Kebangkitan China dan niat Amerika di Selat Melaka
Pada 27 Oktober 1994, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat iaitu USS Kitty
Hawk yang sedang melakukan operasi rutin meronda perairan antarabangsa di Laut
Kuning, bertembung dengan kapal selam berkuasa nuklear China dari kelas Han.
Serentak itu Amerika menghantar pesawat S-3 untukmemantau kapal selam China
tersebut. Namun China dengan terlebih dahulu menghantar dua buah pesawat pejuang
F-6 untuk mengekori dan memantau pesawat S-3 Amerika. Dalam suasana tegang di
laut, seorang atase Amerika di Beijing dimaklumkan bahawa China “akan mengambil
tindakan mempertahankan diri yang sepatutnya jika berlaku pencabulan ke atas
ruang udara dan perairan mereka”. Peristiwa ini memberi isyarat bahawa China
telah mula menghantar armada tentera lautnya untuk beroperasi di laut lepas
melangkaui pesisiran pantainya, di mana sebelum ini laut lepas didominasi dan
dikuasai hanya oleh Tentera Laut Amerika.
Semasa Perang Dingin, China menumpukan keupayaan pertahanan maritim mereka
terhadap pertahanan di pesisiran pantai. Tentera Laut PLA (People’s Liberation
Army) mengadaptasikan doktrin peperangan dari Kesatuan Soviet. Doktrin ini
menumpukan kepada penggunaan “kapal selam pesisir pantai (coastal submarine),
bot torpedo, dan lain-lain kapal pesisir pantai, yang disokong oleh pesawat
udara tentera laut yang beroperasi di pantai.” Setelah tiga dekad berlalu,
Tentera Laut PLA berjaya membina suatu “dinding maya di laut” iaitu kekuatan
tentera laut yang terdiri daripada beratus-ratus kapal perang yang kecil.
Pemodenan armada laut China mula dilaksanakan secara serius selepas tamatnya
Perang Dingin dan ketika China mula mengadaptasikan ekonomi pasaran bebas
sejajar dengan dasarnya meluaskan pertahanan maritimnya, daripada pertahanan
pesisiran pantai ke pertahanan hadapan (forward defense) yang jaraknya
melangkaui beratus-ratus batu dari pesisir pantainya. Ini jelas menunjukkan
China telah berubah kepada “strategi pertahanan aktif”. Ini juga
bermakna kapal-kapal Tentera Laut PLA berupaya untuk meronda di perairan
antarabangsa yang jauh dari Tanah Besar dan ini juga bermakna China mampu untuk
meronda di Laut China Selatan. Menurut Ji Guoxing, pembangunan dan pertumbuhan
ekonomi China yang sedang giat dilaksanakan memerlukan persekitaran yang tenang
dan tenteram. China tidak mempunyai sebarang niat untuk meluaskan pengaruhnya,
dan tidak bercadang untuk membina hegemoni di Laut China Selatan dan Asia
Tenggara. Apa yang China mahukan ialah persekitaran yang aman dan stabil di
sebelah selatan wilayahnya. China risau tentang keselamatan maritimnya di
wilayah tersebut terutama sekali kemungkinan wujudnya ancaman dari Asia Tenggara
dan Laut China Selatan.
Import Minyak dan Laluan Perkapalan
Berdasarkan kepada kadar pertumbuhan ekonomi China dalam dua dekad yang lepas,
RAND Corporation menganggarkan keluaran ekonomi China akan mengatasi Amerika
iaitu sebanyak US$11.3 trillion berbanding Amerika US$10.7 trillion pada tahun
2010. Sejajar dengan pertumbuhan ekonominya yang tinggi, Beijing turut
meningkatkan bajet pertahanannya. Pada Mac 2004 China mengumumkan peningkatan
sebanyak 11.6% dalam perbelanjaan pertahanannya yang berjumlah sebanyak US$25
billion. Pentagon bagaimanapun berhujah bahawa jumlah itu tidak mengambil kira
keseluruhan bajet pertahanannya di mana ia tidak termasuk penyelidikan dan
pembangunan senjata dan pembelian senjata dari pihak luar. Pentagon
menganggarkan perbelanjaan pertahanan China adalah di antara US$50 billion
hingga US$70 billion, menjadikan ia bajet pertahanan yang ketiga terbesar di
dunia, mengatasi Jepun dan di belakang Amerika dan Rusia.
Pembangunan ekonomi yang rancak memaksa China untuk menggunakan bahan mentah
seperti minyak dalam kadar yang tinggi. Bermula pada tahun 1993, China terpaksa
mengimport minyak mentah dalam kuantiti yang tinggi demi untuk memenuhi
keperluan domestik dan permintaan daripada sektor perkilangan terutamanya.
Permintaan minyak mentah China untuk tahun 2004 sahaja dijangkakan melebihi 100
juta tan. Ketika ini 32% daripada permintaan minyak mentah China adalah diimport.
Laporan dari Agensi Tenaga Antarabangsa menjangkakan bahawa menjelang tahun
2030, import minyak oleh China akan menyamai import minyak Amerika pada hari ini.
Tanpa bekalan minyak yang mencukupi, ekonomi China pasti akan terjejas sekaligus
membantutkan usaha para pemimpinnya untuk memajukan China. Meskipun pelbagai
usaha dilakukan untuk mempelbagaikan sumber-sumber asli, China akan terus
bergantung kepada minyak dari Timur Tengah. Ketika ini, 58% daripada import
minyak China datang dari Timur Tengah. Menjelang 2015, import minyak dari Timur
Tengah akan terus meningkat kepada 70%.
Bekalan minyak yang diimport dari Timur Tengah akan melalui Selat Melaka. Selain
itu, Selat Lombok dan Selat Sunda juga boleh dilalui oleh kapal-kapal tangki
untuk menghantar minyak ke China, selain ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.
Namun Selat Melaka adalah laluan yang menjadi pilihan kapal-kapal tangki dan
dagang untuk menghantar kargo. Selat Melaka merupakan laluan perkapalan utama
bagi perdagangan dunia, di mana lebih satu pertiga daripada jumlah dagangan
dunia melalui Selat Melaka. Adalah jelas bahawa Selat Melaka merupakan arteri
kepada pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia. Memandangkan hidup mati dan
survival China bergantung kepada keselamatan laluan perdagangan di Selat Melaka
dan Laut China Selatan, tidak hairanlah China bertegas untuk meluaskan operasi
rondaan kapal-kapal perangnya di kawasan tersebut.
Beijing dengan tegasnya menyatakan bahawa ia akan mempertahankan laluan
perkapalan utama yang penting kepadanya. Kerajaan China baru-baru ini menegaskan
bahawa China mempunyai kepentingan strategik ke atas laluan bekalan minyak dan
akan menggunakan kekuatan tentera lautnya untuk mengawal laluan perkapalan yang
kritikal. Menurut Zhan Yuncheng, seorang pakar di Institute of Contemporary
International Relations, China akan menghadapi krisis tenaga jika laluan bekalan
minyaknya diserang. Zhang merumuskan bahawa mana-mana pihak yang menguasai Selat
Melaka dan Lautan Hindi boleh menggugat laluan pengangkutan minyak China.
Presiden China Hu Jintao berkata bahawa “Malacca dilemma” atau dilema Melaka
adalah kunci utama kepada keselamatan tenaga China. Menurut Hu, beberapa kuasa (Amerika
Syarikat) telah berusaha untuk meluaskan kekuasaan dan menguasai navigasi
melalui Selat Melaka.
Pertumbuhan ekonomi yang rancak dan peningkatan ketara dalam kuasa ketenteraan
menyaksikan China muncul sebagai pencabar kepada Amerika untuk muncul sebagai
pemimpin global. Menurut George Modelski sesebuah negara akan menjadi pemimpin
global apabila:
1. berjaya melalui empat fasa proses pembelajaran iaitu penetapan agenda,
membina pakatan (coalition building), keputusan makro (macrodecision) dan
pelaksanaan (execution)
2. memiliki atau mempamerkan kualiti dan kelayakan untuk menjadi pemimpin global
iaitu politico-strategic organization for global reach, ekonomi yang mendahului
negara lain dan bertindakbalas terhadap masalah global.
Selepas Perang Dunia Kedua 1945, Amerika muncul sebagai pemimpin global. China
adalah satu-satunya negara yang boleh menandingi Amerika untuk menjadi pemimpin
global. Soviet muncul seketika cuba menandingi Amerika namun ia kecundang.
Persaingan untuk menjadi pemimpin global ini menyaksikan Amerika bertindak
pantas untuk menyusun dasar strategiknya di Asia Timur dalam usaha mengekang
China. Salah satunya ialah menguasai laluan dan ‘choke point’ strategik di Asia
Tenggara terutamanya kerana penguasaan mutlak ke atas laluan perkapalan utama
akan menyebabkan kedudukan China menjadi goyah.
Ancaman di Selat Melaka
Benarkah kapal-kapal tangki dan dagang yang belayar melalui Selat Melaka
terdedah kepada ancaman serangan pengganas? Anehnya persoalan ancaman ini tidak
pula ditujukan kepada Selat Lombok, Selat Sunda dan Selat Makassar yang juga
merupakan laluan kapal dagang dan kapal tangki. Ketiga-tiga selat ini juga
terdedah kepada ancaman pengganas, malah ancamannya lebih besar kerana berada di
dalam perairan Indonesia, sebuah negara yang dihuni oleh pengganas Jemaah
Islamiah yang masih gagal ditangani oleh pihak berkuasa Indonesia. Jika Amerika
dan Singapura khuatir tentang pengebom berani mati yang menyerang kapal seperti
yang berlaku ke atas kapal perang USS Cole dan kapal tangki SS Limburg,
sepatutnya amaran mengenai teknik serangan yang sama yang bakal berlaku di Selat
Melaka telah lama dikeluarkan. Namun amaran mengenai serangan ke atas kapal di
Selat Melaka hanya timbul setelah lebih dua tahun peristiwa tersebut berlalu dan
hanya timbul pada bulan Mac 2004. Sebenarnya Amerika sendiri mengetahui bahawa
para pengganas (jika wujud) di Indonesia tidaklah secanggih atau sophisticated
seperti pengganas di Timur Tengah. Pengganas JI pasti akan terlebih dahulu
menyerang kapal-kapal yang belayar di Selat Melaka kerana kawalan keselamatan
Selat Melaka di bahagian Indonesia adalah lemah dan longgar. Dengan mudah para
pengganas boleh menyamar sebagai nelayan lalu mendekati dan meletupkan mana-mana
kapal yang belayar di Selat Melaka. Kapal-kapal ini boleh disifatkan sebagai
‘turkey shoot’ atau sasaran mudah yang boleh diserang dan hampir pasti serangan
tersebut akan berjaya. Yang pasti sehingga kini tiada kes serangan pengganas ke
atas kapal di Selat Melaka. Yang ada hanyalah serangan rompakan bersenjata dan
serangan ‘lanun’ (menurut tafsiran sesetengah pihak). Sesetengah kes serangan
‘lanun’ pula diragui kerana operasi serangan tersebut berlaku dengan pantas.
Lanun mempunyai senjata api yang canggih, cekap dan pantas bertindak menaiki
kapal menuju ke kabin kapten dan kabin-kabin tertentu, mengetahui dengan tepat
laluan ke bilik navigasi dan pantas menyelesaikan operasi. Seolah-olah lanun ini
mendapat latihan ketenteraan yang mencukupi dan mempunyai stamina ahli komando.
Setakat ini kekhuatiran Amerika dan Singapura hanyalah bersifat andaian yang
telah diperbesarkan semata-mata. Kedua-dua pihak ini juga berhipotetikal tentang
serangan pengganas yang boleh mengganggu laluan perkapalan utama di Selat Melaka
itu dengan menenggelamkan kapal yang diserang atau dengan memuatkan kapal dengan
bahan letupan dan menjadikan kapal tersebut sebagai bom bergerak dan
meletupkannya di pelabuhan. Andaian menakutkan yang diperbesar-besarkan ini
hanyalah bertujuan sebagai alasan untuk menjustifikasikan kehadiran Amerika di
Selat Melaka.
Apa yang perlu Malaysia buat? Malaysia perlulah bertegas menolak kehadiran
sebarang kuasa asing (Amerika) di Selat Melaka atas alasan mengancam kedaulatan
negara. Setakat ini alasan kedaulatan merupakan alasan yang paling baik untuk
diberikan kepada Amerika. Selain itu, Malaysia perlu terus memberi jaminan
bahawa Selat Melaka adalah selamat untuk kapal-kapal dagang belayar kerana
keselamatan perairan itu dikawal oleh dua agensi iaitu Polis Marin dan Tentera
Laut Diraja Malaysia. Malah kawalan keselamatan di Selat Melaka bakal
diperketatkan lagi dengan penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Dalam masa yang sama Malaysia perlu mengadakan rundingan dengan Indonesia untuk
mencapai kata sepakat menolak kehadiran Amerika. Ini kerana jika Indonesia
berlembut dan membenarkan Amerika hadir di Selat Melaka pada perairan Indonesia,
maka strategi Amerika untuk menguasai dan mengawal Selat
Melaka telah berjaya. Selat Melaka boleh digunakan oleh Amerika untuk ‘mencekik
dan melemaskan’ ekonomi China. Kapal-kapal dagang dan tangki ke China yang
kononnya disyaki membawa bahan terlarang dan membawa ancaman boleh diperiksa dan
kemungkinan diarah berpatah balik. Selat Melaka merupakan ‘choke point’ yang
strategik dan kapal-kapal boleh dipintas dengan mudah kerana laluannya yang
sempit. Amerika boleh menggunakan sekatan di
Selat Melaka untuk memberikan tekanan kepada China jika berlaku sebarang
pertelingkahan mengenai isu Theatre Missile Defense, proliferasi nuklear,
kemerdekaan Taiwan dan lain-lain lagi. Laluan-laluan perkapalan alternatif di
Indonesia iaitu Selat Sunda, Lombok dan Makassar akan mudah dikuasai Amerika
dengan menggunakan tekanan politik dan ekonomi ke atas Indonesia melalui isu-isu
pencabulan hak asasi manusia, demokrasi, terrorisme dan lain-lain lagi. Jika
perkara ini terjadi, rantau Asia Tenggara, Selat Melaka dan Laut China Selatan
akan dirundung konflik ketenteraan dan mampu bertukar menjadi krisis bahkan
merebak kepada peperangan. China akan sedaya upaya memastikan bekalan minyak,
bahan mentah dan eksportnya tidak diganggu gugat, tidak terjejas atau diugut
untuk diganggu atau dihentikan. Selain melalui saluran diplomatik, China pasti
mengerahkan seluruh kekuatan armada lautnya mengawal keselamatan kapal-kapal
dagangnya. Jika terdesak, China pasti akan ‘menawan’ dan mengambil alih Selat
Melaka dan Laut China Selatan dengan kekuatan senjata. Pertembungan antara dua
kuasa laut ini pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan lagi. Peperangan
atau tembak menembak antara Amerika dan China biarpun terhad pasti menggerunkan
kerana masing-masing ingin menunjukkan kekuatan. Amerika pasti akan menunjukkan
kekuatan persenjataannya sebagai isyarat bahawa sebagai superpower, ia tidak
boleh diancam dan disaingi. Bagi China pula, kemenangan biarpun kecil ke atas
Amerika akan memberi moral dan isyarat bahawa China adalah kuasa baru dan bakal
muncul sebagai superpower menggantikan Amerika. Jika situasi ini terjadi,
Malaysialah negara yang akan menerima kesan yang paling buruk sekali. Ini kerana
pelabuhan-pelabuhan utama negara berada di sepanjang Selat Melaka, bandar-bandar
utama yang menggerakkan aktiviti ekonomi berada di sepanjang dan berhampiran
Selat Melaka. Eksport negara, di mana lebih 90% adalah melalui jalan laut pasti
akan terjejas teruk. Malaysia juga akan berada dalam dilema kerana kedua-dua
negara pasti akan memaksa Malaysia membuka ruang udara dan perairan kepada
mereka sahaja dan tidak kepada musuh masing-masing. Tekanan diplomatik, ekonomi
dan ketenteraan pasti akan dikenakan ke atas Malaysia oleh Amerika dan China.
Amat menarik untuk diperhatikan bahawa tekanan Amerika ke atas Malaysia memuncak
ketika Perdana Menteri Malaysia membuat kunjungan ke China. Tekanan diplomatik
ini dibuat oleh Donald Rumsfeld ketika beliau berada di atas kapal perang yang
berlabuh di Singapura, satu simbol dan situasi yang menjelaskan superiority
armada laut Amerika yang tidak boleh diancam, dan supaya Malaysia mendengar dan
mematuhi tekanan Amerika yang berada di lokasi yang begitu hampir dengan
Malaysia. Ketika ini China sudah pasti sedang memerhatikan dengan serius usaha
Malaysia menghalang penguasaan Amerika ke atas Selat Melaka. Apa yang perlu
Malaysia lakukan kini ialah meneruskan hubungan baik dengan Amerika dan
mengukuhkan lagi hubungan baik dengan China. Dalam masa yang sama Malaysia perlu
memaklumkan dan memberi jaminan kepada China bahawa arteri kepada ekonominya
tidak di ganggu gugat. Keselamatan, kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan
rantau Asia Timur bergantung kepada kebijaksanaan Malaysia menangani Selat
Melaka dalam mengimbangi sifat hegemoni Amerika dan kehadiran China sebagai
sebuah kuasa.