melancarkan konfrontasi ke atas Malaysia pada tahun 1963? Di sebalik penubuhan Malaysia 1963 (berasaskan cadangan Tunku Abdul Rahman 1961) adalah bagi menghalang perluasan kuasa komunis di Singapura dan Asia Tenggara secara amnya.
Ini dilakukan selepas kemenangan Barisan Sosialis dalam satu pilihan raya kecil di Singapura. Dalam pilihan raya kecil itu calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang pro-Barat telah kalah.
Pembentukan Malaysia daripada percaturan dan persaingan kuasa politik dunia dalam sistem dwikutub adalah tidak menjamin keselamatan bagi Indonesia.
Pembentukan Malaysia dilihat oleh Sukarno sebagai mengepung Indonesia dan mengancam keselamatan masa depan negaranya. Ini ada logiknya kerana dalam pemberontakan PRRI 1958, AS dan sekutu Barat lain seperti Britain dan Taiwan telah menggunakan Labuan dan Singapura sebagai pangkalan menghantar bantuan kepada pasukan pemberontak di Sumatera dan Sulawesi.
Dengan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia, ia akan mengancam keselamatan Indonesia sekiranya berlaku kekacauan dan masalah dalaman.
Dari sudut ekonomi, pembentukan Malaysia, yang lebih makmur akan menjadi tarikan kepada Sumatera dan Sulawesi menganggotainya pada masa depan. Keinginan Sumatera menganggotai Malaya jelas dalam pemberontakan 1958.
Faktor antarabangsa juga mendorong konfrontasi ini berlaku. China dan Soviet dengan jelas menyokong Indonesia dengan bantuan moral, ekonomi dan tentera.
Sukarno menerima bantuan ini bagi mengimbangi sokongan AS dan Britain yang diberikan kepada Malaysia.
Sukarno juga terpaksa memihak kepada blok komunis kerana kedudukan dan sekutu politik dalamnya, PKI.
Jadi, dalam melihat hal pentadbiran dan hubungan serta dasar luar dengan negara-negara jiran oleh Sukarno kita tidak hanya melihat watak presiden itu semata-mata.
Dalam perspektif kajian antarabangsa dan analisis dasar luar mesti dikaitkan dengan faktor personaliti, domestik dan persekitaran antarabangsa.
Ketiga-tiga faktor ini saling berkaitan dan sukar dipisahkan dalam perbincangan dan analisis politik antarabangsa.
Jadi tindakan Sukarno bukannya semata-mata dia ingin berbuat demikian, tetapi bertindak selaras dengan persekitaran sistem dwikutub politik dunia, serta situasi politik dalamannya. - MOHD NOOR YAZID, School of International Studies and Law, University of Coventry, United Kingdom