OLEH:

SHARIF MOHD FAISAL B. SH. MAHMUD

 

 

PERGERAKAN POLITIK ORANG MELAYU DI TANAH MELAYU SEBELUM 1957.

 

Pergerakan kelompok-kelompok politik yang mewakili orang Melayu di Tanah Melayu telah bermula pada tahun 1920an. Kesedaran politik di kalangan orang Melayu ini adalah berikutan dengan kesedaran politik di Tanah Melayu sendiri dan juga di negara-negara lain. Kelompok-kelompok politik ini mempunyai matlamat yang agak berbeza antara satu dengan yang lain. Dalam mencapai matlamat mereka, parti-parti ini telah mengadakan kegiatan untuk merangka konsep dan kerangka negara bangsa masing-masing.

Orang Melayu pada mulanya kurang berminat dengan kesatuan yang berbentuk politik ini. Walau bagaimanapun, pada sekitar tahun 1930an telah kelihatan minat di kalangan orang Melayu untuk membentuk kesatuan-kesatuan yang bersifat politik. Keadaan ini berikutan dengan suasana sosial dan ekonomi yang bergolak serta cabaran yang ditimbulkan oleh para penduduk pendatang di mana bilangan mereka semakin membimbangkan yang boleh dilihat pada Banci Tahun 1932. Keadaan tadi menyebabkan orang-orang Melayu bangkit dan membentuk kesatuan-kesatuan politik untuk mempertahankan kepentingan mereka. [1]Kesatuan-kesatuan ini berbeza daripada kesatuan kebajikan dan kebudayaan yang sememangnya telah wujud sebelum itu. Kedudukan ekonomi orang Melayu pada masa itu telah jatuh ke tangan orang-orang "Darah Keturunan Arab" (DKA). Keadaan ini telah membawa kepada penubuhan persatuan politik Melayu yang berlainan coraknya dengan persatuan-persatuan yang telah wujud sebelumnya. Persatuan politik itu ialah Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang ditubuhkan pada tahun 1926.[2]  KMS merupakan sebuah persatuan politik yang pertama ditubuhkan di Tanah Melayu dan dipelopori oleh Muhammad Eunos Abdullah. KMS memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu di negeri-negeri selat dan menggalakkan ahlinya memainkan peranan yang cergas dalam pentadbiran dan pengurusan. Kesatuan ini turut menggalakkan orang-orang Melayu supaya meningkatkan prestasi mereka dalam pendidikan. Misalnya pada lewat tahun 1920an, Eunos Abdullah telah membahaskan di dalam mesyuarat kesatuan itu tentang soal pendidikan orang Melayu. Beliau telah mencadangkan agar ditubuhkan sebuah sekolah perniagaan untuk orang-orang Melayu. Cadangan ini kemudiannya disampaikan kepada pihak kerajaan British pada tahun 1929.

Selain itu, KMS juga merupakan wakil orang Melayu dalam urusan dengan pihak British tentang soal hak dan kebebasan orang Melayu. Di antara usaha KMS untuk menjaga hak dan kebebasan orang Melayu dapat dilihat di dalam mesyuarat Jawatankuasa Bulanan KMS pada Ogos 1926 di mana salah seorang ahli jawatankuasanya iaitu Abdul Manan B. Mohd. Ali telah mencadangkan kepada kesatuan agar membuat cadangan kepada kerajaan untuk menyediakan separuh daripada keluasan tanah dalam lingkungan Majlis Perbandaran kepada orang Melayu bagi tujuan ekslusif dan sebagainya dengan nama "Kampong Melayu" yakni dalam usaha menjadikannya sebagai model Kampong Bahru di Kuala Lumpur. Menurut cadangan KMS ini, orang Melayu boleh membina rumah mereka sendiri, menanam tanaman di sekitarnya dan dapat hidup di kalangan masyarakat mereka sendiri dengan aman. Setelah menerima keputusan penuh cadangan itu, Eunos Abdullah sebagai Presiden kesatuan yang juga memegang jawatan sebagai ahli Majlis Perundangan telah mengajukan perkara itu kepada kerajaan pada awal tahun 1927. Cadangan KMS ini telah disokong oleh ketua politik kaum Cina pada masa itu iaitu Tan Cheng Lock. Walau bagaimanapun, kerajaan British telah meneliti cadangan ini dengan berhati-hati.[3] Permintaan KMS tentang projek "Kampong Melayu" ini berlanjutan antara 3 hingga 4 tahun. KMS juga turut membuat beberapa cadangan lain terhadap kerajaan antaranya meminta bantuan kerajaan untuk membina Feri Melayu dari kampung di Telok Blanga ke Pulau Berani, sebuah pulau berdekatan Singapura. Cadangan-cadangan KMS tadi adalah beberapa permintaan kesatuan itu yang boleh dikatakan diterima oleh pihak kerajaan British walaupun cadangan tersebut telah diteliti dengan berhati-hati oleh pihak kerajaan sebelum menerimanya.

Seterusnya kita beralih pula kepada satu lagi pertubuhan politik yang cukup terkenal di negara ini sehinggalah ke hari ini iaitu United Malay National Organization (UMNO). Parti ini ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru. Pengasasnya ialah Allahyarham Dato' Onn Ja'afar, seorang nasionalis dan intelek yang disegani pada zamannya. UMNO telah lahir berikutan wujudnya Malayan Union dan juga apabila orang Melayu ditindas oleh gerila komunis "Bintang Tiga" yang bermaharajalela sebaik sahaja Jepun kalah dalam perang pada tahun 1945. UMNO juga wujud setelah mendapat restu berpuluh-puluh pertubuhan Melayu dari seluruh negara yang berkongres di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946. Pada majlis itu jugalah nama asal UMNO iaitu United Malay Organization (UMO) ditukar kepada UMNO atas cadangan Za'ba, Pengerusi Jawatankuasa Kongres 1946. Menurut pengasas dan Presiden pertama UMNO, Dato' Onn Ja'afar sewaktu kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1946, UMNO ditubuhkan di atas beberapa sebab.[4] UMNO juga wujud setelah bangsa Melayu telah mampu menilai erti hikmah perpaduan "Bersatu teguh, bercerai roboh". Melalui semangat inilah maka UMNO memilih cogankata "BERSATU-BERSEDIA-BERKHIDMAT" sebagai cogankata parti.

Di bawah pimpinan Dato' Onn Ja'afar, terdapat 2 peringkat utama perkembangan UMNO. Pada peringkat pertama iaitu dari tahun 1946 hingga 1948, UMNO merupakan sebuah badan besar yang mengandungi 41 buah persatuan yang mempunyai perlembagaan dan struktur yang berasingan. Peringkat kedua pula dari tahun 1948 hingga 1951, UMNO dijadikan sebagai sebuah persatuan politik yang tersendiri.[5] UMNO di bawah pimpinan Dato' Onn telah mengadakan beberapa mesyuarat agung parti itu.[6] Mesyuarat agung UMNO yang pertama yang telah dipengerusikan oleh Datuk Panglima Bukit Gantang dan Dato' Onn dipilih dengan sebulat suara untuk menjadi Yang Dipertuanya yang pertama. Penubuhan UMNO secara rasmi tidak lama setelah Gabenor Malayan Union dilantik telah memperlihatkan reaksi segera orang-orang Melayu terhadap Malayan Union (MU). Mesyuarat pertama telah memutuskan bahawa UMNO akan menghantar satu rombongan yang akan pergi bersama DYMM sultan-sultan untuk membantah penubuhan MU. Walau bagaimanapun, rombongan ini tidak jadi ke England kerana British mahu menyelesaikan masalah ini di Tanah Melayu sendiri. Kerajaan British akhirnya menghantar perwakilan ahli-ahli parlimen British dipimpin oleh Kapten L.D. Gammans dan Kolonel Rees Williams ke Tanah Melayu untuk melihat keadaan sebenar di Tanah Melayu. UMNO telah mengambil kesempatan daripada lawatan itu dengan menganjurkan rapat-rapat umum dan perarakan bagi menunjukkan sikap orang Melayu yang sebenar terhadap MU.[7] Pada sekitar Mei 1946, satu rundingan telah diadakan antara pihak British yang diwakili oleh Gabenor MU, Edward Gent, sultan-sultan Melayu dan juga Dato' Onn sebagai wakil UMNO. Tidak lama kemudian, melalui usaha yang dijalankan oleh UMNO dan juga atas nasihat Malcom MacDonald, ibupejabat Kolonial British di London akhirnya telah membubarkan MU.

Seterusnya pada mesyuarat agung kesebelas yang telah diadakan pada 28 Mei 1949 di Perlis untuk membincangkan draf Perlembagaan UMNO. Dato' Onn telah mengambil perlembagaan Parti Buruh (Labour Party) dan Parti Konservatif Britain (Conservative Party) sebagai panduan untuk mendraf undang-undang tubuh UMNO. Mesyuarat agung tersebut mengambil masa yang panjang iaitu dari pagi hingga ke malam hari untuk membincangkannya dengan teliti kerana inilah kali pertama mereka membincangkan undang-undang tubuh UMNO. Cadangan Dato' Onn dan jawatankuasanya akhirnya diterima oleh wakil UMNO dan ahli bergabung UMNO dengan membuat pembetulan kecil. Dato' Onn membahagikan perlembagaan itu kepada 5 bab besar.[8] Dalam setiap bab tersebut dimasukkan peraturan, undang-undang dan dasar-dasar penting bagaimana UMNO patut dikendalikan. Dalam Undang-undang Tubuh 1949 itu jugalah Dato' Onn mengikhtiraf kepentingan Jabatan Pemuda UMNO dan Jabatan Kaum Ibu UMNO sebagai sayap penting UMNO.[9]

Selain itu, Dato' Onn juga telah membuat usaha terawal untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan sosial orang-orang Melayu dari semasa ke semasa dalam mesyurat agung yang diadakan. Misalnya dalam mesyuarat agung UMNO di Ipoh pada Mei 1946, dasar memajukan pelajaran orang Melayu talah diadakan, Biasiswa UMNO dibentuk bagi membantu anak-anak Melayu menuntut pelajaran di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MMKK), Raffles Institution, King Edward College VII dan universiti luar negeri.[10]

Setelah Dato' Onn meninggalkan UMNO pada Ogos 1951, perjuangan UMNO telah diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman pada 26 Ogos 1951 yang telah dilantik secara sebulat suara sebagai Presiden UMNO atas cadaangan Tun Abdul Razak. Pada zamannya, Tunku telah memperkenalkan suatu formula iaitu mengadakan kerjasama dengan orang-orang bukan Melayu melalui penyertaan Perikatan UMNO-MCA-MIC yang ternyata memberi kesan sehingga perjuangan menuntut kemerdekaan mencapai momentumnya. UMNO dibawah pimpinan Tunku Abdul Rahman telah menyatakan kekecewaan orang-orang Melayu terhadap sikap British yang meminda Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dalam soal kerakyatan seperti pindaan mengenai undang-undang 'rakyat raja'. Dalam perjumpaan yang disertai oleh Tun Abdul Razak, Datuk C.M. Yusuf dan Tun Sardon, perwakilan-perwakilan UMNO telah menyatakan rasa tidak puas hati mereka tentang hal tadi termasuklah soal pekerjaan, pemberian tanah, pelajaran dan sumbangan kepada anggota-anggota polis yang telah menentang komunis yang tidak diberikan ganjaran oleh kerajaan British. Selain itu, UMNO buat pertama kalinya telah diperkenalkan ke luar negeri pada November 1952 apabila Tunku Abdul Rahman menghadiri sidang Asian Congress for World Federation di Tokyo, Jepun. Pemergian Tunku itu menampakkan lagi peranan UMNO untuk mendapatkan sokongan pertubuhan antarabangsa untuk mencapai matlamatnya menuntut kemerdekaan tanahair.[11]

Sebelum tertubuhnya UMNO, telah muncul sebuah lagi parti politik iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan ditubuhkan pada Mei 1937 di Kampong Baru, Kuala Lumpur. [12] KMM merupakan sebuah parti politik yang pertama muncul di Tanah Melayu dan dipimpin oleh pemimpin yang berpendidikan Melayu (terutama lepasan MPSI Tanjung Malim) dan dipengaruhi dengan kuatnya oleh tokoh-tokoh politik Indonesia. Nama KMM ini telah dicadangkan oleh Sutan Djenain, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menetap di perkampungan orang Cina di Ampang. Ramai pengkaji mengatakan bahawa KMM ini anti-British, anti-feudalis dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, jika diperhatikan pengakuan yang dibuat oleh Ibrahim sendiri di dalam bukunya yang bertajuk " Nusa dan Bangsa Melayu" yang ditulisnya pada tahun 1951, beliau mengatakan bahawa KMM berpendirian…[13]. Bermula pada tahun 1930an, perkembangan politik Melayu mempunyai dua aliran iaitu aliran kiri dan aliran kanan. Aliran politik yang dimulai oleh KMM inilah yang sering dianggap sebagai aliran politik kiri Melayu.

KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob telah memberikan kerjasama dengan pihak British dan Jepun dalam satu masa. Kerjasama dengan British terpaksa dijalankan kerana sikap pembesar-pembesar Melayu ketika itu yang masih mempercayai kerajaan British. Oleh kerana untuk mendapatkan simpati daripada golongan-golongan (pembesar-pembesar Melayu) itu, beliau dan pengikutnya terpaksa menerima sikap politik golongan tadi. Ini jelas dapat dilihat apabila Ibrahim telah membantu Menteri Besar Terengganu, Tengku Setia Tengku Omar untuk mendapatkan semula kerajaan Riau-Lingga. Ibrahim menggunakan kes ini untuk kepentingan peribadi dan KMM. Ibrahim berpendapat bahawa jika British sanggup membantu kerabat tersebut, Riau-Lingga akan dijadikan sebagai sebuah negeri penampan bagi kuasa British dan Jepun. Satu pertemuan telah diadakan di Singapura pada April 1941 antara pemimpin atasan KMM dengan Pengarah Perisik British, L.M. Wanne. Berikutan dengan pertemuan itu, Ibrahim telah dihantar ke Riau sebagai perisik British untuk melihat sejauhmana pihak Jepun berminat dengan daerah tersebut.

KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob turut mengadakan hubungan dengan pihak Jepun dalam waktu yang hampir sama dengan British. Ibrahim telah berjumpa dengan Ishikawa, seorang jurutera Jepun di Singapura untuk mengadakan hubungan persahabatan dengan pihak Jepun. Ishikawa telah memperkenalkan Ibrahim kepada Konsul Jeneral Singapura, Ken Tsurami yang membawa perkara itu kepada kerajaan Jepun. Pada April 1941, Ibrahim telah diberikan wang sebanyak $18 000 oleh Jepun untuk membeli akhbar Warta Malaya, yang dimiliki oleh oleh keluarga Alsagoff, salah satu daripada keluarga Arab yang terkaya di Singapura. Akhbar Warta Malaya dipilih sebagai akhbar propaganda Jepun disebabkan ia adalah sebuah akhbar yang tertua (sejak tahun 1930) dan amat berpengaruh kerana pengarang-pengarangnya merupakan tokoh-tokoh nasionalis-cum wartawan yang terkenal antaranya Dato' Onn Ja'afar. Setelah beberapa pertemuan diadakan antara KMM dibawah pimpinan Ibrahim Yaacob dengan pihak Jepun, akhirnya KMM telah diterima untuk bekerjasama dengan pasukan propaganda Jepun dalam kod nama KAME (Kura-kura), bersama-sama dengan pasukan Indian Independence League (IIL) dan beberapa orang Jepun yang telah bermastautin di Tanah Melayu.

Walaupun hubungan dengan pihak Jepun diadakan namun kerjasama dengan pihak British masih lagi berjalan. Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Perisik British di Singapura. Dalam masa yang sama, beliau dan pengikutnya dikatakan turut berhubung dengan Parti Komunis Malaya (PKM) melalui 'mentor'nya, Sutan Djenain bagi membentuk gerakan bawah tanah menentang Jepun. Walau bagaimanapun, setelah pihak British mengetahui bahawa KMM menjadi anggota KAME secara senyap-senyap dan juga menjadikan akhbar Warta Malaya sebagai alat propaganda Jepun, pihak

British telah menangkap Ibrahim serta pengikutnya pada 7 dan 8 Disember 1941. Keadaan ini menyebabkan Ibrahim menyokong sepenuhnya pihak Jepun.

Semasa ketiadaan Ibrahim, Mustapha Hussein iaitu orang kedua penting KMM yang tidak ditangkap oleh British telah meneruskan pergerakan KMM dengan cara yang agak berbeza dengan cara Ibrahim Yaacob. Ini dapat dilihat setelah Mustapha dihubungi oleh Onan Haji Siraj supaya bekerjasama dengan tentera Jepun yang sedang mara ke Taiping, Perak. Sebaliknya Mustapha telah menubuhkan Barisan Pemuda untuk membantu orang Melayu daripada dianiaya oleh tentera Jepun, sementara ahli-ahli KMM yang lain telah diarahkan untuk bekerjasama dengan anggota IIL bagi mengelakkan serangan orang Cina yang pro-Jepun (Kumpulan Wang Ching Wei).

Pada 12 Februari 1942, Ibrahim Yaacob dan rakan-rakannya telah dibebaskan oleh British iaitu 3 hari sebelum Singapura jatuh ke tangan tentera Jepun. Ibrahim Yaacob pada waktu itu telah mengambil sikap berhati-hati dengan pihak Jepun. Beliau tidak lagi melihat kedatangan Jepun sebagi satu jaminan kemerdekaan bagi orang Melayu. Dalam satu pertemuan dengan ahli-ahli KMM pada 17 Februari 1942 di Bukit Timah, Singapura, beliau telah menasihati rakan-rakannya agar berjuang untuk pembebasan politik mereka.[14] Ibrahim turut menasihati rakan-rakannya terutama Mustapha Hussein, Naib Presiden KMM supaya tidak terburu-buru menuntut kemerdekaan daripada pihak Jepun. Dalam usaha menghidupkan semula perjuangan mereka, beberapa orang pemimpin atasan KMM antaranya Ishak Hj. Muhammmad, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid, Onan Bin Hj. Siraj, Ahmad Boestamam dan lain-lain termasuklah Ibrahim Yaakob sendiri telah mengadakan lawatan ke beberapa negeri di kawasan Pantai Barat dan juga ke Pahang di sebelah timur Tanah Melayu untuk mengukuhkan kembali pengaruh mereka yang terhenti seketika itu.[15] Setelah beberapa peristiwa berlaku, KMM telah membuat strategi baru untuk menentang Jepun setelah pihak Jepun tidak membalas jasa yang diberikan oleh KMM selama ini. Ibrahim Yaacob telah mengadakan beberapa ceramah untuk menaikkan semangat ahli-ahlinya yang mengakibatkan KMM telah diharamkan oleh Jepun pada Jun 1942.     

Selepas Jepun menyerah kalah, pergerakan gerila komunis yang dipelopori oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dan Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) telah bertindak ganas ke atas penduduk Tanah Melayu khasnya orang-orang Melayu yang bertujuan untuk membalas dendam. Pada masa itu jugalah telah muncul satu lagi parti politik Melayu yang agak radikal iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada Oktober 1945 sebagai persediaan berjuang secara berperlembagaan. Aktivis awalnya terdiri daripada beberapa orang tokoh dari Perak. Nama-nama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Hj. Muhammad digunakan dalam gerakan untuk mempopularkan PKMM pada peringkat awal penubuhannya. Perjuangan parti ini adalah untuk mencapai kemerdekaan dalam lingkungan 'Indonesia Raya' atau 'Melayu Raya'. Namun, istilah yang popular kemudiannya ialah 'Malaya-Indonesia Satu'.

Ideologi 'Melayu Raya' amat dititikberatkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy semasa beliau memimpin PKMM pada tahun 1946 dan 1947. Dalam beberapa kongres PKMM yang diadakan di Ipoh, Kuala Lumpur, Melaka dan Singapura, hasrat untuk bergabung dengan Indonesia dan penggunaan bendera Indonesia Sang Saka Merah Putih menjadi resolusi-resolusi kongres PKMM. Begitu juga dengan pertubuhan-pertubuhan di bawahnya seperti Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan sebagainya turut menggunakan idea yang sama. Pada bulan Januari 1946, Dr. Burhanuddin telah berunding dengan British dan telah menerima kerakyatan melalui 'Jus Soli' yang menjadi dasar kerakyatan negara baru British. PKMM mendesak supaya dasar itu diperluaskan ke seluruh Kepulauan Melayu supaya kesemua rumpun Melayu boleh menjadi rakyat Malayan Union (MU). Dasar pintu terbuka British ini pada mulanya diterima oleh PKMM.[16]

Walau bagaimanapun, Dr. Burhanuddin dan rakan-rakannya turut menghadirkan diri dalam Kongres Melayu 1946, bersama-sama dengan persatuan-persatuan Melayu yang lain bagi menentang MU yang diadakan pada 1 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur setelah PKMM mengetahui bahawa MU mendatangkan banyak masalah kepada orang Melayu jika ia diterima. Pada majlis itu, PKMM merupakan parti Melayu yang terbesar menghantar wakil dan pemerhatinya jika dibandingkan dengan persatuan-persatuan Melayu yang lain. PKMM juga turut menjadi salah sebuah pertubuhan yang mengasaskan UMNO di Johor Bahru pada 11 Mei 1946.

Seterusnya pada Disember 1950 pula, Dr. Burhanuddin dan PKMM telah terlibat secara langsung dalam gerakan nasionalisme Melayu-Islam, akibat tindakan Mahkamah British memaksa seorang muslimah memeluk semula agama Kristian. Kes tersebut digelar sebagai 'kes Natrah'.[17] Beliau bersama-sama pengikutnya serta pertubuhan Islam yang lain telah cuba membelanya. Perbicaraan itu telah diikuti dengan penuh minat oleh orang-orang Islam Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Demonstrasi telah diadakan pada 14 hingga 16 Disember 1950. Pada hari ketiga demonstrasi itu telah berlaku kekecohan apabila kumpulan-kumpulan lain seperti ahli-ahli kesatuan sekerja dan PKM terlibat sama dan bertindak membakar kereta dan menyerang pasukan polis. Akibat daripada itu, beberapa orang pemimpin PKMM dan aktivis Islam termasuklah Dr. Burhanuddin, Taha Kalu, Mohd. Mustaz, Derus Sarip dan Abdul Karim Ghani telah ditangkap oleh British. Sebelum kejadian itu, PKMM di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin telah membina klinik hemeopati di Jalan Sultan, Geylang, Singapura.

            Pertubuhan PKMM ini tidak mempunyai cawangan di Melaka kecuali selepas seorang pesuruhjaya PKMM iaitu M. Mustaz dilantik sebagai wakilnya. Beliau terpaksa dilantik kerana perwakilan Melaka (ahli Kesatuan Melayu Melaka) ke kongres pertama PKMM yang diadakan di Ipoh pada tahun 1945 tidak mahu dilantik sebagai anggota pusat PKMM. Walau bagaimanapun, menjelang pertengahan tahun 1946, PKMM serta badan pemudanya telah menyaingi Kesatuan Melayu Melaka dan Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka yang sememangnya cukup terkenal pada waktu itu. Kawasan yang menjadi semacam kubu PKMM Melaka ialah Alor Gajah khususnya sekitar Naning dan Melaka Tengah. Kemudian, cawangannya merebak ke Jasin, Kesang dan Merlimau.

            Sebenarnya, PKMM pernah menjadi anggota parti UMNO tetapi telah keluar daripadanya kerana tidak mencapai kata sepakat tentang bentuk bendera dan cogankata UMNO.[18] Badan induk PKMM mempunyai anak-anak parti seperti Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Badan ekonominya pula ialah Barisan Tani Malaya (BTM), Badan Perniagaan dan Perusahaan Kampung. Apabila  Majlis Islam

Tertinggi (MATA) ditubuhkan, cawangan PKMM turut terdapat di Melaka. Walau bagaimanapun, UMNO yang ditubuhkan agak lewat daripada PKMM kemudiannya telah menyaingi PKMM di mana badan-badan pergerakan UMNO telah mencontohi badan pergerakan PKMM.

            Kekuatan PKMM Melaka mengilhamkannya untuk mengadakan kongres keduanya di Melaka. Keupayaan Melaka mengendalikan kongres ini melahirkan pula pusat latihan ketenteraan API untuk seluruh Malaya. Laporan perisikan dan tindakan British menunjukkan bahawa PKMM ialah parti yang akan menjadi musuh politiknya. Oleh itu, British telah mengambil langkah tertib untuk menjatuhkan PKMM. Larangan kegiatan PKMM dikenakan, diikuti oleh pengharaman API kerana British menganggap pertubuhan ini merbahaya kepada ketenteraman awam. British sebaliknya memberikan sokongan kepada pergerakan UMNO.[19] Perubahan yang ditunjukkan dalam kegiatan politik perjuangan kemerdekaan boleh dikatakan menempuh tahap baru sejak tahun 1950. Ia ditandai dengan peristiwa kematian Gabenor Sarawak dan pengharaman PKMM yang dikatakan berkaitan dengan peristiwa pembunuhan itu. Keadaan ini menyebabkan ahli-ahli PKMM kehilangan wadah perjuangan mereka.

            Secara keseluruhannya, kelompok-kelompok politik yang mewakili orang Melayu yang telah muncul sebelum tahun 1957 ini sememangnya telah mengadakan kegiatan masing-masing dalam mencapai konsep persatuan atau parti mereka. Pencapaian-pencapaian yang telah dicapai oleh kelompok-kelompok ini telah memberikan banyak manfaat kepada bangsa, agama dan negara secara keseluruhannya. Oleh yang demikian, parti-parti politik yang lain seharusnya mengambil ikhtibar daripada kelebihan atau kelemahan kelompok-kelompok politik ini.        

 

Bibliografi.

 

Mohd Aris Haji Othman. 1985. Identiti Etnik Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn.   Bhd.

 

Ruhanie Haji Ahmad. 1990. Melayu Lawan Melayu. Kuala Lumpur: Nusantara Publishing Sdn. Bhd.

 

__________. 1983. Isu Ekonomi, Sosial dan Politik Malaysia (Kumpulan Esei Dewan Masyarakat 1975-1979). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Barraclough, Simon. 1988. A Dictionary of Malaysian Politic. Singapura: Heinemann Publishers Asia PTE LTD.

 

Funston, John. 1980. Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS. Singapura: Heinemann Education Books (Asia) Ltd.

 

Ramlah Adam. 1993. Dato' Onn Ja'afar: Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail. 1985. Nasionalisme: Satu Tinjauan Sejarah. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

 

Ongkili, James P. 1985. National- Building In Malaysia: 1946-1974. Singapura: Oxford University Press.

 

Suhaimi Mokhtar. 1981. Warisan Pimpinan UMNO. Petaling Jaya: Penerbit Pena Sdn. Bhd.

 

Zainal Abidin B. Abdul Wahid. 1992. Malaysia: Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Abdul Latif Abu Bakar. 1996. Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

 

S. Husin Ali. 1979. Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya. Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd.

 

Roff, William R. 1994. The Origins of Malay Nationalism. Second Edition. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

 

Ariffin Omar. 1993. Bangsa Melayu: Malay Concepts of Democracy and Community 1945-1950. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

 

Ramlah Adam. 1999. Sumbanganmu Dikenang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

 

 

 


 

[1] ______Isu Ekonomi, Sosial dan Politik Malaysia (Kump. Esei Dewan  Masyarakat 1975-1979), hlm.146.

[2] Mohd Aris Haji Othman, Identiti Etnik Melayu, hlm.118.

[3] William R. Roff, The Origins of Malay Nationalism, hlm. 193-194.

[4] "….Kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita, kita berkehendak supaya tanahair dan bangsa kita ini terselamat dan kuat, kedua-duanya itu hanyalah boleh kuat jika kita bersatupadu…marilah kita tunjukkan dengan persatuan di antara kita, kita berazam hendak menzahirkan suatu bengsa yang lebih tegap dan kuat dan boleh berdiri atas kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar-benarnya sesuai di sisi bangsa-bangsa lain yang tegap dan bersatu…". Dipetik daripada Ruhanie Haji Ahmad, Melayu Lawan Melayu, hlm.49-50.

[5] Ramlah Adam, Dato' Onn Ja'afar- Pengasas Kemerdekaan, hlm.151.

[6] Mesyuarat agung UMNO yang pertama diadakan di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Mesyuarat agung kedua diadakan di Ipoh pada 29 dan 30 Jun 1946. Mesyuarat agung ketiga di Pulau Pinang pada 27 dan 28 Julai 1946, di mana dalam mesyuarat inilah bendera UMNO dikibarkan buat kali pertama  oleh Sultan Kedah, Sultan Badlishah. Mesyuarat agung keempat diadakan di Balai Besar, Alor Star pada 10,11 dan 12 Januari 1947. Mesyuarat agung kelima pula diadakan di Seremban, Negeri Sembilan pada 1 dan 2 Mac 1947. Mesyuarat agung keenam di Kota Bharu, Kelantan pada 10 Mei 1947. Mesyuarat agung yang ketujuh diadakan di Johor Bahru pada 2,3 dan 4 September 1947. Mesyuarat agung kelapan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Disember 1947. Keterangan lanjut, sila rujuk Ramlah Adam, Dato' Onn Ja'afar- Pengasas Kemerdekaan, hlm.156.

[7] Suhaimi Mokhtar, Warisan Pimpinan UMNO, hlm.10-11.

[8] Dalam Bab 1 dimasukkan tujuan UMNO ditubuhkan, penubuhan bahagian dan cawanganUMNO, ahli UMNO, sistem yuran UMNO dan sistem kad pengenalan UMNO. Dalam Bab 2 pula, diterangkan tentang peraturan Majlis Mesyuarat Agung UMNO, tugas pegawai UMNO, Jawatankuasa Kerja UMNO dan Setiausaha Agung. Bab 3 pula mengenai Bahagian UMNO, Bab 4 mengenai Cawangan UMNO dan Bab 5 pula mengenai perlantikan wakil, perikatan Pemuda dan Wanita UMNO. Dipetik daripada Ramlah Adam, Dato' Onn Ja'afar- Pengasas Kemerdekaan, hlm.159.

[9] Ibid. hlm. 160-161.

[10] Ibid. hlm. 170.

[11] Suhaimi Mokhtar, Warisan Pimpinan UMNO, hlm.32.

[12] Menurut William R. Roff dan Cheah Boon Kheng, KMM ditubuhkan pada tahun 1938.

[13] …tidak menyebut setia kepada Sultan dan kerajaan Inggeris, tetapi tidak pula menyebut non-cooperation, hanya bekerja membangkitkan kesedaran bangsa dan pelajaran di kalangan anggota-anggotanya yang terutama diperkuatkannya keanggotaan dari kalangan bawahan. Kesatuan ini tidak memakai definisi (takrif) Melayu menurut seperti badan- badan politik yang ada itu. Kesatuan ini mengkehendaki kesedaran kepada kesatuan nasional besar dengan seruan Melayu Raya, yakni meliputi seluruh Kepulauan Melayu. Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.53.

[14] "Kemenangan Jepun bukanlah kemenangan kita. Perjuangan kita masih lagi panjang. Siapa tahu Jepun mungkin akan menjadi penjajah." Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.63.

[15] James P. Ongkili, National- Building In Malaysia 1946-1974,  hlm.20.

[16] Tujuan PKMM menerima MU adalah untuk mencapai matlamat atau konsep 'Melayu Raya' yang ditaja oleh Tan Melaka sejak tahun 1927 melalui bukunya Aksi Massa. Penerimaan orang-orang Melayu daripada rumpun bangsa Melayu di seluruh Kepulauan Melayu sebagai rakyat MU, akan menjadikan jumlah orang Melayu dalam MU akan menjadi lebih ramai kerana rumpun bangsa Melayu di Kepulauan Melayu dikatakan berjumlah 65 juta orang. Kekuatan ini akan memudahkan mereka menguasai Semenanjung Tanah Melayu yang akan dibentuk sebagai sebahagian daripada Melayu Raya dengan Indonesia sebagai negara induknya. Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.132.

[17] 'Kes Natrah' merupakan satu kisah di mana Maria Hertogh atau nama Islamnya, Natrah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Singapura supaya dipulangkan kepada ibubapanya yang berbangsa Belanda. Natrah telah dibesarkan oleh ibu angkatnya, Aminah dan telah dikahwinkan dengan Mansor Adabi semasa Natrah berusia 14 tahun. Ibubapa kandungnya yang telah meninggalkan Natrah sejak kecil lagi kepada pengasuhnya telah menuntut semula Natrah dengan menggunakan perundangan Barat. Bagi Dr. Burhanuddin, dan orang Islam lain, tindakan ini adalah satu penghinaan dan pencabulan kepada agama Islam dan maruah orang Islam. Ia boleh dianggap sebagai satu unsur penting kepada perasaan kebangsaan orang Melayu dan Islam. Ramlah Adam, Sumbanganmu Dikenang, hlm.136.

[18] UMNO mahukan cogankata 'Hidup Melayu' manakala PKMM mahukan 'Merdeka' sebagai cogankata UMNO.

[19] Abdul Latif Abu Bakar, Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia, hlm.185.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1