Arab enggan guna senjata minyak

BAGI negara-negara Arab yang marah dengan pembunuhan penduduk Palestin di tangan tentera Israel, sekaranglah masa terbaik untuk menggunakan senjata minyak dan menghukum negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) kerana memberi sokongan kepada rejim Yahudi.

Bagaimana, ketika harga minyak melambung tinggi dan negara-negara pengguna di Barat mendesak bekalan ditingkatkan, pengeluar minyak di dunia Arab nampaknya lebih mementingkan keuntungan dan tidak bersedia mengurangkan eksport.

''Menggunakan senjata minyak seperti menggunakan senjata yang memakan diri kami sendiri.

''Kami akan kehilangan status di mata dunia dan ekonomi kami akan terjejas,'' katanya lagi.

Dua puluh tujuh tahun lalu, negara-negara Arab mengenakan sekatan minyak untuk memaksa ekonomi AS melutut kerana menyokong Israel.

Namun sekarang ini, ketika penduduk Palestin menghadapi askar Israel dengan hanya bersenjatakan batu, sekatan minyak Arab itu kian luput daripada ingatan.

Gabungan pengurangan pengeluaran dan pengharaman eksport dari Oktober 1973 hingga Mac 1974 membantu menyebabkan harga minyak melonjak empat kali ganda.

Kenaikan itu mencetuskan panik di negara-negara pengguna dan memberi kuasa luar biasa kepada negara pengeluar di dunia Arab untuk mempengaruhi perkembangan dunia termasuk dasar White House.

Sekatan itu dikenakan sebagai membantah sokongan AS terhadap Israel semasa perang Arab-Israel 1973.

Tetapi senjata minyak yang digunakan dengan begitu berkesan satu generasi lalu nampaknya tidak akan digunakan untuk kali kedua.

Orang Arab di mana sahaja, baik yang membanjiri jalan-jalan di Kaherah mahupun yang menonton siaran berita di Barat, tidak dapat menyembunyikan kemarahan mereka selepas sekurang-kurangnya 90 orang kebanyakannya penduduk Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Israel.

Di sebuah kedai teh Arab di Edgware Road, London, pelanggan menggambarkan apa yang mereka sifatkan sebagai realiti politik minyak.

''Yang menguasai bekalan minyak ialah kerajaan dan keluarga diraja,'' kata seorang lelaki tua.

Di meja berhampiran, seorang rakyat Kuwait berkata: ''Negara-negara Arab tidak boleh mencapai kata sepakat mengenai harga minyak. Bagaimana mereka hendak mencapai kata sepakat mengenai sekatan?''

Putera Mahkota Arab Saudi baru-baru ini memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Ehud Barak supaya jangan mengarahkan tentera Israel bertindak di Lebanon dan Syria.

Sekatan minyak tinggal memori

''Barak perlu berfikir sebelum mengambil sebarang langkah.

''Jangan sesiapa menyangka Arab Saudi, seluruh dunia Arab dan Islam akan duduk berdiam diri ,'' kata Putera Mahkota Abdullah.

Beliau tidak menyatakan jenis tindakan yang mungkin diambil oleh Arab Saudi.

Tetapi menurut sumber, Arab Saudi tidak bercadang untuk menyekat bekalan minyak ke negara Barat bagi menekan mereka supaya mengurangkan sokongan terhadap Israel.

Anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) kini memerlukan hasil minyak untuk mengisi dana negara, menangani masalah defisit belanjawan dan mencegah pengangguran dengan mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan belia.

Sekatan minyak mungkin mencetuskan ketidakstabilan di negara-negara Arab Teluk yang banyak menerima bantuan ketenteraan daripada AS.

Malah Iraq, negara pengeluar yang sering mengambil jalan sendiri yang sukar diramalkan oleh pasaran minyak, menyifatkan sekatan ke atas eksport minyak sebagai langkah yang menjejaskan kepentingannya.

Nampaknya satu-satunya pemimpin negara anggota OPEC yang bercakap mengenai senjata minyak bukan seorang Arab, tetapi Presiden Venezuela, Hugo Chavez.

Pada April lalu, beliau mencadangkan agar OPEC diperkuatkan sebagai 'senjata rundingan untuk memanfaatkan negara-negara Selatan (negara membangun).'

Sementara itu, OPEC yang dikuasai oleh negara -negara Arab sedang bertungkus-lumus untuk menurunkan harga minyak selepas beberapa pertambahan pengeluaran gagal menyejukkan pasaran.

Tetapi tekanan untuk menggunakan semula senjata minyak akan meningkat jika golongan militan yang menuntut tindakan sedemikian mula menimbulkan kegelisahan kerajaan-kerajaan Arab. - Reuters

Hosted by www.Geocities.ws

1